Rang Undang-Undang Tabung Angkatan Tentera 1973 - Zulhazmi Shariff

6:32 PM 0 Comments A+ a-



RANG UNDANG-UNDANG TABUNG ANGKATAN TENTERA 1973

Semalam 3 Disember 2015 berakhir Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ketiga Belas 2015 di mana beberapa Rang Undang-Undang (RUU) telah diluluskan. Antaranya ialah RUU Majlis Keselamatan Negara 2015, RUU Profesion Kesihatan Bersekutu 2015, RUU Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2015, RUU Perbadanan Insurans Deposit (Pindaan) 2015 dan RUU Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2015.

RUU MKN 2015 telah mengambil tumpuan kerana ianya suatu RUU yang akan memberikan kuasa penuh kepada Perdana Menteri dalam mengisytiharkan suatu kawasan keselamatan yang sama seperti perisytiharan darurat oleh Seri Paduka Yang DiPertuan Agong di bawah Perkara 150 Pelembagaan Persekutuan.

Walau bagaimana pun RUU Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2015 tidak banyak dibincangkan sedangkan ianya juga merupakan suatu RUU yang penting yang melibatkan hak setiap anggota tentera Malaysia.

RUU Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2015 yang diluluskan melibatkan beberapa pindaan yang agak menghairankan. Antaranya pindaan Seksyen 6 (2) di mana keanggotaan Gabenor Bank Negara atau Timbalan Gabenor Bank Negara dibuang dari Panel Pelaburan Tabung Angkatan Tentera. Seksyen 6 (2) yang asal menyebutkan bahawa Panel Pelaburan hendaklah terdiri daripada :

a) Seorang Pengerusi yang hendaklah dilantik oleh Menteri atas nasihat Lembaga;
b) Gabenor Bank Negara, atau Timbalan Gabenor Bank Negara;
c) Ketua Turus Angkatan Tentera;
d) Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan;
e) dua orang anggota lain yang berpengalaman dalam perniagaan atau kewangan yang hendaklah dilantik oleh Menteri

Seksyen 6 (2) ini telah dipinda dengan memotong para (b) iaitu mengeluarkan Gabenor Bank Negara atau Timbalan Gabenor Bank Negara daripada anggota Panel Pelaburan. Persoalannya ialah kenapa? Adakah terdapat isu-isu tertentu yang menyebabkan Gabenor atau Timbalan Gabenor Bank Negara dibuang dari menjadi anggota Panel Pelaburan Tabung Angkatan Tentera?

Lawatan ke laman web rasmi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di www.ltat.org.my menunjukkan bahawa hari ini hanya lima orang sahaja anggota Panel Pelaburan iaitu

a) Ybhg. Jen. Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Mnohd Ghazali bin Dato Mohd Seth sebagai Pengerusi
b) Ybhg. Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkefli bin Mohd Zin (Panglima Angkatan Tentera)
c) Ybhg. Dato’ Dr Mohd Isa Hussain (Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan)
d) Ybhg. Dato’ Abdul Aziz bin Ibrahim; dan
e) Encik Mohd Suffian bin Haron

Panel Pelaburan sedia ada ini sudah tiada Gabenor atau Timbalan Gabenor Bank Negara sebagai anggotanya. Persoalannya adakah keanggotaan ini bermula setelah pindaan Akta dilakukan atau selepas pindaan berkuatkuasa? Saya amat yakin bahawa keanggotaan Panel Pelaburan ini sudah lama begini iaitu tiada Gabenor atau Timbalan Gabenor Bank Negara sebagai anggota kerana RUU baru diluluskan semalam dan masih belum diwartakan penguatkuasaannya. Justeru saya menyatakan Panel Pelaburan Tabung Angkatan Tentera telah berfungsi secara salah dan tidak sah serta bertentangan dengan Akta Tabung Angkatan Tentera 1973.

