Merdeka Dari Pasungan Penguasa - Nurul Izzah
Merdeka Dari Pasungan Penguasa
Salam #Bersih4 dan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Kali ke-58.
Dalam kejenuhan rakyat mencari erti sebuah kemerdekaan, negara kita masih lagi belum mampu menyelesaikan beberapa isu yang membelenggu masyarakat. Kesenjangan ekonomi dan krisis survival rakyat menghimpit kita dari segenap sudut kehidupan.
Masihkah kita ingat tentang perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan kita yang menentang sistem percukaian yang dikenalkan oleh penjajah negara? Namun, alangkah sayunya apabila kini rakyat dicukai dan dirampas Hak serta hartanya oleh bangsanya sendiri.
Saya merujuk kepada tema hari kebangsaan kali ke-58 sehati sejiwa yang membawa kepada makna saling memahami antara jalur kepimpinan negara di lapangan masyarakat. Namun hakikatnya, rakyat bangun dengan kekuatan mandiri dan mendesak agar perubahan segera dilakukan di peringkat urus tadbir negara.
Pasca himpunan BERSIH 4.0 menyaksikan hampir 200,000 rakyat menuntut Pilihan raya yang bebas dan adil, sebuah kerajaan yang telus, hak untuk membantah, mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen dan menyelamatkan ekonomi negara.Tidak dapat dinafikan ianya dihangatkan oleh kemarahan rakyat kepada seorang individu yang mendapat derma RM2.6 bilion.
Desas desus musabab skandal kotor yang terus menyumbang kepada kemelut ekonomi ringgit yang menjunam kedengaran lagi menjelang sambutan kemerdekaan tanah air kita yang ke 58 ini.
Kita tidak mungkin selesai melayani retorik dimensi politik yang sibuk berlegar di media - menyalahkan perhimpunan itu atau pun ini; dan bukannya asas ekonomi dan kepimpinan negara yang semakin rapuh.
Izinkan saya merdeka ini menyelusuri topik yang penting dalam sejarah Bangsa Malaysia - Rasuah.
Merdeka ini dirayakan di sebalik penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang wira anti-rasuah serta usaha giat menghancurkan kredibiliti mereka yang menolak praktis dermawan ala suapan yang masuk dalam kocek Perdana Menteri.
Semuanya mengingatkan saya kepada gerakan anti rasuah di kala krisis politik serta kewangan 1998. Umum mengetahui sebab utama Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat adalah kerana seruan lantang beliau di Parlimen pada 1997 menyeru kepada reformasi dan pengakhiran kronisme dan rasuah. Beliaulah yang memperkasakan Akta Rasuah.
Sedar atau tidak RM jatuh ke tahap RM4.17 berbanding Dollar Amerika, sesuatu kejatuhan yang amat rendah sejak krisis ekonomi 1998. Penyusutan ini adalah pada tahap 20 peratus sejak Januari hingga Ogos tahun ini.
Dahulu, rasuah dinafikan dan dikatakan satu pelincir kepada ekonomi yang lebih baik - bak kata Samuel Huntington.
Rasuah adalah kunci kepada permulaan perniagaan lanjut pandangan ini; satu hakikat yang menyedihkan. Namun nukilan Prof Syed Hussein Al Attas dalam buku Rasuah jelas menyanggah tanggapan tempang ini.
Rasuah lah yang akan memundurkan negara. Rasuah lah punca negara tidak berkembang dan terus gagal. Rasuah mengakibatkan rakyat dinafikan
Dan kini, sedang kita diasak pelbagai permasalahan/dari hutang isi rumah sebanyak 150 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), melebihi banyak negara membangun yang lain, dan juga negara maju seperti Amerika Syarikat.
Hutang kerajaan juga telah pun menghampiri tahap 55 peratus daripada KDNK (berbanding kira-kira 40 peratus secara purata di negara membangun yang lain).
Secara keseluruhan, nisbah jumlah hutang kepada KDNK diantara 2007 dan 2013 adalah 222 peratus, yang tertinggi diantara negara membangun.
Justeru , sempena Hari Kemerdekaan ini, marilah kita bersama-sama memasang sebuah impian untuk melihat negara kita benar-benar merdeka dari gejala korupsi yang semakin menjadi-jadi. Kita mesti merdekakan minda dari pengaruh politik bangsa jingoistik. Kita mesti memerdekakan diri dari terus dipergunakan dalam agenda pemusatan kuasa. Kita mestilah memerdekakan sistem ekonomi dari terus dimanipulasikan dan dieksploitasikan oleh elit penguasa.
Semalam kita menuntut kerajaan yang bersih. Hari ini biar kita tuntut rakyat yang Merdeka - dari Rasuah!
Nurul Izzah Anwar
Naib Presiden KEADILAN
Ahli Parlimen Permatang Pauh
31 Ogos 2015
Sila kongsi artikel ini...