UTAM: "LANGGAR LOW YAT" dan Dinamika yang Kompleks
KENYATAAN RASMI UTAM
"LANGGAR LOW YAT" DAN DINAMIKA YANG KOMPLEKS
Isu Low Yat yang dikatakan bermula dengan kejadian seorang pembeli telefon bimbit ditipu oleh penjualnya, dan kemudian berikutan kegagalan rundingan antara mereka mencetuskan pula kecurian telefon bimbit oleh pembeli tersebut merupakan sesuatu yang sedang hangat kini. Lebih parah, apabila elemen-elemen keganasan dan kefahaman dari lensa perkauman mula meresap ke dalam dinamika isu ini. Justeru, UTAM berpandangan bahawa perkara ini bukan bersifat selapis, dan ia wajar dilihat dari banyak sudut.
Dari lapisan pertama, ia isu antara dua individu yang saling bertelagah kerana jual beli antara mereka. Lapisan kedua pula, berkait persoalan mengapa isu ini berupaya mencetus respon ganas dan seterusnya paradigma "Melayu lawan Cina"? Apa sebenarnya yang menyebabkan paradigma ini begitu mudah dianuti, sedangkan kita sudah lebih 50 tahun merdeka?
Di lapis pertama, perkara itu seharusnya diselesaikan individu yang terlibat, tetapi masalah bermula apabila pencuri itu dibelasah oleh rakan-rakan si penjual. Sewajarnya ia sesuatu yang perlu dibawa kepada pihak polis. Malah, di Malaysia juga kita punyai tribunal pengguna serta undang-undang yang melindungi hak pengguna yang boleh dirujuk jika pembeli tidak berpuas hati.
Tetapi, mengapa usaha sebegitu tidak berlaku antara mereka? Antara sebabnya, pendidikan kepenggunaan di negara kita masih lemah. Peristiwa Low Yat ini mungkin saja boleh dielakkan seluruhnya jika pengguna tersebut mengetahui laluan undang-undang yang boleh dilalui. Selain itu, kita juga boleh menyaksikan bahawa, setelah pelbagai isu di Malaysia, sedang wujudnya ketidakyakinan yang mendalam terhadap sistem keselamatan di Malaysia, yang menyebabkan tindakan anarkis sebegini berlaku. Ketua Polis Negara yang gagal meletakkan prioriti dalam membanteras jenayah mungkin sahaja merupakan salah satu hal ranting yang menjadi akar ketidakyakinan ini.
Susulan peristiwa itu, sebelah malamnya pula menyaksikan kerancuan yang berlaku mencanak naik sehingga difahami dengan lensa perkauman. Hal ini juga bukan kebetulan, kerana UTAM berpandangan, bahawa ia merupakan hasil daripada kesenjangan ekonomi dan sosial yang telah lama membarah di Malaysia dan gagal diselesaikan para penguasa. Antara kesannya ialah cara melihat kelas peniaga (yang banyak dikuasai kaum Cina) sedang mengambil kesempatan atau membuli kelas yang lebih miskin (yang diisi kebanyakannya oleh kaum Melayu). Bagi UTAM, persoalan bagaimana tiba-tiba lensa perkauman digunakan dalam hal ini bukanlah sesuatu yang tabii (natural), tetapi wujud daripada sesuatu faktor yang telah menyalakan ketidakpuasan hati.
Lebih mendalam, hal ini akan berkait dengan kesamarataan peluang yang telah mengakibatkan kesenjangan ekonomi yang serius. Semua orang yang tinggal di Lembah Kelang tahu, di pinggir Kuala Lumpur seperti Ampang, Pandan, Gombak dan kawasan sewaktunya yang banyak flat PPR dan setinggan ada masalah kemiskinan bandar yang serius, dan kekurangan peluang sosio-ekonomi. Pada masa yang sama, hal kesamarataan peluang ini akan berkait juga dengan peluang pendidikan, dan di sinilah wujudnya ruang untuk mendidik berkenaan hak pengguna. Tetapi jika peluang tertutup, pastinya mereka ini tidak berupaya mengetahui, malah mungkin tiada masa pun untuk membaca bab kepenggunaan kerana kesibukan mencari sesuap nasi.
Kita tidak boleh menganggap mereka, yakni warga miskin bandar yang terpinggir dari arus kemodenan kawasan Hartamas, Siera Mas dan Damansara untuk berfungsi dalam masyarakat secara normal. Kalau mereka makan gaji, gaji mereka kecil. Kalau mereka berniaga, perniagaan mereka kecil- kecilan dan terpaksa mencari barang dagangan dari pembekal 'first hand'/pemborong yang majoritinya Cina. Peluang mereka semakin sempit dek dinamika pasaran yang kian berat sebelah. Kesempitan sebeginilah yang kemudiannya membuahkan kefahaman bahawa ketaksamarataan peluang wujud dalam kategori perbezaan kaum.
Kesimpulannya, rakyat Malaysia harus melihat perkara ini dari pelbagai sudut. Kecurian ialah kecurian, dan keganasan ialah keganasan. Pun begitu, memahami faktor di sebalik keganasan yang berlaku juga adalah penting bagi mengetahui apakah masalah yang mendasari peristiwa tersebut. Janganlah pula selepas ini kita termakan dengan propaganda pihak-pihak berkepentingan yang sengaja menggunapakai peristiwa ini dengan cara menyuguhkan faham perkauman sempit yang akan merencatkan usaha kita menuju Malaysia yang harmoni dan adil.
UTAM berpendirian bahawa keterlibatan individu dalam mana-mana kaum atau agama tidak pernah mendefinisikan perlakuan yang adil atau yang zalim. Setiap pengguna perlu mengambil tahu haknya sebagai pengguna dan melalui jalan undang-undang yang absah, setakat mana ia mampu mencapai keadilan. Dalam masa yang sama, pihak penguasa juga perlu menjadi serius dalam usaha membanteras jenayah, meningkatkan kesamarataan peluang untuk semua, dan merapatkan jurang ekonomi yang selalu dilihat berkorelasi dengan perbezaan kaum.
Prinsip moral adalah jelas.
-Kru UTAM
Sila kongsi artikel ini...