Apa Ada Pada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)? - Jufitri Joha (MBM)

9:27 PM 0 Comments A+ a-



oleh: Jufitri Joha, Naib Presiden MBM

Ketika ini, sedang hangat diperkatakan dan diperdebatkan isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang melibatkan Malaysia dan 10 buah Negara yang lain. Tambah hangat apabila ianya dikatakan akan dimuktamadkan secepat mungkin pada tahun ini kerana rundingan telah berlangsung terlalu lama. Kalau dulu Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bersifat dua hala atau bilateral hanya di antara Malaysia dan Amerika namun sekarang ia melibatkan multi-lateral.

Selepas kegagalan mencapai kata sepakat dalam rundingan FTA, Malaysia dan Amerika kelihatan mencuba nasib semula dalam TPPA. Menyorot sekali imbas FTA di antara Malaysia dan Amerika pada 2005 adalah amat penting bagi memahami TPPA dan kesannya. Bayangkan jika perjanjian bilateral sudah memberikan kesan yang besar kepada masa depan negara apatah lagi jika perjanjian tersebut bersifat multi-lateral yag melibatkan 11 buah Negara termasuk 5 Negara maju seperti TPPA.



FTA Malaysia-Amerika adalah satu perjanjian perdagangan bagi meliberalisasikan pasaran di antara kedua-dua Negara yang berjanji. Pada ketika itu Malaysia merupakan rakan dagang ke 10 terbesar Amerika manakala Amerika rakan dagang utama Malaysia. Rundingan yang berlangsung selama beberapa siri ini bertujuan menggalakkan pelaburan asing masuk ke Malaysia khususnya dari Amerika yang akhirnya diyakini dapat merancakkan ekonomi domestik dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Pada satu ketika di akhir pemerintahan Bush, rundingan FTA cuba dipercepatkan untuk dimuktamadkan segera melalui negosiasi ‘fast track’ iaitu satu keistimewaan yang diberikan Kongres Amerika di bawah peruntukanTrade Promotion Authority kepada Presiden Bush yang hampir tamat tempoh jawatannya. Oleh kerana kekangan masa dan rundingan yang kompleks, rakyat Malaysia mampu menghela nafas lega kerana ianya gagal dimuktamadkan. Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri ketika itu dengan tegas memutuskan untuk tidak menandatangani FTA berdasarkan 58 Garis Merah berkaitan kepentingan negara yang tidak boleh dikompromi melalui perjanjian ini.





Selain itu faktor desakan pertubuhan masyarakat sivil seperti Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Third World Network (TWN) ABIM dan Ngo-ngo lain yang prihatin supaya rundingan dihentikan menyebabkan pihak Kerajaan mengambil keputusan menilai semula isi perjanjian dan menghentikan seketika rundingan. Namun akhirnya rundingan tersebut gagal dimuktamadkan apabila berakhir penggal pemerintahan Bush. Walaubagaimanapun proses rundingan masih berjalan di era Obama termasuk yang terbaru di Hawaii.

Antara isu yang menjadi keprihatinan masyarakat Malaysia berkaitan rundingan ini ialah perolehan kerajaan atau government procurement, kesan langsung kepada industri kecil yang terpaksa bersaing dengan syarikat-syarikat gergasi Amerika, hak harta intelek, akses kepada ubat-ubatan yang dikhuatiri bakal menjadi mahal di bawah FTA dan pelbagai lagi isu yang sukar dirungkai dan memberikan kesan negatif kepada rakyat Malaysia.

Setalah beberapa ketika FTA menyepi kini kini ianya muncul semula dalam bentuk penampilan yang baru namun masih membawa falsafah lama melalui TPPA. Menurut sumber Utusan Pengguna keluaran Julai-Ogos 2013, TPPA jelas mengambil contoh teks Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Syarikat (USFTA) yang digunakan semasa rundingan bilateral atau dua hala antara Amerika dengan Negara-negara lain termasuk dengan Malaysia. Amerika mempunyai pencontoh yang kuat dan mungkin hanya 5% daripada teks FTA yang dicadangkan boleh diubah. Negara-negara yang sebelum ini berunding dengan Amerika mendapati isi perjanjian dalam teks FTA tersebut tidak fleksibel dan tidak sesuai dengan kepentingan Negara mereka lalu mereka bertindak menarik diri daripada rundingan. Sebagai rekod, daripada 63 buah Negara yang ‘terjebak’ mengadakan rundingan FTA. 43 negara telah menarik diri.

