IKRAM: TUBUH SURUHANJAYA DIRAJA SIASAT DAKWAAN WANG RM2.6 BILLION DALAM AKAUN PERDANA MENTERI
TUBUH SURUHANJAYA DIRAJA SIASAT DAKWAAN WANG RM2.6 BILLION DALAM AKAUN PERDANA MENTERI
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang serius dakwaan akhbar The Wall Street Journal(WSJ) pada 2 Julai dan juga laporan portal Sarawak Report juga pada 2 Julai 2015 tentang aliran kemasukan wang berjumlah RM2.6 billion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Mohamad Najib Tun Razak.
Sesungguhnya dakwaan tersebut amat berat kerana ia melibatkan bukan sahaja peribadi Perdana Menteri tetapi juga imej dan nama baik negara.
Laporan dari portal Sarawak Report juga menyebutkan dan melakarkan bagaimana aliran wang tersebut yang dipercayai bersumberkan dari transaksi perniagaan 1MDB yang sedang tenat dengan hutang yang menggunung berjumlah RM41.8 billion.
Sehubungan dengan isu ini, IKRAM mengalu-alukan laporan yang menyebut bahawa Dato’ Seri Najib bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua-dua pihak sambil menafikan bahawa beliau ada menerima dan menggunakan wang tersebut atas kapasiti peribadi.
Bagaimanapun, IKRAM mencadangkan supaya satu Suruhanjaya Diraja yang diselia di bawah kuasa DYMM Yang Dipertuan Agung yang bersifat bebas dan adil ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan yang melibatkan Perdana Menteri tersebut.
Dengan cara ini, Perdana Menteri dapat membersihkan namanya serta mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap kepimpinan beliau sekiranya dakwaan tersebut terbukti tidak benar.
DR MOHD PARID SHEIKH AHMAD
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
Sila kongsi artikel ini...