Warkah Buat Ahli Ikram: Menjawap Fitnah Terhadap IKRAM

11:49 PM 0 Comments A+ a-



Assalamu’alaikum wbt.

Ikhwah dan akhawat ahli-ahli IKRAM yang dikasihi sekalian. Senyum bebanyak :) Ramadan Kareem

Menemui semua ahli-ahli IKRAM semoga semuanya sedang gigih mengambil peluang hari-hari terakhir Ramadan untuk melipatgandakan amalan pada bulan yang hanya tiba setahun sekali ini.

Ini adalah warkah kedua selepas warkah pertama yang dinukilkan juga pada hujung Ramadan, tahun lepas.

Nampaknya pada setiap Ramadan kita diuji dengan pelbagai ujian yang menuntut kesabaran yang amat tinggi. Pada Ramadan tahun lepas kita diuji dengan tohmhan terhadap Gerakan Rakyat Negara-Ku yang kita memainkan peranan penting bagi mengasaskannya.

Kita ditohmah bahawa kita telah memberi wala’ kepada orang kafir. Satu tohmahan yang amat serius yang orang berilmu tidak akan semudah itu menjatuhkan hukuman yang begitu berat kepada saudaranya.

Walau bagaimanapun, kami bersyukur kerana antum bertindak dengan matang setiap kali timbul fitnah begini. Antum kelihatan lebih tenang dan melakukan semakan-semakan (“tabayyun”) dengan bijaksana. Kita juga tidak membalas kata-kata keji dengan kejian juga. Alhamdulillah. Ini antara petanda kejayaan proses tarbiah kita yang semakin mantap dari masa ke semasa.

Kami juga bersyukur dengan berlipatkan gandanya amalan kita pada Ramadan kali ini. Sambutan yang sungguh hebat kepada program-program seperti Ijtimak Ramadan, 3R (Remaja/Rijal Raikan Ramadan), majlis-majlis tadarus di taman-taman dan daerah-daerah merupakan antara petanda yang baik.

Program kebajikan dan sumbangan serta menyantuni rakyat miskin, anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan amat meluas sekali pada tahun ini: dari Perlis hingga ke Sabah. Tahniah kepada semua!

KETEGANGAN KAUM

Jika kita masih ingat, Negara-Ku diwujudkan dalam suasana terdapat pihak yang seolah-olah cuba menimbulkan ketegangan dan konflik perkauman dengan menuduh kaum Cina sebagai penceroboh dan meminta kaum Cina keluar dari Negera Malaysia.

Beberapa kalangan dari kaum Cina telah bertindak balas dan terjadi suasana yang agak tegang ketika itu. Pada masa yang sama terdapat elemen yang mendesak agar Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia.

Dalam suasana begitulah, sekumpulan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan latar belakang telah mengambil inisiatif menubuhkan Gerakan Rakyat Negara-Ku bertujuan untuk menghentikan seruan-seruan perkauman sempit dan mengajak rakyat Malaysia untuk kembali mendokong Perlembagaan Malaysia, Perjanjian Malaysia dan Rukun Negara.

Alhamdulillah, ketegangan yang wujud pada masa itu dapat dikendurkan dan negara terselamat dari terjerumus ke dalam konflik perkauman.

Namun, pada Ramadan tahun ini konflik perkauman sekali lagi hampir tercetus atas peristiwa di Low Yat. Kejadian yang disebut oleh pihak polis sebagai kesalahan mencuri telah cuba dijadikan ia sebagai peristiwa Cina vs Melayu. Pejuang perkauman sempit akan sentiasa mengintai untuk mengeksploitasi apa sahaja peristiwa bagi menjadikannya isu perkauman… Daripada isu makan dalam talam sehinggalah kepada isu kecurian di Low Yat.

IKRAM akan sentiasa menjadi pihak yang akan berusaha untuk memastikan Malaysia menjadi negara yang aman dan sejahtera kerana itulah pendekatan yang diambil oleh Rasulullah s.a.w., sentiasa menganjurkan keamanan dan menolak usaha bagi menimbulkan pergaduhan. Islam haruslah menjadi agama yang menyeru kepada rahmat untuk seluruh alam selari dengan misi pengutusan Rasulullah s.a.w:

“Dan tiadalah kami mengutus kamu (Wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.” (Al-Anbiaa’: 107)

USAHA DAKWAH DAN HIDAYAH CENTRE FOUNDATION (HCF)

Satu lagi fitnah yang timbul pada Ramadan kali ini adalah apabila Hidayah Centre menjemput beberapa orang tokoh masyarakat bukan Islam untuk turut hadir ke Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre. Kehadiran Datuk Ambiga dan YB Tian Chua ke majlis tersebut sebagai tetamu telah ditohmah sebagai mengagungkan orang kafir dan memberi kedudukan yang tidak sewajarnya kepada musuh Islam.

