Anwar Ibrahim : “Pakatan Rakyat adalah penjelmaan idea muafakat yang dicetuskan rakyat menuntut perubahan.

11:01 PM 0 Comments A+ a-



Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan perutusan berikut melalui peguam beliau, YB Sivarasa Rasiah, hari ini:

“Pakatan Rakyat adalah penjelmaan idea muafakat yang dicetuskan rakyat menuntut perubahan. Meskipun gagasan tersebut atau beberapa aspek darinya telah lama diperjuangkan oleh parti-parti, NGO-NGO dan aktivis-aktivis tetapi gema tuntutan melonjak dan diterjemahkan dengan mendukung KEADILAN, DAP dan PAS dalam Pilihanraya Umum 2008; meskipun pengendalian SPR yang seharusnya bersih terus dipertikaikan.


Pimpinan ketiga-tiga parti ketika itu menyahut hasrat rakyat yang berbicara lantang soal kebebasan dan keadilan; negara hukum; pembanterasan rasuah dan penyelewengan kuasa serta ekonomi yang saksama dan tidak dibolot segelintir yang maha kaya. Maka pimpinan Pakatan Rakyat menerima asas perlembagaan negara dan mencerakinkan agenda bersama tatakelola negara; agama; ekonomi; pendidikan; dan budaya.

Perkembangan mutakhir yang bermula dengan bibit keretakan, kini mengakibatkan wadah formal PR tidak wujud lagi. Namun, saya tegaskan bahawa semangat dan dasar bersama yang disepakati PR tetap kekal malah semangatnya perlu ditingkatkan. Dengan muafakat baru ini, kita perlu menjana perubahan dengan wadah yang lebih kukuh dan utuh - menggembleng tidak sekadar wadah parti malah wadah rakyat yang lebih inklusif, mencakup semua kalangan yang setia pada semangat perjuangan memartabatkan setiap insan di negara Malaysia tercinta.”

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

6 Julai 2015


Sila kongsi artikel ini...

Hari Pelarian Sedunia 2015: Krisis Pelarian Sejagat Semakin Membimbangkan, ABIM Gesa Kerajaan Malaysia Tandatangan Konvensyen Berkaitan Pelarian 1951

6:17 AM 0 Comments A+ a-



Bersempena dengan ketibaan Hari Pelarian Sedunia 2015 pada 20 Jun ini, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat kenyataan yang dikemukakan oleh Pesuruhjaya Tinggi (Hal Ehwal Pelarian) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres; bahawa krisis pelarian sedunia kini berada pada tahap yang membimbangkan.

Kenyataan beliau merujuk pada statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) yang mencatatkan seramai 59.5 juta orang menjadi pelarian di seluruh dunia. Daripada jumlah tersebut, seramai 2 juta daripada jumlah tersebut terdiri daripada pelarian Syria yang mendapat perlindungan di Turki. Kenyataan ini menunjukkan krisis pelarian pada detik dan ketika ini telah memuncak ke tahap yang membimbangkan.

Krisis kemanusiaan ini telah melangkaui tahap serta kemampuan maksima pertubuhan-pertubuhan bantuan kemanusiaan sejagat sepertimana yang dinyatakan sendiri oleh Guterres yang berbunyi:

“To those that think that it doesn't matter because humanitarian organizations will be there and able to clean up the mess, I think it's important to say that we are no longer able to clean up the mess. UN agencies, NGOs, the Red Cross -- we no longer have the capacities and the resources to respond to such a dramatic increase in humanitarian needs."

Berasaskan kepada kenyataan ini, ABIM ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan menjunjung tinggi kemuliaan insani (karamah insaniah) agar terus menzahirkan keprihatinan mereka terhadap nasib golongan pelarian sejagat. Dukungan ini berasaskan kepada nilai kemanusian dan kasih sayang sesama insan - seperti yang dianjurkan oleh seluruh agama-agama besar dunia - merentas batas sempadan kenegaraan, warna kulit, ras dan agama.

