Pemberhentian Pekerja NAZA Automtive Manufacturing Sdn Bhd - KGAM HB Kedah

11:10 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

PEMBERHENTIAN PEKERJA NAZA AUTOMOTIVE MANUFACTURING SDN BHD (NAZA)

Gerakan Anak Muda (GAM) Harapan Baru Kedah melihat pemberhentian pekerja NAZA seramai kira-kira 294 orang seperti yang telah dimaklum dan dilaporkan kepada media massa adalah satu kesan langsung daripada kemerosotan ekonomi yang melanda negara ini.


GAM Kedah telah difahamkan bahawa pihak pengurusan NAZA setelah mengambil pelbagai tindakan untuk menghadapi cabaran semasa bagi memastikan syarikat terus beroperasi akhirnya terpaksa membuat pengstrukturan semula pekerja besesuaian dengan jumlah pengeluaran mereka yang menyebabkan pekerja perlu dikurangkan dan natijahnya pekerja-pekerja terpaksa diberhentikan. Dari sudut ekonomi GAM Kedah melihat perkara ini adalah salah satu dari kesan kemerosotan ekonomi dimana mengikut kaedahnya apabila permintaan terhadap sesuatu barangan berkurangan pengeluaran terhadap suatu barangan akan dikurangkan. Ini secara tidak langsung menunjukkan kuasa beli rakyat adalah berkurangan. Situasi ini diburukkan lagi oleh kejatuhan nilai Ringgit berbanding US Dolar.

GAM Kedah amat bersimpati dengan nasib yang diterima oleh pekerja-pekerja yang diberhentikan oleh NAZA yang mana GAM Kedah difahamkan bahawa kebanyakan mereka adalah terdiri dari anak muda berbangsa melayu. GAM Kedah juga difahamkan bahawa kebanyakan mereka ini isteri mereka adalah suri rumah. GAM juga mencadangkan kerajaan negeri Kedah berbuat sesuatu bagi mengurangkan beban pekerja NAZA ini. Nasib mereka perlu dibela, Pihak berwajib seperti kementerian sumber manusia perlu membantu pekerja NAZA ini mencari pekerjaan lain.

Kegagalan Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dalam mentadbir dan mengurus ekonomi negara telah menyebabkan negara dilanda kemerosotan ekonomi yang amat membimbangkan disamping nilai Ringgit yang semakin menurun dan tidak menentu. Perdana Menteri Malaysia tidak harus lagi menyembunyikan bahawa negara ini menghadapi kesan dari kemerosotan ekonomi.

Jesteru itu GAM Kedah mendesak Perdana Menteri Malaysia yang juga Menteri Kewangan untuk meletak jawatan disebabkan kegagalan beliau mengurus ekonomi negara dengan baik, dan akibatnya rakyat yang menerima kesan diatas kegagalan beliau.

GAM Kedah menggesa satu sidang Parlimen khas perlu dipanggil dengan segera bagi menyelesaikan kemelut ekonomi negara ini sebelum terlambat. Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri perlu menjadi agenda permulaan bagi merealisasikan agenda perubahan ini.

Ridzwan Abu Bakar,
Ketua Gerakan Anak Muda
Harapan Baru Kedah.l


Sila kongsi artikel ini...

Syria Care : seorang 'ustaz' yang bernama Ibnu Arrazi a.k.a Razis Ismail a.k.a. Arrazi Abdurrahman

11:01 PM 0 Comments A+ a-


Syria Care: Pertubuhan Penyayang Islam Membantu Syria


PENGUMUMAN PENTING!
Admin ingin mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan tentang sesuatu isu yang sedang meluas diperkatakan sekarang berkenaan seorang 'ustaz' yang bernama Ibnu Arrazi a.k.a Razis Ismail a.k.a. Arrazi Abdurrahman.


Beliau diperkenalkan kepada pihak Syria Care sekitar November 2014 sebagai seseorang yang ingin membantu Syria Care.Beliau telah mengadakan ceramah atas nama Syria Care sebanyak 2 kali SAHAJA sebelum menghilangkan diri.

Tempoh beliau bersama Syria Care adalah kurang dari sebulan.
Selepas pihak Syria Care mengetahui tentang akhlaknya kami tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya lagi.Dan kami tidak membenarkan sebarang derma untuk Syria Care disalurkan kepadanya.

Oleh kerana itu kami harap semua orang jelas tentang perkara ini dan tidak mengaitkan 'ustaz' ini dengan Syria Care dari apa segi sekali pun.Cukuplah apa yang dia telah lakukan kepada kami dan semoga Allah memberinya hidayah.

Dan jika sesiapa menjumpainya mengutip derma atas nama kami sila maklumkan kepada kami segera!

Sekian dan terimakasih.


Sila kongsi artikel ini...

Respon Status keanggotaan PKR che'GuBard

10:50 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Umum

27 Ogos 2015

Respon Status keanggotaan PKR che'GuBard


1. Alhamdulillah akhirnya setelah setahun menunggu status keanggotaan saya yang digantung ketika Pemilihan PKR 2014, akhirnya saya mendapat juga surat dari Pengerusi Lembaga Disiplin PKRyang bertarikh 12 Jun 2015 yang menyatakan Biro Politik pada 26 Mei 2015 memutuskan untuk menamatkan penggantungan setelah meneliti bukti dan laporan dari Lembaga Disiplin.

2. Saya mengucapkan terima kasih kepada Dato' Abdul Hadi Abd Khatab atas surat makluman tersebut dan amat dihargai usaha Ybhg Dato'.

3. Namun saya amat kecewa kerana penarikan atau penamatan penggantungan saya dibuat secara 'senyap - senyap' tidak semeriah seperti ketika saya digantung di mana ketika itu tanpa surat, tanpa dibacakan tuduhan atau dipanggil membela diri saya diumumkan digantung di depan media. Setelah mengetahui saya digantung saya sendiri pergi ke Ibupejabat Parti bagi meminta surat penggantungan dan saya terpaksa menunggu lama di Ibupejabat menanti surat itu disediakan, ini bermakna saya diumum digantung tanpa ada surat pergantungan pun tetapi diumum secara besar - besaran tetapi bila ditarik pergantungan kenapa secara senyap ?

4. Saya juga memohon untuk mengetahui adakah saya bersalah atau tidak atas tuduhan yang dikenakan ke atas saya di mana saya hadir membela diri serta mengikut semua prosedur yang ditetapkan. Jika saya tidak bersalah adakah adil saya dikenakan penggantungan (hukuman) tanpa saya bersalah atau dikenakan hukuman dahulu tanpa saya dipanggil membela diri.

5. Untuk pengetahuan Dato' Pengerusi Lembaga Disiplin, surat tuduhan dan proses tuduhan yang dikenakan ke atas saya sehingga saya hadir membela diri ternyata berbeza alasan tuduhan nya dengan surat penarikan penggantungan yang saya perolehi ? Saya faham Dato' merupakan Pengerusi Lembaga Disiplin yang baru malah tidak terlibat dalam proses lepas tetapi adakah Pengerusi lepas tidak membuat sistem file untuk diwariskan atau file - file disiplin lama dihilangkan demi melindungi sesuatu ?

