Perutusan HAri Kebangsaan ke 58 Presiden Keadilan
PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN KE 58 PRESIDEN KEADILAN
BismillahiRahmaniRahim
Assalamu'alaikum warahmatullah dan Salam Sejahtera
Tema Hari Kebangsaan ke 58 Malaysia adalah Sehati Sejiwa.
Jika diukur dengan usia manusia 58 tahun – ia adalah umur seorang insan yang sudah dewasa, matang penuh hikmah dan seharusnya lebih bertanggung jawab ketika sudah melangkah masuk ambang senja kehidupan dengan menyediakan warisan peninggalan terbaik untuk anak cucu, generasi masa depan.
Jika dinilai tema Sehati Sejiwa - ia membawa maksud tersurat dan tersirat bahawa kita ada perpaduan, ada kasih sayang, mahabbah serta muhibah, ada kesaksamaan berpaksikan darjat kerohanian yang mencerminkan kebaikan, keadilan dan kebenaran.
Dan jika diselami maksud suatu kemerdekaan – ia bererti kita bebas merdeka dari semua bentuk penjajahan asing maupun watan sendiri dapat menentukan hala tuju negara melalui pilihan raya yang bersih, telus dan adil, memiliki sebuah kerajaan yang Bersih, Cekap dan Amanah, menikmati kemakmuran ekonomi bersama dan media bersuara benar.
Juga kita harus bebas merdeka untuk hidup tanpa ditindas, difitnah, diugut, dikecam, dicerca, dipecah belahkan dan dimiskinkan, dengan hak-hak kewarganegaraan yang dijamin suatu perjanjian kenegaraan atau ‘aqadun daulah’ iaitu Perlembagaan Persekutuan dalam sebuah demokrasi.
Tarikh 31 Ogos 1957 dan 16 September 1963 merupakan tarikh peristiwa satu harapan dan satu permulaan baru sebuah negara oleh rakyat dan demi rakyat – dimana janji kemerdekaan dan janji kesatuan Malaysia terjamin dan dipertahankan kemurniannya.
Ia adalah tarikh Tanda Mercu Pengorbanan - pejuang kemerdekaan dahulu, pejuang keselamatan negara kini dan bakal pejuang masa depan agar Malaysia terus bebas, merdeka dan berdaulat.
Ianya harus dilihat sebagai Tarikh Mengukur Pengisian suatu kemerdekaan - sama ada janji dan jaminan asas dan dasar dipenuhi - Janji Kemerdekaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Janji Kesatuan yang tertulis dalam Perjanjian Malaysia dipenuhi.
Sudah tentu rakyat yang berbaris berjuang penuh ikhlas, memegang tanggungjawab memerintah dengan penuh amanah, mengutamakan kepentingan rakyat penuh saksama dan menyatukan hati dan jiwa penuh muhibah, berani kerana benar berdiri menentang kezaliman pihak berkuasa dan insaf berundur bila sudah jauh dari pangkal jalan amanah pemerintahan - adalah Patriot Negara yang sebenar.
Sebagai Patriot kita perlu hayati lagu Negaraku yang penuh makna.
"Negaraku Tanah Tumpahnya Darahku" - jiwa raga dan darah semua bangsa Melayu, Cina, India Dusun, Dayak, Orang Asal dan Orang Asli untuk Malaysia.
"Rakyat Hidup Bersatu dan Maju" – hak hidup semua bangsa bebas dari api perkauman dan bebas dari rasuah yang merampas hak rakyat menikmati kekayaan serta kemajuan negara – adalah intipati Kemakmuran Kemerdekaan sejati.
"Rahmat Bahagia Tuhan Kurniakan, Raja Kita Selamat Bertakhta" - nikmat rahmat, kebahagian dan harta juga adalah untuk rakyat jelata bersama Raja-Raja mesti terus didoakan – adalah initipati Kesaksamaan Kemanusian sejagat.
Ini adalah Malaysia, Negaraku untuk semua.
Oleh demikian, janji kemerdekaan dan pengorbanan semua patriot akan lebih bermakna dan impian rakyat akan hanya tercapai apabila kita semua bersatu Sehati Sejiwa untuk Bersihkan Negara.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Presiden KEADILAN
31 Ogos 2015
Sila kongsi artikel ini...