Sokongan dan dukungan daripada seluruh warga Malaysia yang prihatin secara simboliknya merupakan penolakan terhadap sebarang unsur keganasan serta kezaliman sejagat. Krisis pelarian adalah manifestasi sejagat terhadap keamanan dunia yang kita diami hari ini. Dalam situasi dunia yang diwarnai oleh konflik berpanjangan merentas benua, hampir setiap negara akan merasai dampak krisis pelarian, khususnya negara-negara yang berjiran dengan zon dilanda konflik. Malaysia tidak terkecuali.

Tragedi penemuan kubur serta kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian seharusnya membangkitkan kesedaran warga Malaysia yang prihatin terhadap polemik pelarian di negara ini. US State Department's Trafficking In Person (TiP) report 2014, telah meletakkan Malaysia pada kedudukan tier ke-3, termasuk di bawah kategori sebuah negara yang gagal untuk memenuhi kewajipan antarabangsa yang asasi untuk menghalang aktiviti pemerdagangan manusia dan menyelamatkan mangsa-mangsa aktiviti haram ini.

Atas dasar ini, ABIM dengan tegasnya menggesa pihak kerajaan serta masyarakat untuk menolak sama sekali sindiket penyeludupan manusia serta korupsi pihak-pihak yang bersubahat bagi mengaut keuntungan lumayan dengan menindas para pelarian. Tindakan tegas pihak kerajaan terutama sekali amat penting kerana ia menggambarkan tahap sebenar komitmen negara kita terhadap kemelut kemanusiaan sejagat.

Oleh itu ABIM menggesa kerajaan Malaysia untuk menandatangani Konvensyen Berkaitan Pelarian 1951 sebagai legitimasi politik dan perundangan untuk membela nasib golongan pelarian sejagat. Akhir sekali, ABIM menyeru agar warga Malaysia membantu pelarian yang berada di negara ini melalui kempen kesedaran terhadap kemelaratan mereka, mendaftarkan diri sebagai sukarelawan dan melalui bantuan kewangan khususnya dalam memenuhi keperluan kesihatan dan pendidikan kanak-kanak dan wanita.

Mereka amat memerlukan sumbangan dan perhatian untuk “berdiri di atas kaki mereka sendiri” untuk mencorak masa depan yang lebih baik. Semoga sumbangan kecil dari individu, organisasi dan pertubuhan ini akan menjanjikan masa depan yang lebih cerah dan dunia yang lebih aman buat pelarian dan umat manusia seluruhnya. Selamat Memperingati Hari Pelarian Sedunia 2015!

MOHAMMAD RAIMI AB RAHIM, Naib Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)


Sila kongsi artikel ini...

PAS: “ISU TOL : KERAJAAN PILIH RAKYAT ATAU SYARIKAT KONSESI?”

5:24 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF
TIMBALAN KETUA DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN


16 Ramadhan 1436 | 3 Julai 2015
“ISU TOL : KERAJAAN PILIH RAKYAT ATAU SYARIKAT KONSESI?”
______________________________________________________________________

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) telah menghantar surat rasmi kepada Kementerian Kerja Raya untuk berdialog mengenai cadangan kenaikan kadar tol khususnya di Lembah Klang. Namun, pihak kementerian masih belum memberikan jawapan untuk pertemuan tersebut.

DPPWP telah maklum bahawa kerajaan masih belum memutuskan cadangan kenaikan kadar tol. Namun, pihak Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuh Raya Malaysia (PSKLM) telah mendesak kerajaan untuk tetap menaikkan kadar tol pada tahun ini. Adakah pihak kerajaan membela nasib rakyat atau mahu mengutamakan tuntutan pihak konsesi?