Selain itu kita juga perlu mengambil perhatian khusus oleh anggota tentera yang menjadi pencarum wajib kepada Tabung ini. Sebelum ini kita dikhabarkan melalui kenyataan media dan pengumuman kepada Bursa Malaysia bahawa Lembaga Tabung Angkatan Tentera secara bersama dengan anak syarikatnya Bouestad Holding mengambil alih pegangan dua syarikat pengendali Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES). Dalam jawapannya kepada Ahli Parlimen Shah Alam di Dewan Rakyat, Menteri Kewangan menyatakan bahawa LTAT telah membayar sejumlah RM295 juta kepada syarikat ATES (M) Sdn Bhd dan RM260 juta kepada syarikat Beta Tegap Sdn Bhd.

Tindakan ini merupakan suatu tindakan pelaburan yang sewajarnya melalui Panel Pelaburan Tabung. Walau bagaimana pun pengambilalihan aset dua syarikat pengendali AES diumumkan oleh Ketua Eksekutif (Ex-Officio) Lembaga Pengarah LTAT iaitu Tan Sri Dato’ Sri Hj Lodin Wok Kamaruddin. Beliau juga merupakan Timbalan Pengerusi merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Bouestad Holding. Tan Sri Dato’ Sri Hj Lodin dalam kenyataan kepada media pada 6 Mac 2015 menyatakan bahawa Bouestad mengambil alih pegangan Irat Properties Sdn Bhd yang sebelumnya telah mengambil alih pegangan ATES dan Beta Tegap.

Dalam kenyataannya Tan Sri Lodin dilaporkan berkata “Untuk membangunkan aliran perniagaan dan membina peluang sinergi, memperoleh pegangan dalam AES adalah proses semula jadi bagi Kumpulan memacu pertumbuhannya. AES adalah sistem yang berjaya di pelbagai negara seluruh dunia, dan ia adalah satu sistem yang terbukti menjana hasil ketara”. Kenyataan tersebut menggambarkan bahawa AES akan memberikan pulangan yang baik kepada Bouestad dan secara tidak langsung kepada Tabung Angkatan Tentera. Tetapi perlu diambil juga perhatian bahawa Kerajaan sebelum ini mengatakan bahawa perlaksanaan AES bukan untuk menjana keuntungan kerana jika pengguna jalanraya mematuhi peraturan dan undang-undang dan tiada saman dikeluarkan maka pengendali AES tidak akan diberikan bayaran atau tidak mendapat pulangan.

Justeru tindakan LTAT melalui Bouestad melbaur dalam AES ini adalah suatu tindakan yang amat berisiko tinggi yang akan merugikan pencarum di masa akan datang.

LTAT harus memberikan penjelasan yang sewajarnya kepada para pencarum.

ZULHAZMI SHARIFF
04122015


Sila kongsi artikel ini...

RUU Persendirian Meminda Akta 355 di mana? - Zulhazmi Shariff

12:36 PM 0 Comments A+ a-



RUU Persendirian Meminda Akta 355 di mana?

Selesai sidang Dewan Rakyat bagi sesi tahun ini semalam namun RUU Persendirian Marang untuk meminda Akta 355 bagi meluaskan kuasa Mahkamah Syariah di seluruh negara tidak dapat dikesan. Pindaan Akta 355 bertujuan untuk meluaskan kuasa Mahkamah Syariah yang selama ini disekat dan dihadkan hukumannya setakat penjara 3 tahun, denda RM5000 dan sebatan 6 kali.

Usul RUU Persendirian ini pertama kali dimasukkan ke dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) pada sidang bulan Mac 2015 tetapi tidak sempat dibentang dan dibahaskan. Kemudian pada sidang Jun 2015 sekali lagi dimasukkan dengan pindaan terhadap usul setelah usul asalnya terdapat kesilapan. Namun begitu, berakhir sidang Jun 2015, usul tersebut tidak juga dibahaskan. Hasrat murni pengusul untuk membawa usul ke sidang November - Disember 2015.

Dalam pada itu terdapat juga pihak yang membawa isu ini ke Mahkamah bertujuan menyekat Yang DiPertua Dewan dan pengusul membawa usul ke Dewan. Walau bagaimana pun Mahkamah telah menolak permohonan tersebut justeru usul boleh diteruskan. Malangnya sehingga berakhir sidang Dewan Rakyat pada 3 Disember 2015, bukan sahaja usul tidak dibahaskan malah tiada di dalam senarai AUM. Ini bermakna usul tidak diserahkan oleh pengusul untuk dimasukkan ke dalam AUM oleh Dewan.