Ambiga telah hadir dari awal bagi mengikuti sesi forum bersama Ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman Ustaz Fitri Abdullah dan Dr Nur Athiroh. Rakaman penuh forum tersebut boleh ditonton di sini:

http://ikram.org.my/domain/sub/projek/tv/trial/index.php/player/11/251

Inilah bezanya fikrah dan pendekatan kita. Kita sentiasa memakai “topi dakwah” sebelum memakai topi-topi lain. Manakala yang mudah menghukum biasanya memakai “topi hakim” dan penghukum.

Ini selari dengan Misi IKRAM yang pertama yang menyebut:

“Melaksanakan dakwah dalam usaha meyakinkan masyarakat bahawa Islam adalah satu-satunya sistem hidup yang mampu menyelesaikan semua permasalahan.”

Juga kita berpegang kepada ayat Al-Quran, Surah An-Nahl ayat 125 yang bermaksud:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Tugas kita adalah mengajak manusia kepada Islam dengan uslub yang sebijaksana mungkin. Tugas kita adalah untuk meng “in” kan manusia ke dalam Islam dan bukan untuk meng “out” kan manusia. Tugas untuk meng “out” manusia memang mudah dan kita tidak mengambil pendekatan yang mudah itu.

IKRAM, IRC DAN LAIN-LAIN

Satu lagi fitnah yang agak berleluasa pada Ramadan kali ini adalah berkaitan isu IRC, HIS, JIM, IKRAM. Kita jangkakan isu ini hanya bersemarak ketika kempen pemilihan parti seperti yang berlaku saban kali ada pemilihan tersebut. Namun nampaknya ia telah melimpah dan mencemarkan bulan Ramadan yang penuh rahmah dan berkat ini.

Dengan maklumat yang terhad dan andaian-andaian yang diada-adakan, isu ini telah diolah bagi memecah belahkan saf perjuangan Islam. Entah berapa kali kertas yang telah ditolak itu dikitar semula. IKRAM cuba digambarkan sebagai jamaah jahat yang cuba merosakkan parti dan organisasi lain.

Umpamanya dalam kes YB Saari Sungib dan YB Hasnol Baharudin, cuba digambarkan bahawa itu semua adalah dirancang dan ‘orchestrated” oleh IKRAM. Sebagai SUA IKRAM, saya ingin menafikan dengan sekeras-kerasnya tuduhan dan fitnah jahat tersebut.

Saya ingin sarankan kepada yang membuat tuduhan tersebut untuk merujuk kepada surat daripada YB Saari kepada Majlis Syura Ulama PAS bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dihantar kepadanya.

Dalam surat tersebut, ditulis dengan sangat jelas dan terperinci rasional dan sebab-sebab tindakan yang telah diambil. Mari kita sarankan kepada semua pimpinan gerakan Islam agar kita terus bergerak ke hadapan (“move forward”) dalam dunia dakwah dan siasah di negara ini bagi mebangunkan masyarakat dan negara dengan saling hormat menghormati dan bekerjasama dalam perkara yang boleh disepakati dan saling maaf memaafkan dan bertolak ansur dalam perkara yang tidak dapat kita sepakati seperti yang dipesan oleh Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna.

IKRAM DAN PARTI BARU

Ikhwah dan akhawat yang dikasihi sekalian.

Pendirian kita tentang kepentingan mewujudkan sistem dwi parti telah diperjelaskan banyak kali. Dalam sistem demokrasi terutamanya yang mengamalkan sistem “first past the post” kewujudan system dwi parti amat penting. Ia membolehkan proses “semak dan imbang” dapat berlaku dengan berkesan dan akan banyak menguntungkan rakyat.

Buktinya telah jelas kita lihat semasa dan selepas PRU-12 dan PRU-13 di mana pihak pemerintah lebih mementingkan kepentingan rakyat dan tidak berbuat sesuka hati yang boleh merugikan negara dan rakyat.

Sebab itu apabila sistem dwi parti yang telah agak kukuh ini tergugat kita melahirkan kerisauan kita. Dengan sebab itu apabila terdapat usaha bagi mengukuhkan kembali sistem dwi parti ini, kita amat mengalu-alukannya. Insya-Allah, akan ada ahli-ahli kita yang berkemampuan dan punyai minat yang akan terlibat secara langsung dalam proses ini.

Adapun IKRAM sebagai sebuah gerakan Islam dan NGO Islam akan meneruskan malah memperhebatkan, insyaAllah, usaha-usaha dalam bidang Dakwah, Tarbiah dan Kebajikan yang banyak telah kita lakukan semenjak IKRAM ditubuhkan lima tahun dahulu.

Manakala ahli-ahli IKRAM yang akan terlibat dalam parti baru yang akan ditubuhkan akan diminta melepaskan jawatan-jawatan eksekutif dalam IKRAM agar tidak berlaku sebarang “conflict of interest” nanti.

Juga marilah kita aminkan munajat Ustaz Hasrizal seperti yang dinukilkan di FB beliau:

“Menubuhkan parti baru ini memang bukan pilihan terbaik. Ada banyak hujah untuk langkah ini diperlekeh sama ada dalam bahasa jurnalis mahu pun akademik. Tetapi krisis PAS tidak meninggalkan banyak pilihan.