Menteri Kerja Raya mendedahkan sekiranya pihak kerajaan tidak membenarkan kenaikan kadar tol tersebut, maka kerajaan dengan menggunakan sebahagian besarnya duit pembayar cukai (rakyat) terpaksa membayar sejumlah RM 580 juta sebagai pampasan pada tahun ini dan ia dijangka akan menokok sehingga RM 1.6 pada tahun hadapan.



DPPWP mendesak pihak kerajaan supaya mendedahkan secara tuntas bagaimana perjanjian konsesi tol yang telah dimeterai dengan syarikat operator terus memangsakan kewangan negara dan duit poket rakyat. Apakah plan jangka kerajaan untuk keluar daripada perjanjian konsesi yang tidak adil tersebut dan seterusnya mengambil inisiatif untuk menghapuskan tol secara berperingkat-peringkat.

Pihak konsesi pula masih tidak memberikan jawapan atas tuntutan rakyat yang mahukan rebat tol diberikan di beberapa lebuh raya utama yang mengalami kesesakan teruk pada waktu puncak. Pihak konsesi juga wajar menyemak semula jumlah tol yang dikenakan ke atas pengguna di sepanjang lebuh raya seperti di KESAS, MEX dan Guthrie.



Sekian, terima kasih.


Sila kongsi artikel ini...

PAS: SEKALUNG TAKZIAH KEPADA ALLAHYARHAM SUFFIAN BIN ZAKARIA

5:22 AM 0 Comments A+ a-

SEKALUNG TAKZIAH KEPADA ALLAHYARHAM SUFFIAN BIN ZAKARIA
Oleh : Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abdul Aziz
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas.



Saya menzahirkan ucapan takziah kepada saudara Suffian Bin Zakaria, Naib Ketua Pemuda PAS Kawasan Parit yang telah menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan Tuberculosis.
Pemergian beliau sudah pasti merupakan suatu perpisahan yang ditangisi sahabat handai seperjuangan beliau. Ia suatu ketentuan yang tiada siapa dapat mengelak daripadanya.
Beliau yang juga merupakan seorang ahli jawatankuasa pengajian pondok safinatunnaja adalah seorang yang mudah didekati dan tidak berkira dalam melaksanakan kerja-kerja jemaah. Sikap beliau menjadikan beliau cukup disenangi oleh mereka yang bekerja bersama beliau.
Semoga amal kerja beliau memperjuangkan Islam di atas muka dikira oleh Allah سبحانه وتعالى sebagai saham di akhirat dan mendapat ganjaran syurga yang dijanjikanNya.
Selamat berehat sahabat seperjuanganku...


Sila kongsi artikel ini...

IKRAM: TUBUH SURUHANJAYA DIRAJA SIASAT DAKWAAN WANG RM2.6 BILLION DALAM AKAUN PERDANA MENTERI

5:15 AM 0 Comments A+ a-



TUBUH SURUHANJAYA DIRAJA SIASAT DAKWAAN WANG RM2.6 BILLION DALAM AKAUN PERDANA MENTERI




Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang serius dakwaan akhbar The Wall Street Journal(WSJ) pada 2 Julai dan juga laporan portal Sarawak Report juga pada 2 Julai 2015 tentang aliran kemasukan wang berjumlah RM2.6 billion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Mohamad Najib Tun Razak.

Sesungguhnya dakwaan tersebut amat berat kerana ia melibatkan bukan sahaja peribadi Perdana Menteri tetapi juga imej dan nama baik negara.

Laporan dari portal Sarawak Report juga menyebutkan dan melakarkan bagaimana aliran wang tersebut yang dipercayai bersumberkan dari transaksi perniagaan 1MDB yang sedang tenat dengan hutang yang menggunung berjumlah RM41.8 billion.

Sehubungan dengan isu ini, IKRAM mengalu-alukan laporan yang menyebut bahawa Dato’ Seri Najib bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua-dua pihak sambil menafikan bahawa beliau ada menerima dan menggunakan wang tersebut atas kapasiti peribadi.

