PROGUAM Bersama BERSIH 4.0

8:30 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

PERTUBUHAN PENGAMAL UNDANG-UNDANG & HAK ASASI MANUSIA MALAYSIA (PROGUAM)

BERTARIKH: 27 OGOS, 2015

PROGUAM BERSAMA BERSIH 4.0

Latar Belakang Ringkas ProGuam

ProGuam merupakan NGO yang berdaftar dengan ROS dan terdiri daripada para peguam, ahli akademik, pegawai undang-undang dan lain-lain ahli yang mempunyai pelbagai latar belakang perundangan sivil atau syariah; termasuk yang berlainan latar belakang politik termasuk daripada Pas, Pkr dan Dap. Malah, kita juga telah menerima penyertaan rakan-rakan Peguam daripada Ikram di mana kesemua Ahli yang telah berdaftar dengan ProGuam kini berjumlah 100 orang dari seluruh Negara.

Penubuhan ProGuam tercetus berdasarkan inisiatif peguam-peguam yang cintakan undang-undang serta perjuangan hak asasi manusia tanpa mengira latar belakang politik.

Buat masa ini, penggerak utama ProGuam adalah terdiri daripada bekas-bekas ahli jawatankuasa JUHAM (Jabatan Undang-undang & Hak Asasi Manusia, Pemuda Pas Malaysia) yang telah tersedia mempunyai rekod keterlibatan mereka dengan pelbagai kes-kes perundangan yang berkaitan dengan hak asasi manusia seperti Bersih 1.0 hingga Bersih 3.0, Gerakan Mansuhkan ISA, kes-kes tangkapan di bawah SOSMA sehinggalah yang terkini kes tangkapan melibatkan mahasiswa yang berhimpun di hadapan Parlimen pada 25 Ogos yang lalu.

Semalam, 26 Ogos, saya dan rakan-rakan ProGuam yang lain telah mewakili 4 orang daripada 16 orang mahasiswa yang terlibat dalam prosiding reman terbabit di mana 3 orang daripadanya adalah mahasiswa PAS dan seorang daripadanya adalah dari Anak Muda Harapan Baru.

ProGuam for Bersih 4.0

Pertubuhan Pengamal Undang-undang & Hak Asasi Manusia Malaysia (ProGuam) menyatakan sokongan kepada penganjuran Bersih 4.0.

Sebagai komitmen ProGuam kepada Bersih 4.0, ProGuam menyediakan 80 orang Peguam yang akan berkhidmat sepanjang penganjuran Bersih 4.0 tersebut.

Peguam-peguam ProGuam akan ditugaskan ke lapangan iaitu di tempat perhimpunan tersebut bagi tujuan memantau dan juga akan ke lokap-lokap atau balai bagi tujuan prosiding reman sekiranya berlaku tangkapan.

ProGuam dengan ini melancarkan tiga nombor Hotline bagi membolehkan para peserta Bersih 4.0 hubungi sekiranya berlaku tangkapan:

017-394 1559

017-394 1561

017-303 2591

Nombor-nombor di atas akan mula diaktifkan bermula jam 8.00 malam pada 28 Ogos 2015.

ProGuam dengan ini juga melancarkan panduan ringkas undang-undang untuk tatapan dan panduan kepada para peserta Bersih 4.0 khususnya berkaitan hak-hak peserta sekiranya ditahan oleh pihak Polis. Panduan ringkas ini akan diviralkan melalui media-media baru seperti Facebook, Twitter, Whatsapp dan lain-lain untuk kemudahan orang ramai.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan ProGuam, Bersih 4.0 atau lain-lain hal yang berkaitan perundangan, orang ramai boleh layari laman facebook Proguam iaitu dihttps://www.facebook.com/proguam

Bersih 4.0 Bergiat Secara Tidak Sah?

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim melalui kenyataannya sepertimana yang disiarkan di Berita Harian pada 25 Ogos baru-baru ini telah menyatakan bahawa Bersih 4.0 telah bergiat secara tidak sah.

ProGuam ingin menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Julai, 2012 telah pun membuat keputusan mengenepikan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri bahawa Bersih adalah pertubuhan haram. Malah, keputusan Mahkamah Tinggi tersebut tidak pun dirayu dan masih kekal hingga kini. [Sila rujuk kes Dato' Ambiga Sreenevasan & Ors v Menteri Dalam Negeri & Ors; Semakan Kehakiman No: R2-25-165-2011].

Justeru, ProGuam menegaskan bahawa kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri di atas adalah bertentangan dengan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut serta boleh mengundang rasa kebimbangan yang tidak berasas kepada masyarakat. ProGuam percaya kenyataan ini lebih kepada ingin menakut-nakutkan rakyat daripada hadir menyertai perhimpunan aman terbabit.

Seharusnya, pihak berkuasa seperti KDN dan PDRM sama-sama berganding bahu bagi memastikan perjalanan Bersih 4.0 tersebut berjalan dengan aman dan tanpa sebarang provokasi. Secara tidak langsung, ia boleh memartabatkan imej Negara sebagai Negara yang mendaulatkan hak-hak demokrasi dan hak-hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, ProGuam ingin menyeru kepada rakyat Malaysia untuk tidak berasa takut selagimana hak-hak anda dijamin oleh undang-undang.

NOORAZMIR ZAKARIA
PRESIDEN PROGUAM



Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.