Justeru, kuatkan azam, bangkitlah biar pun dalam seribu kepayahan, dengan semangat inklusif itu, ramai saudara Islam dalam pelbagai NGO, insya-Allah akan bersama. Non-Muslim juga disantuni dengan akhlaq dan perkongsian pendidikan.

Mencela ‘kuffar’ itu sikapnya seolah-olah kita tiada tanggungjawab dakwah ke atas mereka.

Hulurkan salam persaudaraan dan persahabatan.
Sesungguhnya itulah munajatku di penghujung Ramadan ini.”

SALAM ‘EIDUL FITRI

Akhirnya saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Eidul Fitri kepada semua. Moga Allah swt menerima segala amalan kita sepanjang bulan Ramadan dan berjaya meningkatkan darjat ketaqwaan kita… Mohon maaf atas segala kesilapan, kelemahan dan kekurangan. Mari kita sama-sama berdoa agar Allah s.w.t. memberi kita kekuatan, menyatukan hati-hati kita bagi meneruskan usaha bagi menegakkan kebenaran dan keadilan ini.

Hanya Allah s.w.t. yang dapat membantu kita bagi melaksanakan tugas yang berat ini. Kita doakan agar kita terus istiqamah agar kita semua menemui Pencipta kita dalam keadaan masih berjuang dan berjihad pada jalan Allah seperti yang kita sering ungkapkan dalam Doa Rabithah kita.

Kullu 'aam wa antum bikhair...
Teruskan dengan senyuman dan saling bermaafan sebagai tanda menyambut kemenangan setelah melalui madrasah tarbiah sebulan bulan Ramadan.

Kepada Allah kita bertawakkal dan berserah.
Wassalam

Daripada SUA antum

Hj Nahar Md Nor

29 Ramadan 1436H
15 Julai 2015M


Sila kongsi artikel ini...

Misi RETURN2AQSA4 (R2A4) Berjaya Salurkan RM734,290 Kepada Pelarian Palestin dan Syria dI Lubnan

11:39 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
HUMANITARIAN CARE MALAYSIA (MyCARE)
15 Julai 2015 bersamaan 28 Ramadhan 1436H

MISI RETURN2AQSA4 (R2A4) BERJAYA SALURKAN RM734,290 KEPADA PELARIAN PALESTIN DAN SYRIA DI LUBNAN

Sempena bulan Ramadhan yang penuh barakah ini, MyCARE melalui agensinya, Aqsa Syarif dan i4Syria (i4S) telah menyantuni pelarian Palestin dan Syria di kem-kem pelarian di Lubnan menerusi Misi RETURN2AQSA4 (R2A4). Ini adalah misi keempat sejak tahun 2010 yang disusun hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui 'Kempen Raikan Ramadhan MyCARE', tabung 'Rayuan Ramadhan' dengan kerjasama Pertubuhan IKRAM Malaysia, 'Tabung Pembangunan Semula Gaza' dengan kerjasama Econsave Cash & Carry dan sumbangan melalui IKRAM Health.

Misi 6 hari (dari 9 - 14 Julai 2015) ini diketuai oleh Ar. Syed Mohd Radhi Syed Sakkaf, Ahli Lembaga Pemegang Amanah (BoT) MyCARE diiringi 5 orang lagi ahli misi iaitu:

1. Ustaz Mohd Fairooz Mohd Fathillah (Ahli Lembaga Pemegang Amanah (BoT) MyCARE / wakil i4Syria)
2. Muhammad Hussaini Khairudin (Pengurus Projek Aqsa Syarif)
3. Dr. Abdul Halim Sibghatullah (wakil IKRAM Health)
4. Mohd Kamal Fitri Mohd Ghazali (wakil MyCARE Selangor merangkap Bendahari misi)
5. Zool Fadli Hamzah (wakil MyCARE Pahang merangkap AJK Media misi).

Alhamdulillah, sepanjang 6 hari di Lubnan, Misi R2A4 telah berjaya melaksanakan aktiviti-aktiviti berikut:

1. Melakukan kunjungan hormat ke Kedutaan Malaysia di Lubnan dan berjumpa dengan duta Malaysia di sana, Bala Chandran Tharman
2. Menyerahkan bantuan Ramadhan berupa iftar, pek makanan dan pakaian hari raya bernilai RM410,000 kepada pelarian Palestin dan Syria di 10 lokasi iaitu:

a. Kem Burj El-Barajna dan Kem Shatilla di Beirut
b. Kem Burj El-Shemali, Perkampungan Qasimiyah, Kem Al Buss dan Perkampungan Syabrihah di Tyre
c. Pusat Perlindungan al-Jalil, Pusat Perlindungan Lian dan Pusat Perlindungan al-Abrar di Beeka
d. Kem Bidawi di Tripoli

