Putin dan Islam - Wan Ahmad Fayhsal

12:12 PM 0 Comments A+ a-



PUTIN DAN ISLĀM

oleh
Wan Ahmad Fayhsal

Ada sesuatu yang menarik untuk kita fikirkan berhubung Masjid Gereja (Cathedral Mosque) dan dasar kerajaan Vladimir Putin terhadap Islam dan Geopolitik Antarabangsa.

Perasmian masjid yang dikatakan paling besar di Eropah (walaupun Eropah tidak anggap Russia sebahagian daripada Eropah) itu dihadiri oleh Presiden Turk Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas.

Turki dan Palestin menyumbang kepada kos pembinaan masjid tersebut.

Putin jelaskan ketika perasmian bahawa masjid itu akan menjadi pusta keruhanian untuk Muslim di Moscow dan juga seluruh Russia. Ianya akan jadi tempat untuk pendidikan, pusat penyebaran dakwah bersifat insani dan Islam.

Penduduk Muslim di Russia hampir 20 juta - jauh lebih banyak daripada kita di Malaysia.

Apa yang menarik dalam sisi geopolitik? Masjid itu siap selepas 10 tahun lamanya kerana ianya mula dibina 2005 setelah Putin menjadi presiden selepas dilantik semula buat kali kedua. Ketika itu ramai rakyat dan penduduk bukan Islam di Moscow membantahnya.

Walaupun dibantah, Putin tetap meneruskan. Ketika itu juga Putin sedang berhadapan dengan reformasi politik dan ekonomi kerana selepas zaman Yeltsin yang berkuasa dan pegang ekonomi banyak Oligarch.

Ini menunjukkan Putin dari awal lagi sudah punya wawasan yang jauh terkehadapan untuk mendekatkan Russia denga dunia Islam dan Muslim. Ini kerana Putin menjadikan "soft power" Russia berteraskan "Russky mir" atau Dunia Russia yang mana peranan agama khususnya Ortodoks Kristian itu sangat penting dalam mengatur cara identiti Russia.

Putin melihat dunia Islām sebagai rakan, bukan saja rakan politik, ekonomi tapi juga rakan kebudayaan dan keruhanian.

Putin hanya alah kepada satu: Wahhabisme. Ini kerana Wahhabisme memporak perandakan masyarakat Islām di wilayah Russia melalui budaya kafir mengkafir yang melahirkan ekstremisme.

Lebih menarik walaupun Turki merupakan musuh tradisi (Uthmaniyyah mengambil Konstantinopel daripada Byzantine yang merupakan tonggak peradaban Kristian Ortodoks yang kini agama teras di Russia) kaum Slav yang majoriti di Russia (termasuklah Putin), hubungan antara kedua-dua negara tampak hebat dan mesra.

Cuma Putin amat anti dengan mana-mana negara Muslim yang berkiblatkan Washington secara membabi-buta seperti Negara-Negara Teluk (GCC).

Adapun begitu kini hatta Arab Saudi yang paling dekat dengan Washington pun sudah mula berjinak-jinak dengan Russia di bawah Putin setelah berlaku peralihan takhta di bawah Raja Salman.

Ada banyak sisi yang boleh dikupas berkenaan tindakan Putin di Syria kini. Sudah tentu perkiraan geopolitik tenaga (resource war) ada pemberat yang besar. Tapi dibalik konflik di Syria, semacam ada satu agenda peradaban yang Putin ingin tawarkan kepada umat Islam. Adakah ianya gagasan Eurasianisme?

Sayangnya Malaysia banyak berkiblatkan Anglo-Amerika dan ini menyebabkan kita tidak dipandang serius oleh Russia.

Putin tahu sebab kita pengerusi ASEAN, Washington bersungguh-sungguh nak pegang Malaysia. Sebab itu Putin tak sua muka.

(gambar: Putin, Erdogan dan Abbas ketika perasmian masjid sebelum Eid al-Adha baru-baru ini)


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.