Apabila ditanya dan diulang tanya oleh khalayak ke mana hilangnya usul, maka ada yang menjawab, sekurang-kurangnya pengusul dan partinya berusaha untuk membawa usul dan ikhlas untuk melihat syariat ditegakkan.

Ya, kita boleh setuju dengan usaha tetapi usaha sewajarnya dengan bijaksana bukan dengan kebodohan. Usaha dalam suatu perkara yang sia-sia itu sebenarnya BODOH. Bukan usaha melaksanakan syariat itu bodoh tetapi cara usaha itu dilakukan amatlah BODOH. Semua sedar dan tahu bahawa pihak yang berjanji menyokong dengan tangisan terisak-isak itu hanyalah lakonan syaitan memerangkap mangsa tetapi yang diperangkap itu BODOH kerana sudah tahu itu perangkap tetapi masih mahu masuk perangkap. Itu BODOH namanya.

Musuh apabila menghulurkan tangan, kita wajib berwaspada tapi yang penuh ilmu di dada juga BODOH menerima tanpa waspada. Dijaja merata pelusuk bahawa yang memimpin itu ulamak pewaris nabi tetapi itu semua pembohongan yang nyata. Nabi mempunyai empat (4) sifat terpuji yang jika ada pihak mendakwa mereka mewarisi nabi, mereka mesti sebolehnya mewarisi juga sifat nabi yang empat itu.

Nabi bersifat "siddiq" iaitu benar. Benar bermaksud tidak menipu, tetapi adakah mereka (pewaris nabi) itu tidak pernah menipu???

Nabi bersifat dengan sifat "amanah" tetapi adakah mereka yang mewarisi nabi itu bersifat amanah? Amanah apa jika dipilih menjadi wakil rakyat tetapi tidak hadir ke Dewan Rakyat untuk berbahas mewakili rakyat? Dipilih rakyat untuk membantah kezaliman tetapi mereka berkecuali atas kezaliman.

Nabi bersifat dengan sifat "tabligh" iaitu menyampaikan. Nabi menyampaikan kebenaran dengan benar dan amanah. Adakah mereka yang mewarisi nabi bersifat menyampaikan sepertimana nabi? Mereka memutuskan persahabatan, memutuskan hubungan, menolak permuafakatan. Sampaikan apa dengan memutuskan hubungan?

Nabi bersifat "fatanah" iaitu bijaksana. Kebijaksana melalui strategi yang penuh waspada. Berkali-kali ditipu musuh bukan petunjuk seseorang itu bijaksana.

Akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Takziah dan kesedihanku kepada seluruh ahli dan penyokong yang amat menaruh kepercayaan kepada pemimpin yang jelas, nyata dan terang gagal memikul tanggungjawab malah terus-terusan menipu.

JOM sama-sama melakukan perubahan. Kebenaran bukan hak suatu pihak. Berubahlah ke arah yang lebih baik. Belum cuba belum tahu.

BERANI BERUBAH

ZULHAZMI SHARIFF
04122015


Sila kongsi artikel ini...

Ini Antara Sebab Penting Kenapa Saya Pertahankan 'Erdogan Tikam Belakang Russia - Wan Ahmad Fayhsal

10:48 AM 1 Comments A+ a-



INILAH ANTARA SEBAB PENTING KENAPA SAYA PERTAHANKAN 'ERDOGAN "TIKAM BELAKANG" RUSSIA'

"Bro, aku tengok kau degil betulla. Ramai kata macam tu, tak kurang yang mengejek kau ni angkuh kononnya kau tahu 'Russian intel' semua. Beralah je lah bro, kau bukan betul semua pun"

"La, aku bukan cakap kosong. Aku dah kaji betul-betul barulah aku buat kesimpulan yang sama dengan apa yang dilaporkan."

"Ok, kalau macam tu kenapa masih ramai yang sangsi?"