6. Di sini saya juga bangkitkan perihal aduan - aduan yang saya bangkitkan malah ketika pemilihan saya membuat berpuluh aduan berbayar . Apakah status aduan saya dan jika disiasat apa keputusannya dan adakah saya boleh mendapatkan semula yuran yang saya buat tempoh hari ?

7. Saya mohon maaf Dato' Pengerusi Lembaga Disiplin kerana menulis kenyataan terbuka ini. Ini kerana untuk membela diri saya kerana selepas aduan dan saya dikenakan tindakan disiplin seolah semua disapu ke bawah karpet. Keadilan ialah asas perjuangan parti yang kita bina bersama, berilah keadilan untuk anggota sendiri dahulu sebelum melaungkan keadilan di luar sana.

8. Apa pun saya menyambut baik penarikan penggantungan saya dan saya akan gunakan ruang ini untuk terus memperjuangkan negara perubahan yang sama kita citakan.

Sekian dan terima kasih.

cheGuBard
Anggota Seumur Hidup
PKR Cabang Rembau



Sila kongsi artikel ini...

Perhimpunan Aman BERSIH 4.0 Penting Untuk Pertahakan Kuasa Moral Rakyat - Mat Sabu

10:43 PM 0 Comments A+ a-



PERHIMPUNAN AMAN BERSIH 4.0 PENTING UNTUK PERTAHAN KUASA MORAL RAKYAT.

1. Negara kita sedang berhadapan dengan pelbagai skandal yang sangat menjolok mata, pembohongan melampau, pemerkosaan hak rakyat, dan salah urus kekayaan negara, seolah tiada lagi batasnya.

2. Pemimpin negara bertindak sesuka hati, para pegawai pelaksana undang-undang disingkir, suara yang menegur diugut dan ditekan, dan rakyat dibohongi saban hari.


3. Ekonomi negara pula sangat tenat. Nilai Ringgit merudum tiada kawalan. Harga rumah, barang keperluan harian, dan kos perniagaan meningkat di luar tahap kemampuan kebanyakan rakyat. Sedang harta negara diratah sesuka hati oleh para penguasa. Amanah hilang entah ke mana.

4. Kebejatan ini tidak mungkin berlaku di dalam negara yang punya KUASA MORAL yang tinggi. Tetapi, kuasa moral rakyat kelihatan cuba dihakis terus. Dhamir rakyat yang masih punya kuasa moral sangat terluka dengan keadaan ini. Mereka mesti bangkit menyatakan sikap dan pendirian.

5. Gerakan Harapan Baru menyeru semua pendokong dan penyokongnya, serta seluruh rakyat negara ini, agar turut serta dalam Perhimpunan Aman Bersih 4.0, yang akan berlangsung pada 29hb hingga 30hb Ogos ini, bermula jam 2.00 petang di ibu negara.

6. Himpunan ini sangat penting bagi mempertahankan kuasa moral rakyat sekaligus demi menyelamatkan Malaysia daripada segala kebejatan yang tidak berpenghujung ini.

Amanah. Progresif. Peduli.

Hj Mohammad Bin Sabu

Pengerusi
Gerakan Harapan Baru

27 Ogos 2015.


Sila kongsi artikel ini...

Saya diwawancara oleh sebuah akhbar tadi mengenai BERSIH 4.0 - Maszlee Malik

10:27 PM 0 Comments A+ a-

oleh: Maszlee Malik

Saya diwawancara oleh sebuah akhbar tadi mengenai BERSIH 4.0. Saya yakin ia tidak akan disiarkan, atauun jika disiarkan, ia akan dikhatankan terlebih dahulu. Maka, saya siarkan di sini untuk manfaat bersama:


1) Islam benarkan demonstrasi untuk luahkan perasaan secara aman...bagaimana cara yang sepatutnya....

Jawapan: Meluahkan perasaan secara kolektif merupakan fitrah manusia, terutamanya manusia bertamadun. Meluahkan perasaan termasuk juga menyokong, menzahirkan dokongan, menyambut kepulangan orang yang disayang, pemimpin, ataupun orang-orang yang mempunyai tempat di dalam hati kumpulan atau masyarakat, ataupun melahirkan bantahan ataupun pendapat yang berlainan. Isunya bukan boleh atau tidak berdemonstrasi, kerana di dalam Islam, sebarang perbuatan selain amal ibadat khusus adalah harus dan tidak memerlukan dalil untuk menunjukkan kebenarannya, selagimana tiada dalil yang mengharamkannya. Para ulama Usul al-Fiqh mengatakan: "Hukum asal bagi sesuatu perkara (yang tidak disebutkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah) adalah harus selagimana tidak menhalalkan yang jelas-jelas haram, ataupun mengharamkan yang jelas-jelas halal."

Malah masyarakat berkumpul untuk menzahirkan perasaan acapkali berlaku di zaman Nabi SAW. Sebagai contoh, sambutan penduduk Madinah menyambut kedatangan Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah dari Mekah. Perarakan penduduk Madinah ketika menyambut kelahiran Abdullah bin Zubair, ataupun penzahiran kekuatan kaum Muslimin dengan bertawaf sekeliling kaabah di Makkah sewaktu Saidina Omar memeluk Islam. Kesimpulannya, perbuatan seperti demonstrasi tidak diharamkan samada di dalam al-Quran mahupun Sunnah.

2) Bagaimana cara nak imbang antara mudarat di sebalik demonstrasi seperti gangguan kepada peniaga di sekitar tempat demokrasi?

Jawapan: Demonstrasi sering membawa keuntungan bagi para peniaga. Logiknya apabila ramai orang berhimpun, semakin ramai pelanggan yang akan datang membeli barang berbanding hari-hari biasa. Pokoknya, janganlah pihak berkuasa memomokkan demonstrasi dengan menyamakannya seperti pemberontakan ataupun rusuhan. Itu isu lain. Perhimpunan aman adalah satu peluang untuk para peniaga mendapat pelanggan yang lebih ramai berbanding hari-hari lain.

Pihak berkuasa juga janganlah memprovokasi para demonstran ataupun menangkap mereka sesuka hati. Kita perlu belajar cara para anggota keselamatan di negara-negara maju seperti Amerika, UK, negara-negara Eropah, Jepun, Korea Selatan dan lain-lain lagi di dalam membantu para demonstran agar demonstrasi berjalan lancar dan tidak menganggu trafik. Kekecohan demonstrasi hanya berlaku apabila ada pihak yang membuat provokasi. Dalam kes ini rakyat Malaysia, samada para demonstran mahupun pihak anggota keselamatan perlu saling hormat menghormati, tolong menolong dan berusaha memastikan keamanan terjaga.

3) Kerajaan tidak boleh halang hak rakyat utk melepaskan perasaan...pada pandangan doktor apa tindakan yang boleh dilakukan kerajaan dalam menangani isu ini..seperti membenarkan demontrasi dilakukan dalam tempat tertutup seperti stadium..