TPPA mendapat reaksi yang rencam daripada pelbagai pihak namun kebanyakkan menjurus kepada penolakan kepada pembabitan Malaysia dalam rundingan yang dipercayai didominasi oleh Amerika Syarikat yang mempunyai agenda tersendiri. Walaupun Kerajaan berkali-kali meyakinkan rakyat Malaysia bahawa rundingan adalah dengan mengambil kira dan meletakkan kepentingan dan kedaulatan Negara di atas namun ianya kelihatan gagal ‘menenangkan’ pihak-pihak pemegang taruh dan masyarakat madani Malaysia. Walaupun Kerajaan menyatakan TPPA membawa banyak manfaat kepada Malaysia khususnya kepada ekonomi dan sektor pelaburan namun tidak kurang juga yang sinis dengan mempersoalkan manfaat TPPA yang hanya akan pergi kepada sekelompok elit perniagaan dan tidak kepada masyarakat marhaen terbanyak. Mereka melabelkan TPPA sebagai penjajahan korporat atau ‘corporate colonisation’ yang sinonim dengan budaya kapitalis yang hanya mementingkan keuntungan dan kekuasaan tanpa sedikit pun peduli akan kesan langsung khususnya kepada alam sekitar dan sektor kesihatan. Sang koporat kapitalis ini juga tidak akan peduli dengan hak-hak kelompok bawahan khususnya yang terkesan langsung dengan TPPA mahupun FTA seperti hak para pekerja, pesakit dan pengguna internet.

TPPA juga mengundang keresahan masyarakat Malaysia kerana kandungan rundingan tidak didedahkan. Masyarakat tertanya-tanya perkara yang dirundingkan kerana ia melibatkan masa hadapan mereka sendiri. Mereka berhak mengetahuinya dan perkara terbaik untuk merungkai isu ini ialah dengan membawa perkara ini ke Parlimen untuk dibahasakan oleh wakil-wakil rakyat di samping diadakan konsultasi khas bersama pertubuhan masyarakat madani seperti mana yang dilakukan dalam rundingan Universal Periodic Review (UPR) yang diusahakan oleh Wisma Putra. UPR merupakan laporan berkenaan hak asasi manusia yang disediakan oleh Wisma Putra untuk dinilai setiap 3 tahun sekali oleh Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB). Dalam peraturan TPPA, masyarakat Malaysia dan masyarakat Negara-negara yang terlibat hanya dapat melihat isi kandungan keseluruhan dan terperinci selepas 4 tahun ia ditandatangani. Ini meresahkan lagi masyarakat Malaysia dan ditambah pula pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa (MITI) satu ketika dahulu bahawa analisis cost benefitTPPA turut tidak dapat didedahkan kerana menghormati syarat yang telah ditetapkan semasa rundingan TPPA.

Tidak kurang juga ada suara yang mempertahankan tindakan Kerajaan atas alasan tidak masuk akal jika Kerajaan akan membiarkan Negara tergadai. Sudah tentu Kerajaan akan meletakkan kepentingan Negara mengatasi segala-galanya. Selain itu, MITI turut meminta pertubuhan masyarakat madani membuat ‘Red Lines’ agar pihak Kerajaan mempunyai panduan dan sempadan sebagai tanda aras untuk menentukan sama ada Malaysia akan menerus menandatangani TPPA ini.

Secara ringkas TPPA, walaupun mempunyai faedah-faedah yang positif namun bagi pandangan penulis TPPA mempunyai kesan-kesan negatif mengatasi faedah-faedah tersebut. Paling membimbangkan ialah kesan jangka panjang TPPA yang sukar diramal dan dikawal dengan sistem yang agak liberal dan terbuka.

