Salam Eidulfitri 1436 H : DACS Selangor
Salam Eidulfitri 1436 H : DACS Selangor
DACS Selangor ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Eidulfitri, Taqabbalallahu minna wa minkum kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia amnya sempena sambutan Hari Raya Eidulfitri yang bakal menjelang beberapa hari lagi. Diharap dengan berlalunya madrasah tarbiah bergelar Ramadhan berjaya meletakkan kita dalam golongan yang menang menentang hawa nafsu dan menjadi insan yang bertaqwa di sisi Allah Taala.
DACS Selangor juga ingin mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf lahir dan batin seandainya ada terkasar bahasa dan tersalah bicara. Di hari yang mulia ini, pihak DACS Selangor menyeru agar semangat ukhwah dan persaudaraan bukan sahaja dikekalkan tetapi dieratkan lagi dengan budaya kunjung mengunjungi dan ziarah mahabbah sesama kita. Marilah dalam bulan mulia ini, kita bermaaf-maafan dan mengamalkan budaya toleransi dalam perhubungan. Buat rakan-rakan bukan Islam, pihak DACS Selangor mengajak kalian agar bersama menyemai dan mengukuhkan perpaduan dengan berkunjung dan beramah mesra ke rumah sahabat kalian yang beragama Islam.
Islam adalah agama rahmat dan belas ihsan. Pihak DACS Selangor juga mengucapkan selamat pulang kepada para pengguna lebuh raya yang dalam perjalanan ke kampung halaman masing-masing. Kepulangan anda dinanti kaum keluarga, bukan untuk ditangisi. Amalkanlah budaya berhati-hati dan toleransi sesama pemandu di lebuh raya. Jadikanlah keselamatan diri dan keluarga di lebuh raya sebagai perkara utama sewaktu memandu atau menunggang.
Sekali lagi pihak DACS Selangor menyeru agar semangat kesederhanaan diamalkan sepanjang musim perayaan ini. Jangan dilupakan saudara seakidah kita di bumi yang tertindas seperti Palestin, Mesir, Syria dan Myanmar. Janganlah kita mengamalkan apa jua bentuk pembaziran di bulan Syawal kerana kita telah dididik dengan rapi oleh madrasah tarbiah Ramadhan.
Pisang emas bersama nira,
Pohonnya dekat tumbuhan berduri,
Bulan Syawal disambut gembira,
Kekalkan kesyukuran di dalam diri.
Bulan Ramadhan sudah berlalu,
Hiba dan sedih melanda hati,
Semaikan taqwa dalam diri selalu,
Moga bahagia bertemu Allah nanti.
Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillahil Hamd!
MUHAMMAD FADZLI B. ABU BAKAR
Pengarah,
Department of Arts, Culture and Sports (DACS) Selangor.
Dewan Pemuda PAS Selangor.
Sila kongsi artikel ini...