Jawapan: Kerajaan perlu mengambil sikap seperti kerajaan negara-negara maju. Bersikap gentleman. Bersedia mendengar suara rakyat. Sikap gentleman ini akan membuatkan rakyat lebih menghormati kerajaan dan menyayangi mereka walaupun ada isu yang mereka tidak bersetuju.

Kerajaan tidak perlu bimbang, Rakyat Malaysia tidak akan memberontak ataupun melancarkan revolusi seperti di negara-negara Arab dan Afrika. Rakyat kita mempunyai kerjaya dan urusan rumah masing-masing. Mereka akan balik ke rumah setelah penat, dan panas. Rakyat Malaysia juga cukup makan dan tidak kelaparan seperti rakyat dunia ketiga yang menjadikan demonstrasi sebagai wahana pemberontakan. Memberontak bukan budaya rakyat Malaysia.

Adapun stadium, biarlah ia hanya untuk sukan dan konsert...ataupun ceramah agama mega.

4) Bersih dilakukan sebab protes kepada kerajaan...adakah kerajaan perlu menjelaskan keadaan sebenar kepada rakyat dalam masa terdekat?

Jawapan: Protes menunjukkan rakyat semakin matang dan cerdik. Jika kerajaan menghalang, akan nampak kerajaan pula yang tidak matang dan tidak cerdik. Sebaliknya pula, jika kerajaan membenarkan dan tidak menganggu, kerajaan akan dilihat sebagai berani, tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan, malah orang yang berdemonstrasi pun akan respek kepada kerajaan.

Tambahan pula, rakyat akan lebih kagum lagi jika PM sendiri turun melihat dan memberikan ucapan bahawa dia mendengar segala keluhan rakyat dan akan cuba memperbaiki keadaan, tetapi rakyat hendaklah bersama beliau dan membantu...saya yakin jika PM buat seperti ini, populariti beliau akan melonjak dan peserta Bersih akan kagum terhadap beliau!

Tiada PM di Malaysia yang berani seumpama itu sebelum ini, berbanding dengan pemimpin negara-negara maju...mereka lebih gentleman dan berani.


Sila kongsi artikel ini...

Patutkah Saya ke BERSIH? - Alang Ibn Shukrimun

9:50 PM 0 Comments A+ a-



PATUTKAH SAYA KE BERSIH?

Sebagai anak muda, izinkan saya berkongsi sedikit rasa. Bukan untuk menyibuk bukan untuk nama, tapi kerana memikirkan masa depan negara.

Rasanya golongan seperti sayalah yang paling teruja untuk berdemonstrasi. Gelojak jiwa muda yang mahukan sebuah kebebasan, perhatian dan keberanian memang tidak boleh dipisahkan dengan demo dan tunjuk perasaan. Lagi banyak perhatian, lensa kamera dan liputan, lagi gila anak muda untuk beraksi. Jiwa orang muda mahu tunjuk pada dunia, bahawa kami juga ada bisa.

Saya tidak berkesempatan menyertai Bersih dan Bersih 2.0 kerana masih berada di luar negara. Tetapi waktu itu saya mengikuti perkembangan Bersih dengan penuh teliti. Kami di sana berpakat memakai kuning hari tersebut walaupun berada jauh dari Malaysia untuk turut beroongsi rasa. Pada Bersih 3.0 (Bersih paling ganas), saya antara yang berada di saf paling hadapan berdepan kejahatan FRU.

Semasa FRU mula bertindak ganas, ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri. Tapi saya cuma berselindung sekejap menstabilkan diri. Sesak nafas dan pedih kulit dek bom asap sedikit mengganggui. Namun selepas itu saya keluar kembali mendadai FRU umpama medan perang viking. Beberapa kali saya dan anak muda lain hampir dilanggar oleh trak water cannon. Beberapa kali juga belatan singgah di badan dan kepala. Kami hanya mengelak dan menyerang dengan suara. Namun masa itu langsung tak terasa apa. Malah bangga dan rasa hebat pula. Mati tidak lagi jadi penghalang. Seolah Izrail pun mahu dicabar.

Walaupun FRU berulang kali melaung arahan bersurai, kami tetap tidak berganjak. Sesekali kami membaling kembali bom asap. Atas semangat 'duduk bantah', kami duduk melintang jalanraya bagi menghalang pergerakan trak watercannon. Saya bersama beberapa anak muda lain mencapai kayu yang bersepah di jalanan buat pendinding diri andai cuba dibantai polis. Ada yang sampai cuba panjat atas trak dan ada juga yang melawan bantaian polis.

Sakit. Penat. Bahaya. Namun ianya satu pengalaman yang sangat menyeronokkan. Catatan penuh pengalaman itu ada saya kongsikan dalam buku Melirik Langit Kota terbitan Jundi Resources. Saya tak akan lupa peristiwa ini sampai bila-bila.

Saya tahu ramai anak-anak muda yang mahu saat-saat berperang sebegitu berulang. Bagi saya ini biasa. Orang muda sukakan cabaran. Lagi dilarang lagi semangat. Pasca Bersih, lebih sebulan kami berkongsi pengalaman setiap kali berjumpa. Terkadang datang juga bisikan di hati, aku berdemo demi Allah atau demi haloba.

Saya yakin perasaan ini dikongsi hampir keseluruhan anak muda yang independent. Malah mereka hampa seandainya polis memberikan kebenaran untuk mengadakan himpunan. Pasti mereka tidak dapat beraksi ala-ala gangster di panggung wayang. Saya masih ingat sewaktu Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) yang mendapat permit untuk diadakan di stadium, ramai kawan-kawan yang bersama dalam Bersih 3.0 tidak mahu hadir. Kalau hadir pun pulang awal.

Namun kini saya berfikir sendiri, apakah betul tindakan saya itu? wajarkah keadaan demikian berulang lagi? Apakah itu akan mencapai tuntutan bantahan? Apa untungnya perkara tersebut kepada matlamat perjuangan kita? Bagaimana pula kesan selepas kejadian seperti itu?

Saya masih percaya jalanan merupakan medan yang ampuh untuk mendesak kerajaan, setelah cara damai dan sembunyi tidak berhasil. Kerajaan yang hipokrit dan pekak hanya perlu diajar dengan laungan keramat. Syarak juga membenarkan protes sebegini dengan garis syarat yang ditetapkan. Namun demonstrasi sepatutnya tidak lari dari matlamat asal, iaitu mengemukakan tuntutan kepada awam agar dunia tahu kita kesusahan.

Sekiranya berlaku sebarang perkara lain, maka ia akan mencacatkan dan memburukkan demonstran. Bukan sahaja matlamat asal digelapkan, malah kita pula dituduh menghuru-harakan negara.

Lebih malang, apabila demonstrasi hari ini menjadi senjata kuasa besar dunia dalam melemahkan kebangkitan Islam. Kebangkitan rakyat menuntut keadilan dieksploitasi dan dimanipulasi menjadi rusuhan yang akhirnya membawa kepada kekacauan tak berkesudahan. Dalam kemarahan rakyat, mereka cetuskan provokasi supaya yang marah hilang arah lalu bertindak ganas.