"Biasalah. Kadang-kadang ada"confirmation bias", "groupthink" dan lebih malang "menyama ratakan" seolah-olah diri yang kritik tu fikir kita berfikir sama macam dia fikir"

"Tak percayalah aku bro. Kau ni cakap lebat. Keyboard warrior lah!"

"Ok, tak apa, sebelum kau nak lebih-lebih kritik, apa kata kau baca dulu apa yang aku tulis bulan Januari lalu pasal hubungan strategik Russia-Turki: (1) The Turkish Pivot: Russia-Turkey new pipeline will pave way for a truly Eurasian integration: http://goo.gl/5G1fdP , kau akan lihat betapa aku menyanjungi Erdogan dan AKP kerana kebijaksanaan mereka menerima pelawaan Putin untuk menjadi "paksi tenaga" yang menghubungkan Russia dan Eropah."

"Seperti yang ditulis dalam artikel "Turkish Pivot" itu, aku fahami benar apa yang dimeterai antara Russia dan Turki dan KESANNYA ke atas Eropah yang dikuasai NATO dan Amerika. Ianya seperti "death blow" kepada hegemoni mereka kerana mereka tak sangka MUSUH TRADISI iaitu Turki dan Russia boleh bergabung secara STRATEGIK dalam sektor TENAGA yang membolehkan mereka berada pada posisi "upper hand" dalam mempengaruhi ekonomi dan politik peradaban Barat hanya melalui jalinan paip gas antara Russia dan Turki!"

"Turki di bawah Erdogan pertama kali dalam sejarah modennya berjaya meletakkan kembali kedudukan Turki secara geopolitik hampir sama dengan zaman kehebatan Uthmaniyyah dalam erti kata menjadi paksi antara Barat dan Timur atau lebih tepat Eurasia."

"Dan kerjasama dan jalinan strategik ini, seperti kata Putin, dilakukan cukup lama, dan amat teliti antara kedua pihak. Maka tidak hairanlah kalau berlaku krisis dan renggang hubungan antara Turki dan Russia, sudah tentu yang mendapat keuntungan (cui bono?) adalah seteru mereka iaitu NATO dan Amerika"

"Sebab itu Kesatuan Eropah (EU) yang di bawah telunjuk NATO dan Amerika bersaing dengan laluan gas Russia-Turki melalui "Projek Nabucco" yang membawa gas daripada Laut Caspian (sebab itu ada banyak Revolusi Warna di negara bekas Soviet) yang kini projek tersebut terbengkalai dan diganti dengan laluan gas Qatar-Iran yang perlu merentasi Syria. Sudah tentu Basyar al-Assad tolak, bila Assad tolak maka kenalah wujudkan Arab Spring tukar Presiden (antara sebabnya, ada banyak sebab lain lagi). Sebab itu Al-Shahid Sa'id Ramadan al-Buti dapat 'hidu' siapa dibelakang Arab Spring di Syria yang sudah tentu ambil kesempatan atas kelemahan dan kezaliman yang Basyar lakukan ke atas segelintir rakyatnya"

"Bukan itu saja, Russia juga berjanji untuk membina loji janakuasa nuklear untuk Turki di Akkuyyu. Bagi sesiap yang rajin kaji politik tenaga (energy politics), akan faham betapa strategik dan pentingnya hubungan kedua-dua buah negara yang ada loji janakuasa nuklear."

"Sebab itulah Putin bagi amaran secara berlapik bila beliau tahu Turki terlibat dengan pendanaan ISIS di Syria. Dan Putin tak mahu pun bergaduh dengan Turki atau Erdogan sebab itu di Antalya masa persidangan G20, Putin tak sebut pun negara mana sebab Putin ingin masing-masing mengaku dan hentikan sendiri"

"Sebab itu Putin terkejut beruk bila jet Russia kena tembak sampai kena letup helikopter penyelamat. Ini ada "casus belli" (act of war) di bawah Geneva Convention tapi Russia tak pun "declare war" ke atas Turki sebab Putin tahu politik di belakang Turki ialah NATO yang inginkan hubungan Turki-Russia retak dan pada masa yang sama sebagai "pretext" untuk NATO masuk ke Syria - seperti yang dibuktikan kini"