Ramai pihak mendedahkan kesan-kesan negatif TPPA terhadap sektor dan kepentingan masing-masing. Namun di kesempatan ini, penulis berhasrat berkongsi kesan TPPA kepada generasi muda memandangkan penulis merupakan pemimpin belia dan masih berada di kelompok umur belia. TPPA secara umum mendatangkan sekurang-kurangnya tiga kesan kepada generasi muda.

Kesan pertama ialah akses kepada dunia ilmu dan pendidikan yang akan semakin dikomersialkan, impaknya sektor ini akan menjadi semakin mahal andainya bab hak harta intelek atau intellectual property rights (IPR) tidak berjaya ditangani dengan baik. Isu hak cipta atau copyrights khususnya berkaitan pembelian jurnal ilmiah secara ‘online’ turut akan memberikan kesan langsung kepada mahasiswa. Antara cadangan dalam TPPA ialah penetapan tempoh akses dalam mana-mana jurnal berkaitan. Sebagai contoh, jika satu satu jurnal itu dtempah untuk digunakan sebanyak 10 kali sahaja, andai mahu diakses buat kali ke-11, ia sudah tidak dibenarkan dan pengguna harus subscribe lagi. Ini sudah tentu menambahkan beban di pihak pengguna dan terus menguntungkan pihak korporat.

Kesan kedua pula ialah berkaitan belia dan dunia perniagaan. Persaingan yang tinggi dalam bidang keusahawanan di kalangan belia akan memberi tekanan kerana TPPA melibatkan dasar liberalisasi ekonomi yang akan memberi ruang dan peluang kepada para pelabur luar Negara yang bermodal besar untuk bersaing dengan para usahawan tempatan baik yang muda dan profesional. Berkenaan dengan tenaga mahir juga menjadi cabaran khususnya bagi lepasan graduan universiti kerana mereka sudah tentu akan bersaing sengit dengan tenaga kerja luar yang lebih berpengalaman dan lebih murah kos upah atau gajinya.

Kesan terakhir ialah berkaitan belia dan budaya. Globalisasi adalah dunia tanpa sempadan yang akan membawa masuk budaya luar secara tidak langsung. Namun dengan kehadiran TPPA akan mengabsahkan usaha pembawaan masuk budaya asing yang sekiranya ditentang, berpotensi memberi kesan buruk kepada Kerajaan Malaysia seperti kemungkinan di saman oleh syarikat pengendalian acara yang menganjurkan konsert konsert hiburan melampau sebagai contoh. Tanpa TPPA sudah pun memberikan kesan negatif yang banyak, tidak dapat dibayangkan jika TPPA ditandantangani, maka ia lebih merumitkan. Ini jelas merupakan agenda deIslamisasi yang tersembunyi bakal mengundang malapetaka kepada akhlak dan moral generasi muda.

Walaupun TPPA tidak dinafikan mempunyai faedah kepada pembangunan ekonomi Negara, namun kesan-kesan negatif jelas kelihatan dan membimbangkan.

Atas keprihatinan dan kebimbangan inilah Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menganjurkan sesi Wacana TPPA bersama Saudara Nizam Mahsyar, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) pada 8 September 2015 yang lepas bagi mengemaskini perkembangan rundingan TPPA. Apa yang menarik dan mengejutkan adalah daripada keseluruhan 29 bab dalam deraf perjanjian TPPA, hanya 6 sahaja bab yang terkait secara langsung dengan hal ehwal perdagangan bak kata Profesor Jane Kelsey dari Universiti Auckland, “it has nothing to do with trade”.

Dalam erti kata lain, TPPA telah dijadikan alat oleh Amerika dalam isu geopolitik dalam mengimbangi kebangkitan ekonomi China. Ia adalah usaha tidak langsung untuk menyekat kemaraan China dengan menggalakkan Negara-Negara TPPA agar meningkatkan perdagangan dengan Amerika. Ini merupakan perkara yang harus pemimpin belia fikirkan bersama demi masa depan belia dan Negara.

Oleh: JUFITRI BIN JOHA

Naib Presiden MBM & Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MBM


Sila kongsi artikel ini...