Kebangkitan di Mesir, Syria, Libya dan Yemen menjadi bukti eksploitasi berlaku. Demonstrasi yang asalnya menuntut keadilan bertukar jadi medan berdarah dan konflik kepentingan kumpulan. Barat pantas belajar dari kealpaan mereka menangani revolusi Iran dan Tunisia.

Mesir jadi eksperimen pertamanya melancarkan perang proksi. Syria menjadi medan utama sekarang dengan bertopengkan ISIS. Yaman pula mengekor rapat perkembangan Syria walaupun provokasi pertama menggunakan Houthi tidak berhasil. Kesemuanya berpunca dari demonstrasi yang tidak terkawal. Kalau boleh mereka mahu semua negara yang boleh mengancam kepentingan barat jadi huru hara.

Saya cukup bimbang. Dalam keadaan Malaysia yang tenat, tekanan hidup yang semakin merempatkan rakyat, barat cuba mengambil peluang dari perhimpunan ini untuk memanjangkan cerita. Ditambah sinaran cahaya Islam yang semakin terang di ufuk timur ini, pasti penguasa barat tak akan duduk diam. Sekarang pun mereka sudah masuk campur konflik politik negara. Wakil Amerika baru saja datang berjumpa setiap parti politik utama negara. Obama pula dijadualkan September ini. Sebuah badan pembiaya keganasan milik Amerika, NED turut dikaitkan dengan Bersih. MH370, MH17 semuanya adalah misteri melibatkan negara berkuasa veto PBB.

Saya kasihankan rakyat yang menderita. Saya kasihankan anak muda yang tertipu dengan propaganda maya.
Saya sedih melihat bangsa terus diguna talibarut musuh demi kuasa yang dicita.

Saya juga kasihan para anarkis sosialis diperkuda kapitalis.
Saya turut gusar apabila pihak asing cuba mencampuri kedaulatan negara.

Saya juga mahukan keadilan. Saya juga mahukan pilihanraya yang bersih. Saya juga marah dengan sikap kerajaan hari ini. Tapi tindakan kita perlu bijak dan berilmu, bukan pemarah dan melulu. Kita tak mahu Malaysia senasib Syria dan Yaman. Dalam keadaan mata musuh sedang memerhati peluang memporakperandakan umat Islam, langkah kita harus waspada.

Saya tak berani jamin himpunan ini bebas dari perkara tak diingini. Jika dulu, saya yakin peserta akan berhemah kerana Unit Amal turut serta mengawal tingkah peserta. Kepimpinan PAS juga menjadi kepala. Puluhan ribu ahli PAS diajar patuh kepada ketua. Orang ramai dipesan supaya bersahaja. Perjalanan dan tentatif himpunan juga dijelaskan awal supaya mudah peserta menghalang sebarang tindakan songsang. Walaupun polis mengancam, namun kita yakin peserta tidak boleh berlaku sebarangan. Disiplin dititikberatkan.

Himpunan kali ini, Unit Amal bukan perancang. Hanya dijemput untuk membantu. Pimpinan PAS tidak dipanggil berbincang dari awal. Keputusan penganjuran tidak melibatkan persetujuan PAS. Ditambah dengan sikap penganjur yang lebih liberal, membawa pemikiran bebas dan tidak terikat dengan apa-apa arahan, tidak mementingkan aspek patuh kepada kepimpinan, saya amat khuatir keadaan akan berlaku di luar kawalan.

Saya tidak menghalang sesiapa untuk pergi. Mereka bebas memilih. Tapi bagi saya, kemungkinan untuk berlaku perkara luar kawalan adalah lebih tinggi. Risiko ini boleh menggadai keselamatan negara. Saya tak mahu melihat Malaysia porak peranda dengan mainan licik politikus antarabangsa.

Namun saya yakin, sinar itu pasti muncul jua. Walaupun tidak dengan perhimpunan ini, pemerintah yang jahat pasti akan dihukum Allah segera. Mereka kini sudah porak peranda. Hanya perlu satu dua hembusan lagi untuk mereka tumbang tak bernyawa. Tinggalnya kita, kawal diri supaya jangan terlajak. Jangan gadaikan puluhan tahun perjuangan orang terdahulu hanya dengan sikap gopoh kita. Ambillah cara yang lebih terkawal, matang dan berkesan. Jalanraya ada manfaatnya. Tapi ia juga sangat bahaya.

Anak muda adalah masa depan negara. Perlulah tahu mainan politik dunia. Jangan sekadar jadi lembu marah yang mudah ditipu matador. Corakkan negara dengan lebih matang dan bijaksana. Kita perlu idea, bukan emosianal semata.

Sekali lagi saya nyatakan, saya bukan Zahra, tapi sayangkan Malaysia.

(Alang Ibn Shukrimun)




s


Sila kongsi artikel ini...

Akta Perhimpunan Aman 2012 - Zulhazmi Shariff

9:30 PM 0 Comments A+ a-



AKTA PERHIMPUNAN AMAN 2012 yang diwartakan pada 9 Februari 2012 mempunyai 27 peruntukkan yang mana tidak ada satu pun peruntukkan memberikan kuasa kepada Polis DiRaja Malaysia untuk menghalang sebarang perhimpunan aman.

Kuasa Polis DiRaja Malaysia hanya sekadar mengenakan sekatan dan/atrau syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi oleh penganjur perhimpunan seperti yang diperuntukkan di dalam Seksyen 15 Akta Perhimpunan Aman 2012.

Kenyataan Polis bahawa perhimpunan BERSIH 4.0 adalah tidak mengikut undang-undang dan tidak dibenarkan adalah bertentangan dengan Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana Akta tersebut memberikan hak kepada warganegara Malaysia berhimpun.


BERANI BERUBAH

ZULHAZMI SHARIFF
27082015



Sila kongsi artikel ini...

Kenyataan rasmi PAS Johor berhubung dengan perletakan jawatan pimpinan Sri Gading

9:14 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan rasmi PAS Johor berhubung dengan perletakan jawatan pimpinan Sri Gading

PAS kawasan Sri Gading merupakan beberapa kawasan yang telah dikenalpasti oleh PAS negeri sedang bermasalah dalam perlaksanaan amanah PAS negeri. Kemuncak yang diraikan ialah dengan perletakan jawatan pimpinan kawasan yang tidak lagi sehaluan dengan dasar PAS pada 25hb Ogos yang lalu.
Satu lawatan Dewan Harian PAS Johor ke kawasan Sri Gading yang diketuai oleh Dato' Pesuruhjaya telah dilakukan pada 26/8/2015. Sokongan akar umbi dengan kehadiran hampir 100 orang pimpinan cawangan yang masih istiqamah dengan dasar PAS menunjukkan bahawa PAS kawasan Sri Gading masih mantap dan pimpinan PAS negeri cukup optimis dengan perubahan pimpinan yang akan berlaku nanti


Buat sementara waktu, pengurusan PAS kawasan Sri Gading akan dikawal selia oleh PAS Pusat dengan kerjasama PAS negeri. Insyallah Jawatankuasa Urus Tadbir Sementara akan dibentuk dalam masa terdekat ini bagi melicinkan pengurusan PAS kawasan yang telah terbantut itu.

'ISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN'

Dr Mohd Mazri Yahya
Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor


Sila kongsi artikel ini...

Bersih 4.0: Tiada kerahan ahli ARC untuk hadir

8:57 PM 0 Comments A+ a-



Bersih 4.0: Tiada kerahan ahli ARC untuk hadir

Berhubung dengan Himpunan Bersih 4.0 yang akan diadakan pada 29-30 Ogos 2015, ARC Malaysia mengambil ketetapan bahawa TIADA kerahan untuk ahli-ahlinya di seluruh Malaysia untuk menghadirkan diri.

Walau bagaimanapun ARC Malaysia tidak menghalang ahlinya daripada hadir di atas kapasiti peribadi. Namun begitu mereka dilarang sama sekali memakai baju rasmi ARC atau mana-mana baju yang mengandungi logo rasmi ARC.


Semua ahli diseru untuk menghayati semangat perjuangan kemerdekaan, menghargai keharmonian dan terus istiqamah hingga kemenangan hakiki.

Wan Ahmad Ridzuan Wan Hussin
Presiden ARC Malaysia



Sila kongsi artikel ini...

PROGUAM Bersama BERSIH 4.0

8:30 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

PERTUBUHAN PENGAMAL UNDANG-UNDANG & HAK ASASI MANUSIA MALAYSIA (PROGUAM)

BERTARIKH: 27 OGOS, 2015

PROGUAM BERSAMA BERSIH 4.0

Latar Belakang Ringkas ProGuam

ProGuam merupakan NGO yang berdaftar dengan ROS dan terdiri daripada para peguam, ahli akademik, pegawai undang-undang dan lain-lain ahli yang mempunyai pelbagai latar belakang perundangan sivil atau syariah; termasuk yang berlainan latar belakang politik termasuk daripada Pas, Pkr dan Dap. Malah, kita juga telah menerima penyertaan rakan-rakan Peguam daripada Ikram di mana kesemua Ahli yang telah berdaftar dengan ProGuam kini berjumlah 100 orang dari seluruh Negara.

Penubuhan ProGuam tercetus berdasarkan inisiatif peguam-peguam yang cintakan undang-undang serta perjuangan hak asasi manusia tanpa mengira latar belakang politik.

Buat masa ini, penggerak utama ProGuam adalah terdiri daripada bekas-bekas ahli jawatankuasa JUHAM (Jabatan Undang-undang & Hak Asasi Manusia, Pemuda Pas Malaysia) yang telah tersedia mempunyai rekod keterlibatan mereka dengan pelbagai kes-kes perundangan yang berkaitan dengan hak asasi manusia seperti Bersih 1.0 hingga Bersih 3.0, Gerakan Mansuhkan ISA, kes-kes tangkapan di bawah SOSMA sehinggalah yang terkini kes tangkapan melibatkan mahasiswa yang berhimpun di hadapan Parlimen pada 25 Ogos yang lalu.

Semalam, 26 Ogos, saya dan rakan-rakan ProGuam yang lain telah mewakili 4 orang daripada 16 orang mahasiswa yang terlibat dalam prosiding reman terbabit di mana 3 orang daripadanya adalah mahasiswa PAS dan seorang daripadanya adalah dari Anak Muda Harapan Baru.

ProGuam for Bersih 4.0

Pertubuhan Pengamal Undang-undang & Hak Asasi Manusia Malaysia (ProGuam) menyatakan sokongan kepada penganjuran Bersih 4.0.

Sebagai komitmen ProGuam kepada Bersih 4.0, ProGuam menyediakan 80 orang Peguam yang akan berkhidmat sepanjang penganjuran Bersih 4.0 tersebut.

Peguam-peguam ProGuam akan ditugaskan ke lapangan iaitu di tempat perhimpunan tersebut bagi tujuan memantau dan juga akan ke lokap-lokap atau balai bagi tujuan prosiding reman sekiranya berlaku tangkapan.

ProGuam dengan ini melancarkan tiga nombor Hotline bagi membolehkan para peserta Bersih 4.0 hubungi sekiranya berlaku tangkapan:

017-394 1559

017-394 1561

017-303 2591

Nombor-nombor di atas akan mula diaktifkan bermula jam 8.00 malam pada 28 Ogos 2015.

ProGuam dengan ini juga melancarkan panduan ringkas undang-undang untuk tatapan dan panduan kepada para peserta Bersih 4.0 khususnya berkaitan hak-hak peserta sekiranya ditahan oleh pihak Polis. Panduan ringkas ini akan diviralkan melalui media-media baru seperti Facebook, Twitter, Whatsapp dan lain-lain untuk kemudahan orang ramai.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan ProGuam, Bersih 4.0 atau lain-lain hal yang berkaitan perundangan, orang ramai boleh layari laman facebook Proguam iaitu dihttps://www.facebook.com/proguam

Bersih 4.0 Bergiat Secara Tidak Sah?

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim melalui kenyataannya sepertimana yang disiarkan di Berita Harian pada 25 Ogos baru-baru ini telah menyatakan bahawa Bersih 4.0 telah bergiat secara tidak sah.

ProGuam ingin menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Julai, 2012 telah pun membuat keputusan mengenepikan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri bahawa Bersih adalah pertubuhan haram. Malah, keputusan Mahkamah Tinggi tersebut tidak pun dirayu dan masih kekal hingga kini. [Sila rujuk kes Dato' Ambiga Sreenevasan & Ors v Menteri Dalam Negeri & Ors; Semakan Kehakiman No: R2-25-165-2011].

Justeru, ProGuam menegaskan bahawa kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri di atas adalah bertentangan dengan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut serta boleh mengundang rasa kebimbangan yang tidak berasas kepada masyarakat. ProGuam percaya kenyataan ini lebih kepada ingin menakut-nakutkan rakyat daripada hadir menyertai perhimpunan aman terbabit.

Seharusnya, pihak berkuasa seperti KDN dan PDRM sama-sama berganding bahu bagi memastikan perjalanan Bersih 4.0 tersebut berjalan dengan aman dan tanpa sebarang provokasi. Secara tidak langsung, ia boleh memartabatkan imej Negara sebagai Negara yang mendaulatkan hak-hak demokrasi dan hak-hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, ProGuam ingin menyeru kepada rakyat Malaysia untuk tidak berasa takut selagimana hak-hak anda dijamin oleh undang-undang.

NOORAZMIR ZAKARIA
PRESIDEN PROGUAM



Sila kongsi artikel ini...

Jabatan Amal Negeri Selangor TIDAK akan mengeluarkan arahan kerahan tenaga petugas untuk Bersih 4.0

8:10 PM 0 Comments A+ a-


Jabatan Amal Pandan

 Amal Negeri Selangor mengambil ketetapan bahawa Jabatan Amal Negeri Selangor TIDAK akan mengeluarkan arahan kerahan tenaga petugas untuk Bersih 4.0 seperti mana penetapan dan arahan dari Pimpinan Parti.