Bagaimanapun, IKRAM mencadangkan supaya satu Suruhanjaya Diraja yang diselia di bawah kuasa DYMM Yang Dipertuan Agung yang bersifat bebas dan adil ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan yang melibatkan Perdana Menteri tersebut.

Dengan cara ini, Perdana Menteri dapat membersihkan namanya serta mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap kepimpinan beliau sekiranya dakwaan tersebut terbukti tidak benar.






DR MOHD PARID SHEIKH AHMAD

Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)


Sila kongsi artikel ini...

Duit 1MDB USD 700 Juta ke Akaun Peribadi PM.

5:12 AM 0 Comments A+ a-

Duit 1MDB USD 700 Juta ke Akaun Peribadi PM.

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

1. Pendedahan yang dibuat oleh akhbar Wall Street Journal yang bertarikh 2 Julai 2015, yang mengaitkan perpindahan wang 1MDB ke akaun peribadi PM Dato' Seri Najib Razak sebanyak USD 700 juta (RM 2.67 billion) adalah suatu mengejutkan banyak pihak.

2.  Dakwaan ini sangat serius kerana ia melibatkan imej negara, lebih-lebih lagi Malaysia yang diuar-uarkan sebagai negara Islam contoh. Tindakan memindahkan wang negara ke dalam akaun peribadi seorang Perdana Menteri adalah bukti ketirisan dan penyelewengan.

3.  Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak wajib menjawab segala dakwaan ini bagi membersihkan imej negara. Sekiranya dakwaan ini tidak benar, beliau dicabar untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Wall Street Journal.

4. Satu persatu penyelewengan dan ketirisan didedahkan sepanjang pemerintahan UMNO dan BN, menandakan kegagalan Parti pemerintah menerajui negara, sudah hampir ke penghujungnya. Semua slogan cekap, efisyen , transformasi dan sebagainya adalah laungan palsu dan penuh dengan penipuan.  

Sekian.


Sila kongsi artikel ini...

Test

5:06 AM 0 Comments A+ a-

Hello world


Sila kongsi artikel ini...

PSM Menyeru Rakyat Fokus kepada Isu Marhaen & Keadaan Ekonomi Malaysia

1:29 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN PSM - 5 JULAI 2015 -
PSM MENYERU RAKYAT FOKUS KEPADA ISU MARHAEN & KEADAAN EKONOMI MALAYSIA

5 July 2015


Parti Sosialis Malaysia, amat risau tentang polemik politik yang sedang berlangsung dikalangan rakyat dan juga ahli politik, pemerintah mahupun pembangkang. Seola-olah tiada isu rakyat yang lebih penting daripada isu 1MDB, Mara, pertelingkahan Tun M dan Najib.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mencadangkan semua pihak tidak terlalu terikut-ikut dengan pergaduhan di antara Dr Mahathir dengan Najib Razak. Ianya lebih kepada pergaduhan di antara 2 kem pemodal (kapitalis), di mana siapa pun yang menang di antara keduanya, Malaysia tetap akan menjadi mangsa melalui dasar dan sistem polisi ekonomi neoliberal yang sama.

PSM menyeru kepada semua pihak mengalihkan fokus kepada kejadian penting yang melanda rakyat pekerja setiap hari. Kilang JVC dan (beberapa lagi dikatakan bakal menurut langkah) menutup operasinya di Selangor dan berpindah ke Thailand. Mengakibatkan kehilangan lebih 500 pekerjaan. Ini adalah satu lagi kejadian selepas kehilangan kerja lebih 6000 pekerja penerbangan Nasional MAS.

Pada masa semua peniagaan dan syarikat swasta berusaha untuk mengurangkan kos dengan mengecilkan tenaga pekerja, adakah kita terfikir bagaimanakah pekerja yang dihentikan ini akan memperolehi kerja ditempat lain?