Azmin menipu bila nafi wujud tuntutan mesyuarat MPP tergempar - che'GuBard

8:16 PM 0 Comments A+ a-


Azmin menipu bila nafi wujud tuntutan mesyuarat MPP tergempar

Catatan Umum

9 Oktober 2015

1. Tulisan ini perlu dibaca dengan tulisan 'coup de tat' dalam PKR ?
http://chegubard.blogspot.my/2015/10/coup-de-tat-dalam-pkr.html

2.dua orang Anggota jawatankuasa pusat PKR dalam FMT menafikan dengan cara tidak ada istilah rampasan kuasa dalam perlembagaan. Saya perjelaskan istilah 'coup de tat' itu saya gunakan bagi menggambarkan keadaan ke arah undi tidak percaya.

3. Azmin pula dalam beberapa media menafikan wujud apa yang saya tulis sebelum ini dan mengatakan saya bankrap. Saya nak bagi tahu Azmin, ya saya tak sekaya kamu yang banyak duit dalam politik ini, ya saya kain pagi makan pagi namun saya belum bankrap.

4. Ini semua penafian dangkal malah Azmin jelas menipu. Saya tulis dengan jelas dan saya tampilkan bukti salinan petisyen tersebut. Tetapi biasalah Azmin memang biasa, seperti sebelum ini umum taat setia bersama satu - satunya calon MB dari Pakatan Rakyat tetapi dia melobi diri sendiri termasuk menggunakan jaringan bapa angkatnya dan akhirnya memalukan presiden PKR sendiri maka kali ini jika dia menipu lagi maka tidak pelik.

5. Petisyen memang wujud. Soalnya sekarang, Wan Azizah telah mulakan inisiatif memanggil meja bulat bincang soal kewujudan pakatan baru. Wan Azizah jugalah yang mengetuai sidang media mengumumkan Pakatan Harapan. Maka tiba - tiba ada sekumpulan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang diselaraskan oleh Kartel Azmin telah membuat petisyen mendesak diadakan mesyuarat pusat tergempar atau MPP khas bukan membincangkan tetapi jelas mempertikaikan tindakan Presiden PKR mengumumkan penubuhan pakatan baru. Tajuk petisyen itu pun menggunakan perkataan tuntutan bukan permohonan menggambarkan ke arah mana mesyuarat tersebut hendak di bawa.

6. Keluar petisyen tuntutan yang jelas mempertikaikan tindakan presiden sudah memalukan presiden parti. Jika mesyuarat tersebut mengambil sikap menolak penglibatan PKR dalam Pakatan Harapan maka apa nasib dan di mana maruah Wan Azizah selaku orang politik dan Presiden PKR ? Ini adalah proses undi tidak percaya kepada Wan Azizah itu sendiri.

7. Saya tegaskan dalam tulisan saya sebelum ini dengan memahami perbagai sentimen sehingga membawa kepada petisyen tuntutan tersebut namun bukan keputusan mesyuarat itu saja tetapi pestisyen tersebut sendiri sudah memalukan presiden PKR dan nampaknya kartel Azmin cekap mengambil kesempatan.

8. Maka buat Azmin tahniah, kamu cekap dan sangat licik sebagai ahli politik yang mementingkan diri. Tak perlu malu dengan kenyataan kamu dengan penafian yang menipu dan menuduh cheGuBard pula bangkrap.

9. Kepada MPP dan semua harus berfikir panjang, kita sudah malu secara amnya kerana dalam keadaan kita menanti undi tak percaya ke atas Najib dalam Umno dan dalam Parlimen, tiba - tiba Kak Wan terpaksa berdepan rampasan kuasa. Tentu Kem Najib sedang tersenyum.

10. Mesyuarat MPP setiap bulan, mesyuarat Biro Politik setiap minggu maka apa salahnya kalau sekadar nak bincang, bincang saja tunggu mesyuarat biasa biro politik mingguan atau MPP bulanan tidak perlu malukan Presiden dan parti dengan panggil mesyuarat tergembar dengan petisyen begitu.

11. Saya sebut dengan jelas di sini Azmin dan beberapa ahli parlimen dalam kartelnya tidak menandatangani komitmen bagi undi tidak percaya ke atas Najib di Parlimen. Hampir semua MP PKR dan DAP serta AMANAH tandatangan untuk nyata komitmen bersama kecuali 4 orang dari Azmin dan kartelnya. Ini menunjukkan cekap politik Azmin, berapa banyak kolam dia main pun tak pasti mungkin baginya asal dia untuk dan mendapat tempat.