Jabatan Amal Negeri Selangor akan memantau dan mengambil tindakan tegas jika didapati mana-mana anggota memakai pakaian seragam Jabatan Amal Malaysia (JAM) atau mana-mana pakaian yang menyerupai dan mempunyai logo JAM semasa himpunan ini diadakan.
Jabatan Amal negeri Selangor dengan ini, juga manyatakan sokongan kami terhadap Bersih 4.0 atas desakan terhadap penambahbaikkan dalam sistem pilihanraya Negara.
Untuk makluman semua, Jabatan Amal Negeri Selangor kini sedang bersiap sedia untuk menggerakkan Seluruh anggota dalam merealisasikan Kongres Rakyat yang akan berlansung pada 12 September 2015 di Shah Alam nanti.
Beristiqomah Hingga Kemenangan

Ustaz Hanafi Zulkapli
Pengarah jabatan Amal Negeri selangor.
26 Ogos 2015


Sila kongsi artikel ini...

Tanggungjawap Anggota Polis Dan Keselamatan Melindungi Perhimpunan BERSIH 4 - Rafizi Ramli

7:54 PM 0 Comments A+ a-



TANGGUNGJAWAB ANGGOTA POLIS DAN KESELAMATAN MELINDUNGI PERHIMPUNAN BERSIH4

Saya kecewa dengan kenyataan-kenyataan Datuk NurJazlan Mohamad, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang baru yang seolah-olah mahu menakut-nakutkan rakyat supaya tidak menyertai Perhimpunan BERSIH4. Kenyataan beliau yang dipetik media turut menyebut tentang kewujudan anasir yang kononnya ingin menimbulkan huru-hara.

Hari ini juga, saya terkejut dengan kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang akan menyekat laman-laman yang mempromosikan BERSIH4.

Ini ditambah pula dengan kenyataan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zulkifeli Mohd Zin yang menyebut bagaimana pihak tentera akan mengambil alih sekiranya kerajaan mengumumkan darurat.

Tindakan dan kenyataan-kenyataan ini adalah keterlaluan dan tidak membantu memastikan satu perhimpunan rakyat yang aman sedangkan BERSIH4 adalah satu perhimpunan yang menepati hak rakyat seperti yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan. Malah, keputusan-keputusan mahkamah dengan jelas menegaskan berkali-kali bahawa Perhimpunan BERSIH adalah sah di sisi undang-undang mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, saya menyeru supaya pihak berkuasa baik Kementerian Dalam Negeri, SKMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya bertenang dan tidak membuat kenyataan atau tindakan yang boleh mengganggu kelancaran Perhimpunan BERSIH4. Pengalaman sebelum ini dari perhimpunan BERSIH yang pertama hingga BERSIH3 menunjukkan bahawa ratusan ribu rakyat akan tetap turun ke jalan raya di sekitar Kuala Lumpur untuk melahirkan pandangan mereka selaras dengan hak mereka di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak kira apa tindakan atau sekatan yang diambil oleh pihak berkuasa.

Oleh yang demikian, demi kesejahteraan rakyat dan keselamatan peserta Perhimpunan BERSIH4 yang turun mengikut peruntukan undang-undang, adalah lebih baik sekiranya pihak berkuasa mengambil langkah membantu kelancaran perhimpunan ini. Kenyataan atau tindakan yang cuba menyekat rakyat dari turun tidak akan berkesan dan hanya menimbulkan ketegangan yang tidak diperlukan dalam keadaan rakyat sudah matang mengenai hak mereka berhimpun secara aman.

Saya juga ingin mengingatkan setiap anggota polis dan keselamatan yang bertugas sepanjang Perhimpunan BERSIH4 ini bahawa kami berhimpun demi memperjuangkan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak mereka juga:

1. Supaya anggota polis/keselamatan dan anak-anak mereka tidak perlu dibebankan dengan cukai GST dan tekanan ekonomi yang mendesak kehidupan mereka

2. Supaya anggota polis/keselamatan dan anak-anak mereka dapat hidup dalam sebuah negara yang menghormati undang-undang


3. Supaya anggota polis/keselamatan dan anak-anak mereka berkerajaankan pimpinan yang tidak makan rasuah dan menyeleweng wang rakyat


Saya yakin sahabat-sahabat dari kalangan anggota polis dan keselamatan akan bertindak profesional sepanjang Perhimpunan BERSIH4 untuk melindungi keselamatan dan hak peserta seperti amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

27 Ogos 2015


Sila kongsi artikel ini...

Alkisah Emas yang Hilang - Tuan Ibrahim Tuan Man

6:08 PM 0 Comments A+ a-



Alkisah emas yang hilang

Abu seorang merupakan CEO koperasi emas yang dilantik 5 tahun sekali melalui undian ahli-ahli.

Ketika pengurusannya, Abu menubuhkan satu anak syarikat pelaburan di bawah koperasi yang menggunakan jaminan emas koperasi untuk mendapatkan pinjaman untuk memulakan aktiviti pelaburan.


Kerana beberapa keputusan yang merugikan seperti membeli berjuta batu biasa yang dijamin nilainya seperti emas di satu pulau, koperasi kini perlu menanggung bebanan hutang anak syarikat pelaburan itu.

Melihat popularitinya menjunam dan pemilihan koperasi semakin dekat, Abu memikirkan masa depannya - di mana jika dia tewaspun dia masih mempunyai kekayaan untuk bersara.

Beberapa bulan sebelum pemilihan, Abu telah memindahkan 2600kg emas daripada anak syarikat pelaburan yang rugi ke rumahnya tanpa pengetahuan sesiapa termasuk timbalan CEO koperasi sebagai modal kempen dan jaminan masa depan sendiri sekiranya Abu tewas.

Namun, Abu menang.

Kerana bisikan syaitan, Abu menjadi tamak dan bertindak terus menyimpan 2600kg emas yang diambilnya daripada koperasi.

Satu hari, terbongkar rahsia rumah Abu mempunyai 2600kg emas. Abu diam seribu bahasa. Namun, tekanan demi tekanan yang dibangkitkan ahli menyebabkan Abu terpaksa menjawab.

"Itu derma dari seorang kaya yang inginkan saya terus menerajui koperasi," terang Abu.

Timbalan CEO koperasi terkejut beruk dengan penjelasan Abu lalu menyoalnya secara terbuka. Apabila keadaan menjadi hangat, Abu mengambil tindakan memecat Timbalan CEO.

Kini, syarikat koperasi hilang keyakinan ahli-ahli dan juga para pelabur. Nilai emas yang dijualnya makin tidak bernilai di pasaran. Bukan itu sahaja, koperasi masih perlu menanggung kerugian anak syarikat pelaburannya.

Namun begitu, Abu tidak peduli asalkan tiada siapa yang dapat menuduhnya mengambil 2600kg emas dari koperasi menerusi anak syarikat pelaburannya. Keinginan Abu meneruskan kekuasaannya untuk menutup kesalahannys berterusan. Mereka yang tidak bersetuju dengannya di koperasi sudah dinyahkan. Siasatan terhadapnya sudah dibantutkan.