Trend ini sangat membimbangkan. Kita perlu duduk dan mencari jalan bersama. Seruan pihak PSM dan juga pihak kesatuan sekerja menuntut Kerajaan menubuhkan sebuah tabung bantuan khas pemberhentian kerja juga tidak dipedulikan oleh Kementerian Sumber Manusia.

i. Apakah ianya kesan dari pembangunan Terusan Kra di Thailand?

ii. Adakah ianya kesan dari nilai ringgit yang hilang kuasa saingannya?

iii. Adakah ianya kesan dari indeks rasuah dan karenah birokrasi Malaysia?

iv. Adakah kita gagal 'mencuri' teknologi kilang tersebut selama ianya beroperasi di Malaysia bagi mewujudkan jenama sendiri sekaligus membentuk peluang pekerjaan dan peluang pasaran sendiri?

v. Adakah saingan kos buruh rendah yang menjadi punca sehingga ratus ribu pekerja asing lagi perlu dibawa masuk?

Oleh itu, PSM menjemput semua parti politik, NGO, mahasiswa dan tokoh-tokoh akademik untuk fokus kepada isu-isu penting yang melanda rakyat jelata. Hanya apabila rakyat fahami kepentingan untuk menukarkan acuan ekonomi dan politik masa kini, mereka akan terus melanjutkan visi perjuangan ketahap yang lebih tinggi.



Memperkasakan perjuangan rakyat marhaen.



Khairul Nizam bin Abd Ghani Aduka Taruna)

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM/

Pengerusi Unit Kelantan PSM.


Sila kongsi artikel ini...

DAP: Khaled Nordin dan UMNO Johor Perlu Beri Penjelasan

1:23 AM 0 Comments A+ a-



Khaled Nordin dan UMNO Johor Perlu Beri Penjelasan


Berikutan penularan SMS dan aksi samseng yang ditunjukkan oleh sekumpulan individu berbaju merah menyerang program Sembang Kedai Kopi bersama Saudara Lim Kit Siang, DAPSY Johor membantah keras serangan tersebut. Program Sembang Kedai Kopi ini adalah satu program bertemu dengan rakyat. Sementelah, Saudara Lim Kit Siang dan Saudara Liew Chin Tong adalah merupakan Ahli Dewan Rakyat.

Program Sembang Kedai Kopi ini tidak menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang negara. DAPSY Johor mendesak pihak Polis DiRaja Malaysia untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan berbaju merah ini. Mereka melempar ugutan sehingga mengeluarkan perkataan “Kalau dia tak keluar, dia mati atau saya mati”. Apakah pihak PDRM Johor akan terus berdiam diri dan mengamalkan dua set undang-undang?

Sekalipun UMNO Johor dan sekutu mereka tidak bersetuju dengan penganjuran program ini, mereka sepatutnya mengadakan satu himpunan membantah secara aman. Bukannya menonjolkan aksi penuh samseng ini. Insiden ganas melampau ini berlaku di kawasan di dalam DUN Permas, iaitu kawasan DUN Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Khaled Nordin. Malahan, YAB Khaled Nordin juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang. Maka, Khaled Nordin bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden ini. DAPSY Johor dengan ini mendesak Khaled Nordin dan UMNO Johor untuk memberikan penjelasan berhubung perkara ini.

Bagaimanakah kumpulan baju merah ini boleh mengeluarkan fatwa Jihad memerangi DAP? Adakah ini contoh akhlak Islam yang ingin ditonjolkan oleh UMNO Johor dan Khaled Nordin. Menjerit dan memaki hamun serta mencarut di dalam bulan yang penuh keberkatan, Ramadhan Al Mubarak. DAPSY Johor ingin menasihatkan Khaled Nordin dan UMNO Johor agar tidak mencemari bulan Ramadhan ini dengan keganasan atas nama politik dan menyuburkan amalan perkauman di negeri ini.

Kenyataan bersama

Ee Chin Li
Ketua DAPSY Johor

Lu Yong Suh
Setiausaha DAPSY Johor

Ahmad Anwar Asyraf
Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Johor


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.