Harapan Baru Istiqamah Bersama Perjuangan Islam Membela Rakyat dan Negara - Ustaz Ahmad Awang

6:03 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media.

HARAPAN BARU ISTIQOMAH BERSAMA PERJUANGAN ISLAM MEMBELA RAKYAT DAN NEGARA

www.harapanbaru.net

Saya memandang berat kenyataan Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS yang mahukan wakil rakyat PAS yang bakal menyertai parti baru oleh Harapan Baru untuk meletakkan jawatan mereka sebagai wakil rakyat.

Rakyat telah memilih mereka kerana mereka mewakili Pakatan Rakyat yang menjanjikan agenda untuk membuat perubahan politik dalam negara dengan matlamat menjatuhkan rejim pemerintahan UMNO/BN. Selagi mana wakil rakyat yang dipilih kekal memperjuangkan matlamat ini, maka mereka layak untuk terus menggalas amanah rakyat.

Di satu segi lain, tidak ada peruntukan perundangan dalam Perlembagaan Persekutuan mahupun amalan secara konvensional yang mengisyaratkan keperluan meletakkan jawatan.

Kenyataan PAS mendesak mereka meletakkan jawatan dalam keadaan mereka terus memperjuangkan hasrat rakyat yang telah mengundi mereka adalah membelakangkan kepentingan pengundi.

Seperkara lagi pada saat ini, rakyat mendesak supaya Dato' Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan atas skandal wang RM2.6 billion di dalam akaun peribadi beliau dan kegagalan pengurusan ekonomi negara. Nilai ringgit terus menyusut dan simpanan asing juga mengecil ke paras yang mencemaskan.

Maka sewajarnya seluruh ahli-ahli parlimen pembangkang bersedia untuk mengisytiharkan sokongan mereka terhadap undi tidak percaya yang akan dibawa ke atas Dato' Seri Najib Tun Razak.

Saya berkeyakinan adalah lebih baik untuk Dato Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan mendesak mana-mana ahli parlimen pembangkang yang tidak menyokong undi tidak percaya ini untuk meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi mereka. Kenyataan seperti ini lebih mewakili kehendak rakyat.

Yang pasti, wakil-wakil rakyat telah mengangkat sumpah di dalam dewan untuk menjalankan tugas mereka dengan penuh amanah dan tanggungjawab untuk kepentingan negara.

Sikap mereka yang menampilkan komitmen yang tinggi (di dalam dan di luar dewan) untuk terus memperjuangkan aspirasi dan kehendak rakyat bagi menuntut perubahan untuk negara, tanpa mengira parti mana yang mereka wakili, seharusnya diberi pujian dan sokongan, bukannya diminta untuk melepaskan jawatan.

USTAZ AHMAD AWANG
Penasihat Umum
Gerakan Harapan Baru

23 Ogos 2015/ 8 Zulkaedah 1436H


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.