3. Menyerahkan bantuan bernilai RM203,800 kepada Pusat Kesihatan al-Inayah, Hamzah dan Burj el Shemali hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui pasaraya Econsave Cash & Carry
4. Menyerahkan bantuan Ramadhan berupa iftar bernilai RM100,000 kepada keluarga pelarian Syria di Lubnan hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui Rayuan Ramadhan Pertubuhan IKRAM Malaysia
5. Menyerahkan bantuan pengurusan kem dan kos perubatan 4 orang pesakit kronik di Kem Beeka bernilai RM11,800 sumbangan IKRAM Health
6. Menyerahkan bantuan bernilai RM10,000 untuk pembelian 4 laptop dan 1 mesin pencetak (printer) untuk Pusat Aktiviti Anak Yatim di Kem Burj el-Barajna, Beirut
7. Menyerahkan bantuan bernilai RM5,385 kepada 21 orang fakir miskin
8. Menyerahkan bantuan bernilai RM3,800 untuk pembiayaan aktiviti kanak-kanak di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Khas Al-Hanin, Tripoli
9. Mengenalpasti beberapa keperluan jangka panjang di kem, perkampungan, pusat perlindungan, hospital dan pusat aktiviti kanak-kanak yang dilawati untuk projek-projek akan datang

Jumlah keseluruhan bantuan Ramadhan yang telah berjaya disampaikan melalui Misi R2A4 ini ialah sebanyak RM734,290.00.
MyCARE ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah menyumbang ke Palestin dan Syria melalui Aqsa Syarif dan i4Syria (i4S) dan memberi kepercayaan kepada kami untuk menguruskan sumbangan-sumbangan anda. Tanpa sokongan, kepercayaan dan sumbangan anda, Misi R2A4 ini tidak akan mampu dilaksanakan dengan jayanya. Penghargaan juga kepada Pertubuhan IKRAM Malaysia, pasaraya Econsave Cash & Carry, IKRAM Health dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan misi pada kali ini. Semoga Allah SWT menerima amal kita dan semoga pelarian yang kita bantu dapat meraikan Ramadhan dan Aidil Fitri pada tahun ini dalam suasana penuh rahmah. 'Ibadah kita, kegembiraan mereka'. Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor.
Pengerusi MyCARE.


Sila kongsi artikel ini...

IKRAM: Selamat Berjuang Buat Gerakan Harapan Baru

6:53 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
15 Julai 2015 bersamaan 28 Ramadan 1436H

Selamat Berjuang Buat Gerakan Harapan Baru


Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) konsisten menyokong kepelbagaian parti-parti politik yang bakal hadir ke Parlimen Malaysia dari masa ke masa. Konsep dwiparti yang mewujudkan semak dan imbang akan benar-benar menguntungkan negara dan rakyat Malaysia.

IKRAM merasakan semua NGO yang diwujudkan, selagi mana memelihara dan menghormati Perlembagaan Malaysia, Rukun Negara dan Perjanjian Malaysia dengan objektif dan aktiviti yang tersendiri, tentunya sedikit sebanyak boleh memberikan keuntungan yang sama.

IKRAM akan kekal mengadakan 'engagement' dengan pelbagai pihak termasuk PAS, UMNO, PKR, DAP dan pelbagai parti politik dan NGO lain.

IKRAM bersama ahli-ahlinya yang terlatih dan berpengalaman, serta berbekalkan dengan ilmu Islam dan ilmu-ilmu lainnya akan cuba mengurus sebarang perbezaan ketika berinteraksi dengan mereka.

Maka, IKRAM dengan ini mengalu-alukan kelahiran GERAKAN HARAPAN BARU, sebuah NGO yang mendukungi Islam yang syumul dengan pendekatan yang inklusif, progresif dan peduli kepada rakyat.

IKRAM ingin mengingatkan pelbagai pihak agar tidak perlu cemburu, sempit fikiran, sebak dada dan merasakan HARAPAN BARU sebagai pesaing mereka, kerana mereka adalah satu lagi suara gelombang rakyat yang muncul dengan membawa pemikiran yang bakal menguntungkan negara dan ummah.

Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus

Timbalan Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia


Sila kongsi artikel ini...

Muafakat Baru Menumbangkan UMNO/BARISAN NASIONAL - Rafizi

6:48 PM 0 Comments A+ a-



15 JULAI 2015

MUAFAKAT BARU MENUMBANGKAN UMNO/BARISAN NASIONAL

Saya menyambut baik pengumuman dan pelancaran Gerakan Harapan Baru yang mengumpulkan ahli-ahli Parlimen, ADUN dan aktivis yang mempunyai rekod teruji menentang Umno/Barisan Nasional. Gerakan yang diketuai oleh YBhg Tuan Haji Mohamad Sabu dan dipimpin oleh tokoh-tokoh yang telah lama berjuang menentang Umno/Barisan Nasional ini adalah satu perkembangan baik pada kala rakyat mencari-cari jawapan kepada pelbagai kemelut politik, ekonomi dan sosial yang melanda negara sekarang.


Saya kenal rapat dengan tokoh-tokoh ini dan telah bersama-sama mereka memperjuangkan isu rakyat selama ini. Malah, rekod mereka berjuang untuk membawa perubahan di dalam negara adalah berkali ganda lebih lama dari saya dan pimpinan muda yang lain.