"Bukan itu saja, Putin fahami permainan geopolitik minyak dan US Dollar yang telah saya tuliskan dalam (2) Oil, Smoke and Mirrors: Containing Putin’s Petro-state: http://goo.gl/LXFhOj , maka Putin berusaha membantu negara-negara Arab seperti Saudi di bawah Raja Salman, untuk "decouple" secara berperingkat daripada sistem Petrodollar yang Amerika kuasai. Di sini sudah tentu ada persaingan kuat dengan Amerika yang memang pegang negara-negara Arab dengan kekayaan material dan pertahanan. Sebab itu Putin berkerjasama dengan Iran dahulu kerana Iran paling bebas daripada pengaruh Amerika"

"Tapi bro, orang cakap Russia bom orang awam di Syria"

"Siapa laporkan?"

"Al-Jazeera"

"Al-Jazeera milik siapa?"

"Qatar"

"Siapa Qatar?"

"Entahlah bro, aku tak berapa arif"

"Kalau kau boleh persoalkan kewujudan Israel selepas 1924, kau juga patut kaji sejarah siapa wujudkan Qatar, UAE, Bahrain, Kuwait, Iraq, Syria, Jordan, Saudi, Oman"

"Ok, bro! Terima kasih! Aku mula nampak kenapa kau tegas dengan pendirian kau!"

"Sama-sama, ada banyak lagi yang penting kau faham bahawa bila Putin kata "back-stabbing", Putin tak menipu kerana Putin amat percayakan Erdogan dan sayangkan Turki sebagai sekutu penting dalam proses mengimbangi hegemoni NATO dan Amerika di Eropah dan Dunia Islām"


Sila kongsi artikel ini...

Rm 2.6 Billion - Penjelasan Yang Tiasa Penjelasan - Mahfuz Omar

10:29 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media.

ISU RM2.6 BILION -
PENJELASAN YANG TIADA PENJELASAN.


1. Penjelasan yang dibuat oleh TPM atas isu RM2.6 bilion di Parlimen sebenarnya tidak menjelaskan apa-apa yang boleh membantu merungkaikan segala kekalutan, kekusutan dan keraguan rakyat Malaysia terhadap PM Najib dalam isu penerimaan RM2.6 bilion dalam akaun peribadi beliau. Penjelasan ringkas Zahid yang tiada penjelasan betulkah RM2.6 bilion itu derma dan siapakah penderma.

2. Penjelasan yang tanpa menjelaskan itu sebenarnya terus meninggalkan persoalan demi persoalan yang cenderung mengesyaki bahawa PM Najib melakukan kesalahan rasuah dan salahgunakuasa menerima suapan daripada pihak yang menjadi rahsia.

3. Apakah TPM sengaja memberikan penjelasan yang bertujuan untuk Najib terus dipersoalkan rakyat? Apakah ini juga sebagai signal untuk perwakilan Umno pada PAU minggu depan jangan menjadi tunggul sebaliknya menekan Najib untuk berundur daripada jawatan Presiden Umno dan PM? Semua ini terus menjadi tanda tanya di sebalik rahsia besar Skandal RM2.6 bilion.

4. Apa pun terima kasih kepada TPM Dato'Zahid di atas penjelasan isu RM2.6 bilion yang terus menambah persoalan tanpa penyelesaian.

SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA.

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
4 Dis 2015/22 Safar 1437H


Sila kongsi artikel ini...

Rakyat Nak Tahu Siapa Penderma RM 2.6 billion Kepada Najib Tun Razak - Khairuddin Abu Hassan

8:22 AM 0 Comments A+ a-



RAKYAT NAK TAHU SIAPA PENDERMA RM2.6 BILLION KEPADA NAJIB TUN RAZAK

Keseluruhan rakyat di tanahair kita ingin mengetahui siapakah penderma yang mendermakan sejumlah rm2.6 billion kepada najib tun razak?! Jumlah derma ini amat besar dan dimasukkan ke dalam akaun peribadi najib tun razak!!

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (sprm) mesti memaklumkan secara telus dan jelas kepada keseluruhan rakyat malaysia demi untuk mengelakkan daripada ujudnya persepsi negatif di kalangan akar umbi. Kes derma rm2.6 billion ini mesti dimaklumkan secara sahih kepada rakyat seterusnya menutup terus pertikaiannya yang telah berlarutan sekian lama!!


