Terus Mara Wahai Presiden - Syarhan Humaizi Halim

3:03 PM 0 Comments A+ a-



TERUS MARA WAHAI PRESIDEN

1. Bicara ini ditujukan khusus buat Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan seluruh kepimpinan PAS Pusat yang disayangi. Mauduk coretan ini sebagai reaksi kepada senario yang lahir dari sikap dan tindakan bekas pimpinan-pimpinan PAS ekoran peletakan jawatan parti untuk mereka bersama Gerakan Harapan Baru.

2. Negeri Selangor khususnya kepada kalangan Pemuda PAS menjadi sasaran mereka menyebarkan fahaman. Namun, didapati hanya segelintir Pemuda PAS yang terpengaruh untuk bersama mereka. Itupun di Kawasan Shah Alam dan Hulu Langat.

3. Sedangkan di Kawasan lain hanya berlaku kes terpencil, tidak menyeluruh seperti yang digembar gemburkan. Pun begitu, setiap kekosongan jawatan tersebut telah diisi dengan kepimpinan Pemuda baru. Insya-Allah para pengganti ini senantiasa bersedia menghadapi setiap mehnah mendatang untuk melangkah terus istiqamah bersama perjuangan PAS.

4. Untuk makluman Tuan Guru, situasi ini tidak sedikit pun melemahkan semangat para Pemuda di Kawasan-kawasan terbabit. Bahkan suka saya nyatakan, bahawa para Pemuda semakin semangat untuk terus berkhidmat pada perjuangan. Mereka sedang menyusun langkah lebih gagah serta segala perancangan ke arah lebih baik dan sempurna bagi mempersadakan Islam di tanah air.

5. Cetusan semarak jiwa para anak muda ini menunjukkan mereka bangkit memperjuangkan hak agama tanpa ragu. Mereka bangun tanpa rasa takut dan gerun terhadap celaan dan cercaan manusia. Juga tidak terpesona kepada tawaran manis dari sebahagian umpanan 'gula-gula'. Semuanya, tidak langsung memberi kesan, bahkan dapat dilihat dengan jelas keikhlasan pada riak wajah mereka.

6. Muwajahah silmiah iaitu pendekatan perjuangan secara damai dan aktiviti perjuangan akan rancak diteruskan. Apalah sangat 'ugutan' dengan cara meletakkan jawatan itu lalu dipromosikan melalui sidang media yang dibuat? Sudah pasti tidak mampu menggugat keazaman ahli Pemuda untuk terus melangkah gagah, sekalipun terdapat segelintir di kalangan mereka yang membuat perangai 'keanak-anakan'.

7. Saat ini, kami para Pemuda PAS Selangor secara jujur menyatakan komitmen serta kebersamaan untuk meneruskan perjuangan ini. Segala badai yang menimpa, selagi dasar Islam menjadi agenda utama perjuangan, maka kesetiaan kami berikan sebagaimana kesetiaan para sahabat Nabi. Kami titipkan ungkapan yang pernah dinyatakan oleh seorang Sahabat RA iaitu al Miqdad bin Amru al Aswad RA di dalam peperangan Badar.

المقداد بن عمرو فقال :{ يا رسول الله ، امض لما أراك الله فنحن معك ، والله لا نقول كما قالت بنو إسرائيل لموسى : اذهب أنت وربك فقاتلا إنا ههنـتا قاعدون ، ولكن اذهب أنت وربك فقاتلا إنا معكما مقاتلون ، فوالذي بعثك بالحق لو سرت بنا الى بَرْك الغِمـاد لجالدنا معك من دونـه حتى تبلغه}.

"Wahai Rasulullah, teruskan mara dengan apa yang telah diperintahkan oleh Allah, maka kami akan bersama dengan kamu. Demi Allah, kami tidak akan berkata seperti golongan Bani Israel berkata kepada Nabi Musa, "Pergilah kamu dan Tuhan kamu berjuang, kami hanya menanti disini." Akan tetapi kami akan berkata, "Pergilah kamu dengan Tuhan kamu berjuang, nescaya kami akan bersama kamu." Maka demi Allah yang mengutuskan kamu atas kebenaran, jika kamu pergi ke "Birkil Qimad" (yakni suatu tempat yang jauh) nescaya kami akan bersama dengan kamu sehingga sampai ke tempat tersebut tidak kira apa sahaja yang menghalangi."

8. Komitmen yang ditunjukkan oleh generasi terdahulu di kalangan 'Sofwah Mukhtarah' ini, menjadi aspirasi kami di kalangan para Pemuda PAS. Kesetiaan dan ketaatan kami kepada kepimpinan, adalah seperti yang diajar oleh Baginda Rasulullah SAW; selagi ia tidak membawa kepada melakukan maksiat terhadap Allah SWT.

9. Kami akan berusaha segala upaya yang ada bagi memastikan relevensinya perjuangan PAS dalam Negara dan masyarakat hari ini. Kami sedia pastikan agar dasar ikuti, pendekatan lebih kontemporari menerjah waqi' massa dan perancangan futuristik, menyelami jiwa anak muda agar disantuni di semua segmen aktiviti mereka.

10. Akhirnya, doakan kami sepertimana Tuan Guru mendoakan kepada anak-anak Tuan Guru yang juga turut menjadi sahabat kami agar mendapat istiqamah. Mudahan "Beristiqamah Hingga Kemenangan."

SYARHAN HUMAIZI HALIM
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor
24 Ogos 2015



Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.