Oleh itu, saya mengalu-alukan iltizam mereka untuk terus berjuang menentang Umno/Barisan Nasional. Saya akan memberi sepenuh sokongan dan kerjasama kepada mereka untuk menjana gelombang rakyat menumpaskan Umno/Barisan Nasional menjelang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14). Saya akan menyertai jelajah yang dianjurkan oleh Gerakan Harapan Baru selepas Aidilfitri.

Saya yakin pelancaran Gerakan Harapan Baru ini akan merintis kepada satu muafakat baru yang menyatukan semua pihak yang mahukan perubahan untuk menumpaskan Umno/Barisan Nasional menjelang PRU14.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN


Sila kongsi artikel ini...

PKR: Laporan Interim Ketua Audit Negara Perlu Didedahkan pada Umum

3:30 PM 0 Comments A+ a-



LAPORAN INTERIM KETUA AUDIT NEGARA PERLU DIDEDAHKAN KEPADA UMUM

Saya merujuk kepada kenyataan Menteri Kewangan II, Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang meminta pengkritik 1MDB, agar menghentikan dakwaan tidak berasas kerana, Laporan Interim Ketua Audit Negara terhadap 1MDB, tidak menunjukkan bukti wujudnya salahlaku. Bagaimanapun, Laporan Interim Ketua Audit Negara ini, tidak didedahkan kepada umum.

Amatlah tidak adil dan tidak wajar untuk merujuk isi kandungan dokumen yang kononnya menyatakan, tiada sebarang bukti salahlaku, walhal orang ramai tidak boleh mengesahkan kesahihan kenyataan tersebut. Kenyataan Husni bukan sahaja tidak memperjelaskan isu sebenar, malah ia menambah kekalutan dan cuba mengelirukan orang ramai hakikat sebenar yang berlaku. Ini kerana orang ramai dihalang dari membaca laporan tersebut, bagaimana boleh menyimpulkan sama ada kenyataan Husni itu benar atau palsu.

Ketua Audit Negara telah diarah Perdana Menteri dan Kabinet untuk menjalankan audit, bagi memastikan sama ada sebarang salahlaku berlaku di dalam operasi dan pengurusan 1MDB. Jumlah hutang yang mencecah RM42 bilion amat merisaukan orang ramai, terutama pelabur antarabangsa dan tempatan. Oleh kerana audit ini dilakukan dengan tujuan untuk memberikan pendedahan sepenuhnya operasi dan pengurusan 1MDB kepada umum, maka saya menggesa agar Laporan Interim Ketua Audit Negara ini didedahkan kepada umum serta-merta.

Pada masa yang sama, orang ramai faham bahawa dokumen tersebut hanyalah laporan interim dan Ketua Audit Negara, mungkin belum boleh memberikan kata putus mengenai isu ini. Namun, ia tidak harus dijadikan alasan untuk tidak mendedahkan laporan kepada umum. Orang ramai memahami bahawa dokumen ini hanyalah sebuah laporan interim dan keputusan muktamad hanya boleh diperolehi daripada laporan penuh nanti.

Bagaimanapun, oleh kerana masalah yang timbul akibat 1MBD ini cukup berkait dan mendatangkan kesan kepada pasaran serta ekonomi, khususnya ia mempengaruhi keputusan dan sentimen pelabur, termasuk dalam isu nilaian matawang Ringgit, maka Laporan Interim Ketua Audit Negara ini perlu didedahkan sekarang.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN

15 Julai 2015


Sila kongsi artikel ini...

Setia Dengan Kebenaran - Ustaz Hasrizal

12:03 PM 0 Comments A+ a-



SETIA DENGAN KEBENARAN

Jawapan UHAJ terhadap tuduhan Dr Zuhdi kepada GHB di sini http://www.pas.org.my/…/5238-parti-baru-mendukung-gagasan-m…

Bismillah.

Saya bukan ahli politik. Pembabitan saya di dalam PAS banyak berkisar di daerah perkaderan. Saya memilih untuk berada di ruang perkaderan kerana saya suka dengan anak muda. Bagi saya, untuk melihat perubahan, ia boleh dibuat di semua peringkat, tetapi mengusahakannya di peringkat anak muda adalah yang terbaik.

Namun usaha ini kena sabar sebab hasilnya perlu menunggu mungkin sekitar 5 ke 10 tahun. Saya memilih untuk berada di perkaderan supaya kedudukan saya di dalam PAS tidak terlalu bawah sehingga pendapat saya tidak berharga, dan tidak naik ke atas sehingga saya perlu berpolitik. Saya tiada bakat politik, dan sentiasa mengelak daripada sampai ke daerah PAS sebagai parti politik.

Namun itu tidak bermakna saya naif dengan politik.

Dalam urusan perkaderan, subjek paling berharga ialah (i) pemikiran (ii) karakter (iii) wacana bersifat futuristik

Ketika memegang jawatan kecil di dalam sebuah unit di bawah DPPP bermula daripada sekitar tahun 2005, agenda saya dan rakan-rakan ketika itu adalah menyuntik perubahan kepada pemikiran dan pendekatan dakwah PAS, khususnya di peringkat kampus. Dari segi pemikiran, agenda ketika itu ialah menautkan kembali Sunnatullah dan Syariatullah. Ia akan menyentuh tentang sinergi antara sains dan agama, 'profesional' dan agamawan, kepentingan asbab dan ketinggian tawakkal dan doa, yang menjadikan siapa sahaja di dalam PAS sama penting kerana saling lengkap melengkapkan.