Saya juga amat setuju dengan pandangan yabhg tun dr mahathir bin mohamad yang menggesa sprm untuk membuktikan bahawa wang derma ini bukannya dari dana yang berkaitan dengan syarikat 1mdb!!

Sprm juga mesti menunjukkan secara telus bagaimana wang derma ini dibelanjakan secara terperinci seterusnya ke mana pergi wang baki tersebut?!

Isu ini harus disiasat dan ditangani oleh sprm secara telus serta komprehensif tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Sama-samalah kita berdoa kehadrat Allah swt untuk memberi kekuatan serta sifat amanah kepada keseluruhan para pegawai sprm yang terlibat secara langsung ataupun tidak di dalam menyiasat kes wang derma rm2.6 billion yang telah menjadi polemik di tanahair kita sekian lama. (Amin)


Sila kongsi artikel ini...

Tan Sri Muhyiddin Nak jadi mangsa atau PM? - Tuan Ibrahim Tuan Man

6:03 AM 0 Comments A+ a-



Tan Sri Muhyiddin – Nak jadi mangsa atau PM?

Kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk hadir di parlimen dan menjawab dana RM2.6 bilion di dalam akaun beliau telah membuka ruang luas kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi Presiden Umno dan seterusnya Perdana Menteri seterusnya.

Bola kini di kaki TS Muhyiddin – apakah beliau mahu terus menjadi mangsa atau bangkit menjadi PM?


Jika TS Muhyiddin memilih untuk bangkit, maka beliau harus berhenti bermain isu yang memperlihatkan beliau sebagai mangsa. Beliau perlu menumpukan perhatian kepada pengumuman langkah-langkah yang bakal beliau ambil jika beliau ialah PM di saat rakyat kian tersepit dengan pelbagai pengumuman kenaikan harga secara mendadak yang turut dirasai ahli-ahli Umno biasa.

Antaranya TS Muhyiddin boleh berjanji:

1. Mengurangkan kadar kenaikan KTM, yang baru dinaikkan sebanyak 58% pada 2 Disember 2015.

2. Mengurangkan kadar kenaikan LRT, yang baru dinaikkan 102% pada 2 Disember 2015.

3. Mengurangkan kadar kenaikan ERL, yang bakal dinaikkan dari RM35 ke RM55 pada 1 Jan 2016.

4. Menghalang kenaikan tol PLUS pada tahun depan dan berjanji menyemak semula segala perjanjian konsesi lebuhraya

5. Menghidupkan semula subsidi elektrik, minyak masak dan beras ST15.

6. Membongkar misteri penderma dan asal-usul RM2.6 bilion

7. Mendedahkan hasil siasatan ke atas 1MDB

8. Mengurangkan pembelanjaan Jabatan Perdana Menteri dan memulangkan bajet pendidikan setara dengan peruntukan di 2015

9. Tidak akan memegang jawatan Menteri Kewangan

10. Tidak sesekali membalas dendam kepada sesiapa yang mengkhianatinya sehingga beliau hilang jawatan Timbalan Perdana Menteri

11. Berjanji tidak akan membenarkan isteri beliau mencampuri urusan negara mahupun Umno

12. Memecat semua penasihat-penasihat kontrak bergaji tinggi di Jabatan Perdana Menteri

13. Mengurangkan saiz kabinet

TS Muhyiddin sedar kegagalan untuk memecatnya dari Umno menunjukkan beliau masih mempunyai sokongan yang kuat di kalangan pemimpin dan ahli Umno. Beliau masih boleh bersuara di dunia digital hari ini meskipun digam. Beliau masih boleh memberikan amanat melalui rakaman video.

Dengan rakyat termasuk sebahagian besar ahli Umno yang kini terkesan dengan kenaikan kos sara hidup, tidak mustahil untuk TS Muhyiddin mendapat mandat yang besar dan diberi kepercayaan menerajui Umno selepas ini. Bola kini di kaki TS Muhyiddin.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
3 Disember 2015


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.