Tiada lagi siapa yang menyukai Abu. Namun, sistem yang rosak memberi kelebihan kepada Abu untuk kekal.

Apakah nasib koperasi dan wang caruman para ahli koperasi? Berapa lamakah para pengurusan koperasi akan mendiamkan diri? Apakah mereka akan menyelamatkan diri dengan membuang Abu atau menyelamatkan Abu dengan harapan koperasi tidak tenggelam bersama Abu?

Cerita tiada kaitan dengan yang hidup mahupun mati. Sekadar renungan bagi yang memahami.



Sila kongsi artikel ini...

HB Sarawak akan meletakkan calon bagi bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang

2:20 PM 0 Comments A+ a-



Sidang media

26 Ogos 2015

Harapan Baru (HB) Sarawak telah selesai mengadakan mesyuarat pemilihan Ajk bagi persediaan parti baru yang akan dilancarkan seterusnya bagi memulakan langkah dalam arus politik di Bumi Kenyalang.


Mesyuarat memutuskan dengan sebulat suara memilih saya sebagai peneraju HB negeri Sarawak dan akan dibantu oleh Ajk yang terdiri daripada berbagai bangsa dan agama serta berbagai latar belakang profesional dan aktivis.

Dalam mesyuarat itu juga bersetuju sebulat suara HB Sarawak akan meletakkan calon bagi bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.

Dun yang menjadi sasaran HB bukan hanya kerusi pengundi melayu malah kerusi majoriti bukan Islam juga menjadi sasaran.

Antara kerusi yang disasarkan HB Sarawak ialah di dun lambir, Samalaju,Semariang, Muara Tuang, kedup, Triboh, Batang Sadong, Sebuyau, Beting Maro,belawai; Dalat,demak laut dan dalat.

Namun pembahagian kerusi ini hanya akan diputuskan selepas berunding dengan rakan-rakan dari DAP dan PKR serta kelulusan dari HB pusat untuk semakan.

Kita sudah mempunyai calon yang berwibawa, berpotensi serta bersedia untuk di letaklan di kawasan fokus tersebut.Rata-ratanya adalah dikalangan anak tempatan yang sudah tentu diberi keutamaan.

GHB Sarawak percaya bahawa sampai masanya untuk rakyat Sarawak memilih alternatif yang lain selain Barisan Nasional (BN) yang gagal memperbaiki sosio ekonomi, taraf pendidikan dan kehidupan penduduk khususnya mereka yang tinggal di luar bandar.

Seiring dengan kepercayaan kita dalam sebuah Persekutuan yang bersatu padu, kita juga dapat membantu menangani isu-isu kebangsaan dan antarabangsa yang membabitkan rakyat dan negara kita.

Kami akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat ini untuk memberikan gambaran secara lebih terperinci.

Andri Zulkarnaen Hamden @ hud abusiraj almuner

Pengerusi HB Sarawak
26 Ogos 2015


Sila kongsi artikel ini...

Sekilas Pandang Komiti Baru Ekonomi Najib- Wan Ahmad Fayhsal

1:55 PM 0 Comments A+ a-



SEKILAS PANDANG KOMITI BARU EKONOMI NAJIB



Rata-rata ini adalah team Tun Mahathir yang troubleshoot 1998 dan Danamodal/Danaharta.

Saya ada kepercayaan kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. Beliau insan yang bertanggungjawab bawa saya keluar daripada PETRONAS dan dibawa masuk ke Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Jabatan Perdana Menteri 3 tahun lalu sewaktu beliau Menteri EPU dalam kabinet Pak Lah.


Tahun lalu dalam satu persidangan ekonomi Tan Sri Nor "lamented" akan kesan "financialization" ke atas "real economy". Menjadi "bankers" lebih mulia dan menggiurkan berbanding productive workers seperti Engineer, Doktor dan lain-lain. Beliau ada perspektif yang menarik tentang ekonomi dan dunia kewangan seperti dibuktikan dalam buku "Notes to Prime Minister" yang menceritakan bagaimana beliau membantu Tun Mahathir mengukuhkan ekonomi negara ketika 1997-1998. Beliau juga yang bantu Tun Mahathir untuk pulihkan ekonomi negara "aftermath" kepada 1997.

Cuma saya musykil, dimana ulama' yang arif dan pakar dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam dan Fiqh al-Mu'amalah? Mana Daud Bakar? Mana Asyraf Wajdi? Mana Dr Mohammed Khalid dari Khazanah Research Institute?

Juga dari segi "economic school of thought", mana pemikir political economy Marxis yang arif dalam teori aliran modal - masalah sebenar disebalik krisis kewangan dunia kini?

Mana wakil Austrian school yang boleh berhujah bawa perspektif money creation disebalik "boom and bust cycle" dan "inequality"?

Takkan semua pakar ekonomi neo-classical dan bankers saja?

Tapi kita tahu masalah sebenar boleh diselesaikan dengan menukar Menteri Kewangan dan Perdana Menteri. Faktor luaran kita boleh kowtim dengan BRICS nanti.

Tapi itupun kalau ada Pak Menteri yang mampu fikir macam Tun Mahathir la dengan dasar geopolitik yang bukan Anglo-Amerika.






Sila kongsi artikel ini...

Masa saya berkuasa untuk menandatangan pinjaman TEKUN ... - Zaharin Mohd Yasin

1:07 PM 0 Comments A+ a-

oleh:
Zaharin Mohd Yasin

Masa saya berkuasa untuk menandatangan pinjaman TEKUN, ramai rakyat dan peniaga minta sokongan. Semuanya saya sokong selepas saya menemuduga mudah, bagaimana pun saya memberi tahu kepada pegawai TEKUN, surat sokongan saya bukan mutlak kelulusan dari UMNO sebaliknya TEKUN kena memutuskan secara adil dan profesional, jika ada di tolak berikan 'sebabnya'. Biasanya saya terima jawapan TEKUN kenapa di tolak permohonan sokongan saya.

Begitu juga sepatutnya berlaku dalam agensi Kerajaan khasnya UKAS@unit kerjasama awam dan swasta, walau pun ada seseorang penender masuk tender kerajaan dan ada hubungan rapat dengan Perdana Menteri meminta surat sokongan Perdana Menteri, apa ayat sekali di tulis dalam minit itu, sepatutnya UKAS bertindak Profesional dan ketelusan.

Dalam kes tender Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.. Vincent Tan dari Berjaya Group minta sokongan PM Najib dan PM Najib membuat surat dan minit sokongan.. Dan itu perkara biasa seorang Perdana Menteri memberikan sokongan atau minit kepada Menterinya, Jabatan dan Agensi Kerajaan.. Tidak menjadi salah.

Yang menjadi salah ialah bila minit Perdana Menteri digunakan sebagai alasan itu memberi tender itu walau pun tidak mengikut prosedur tender.. Saperti yang berlaku dengan Berjaya Group. Tidak hadir dalam taklimat Tender yang di berikan oleh UKAS tetapi boleh masuk Tender dan berdasarkan surat dan minit Perdana Menteri, syarikat Vincent Tan dari Berjaya Group di tawarkan tender itu dengan harga yang tinggi dari syarikat bumiputra. Maka menjadikan bahawa UKAS yang rata-rata pegawai orang Melayu tidak peka dan prihatin kepada kepentingan syarikat-syarikat bumiputra..