Wacana "Apa Erti Saya Menganut Islam" versi 'segar' digerakkan di seluruh negara, malah di luar negara juga. Hasratnya, adalah supaya aktivis PAS mempunyai minda yang dinamik, boleh melakukan integrasi disiplin ilmu tanpa sebarang sumbatan kognitif disebabkan oleh 'sekularisme versi ambil sains tolak agama', mahu pun 'sekularisme versi ambil agama tolak sains'.

Pada masa itu juga, saya tekankan bahawa gerakan Islam mempunyai dua agenda. Agenda pertamanya adalah untuk bertindak balas terhadap kehilangan kuasa politik pasca kejatuhan Dawlah Uthmaniyyah 1924. Manakala agenda keduanya pula adalah untuk bertindak belas terhadap Barat. Mahasiswa dan mahasiswi yang mengikuti wacana saya di blog saifulislam.com ketika itu tentu tidak lupa, bagaimana banyaknya saya tekankan, pentingnya bagi amilin gerakan Islam belajar tentang sejarah Eropah Moden, agar mereka menguasai latar belakang kepada ideologi dan sistem semasa, yang akar umbinya adalah di dalam sejarah era tersebut.

Tetapi pada masa itu, saya dan tim di dalam unit berkenaan perlu banyak bersabar sebab mahasiswa mahasiswi pro PAS ramai yang lemah dari segi pembacaan, malas dan banyak beralasan, tidak kurang yang lemah akademik dan karenah-karenah itu banyak yang mengesahkan dakwaan Fathi Aris Omar dalam wacana Di Bawah Mendung Usrah, bahawa usrah adalah agenda pembodohan. Memang ia berlaku, sebab yang datang usrah malas baca buku, malas berfikir, namun berkeinginan tinggi untuk bercakap benda-benda besar. Semua itu tidak kami nafikan, tetapi kami mengambilnya sebagai tugas untuk membetulkan keadaan.

Agenda memperbaiki PAS dan membawa gelombang pemikiran baru di kalangan anak muda berjalan lancar. Kemuncaknya ialah apabila Ustaz Nasruddin Tantawi dan Ustaz Nik Abduh menjemput saya dan beberapa rakan untuk hadir ke sebuah mesyuarat dengan agenda menyemak Tarbiah, tetapi pada masa yang sama, mengusulkan pembentukan Ulama Pelapis PAS! Jika tidak silap saya, mesyuarat itu adalah sekitar Disember 2007. Wah, ini sudah luar biasa. Saya hanya berharap agar anak muda yang berubah. Tetapi jika ulama pun mahu berubah, ia seperti pucuk dicita ulam mendatang.

Tetapi perubahannya terjadi bermula pada sekitar tahun 2008. Kepulangan ustaz-ustaz muda dari luar negara, membawa idea yang berbeza. Saya mengambil beban kesalahan kerana pada sekitar tahun itu saya amat sibuk dengan kerja, dan dengan rela hati mengundurkan dari daripada unit yang didiami selama ini. Laluan diberikan kepada ustaz-ustaz muda ini tanpa sebarang prasangka.

Akan tetapi sedikit demi sedikit, saya semakin tidak berkenan dengan wacana yang dibawa. Kupasan saya tentang konsep Kepimpinan Ulama dibalas dengan sanggahan yang membimbangkan. Tidak mengapa jika pandangan saya tidak ditanggap dengan tepat lalu saya dituduh cuba menyamakan ulama Islam dengan paderi gereja zaman gelap Eropah.

Tetapi yang lebih saya khuatirkan ialah apabila logik yang dibawa untuk mempertahankan Kepimpinan Ulama ketika itu ialah, "jika ulama memimpin, ulama merujuk kepada Allah dan Rasul, dan kepimpinannya Allah bantu. Tetapi jika profesional memimpin, mereka hanya menggunakan logik akal. Justeru kamu mahu kepimpinan yang bagaimana?"

Soalan ini sangat berbahaya.

Saya bertengkar dengan rakan-rakan profesional kerana mereka 'buy' idea ini. Saya dukacita sebab graduan-graduan UK yang pro PAS, mereka ini di kaca mata negara adalah aset. Tetapi apabila mereka berada di dalam PAS, mereka berada di kedudukan yang mensesiakan kepintaran dan profesionalisme masing.

Pada masa itu, di dalam pertengkaran saya dengan golongan profesional ini, saya yang sedang marah menyebut, "jika dahulu, ana rasa masalah dalam PAS ini adalah ustaz-ustaz yang jumud. Tetapi sekarang ini ana tambah di hujungnya bahawa masalah dalam PAS ialah ustaz-ustaz jumud yang dilindungi oleh para profesional yang bengap!"