Sekian ;

che'GuBard

kenyataan ini perlu dibaca dengan kenyataan sebelum ini sila klik http://chegubard.blogspot.my/2015/10/coup-de-tat-dalam-pkr.html


Sila kongsi artikel ini...

AMK Kecewa Dengan Keputusan Kes Yuneswaran - Nik Nazmi

7:53 PM 0 Comments A+ a-



AMK KECEWA DENGAN KEPUTUSAN KES YUNESWARAN

Angkatan Muda KEADILAN kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes Pendakwaraya v R Yuneswaran.

Keputusan itu telah menyabitkan kesalahan ke atas Setiausaha Kerja KEADILAN Johor R Yuneswaran di bawah Akta Perhimpunan Aman kerana gagal memberi notis 10 hari sebelum perhimpunan yang diadakan pada tahun 2013, atau lebih dikenali sebab Perhimpunan Black 505. Beliau disaman RM6,000.


Ini bercanggah dengan keputusan yang telah dibuat oleh makamah yang sama pada awal tahun ini di dalam kes Nik Nazmi v Pendakwaraya di mana Mahkamah Rayuan mendapati bahawa tindakan menghukum perhimpunan awam tanpa notis seperti yang ditetapkan oleh seksyen 9 (5) PAA adalah melanggari asas Perlembagaan.

Perubahan ketara ini bagaikan mengisyaratkan satu era di mana hak asasi yang termaktub di dalam Perlembagaan semakin samar akibat pentafsiran yang terhad oleh mahkamah.

Sekiranya kes ini dibawa ke peringkat Mahkamah Persekutuan, kami hanya boleh berharap bahawa Mahkamah Persekutuan akan mengambil langkah yang lebih berani dan adil di dalam mentafsir Akta tersebut. Di dalam era global dan penuh kebebasan ini, tafsiran undang-undang berkenaan hak asasi dengan cara yang jumud adalah tidak relevan, malah ia bertentangan dengan perkembangan Malaysia sebagai negara yang bebas dan demokratik.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN


Sila kongsi artikel ini...

Catatkan Nama Anda Sebagai Salah Seorang Yang Bakal Menjayakan H60K - Khairul Faizi

7:30 PM 0 Comments A+ a-



CATATKAN NAMA ANDA SEBAGAI SALAH SEORANG YANG BAKAL MENJAYAKAN H60K!

Tanggal 19 Februari 2011 menjadi kenangan dan kejayaan yang sukar dilupakan apabila HImpunan 30K Pemuda PAS telah berjaya diadakan di Kota Sarang Semut, yang dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Azizan Razak, Menteri Besar Kedah merangkap PJ PAS negeri Kedah.

Saya telah diberikan amanah sebagai Pengarah H30K ini dan ia adalah kesinambungan kepada Himpunan 15K Pemuda PAS di Kelantan pada penghujung tahun 2006 yang mana saya tidak dapat hadir ke H15K kerana Johor dilanda banjir besar.


H30K telah menyaksikan komposer terkenal, sdr Bob Lokman mengistiharkan diri menyertai PAS dan buat pertama kali petikan gitar dikumandangkan di dalam Kompleks PAS Kedah oleh Pak Long.

17 Oktober ini, Pemuda PAS dengan kerjasama Dewan Ulamak, Dewan Muslimat dan Dewan Himpunan Penyokong PAS akan menggandakan peserta himpunan menjadi Himpunan 60K di Kota Bharu dan tentulah satu lagi sejarah baru akan dicatitkan.

Ketika berucap di Kota Sarang Semut, saya menyebut bahawa seluruh peserta yang hadir telah mencatatkan sejarah bersama dan nama mereka telah tercatat sebagai salah seorang daripada 30 ribu Pemuda PAS yang menjayakan H30K.

Kali ini, saya berazam untuk nama saya dicatatkan sebagai salah seorang ahli PAS yang menjayakan H60K.

