Rang Undang-Undang Tabung Angkatan Tentera 1973 - Zulhazmi Shariff

6:32 PM 0 Comments A+ a-



RANG UNDANG-UNDANG TABUNG ANGKATAN TENTERA 1973

Semalam 3 Disember 2015 berakhir Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ketiga Belas 2015 di mana beberapa Rang Undang-Undang (RUU) telah diluluskan. Antaranya ialah RUU Majlis Keselamatan Negara 2015, RUU Profesion Kesihatan Bersekutu 2015, RUU Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2015, RUU Perbadanan Insurans Deposit (Pindaan) 2015 dan RUU Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2015.

RUU MKN 2015 telah mengambil tumpuan kerana ianya suatu RUU yang akan memberikan kuasa penuh kepada Perdana Menteri dalam mengisytiharkan suatu kawasan keselamatan yang sama seperti perisytiharan darurat oleh Seri Paduka Yang DiPertuan Agong di bawah Perkara 150 Pelembagaan Persekutuan.

Walau bagaimana pun RUU Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2015 tidak banyak dibincangkan sedangkan ianya juga merupakan suatu RUU yang penting yang melibatkan hak setiap anggota tentera Malaysia.

RUU Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2015 yang diluluskan melibatkan beberapa pindaan yang agak menghairankan. Antaranya pindaan Seksyen 6 (2) di mana keanggotaan Gabenor Bank Negara atau Timbalan Gabenor Bank Negara dibuang dari Panel Pelaburan Tabung Angkatan Tentera. Seksyen 6 (2) yang asal menyebutkan bahawa Panel Pelaburan hendaklah terdiri daripada :

a) Seorang Pengerusi yang hendaklah dilantik oleh Menteri atas nasihat Lembaga;
b) Gabenor Bank Negara, atau Timbalan Gabenor Bank Negara;
c) Ketua Turus Angkatan Tentera;
d) Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan;
e) dua orang anggota lain yang berpengalaman dalam perniagaan atau kewangan yang hendaklah dilantik oleh Menteri

Seksyen 6 (2) ini telah dipinda dengan memotong para (b) iaitu mengeluarkan Gabenor Bank Negara atau Timbalan Gabenor Bank Negara daripada anggota Panel Pelaburan. Persoalannya ialah kenapa? Adakah terdapat isu-isu tertentu yang menyebabkan Gabenor atau Timbalan Gabenor Bank Negara dibuang dari menjadi anggota Panel Pelaburan Tabung Angkatan Tentera?

Lawatan ke laman web rasmi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di www.ltat.org.my menunjukkan bahawa hari ini hanya lima orang sahaja anggota Panel Pelaburan iaitu

a) Ybhg. Jen. Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Mnohd Ghazali bin Dato Mohd Seth sebagai Pengerusi
b) Ybhg. Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkefli bin Mohd Zin (Panglima Angkatan Tentera)
c) Ybhg. Dato’ Dr Mohd Isa Hussain (Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan)
d) Ybhg. Dato’ Abdul Aziz bin Ibrahim; dan
e) Encik Mohd Suffian bin Haron

Panel Pelaburan sedia ada ini sudah tiada Gabenor atau Timbalan Gabenor Bank Negara sebagai anggotanya. Persoalannya adakah keanggotaan ini bermula setelah pindaan Akta dilakukan atau selepas pindaan berkuatkuasa? Saya amat yakin bahawa keanggotaan Panel Pelaburan ini sudah lama begini iaitu tiada Gabenor atau Timbalan Gabenor Bank Negara sebagai anggota kerana RUU baru diluluskan semalam dan masih belum diwartakan penguatkuasaannya. Justeru saya menyatakan Panel Pelaburan Tabung Angkatan Tentera telah berfungsi secara salah dan tidak sah serta bertentangan dengan Akta Tabung Angkatan Tentera 1973.

Selain itu kita juga perlu mengambil perhatian khusus oleh anggota tentera yang menjadi pencarum wajib kepada Tabung ini. Sebelum ini kita dikhabarkan melalui kenyataan media dan pengumuman kepada Bursa Malaysia bahawa Lembaga Tabung Angkatan Tentera secara bersama dengan anak syarikatnya Bouestad Holding mengambil alih pegangan dua syarikat pengendali Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES). Dalam jawapannya kepada Ahli Parlimen Shah Alam di Dewan Rakyat, Menteri Kewangan menyatakan bahawa LTAT telah membayar sejumlah RM295 juta kepada syarikat ATES (M) Sdn Bhd dan RM260 juta kepada syarikat Beta Tegap Sdn Bhd.

Tindakan ini merupakan suatu tindakan pelaburan yang sewajarnya melalui Panel Pelaburan Tabung. Walau bagaimana pun pengambilalihan aset dua syarikat pengendali AES diumumkan oleh Ketua Eksekutif (Ex-Officio) Lembaga Pengarah LTAT iaitu Tan Sri Dato’ Sri Hj Lodin Wok Kamaruddin. Beliau juga merupakan Timbalan Pengerusi merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Bouestad Holding. Tan Sri Dato’ Sri Hj Lodin dalam kenyataan kepada media pada 6 Mac 2015 menyatakan bahawa Bouestad mengambil alih pegangan Irat Properties Sdn Bhd yang sebelumnya telah mengambil alih pegangan ATES dan Beta Tegap.

Dalam kenyataannya Tan Sri Lodin dilaporkan berkata “Untuk membangunkan aliran perniagaan dan membina peluang sinergi, memperoleh pegangan dalam AES adalah proses semula jadi bagi Kumpulan memacu pertumbuhannya. AES adalah sistem yang berjaya di pelbagai negara seluruh dunia, dan ia adalah satu sistem yang terbukti menjana hasil ketara”. Kenyataan tersebut menggambarkan bahawa AES akan memberikan pulangan yang baik kepada Bouestad dan secara tidak langsung kepada Tabung Angkatan Tentera. Tetapi perlu diambil juga perhatian bahawa Kerajaan sebelum ini mengatakan bahawa perlaksanaan AES bukan untuk menjana keuntungan kerana jika pengguna jalanraya mematuhi peraturan dan undang-undang dan tiada saman dikeluarkan maka pengendali AES tidak akan diberikan bayaran atau tidak mendapat pulangan.

Justeru tindakan LTAT melalui Bouestad melbaur dalam AES ini adalah suatu tindakan yang amat berisiko tinggi yang akan merugikan pencarum di masa akan datang.

LTAT harus memberikan penjelasan yang sewajarnya kepada para pencarum.

ZULHAZMI SHARIFF
04122015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.