Kenyataan saya ini dibalas oleh S/U MSU bahawa bai'ah saya terbatal sebab saya menyanggah keputusan syura. Saya berkeras bahawa bai'ah saya bukan dengan 'ustaz', tetapi dengan Allah dan Rasul.

Saya mewacanakan idea Kepimpinan Ulama bukan kerana saya ada apa-apa kepentingan tentang siapa yang nak memimpin PAS. Saya tiada masalah dengan siapa nak jadi pemimpin. Sejak awal pembabitan saya dengan PAS, saya sentiasa jauh daripada hal ehwal kepimpinan di atas, apatah lagi untuk berpihak kepada mana-mana kem, di zaman yang ada kem-kem tertentu.

Tetapi saya menyanggah idea Kepimpinan Ulama ini sebab ia merosakkan kognitif anak muda melalui wacana yang pelik. Semenjak 2008 ke 2010, saya sudah sangat khuatir kerana di peringkat perkaderan, yang dominan adalah pembulian pemikiran, dengan jargon-jargon wala, bai'ah, tsiqah tidak tsiqah.

Apabila saya hadir ke kampus-kampus untuk berceramah tentang cinta, selepas habis program, ada ahli Jemaah Islam Kampus meminta bertemu dengan saya di tengah malam untuk meluahkan rasa bimbang dan sedih mereka tentang pembulian fikrah, label melabel, dan penyenaraian hitam ustaz yang berfikrah seperti saya.

Saya hanya mengangguk, memberi semangat, namun menyalahkan mahasiswa itu sendiri. Sebabnya, di zaman saya, kalau ada ustaz ceramah merepek, kami akan tanya, bantah, tegur, dan sesekali melawan. Tetapi kalian hanya mengeluh di belakang. Maka saya hulurkan rasa faham, tetapi saya tidak simpati. Jika kalian nampak masalah ini, kalian wajib menyuarakannya. Sok sek di belakang, ia tidak ke mana.

Bagi sahabat-sahabat yang akrab, mereka tahu yang saya sudah pun hilang kepercayaan tentang keupayaan PAS untuk berubah, seawal 2008. Biar pun ketika itu politik PAS berada di tahap yang amat memberangsangkan, namun di peringkat perkaderan ia penuh kebimbangan.

Desakan demi desakan yang diajukan kepada pimpinan Pusat bahawa mahasiswa mahasiswi pro PAS ada banyak masalah tidak diendahkan mereka. Apa yang penting bagi pimpinan ketika itu ialah meminta laporan setakat mana mahasiswa pro PAS atau tidak. Apabila masalah di kalangan mahasiswa dan mahasiswi ini dibiarkan, saya menjangkakan masa depan PAS akan ada banyak masalah.

Menuju usia 40, saya tidak mahu hidup saya dibelenggu konflik dan masalah. Biar pun sudah tiada apa-apa jawatan di dalam PAS, saya tidaklah pula mengisi hari dengan aktiviti jahiliah atau tak tahu nak buat apa. Malah kehidupan selepas tiada jawatan di dalam PAS adalah lebih sibuk. Sesekali ada kawan menjenguk ke rumah, bertanya khabar. Semuanya saya raikan.

Namun di hujung pertemuan, mereka akur bahawa saya sudah hilang keyakinan terhadap keupayaan PAS untuk berubah. Politik itu seperti buih. Ia boleh ditiup menjadi besar dan cantik. Tetapi perkaderan itu 'real'. Jika perkaderan sudah dimakan anai-anai, rumah yang teguh menunggu rebah.

Kemuncaknya, apabila Muktamar PAS 2014 berlangsung di Johor, saya sudah membulatkan hati. Sepanjang muktamar, dunia menyaksikan sebuah parti Islam bersorak sorai, boo, label melabel, dari atas hingga ke bawah, dan doa dipakai untuk menyindir sesama ahli. PAS sudah tidak lagi komited dengan identiti Islam.

Pada tahun itu, saya koyak sijil keahlian PAS seumur hidup saya dan saya hanya simpan cebisan bertulis Bismillah, ayat 7 Surah Muhammad dan tandatangan al-Marhum Ustaz Fadzil Noor kerana itu sahaja yang bagi saya masih berharga untuk disimpan, dan dikenang dalam kesedihan.

Saya menyokong penubuhan Gerakan Harapan Baru, bukan kerana saya mahu menjadi aktivisnya. Saya hanya berharap agar dengan adanya parti baru itu, pimpinan-pimpinan yang tersingkir itu tidak membuang masa bertikam lidah, duduk dalam dilema, dan mensesiakan ilmu, pengalaman dan bakat kepimpinan mereka.

Mereka tersingkir bukan atas kapasiti individu. Sebaliknya mereka tersingkir hasil strategi terancang, bukan sekadar di peringkat mesyuarat bahagian memilih perwakilan, tetapi lama sebelumnya melalui aktiviti melabel, memburuk-burukkan, menyenarai hitam, di luar bayangan saya ia boleh berlaku kepada sebuah gerakan Islam.