Saya rasa jika di tawarkan kepada Vincent Tan atas sebab harganya murah dari syarikat bumiputra. Saya angkat tangan dan bersetuju. Di sini masalahnya.. Bila prosedur di langgar.. Harga tinggi dan bukan syarikat bumiputra. maka rakyat bertanya.kelebihan harga tinggi yang melepasi RM100 juta dari yang terendah.. Siapa makan?.

Saya tidak menyalah UKAS sahaja tetapi KSN@Ketua Setia Negara perlu disalahkan. kenapa berlakunya dua kastam.. Kastam pertama di EPU dan kastam di UKAS. Sepatutnya sebagai KSN yang beliau pernah menjadi Ketua Pengarah mesti memahami apa fungsinya UKAS, meletakan Ketua Pengarah yang tepat dan terlatih.

Sekarang rakyat memerhatikan apa keputusan UKAS dan Kerjaaan pembinaan Terminal Bas Pantai Timur dan Utara.. Adakah syarikat yang sama membina TBS?

Akhirnya... kerajaan mesti memberhentikan sistem syarikat 'DUTA' saperti GAMUDA dan MMC.. Semua projek diberikan kepadanya dan syarikat itu untong diatas angin kerana syarikat itu macam bertindak saperti DUTA@ambassador kepada MRT yang dikendalikan oleh Syarikat milik kerajaan Pasarana Sendrian Berhad yang terletak di bawah Kementerian Kewangan di Perbadanan.

Sang Kelembai: Perkataan bangsat terletak kepada pengguna ayat .. Orang Kedah sudah biasa bangsat di negara orang ia itu satu yg positif untuk berpindah atau berhijrah. Orang Negeri Sembilan.. Panggilan bangsat kepada kawan-kawan yang rapat tanda rapat bersahabat.. Jika orang Pahang gunakan perkataan 'bangsat' memberi makna menghina dan merendahkan seseorang atau satu kumpulan orang. maka siapakah yang mem'bangsat'kan orang Melayu sehingga Melayu di anggap tidak boleh dan tidak cekap mengendalikan dan melaksanakan projek.

r


Sila kongsi artikel ini...

Bangunkan Lebih Banyak Rumah Mampu Milik - Ir Khairil Nizam

10:42 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
12 Zulkaedah 1436 | 27 Ogos 2015

“Bangunkan Lebih Banyak Rumah Mampu Milik”

Dewan Pemuda PAS Malaysia tidak terkejut dengan dapatan kajian yang didedahkan oleh Khazanah Research Institute mengenai lambungan pasaran harga rumah terlalu tinggi sehingga sukar dimiliki oleh majoriti rakyat di Malaysia.

Perkara tersebut pernah dibincangkan secara serius sebelum ini sehingga ramai pihak mengunjurkan akan berlaku lambakan generasi penyewa khususnya di kawasan bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Baharu.

Pada 23 Mac lalu, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan juga telah membangkitkan isu pemilikan hartanah di kalangan anak muda kepada bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Haji Ahmad Phesal Haji Talib. Antara isu yang dibangkitkan adalah lebihan penawaran kediaman mewah sehingga meminggirkan permintaan sebenar rakyat.

Menurut satu kajian didedahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan REI, pemaju-pemaju di Malaysia giat membina kediaman mewah yang hanya mampu dimiliki oleh 30 peratus rakyat Malaysia. Purata hartanah mewah ditawarkan telah menjangkau sehingga 70 peratus dalam pasaran berbanding yang sewajarnya iaitu sekitar 20 peratus sahaja.

Oleh yang demikian, Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa pihak legislatif, eksekutif, pihak berkuasa tempatan dan swasta giat bersama-sama membangunkan lebih banyak perumahan mampu milik khususnya di bandar-bandar utama. Ia adalah satu keperluan utama bagi menjamin kesejahteraan dan masa depan mereka.

Dalam hal ini, kami turut mengalu-alukan iltizam Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz untuk menyediakan kira-kira 50,000 rumah mampu milik di ibu kota tersebut. Ia seharusnya menjadi agenda utama di seluruh negara.

Dewan Pemuda PAS Malaysia turut ingin mencadangkan beberapa langkah yang boleh dipertimbangkan untuk menawarkan lebih banyak perumahan mampu milik.

Pertama ialah pembangunan tanah-tanah wakaf yang boleh dimodelkan daripada projek Taman Wakaf Seetee Aisah di Seberang Jaya, Pulau Pinang. Ia adalah pusat komersial dan residen pertama yang dibangunkan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan UDA Land (North) Sdn Bhd atas tanah wakaf seluas lima hektar untuk kepentingan umat Islam.

Langkah kedua yang boleh dipertimbangkan ialah intervensi minima kerajaan terhadap nilai pasaran tanah khususnya di bandar-bandar utama. Harga rumah mampu milik sukar dibendung disebabkan spekulasi tidak terkawal nilai semasa tanah. Apakah mekanisme efektif untuk membendung spekulasi tersebut?

Sebagai contoh;
a) Purata harga sebuah unit apartmen (800 kaki persegi) di Bukit Jalil berharga RM 400,000.00
b) Purata harga sebuah unit apartmen (900 kaki persegi) di Brickfields berharga RM 600,000.00
c) Purata harga sebuah unit apartmen (900 kaki persegi) di Ampang berharga RM 300,000.00

Perbezaan ketara antara ketiga-tiga kawasan boleh dijustifikasikan namun bagaimana kerajaan ingin memastikan nilai pasaran tersebut berada dalam lingkungan yang munasabah dengan kondisi apartmen, keperluan rakyat dan ia tidak terus dispekulasikan?

Walaupun penyewaan dan pembelian rumah kediaman dikecualikan daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), namun para pemaju juga ditekan dengan beberapa cukai lain seperti setem duti, levi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia dan peningkatan kos binaan yang dikenakan GST serta kenaikan kos logistik termasuk petrol.

Bebanan ini yang disalurkan kepada rakyat yang majoritinya hanya mengecapi kenaikan paras tangga gaji yang perlahan dan menanggung kos sara hidup yang tinggi. Sudah menjadi satu kebiasaan hari ini, golongan muda berulang alik setiap hari dari Senawang, Banting, Ijok dan Tanjong Malim ke tempat kerja di Kuala Lumpur.

Kesukaran hidup telah mengherot graf keseimbangan hidup rakyat. Akhirnya, mereka sukar mengawal perasaan, tiada kesempatan untuk meningkatkan kefahaman agama dan membahagiakan rumah tangga. Walhal, Allah SWT telah berfirman dalam Surah An-Nahlu, ayat ke-80 yang bermaksud, “Allah menjadikan kamu rumah sebagai tempat tinggal (tempat ketenangan)”

Sekian, terima kasih.

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia




Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.