PKR: Hentikan tabiat melihat setiap permasalahan dalam dimensi perkauman.

9:10 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media
13 Julai 2015

Malaysia telah digemparkan oleh insiden pergaduhan yang berlaku di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur bermula pada 11 Julai lepas yang kini diambil kesempatan dan dimarakkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab sebagai insiden barkait perkauman yang jauh tersasar dari fakta dan hakikat sebenar.

Sementara kita menunggu siasatan lengkap daripada pihak berwajib, saya berpandangan sudah sampai masanya kita mengambil pendirian tegas untuk menghentikan tabiat melihat setiap permasalahan dalam dimensi perkauman. Semua pihak harus jelas bahawa penipuan dalam transaksi, salahlaku dalam perniagaan, hatta kecurian sekalipun dilakukan oleh sang pelaku yang tidak mengira agama dan etnik. Justeru, mengaitkan insiden tersebut dengan sentimen perkauman adalah sesuatu yang amat tidak bertanggungjawab.

Kes ini pastinya menuntut profesionalisme dan integriti utuh pihak berkuasa, khususnya PDRM dalam melaksanakan siasatan menyeluruh seterusnya menghalang sebarang anasir yang mahu menyemarakkan api perkauman dan perseteruan tersebut. Adalah lebih baik sumber sama ada dari segi kewangan mahupun anggota yang besar selama ini dialihkan dari keperluan risikan politik berkepentingan partisan dan bukan nasional difokuskan untuk meleraikan kekusutan sedia ada secara sistematik dan hingga ke akar umbi.

Di samping itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) harus lebih pro-aktif dalam melakukan penyiasatan dan penguatkuasaan undang-undang, tidak hanya bersandarkan kepada laporan yang dibuat semata-mata. KPDNKK seharusnya lebih proaktif memantau dan melaksanakan tanggungjawab berasaskan undang-undang sedia ada bagi mengekang transaksi melibatkan peniaga yang culas.

Saya tidak menolak kemungkinan isu ini berpotensi mengalihkan seketika pandangan rakyat ke atas salahlaku yang lebih besar melibatkan Perdana Menteri bersabitan skandal 1MDB yang dibicarakan dengan hangat beberapa minggu kebelakangan ini. Justeru, profesionalisme semua pihak adalah dituntut agar siasatan yang dilaksanakan berjalan dengan lancar dan baik. Baik insiden Plaza Low Yat mahupun skandal 1MDB, ia harus berjalan seiring tanpa menenggelamkan satu sama lain.

Menjadi suatu tragedi nasional pula jika ada pihak-pihak yang cuba menangguk di air keruh dan menggunakan isu ini sebagai inisiatif gerak saraf/perang saraf pengalih kepada skandal 1MDB dan kemasukan dana besar tidak terjelas ke dalam akaun Perdana Menteri kedua-duanya merupakan skandal terbesar negara semenjak merdeka yang berpotensi menyahhancurkan kewibawaan dan keutuhan institusi-institusi tiang seri negara dan kebolehpercayaan Nasional.

Imarah Ramadhan yang kita laksanakan hingga ke penghujungnya ini, seharusnya dilaksanakan dengan lebih afdhal mengambilkira semangat Eidulfitr' yang mendorong kita kepada fitrah insani, yakni menyantuni antara satu sama lain dalam fasa penyucian ukhuwah manusiawi.

Marilah kita jaga perhubungan harmoni antara kaum di Malaysia yang telah terjalin sekian lama, di samping menolak agenda perkauman sempit serta menolak sebarang bentuk salahlaku baik melibatkan poket rakyat mahupun poket pimpinan negara.

Semoga ketenangan dan kematangan usai Ramadhan mendorong kita menjadi lebih rasional dalam menyantuni isu dengan akal yang matang serta pertimbangan yang jelas.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Naib Presiden KEADILAN
merangkap Ahli Parlimen Bukit Katil


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.