Semoga ahli PAS di seluruh negara memasang tekad untuk turut sama melakarkan sejarah gemilang ini. Jangan lepaskan peluang keemasan ini!.

Wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
5 Oktober 2015.


Sila kongsi artikel ini...

Putin dan Islam - Wan Ahmad Fayhsal

12:12 PM 0 Comments A+ a-



PUTIN DAN ISLĀM

oleh
Wan Ahmad Fayhsal

Ada sesuatu yang menarik untuk kita fikirkan berhubung Masjid Gereja (Cathedral Mosque) dan dasar kerajaan Vladimir Putin terhadap Islam dan Geopolitik Antarabangsa.

Perasmian masjid yang dikatakan paling besar di Eropah (walaupun Eropah tidak anggap Russia sebahagian daripada Eropah) itu dihadiri oleh Presiden Turk Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas.

Turki dan Palestin menyumbang kepada kos pembinaan masjid tersebut.

Putin jelaskan ketika perasmian bahawa masjid itu akan menjadi pusta keruhanian untuk Muslim di Moscow dan juga seluruh Russia. Ianya akan jadi tempat untuk pendidikan, pusat penyebaran dakwah bersifat insani dan Islam.

Penduduk Muslim di Russia hampir 20 juta - jauh lebih banyak daripada kita di Malaysia.

Apa yang menarik dalam sisi geopolitik? Masjid itu siap selepas 10 tahun lamanya kerana ianya mula dibina 2005 setelah Putin menjadi presiden selepas dilantik semula buat kali kedua. Ketika itu ramai rakyat dan penduduk bukan Islam di Moscow membantahnya.

Walaupun dibantah, Putin tetap meneruskan. Ketika itu juga Putin sedang berhadapan dengan reformasi politik dan ekonomi kerana selepas zaman Yeltsin yang berkuasa dan pegang ekonomi banyak Oligarch.

Ini menunjukkan Putin dari awal lagi sudah punya wawasan yang jauh terkehadapan untuk mendekatkan Russia denga dunia Islam dan Muslim. Ini kerana Putin menjadikan "soft power" Russia berteraskan "Russky mir" atau Dunia Russia yang mana peranan agama khususnya Ortodoks Kristian itu sangat penting dalam mengatur cara identiti Russia.

Putin melihat dunia Islām sebagai rakan, bukan saja rakan politik, ekonomi tapi juga rakan kebudayaan dan keruhanian.

Putin hanya alah kepada satu: Wahhabisme. Ini kerana Wahhabisme memporak perandakan masyarakat Islām di wilayah Russia melalui budaya kafir mengkafir yang melahirkan ekstremisme.

Lebih menarik walaupun Turki merupakan musuh tradisi (Uthmaniyyah mengambil Konstantinopel daripada Byzantine yang merupakan tonggak peradaban Kristian Ortodoks yang kini agama teras di Russia) kaum Slav yang majoriti di Russia (termasuklah Putin), hubungan antara kedua-dua negara tampak hebat dan mesra.

Cuma Putin amat anti dengan mana-mana negara Muslim yang berkiblatkan Washington secara membabi-buta seperti Negara-Negara Teluk (GCC).

Adapun begitu kini hatta Arab Saudi yang paling dekat dengan Washington pun sudah mula berjinak-jinak dengan Russia di bawah Putin setelah berlaku peralihan takhta di bawah Raja Salman.

Ada banyak sisi yang boleh dikupas berkenaan tindakan Putin di Syria kini. Sudah tentu perkiraan geopolitik tenaga (resource war) ada pemberat yang besar. Tapi dibalik konflik di Syria, semacam ada satu agenda peradaban yang Putin ingin tawarkan kepada umat Islam. Adakah ianya gagasan Eurasianisme?

Sayangnya Malaysia banyak berkiblatkan Anglo-Amerika dan ini menyebabkan kita tidak dipandang serius oleh Russia.

Putin tahu sebab kita pengerusi ASEAN, Washington bersungguh-sungguh nak pegang Malaysia. Sebab itu Putin tak sua muka.

(gambar: Putin, Erdogan dan Abbas ketika perasmian masjid sebelum Eid al-Adha baru-baru ini)


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.