Mengundurkan diri daripada PAS terjadi dalam keadaan yang sangat perit dan melukakan hati sendiri. Biar pun netizens secara semberono melabel jebon, ular daun, penjilat DAP, dan terkini Dr. Zuhdi menuduh golongan 'progresif' ini mahu membawa Islam Amerika yang direstui oleh Sister in Islam, Lawyer for Liberty, Comango, pendukung LGBT dan DAP, semua itu jika ditimbang dengan neraca dunia, ia bagai tanah yang menambus jasad di dalam kubur. Sempit dada dibuat.

Tetapi dengan mengembalikan semuanya kepada Allah dan Rasul SAW, iman kepada Akhirat dan pautan kepada rahmat-Nya, saya yakin, Gerakan Harapan Baru itu biar pun akan bermula dengan seribu satu keperitan, Allah tidak akan mensesiakan keikhlasan hati untuk membantu agama-Nya.

Sudah lama suara Islam berhenti daripada bercakap tentang masalah masyarakat Malaysia, susah payah mereka, dan sibuk dengan politik rumahtangga. Yang kekal dalam PAS teruskan beramal, kerana kelompok bermasalah sudah tersingkir. Yang memilih untuk bersama GHB, berhati-hati mengatur langkah. Fokus kepada kerja, jauhi perangkap sengketa.

وقل اعملوا فسيرى الله عملكم ورسوله والمؤمنون وستردون إلى عالم الغيب والشهادة فينبئكم بما كنتم تعملون

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan". [al-Tawbah 9: 105] Dalam hening malam-malam akhir Ramadan ini, semoga Allah ampunkan kekurangan saya, membantu saya untuk melihat yang benar itu sebagai benar, dan direzekikan untuk menurutinya. Tiada yang kupinta, melainkan kaki kekal melangkah di sirat mustaqim, menagih husn al-khatimah, diredhai Allah dan didamaikan di Syurga bersama Anbiya', Siddiqin, Syuhada' dan Solihin


Sila kongsi artikel ini...

Bersatu Tolak Sentimen Perkauman - Nasrudin Hassan

11:53 AM 0 Comments A+ a-



BERSATU TOLAK SENTIMEN PERKAUMAN



1. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan tegas menolak apa-apa sentimen perkauman yang cuba ditiupkan selepas insiden pergaduhan di Low Yat tempoh hari. Sentimen perkauman tidak akan menyelesaikan masalah yang berlaku bahkan ia akan merosakkan sendi masyarakat majmuk yang telah dibina.

2. Kami mengalu-alukan tindakan pantas pihak polis meleraikan insiden pergaduhan malam kelmarin dan mendakwa suspek-suspek yang terlibat ke muka pengadilan hari ini. Walau bagaimanapun, PAS berharap agar proses pendakwaan yang diambil mestilah dilihat adil supaya tidak timbul sebarang reaksi negatif selepas hukuman dijatuhkan.

3. Dalam masa yang sama kami turut menggesa pihak polis supaya menyiasat provokasi-provokasi yang dilakukan terutama di media-media sosial berhubung isu ini. Difahamkan masih ramai lagi pengguna-pengguna media sosial yang memainkan isu berkenaan sehingga menyentuh sensitiviti kaum. Tindakan tegas wajar diambil sekiranya ia berlarutan dan membawa kepada sentimen yang berpanjangan.

4. Kami berharap agar seluruh rakyat Malaysia tenang dan mengambil sikap rasional dalam isu ini. Buat laporan kepada pihak polis sekiranya terdapat kecurigaan yang membawa kepada sentimen perkauman supaya siasatan lanjut dapat dijalankan. Kita tidak mahu isu ini merebak kepada hal-hal lain sehingga menghakis kepercayaan sesama kaum di Malaysia.

5. Kerajaan juga harus bersifat proaktif dalam proses mediasi dan membina mekanisme yang lebih kukuh terutama dalam aspek pendidikan bagi menyuburkan keharmonian kaum. Ketika Perdana Menteri pernah mengumumkan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, pelbagai cadangan muncul antaranya menggubal Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional dan mewujudkan Blueprint Perpaduan Nasional. Namun, semuanya gagal direalisasikan melainkan hanya meminda Akta Hasutan 1948 dan ia telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 10 April lalu. Sekian, terima kasih

Oleh : Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

Tarikh : 27 Ramadhan 1436 / 14 Julai 2015


Sila kongsi artikel ini...

Badan Perhubungan Pas Negeri Pahang (BPPNP) menyokong penuh ketetapan Majlis Syura Ulama

4:27 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

Bismillahirrahmanirrahim..

Badan Perhubungan Pas Negeri Pahang (BPPNP) menyokong penuh ketetapan Majlis Syura Ulama' Pas bertarikh 11 Julai 2015 baru-baru ni berhubung 'Tahaluf Siyasi' atau persepakatan politik dengan rakan parti dalam Pakatan Rakyat, DAP dan PKR.


Kewajaran Majlis Syura Ulama' Pas membuat keputusan yang besar ini setelah DAP dilihat tidak menghormati prinsip perjuangan Pas yang konsisten berusaha mendaulatkan syariat Islam sejak mula penubuhan parti Islam ini lagi.

DAP sendiri telah melanggar ketetapan yang telah diambil bersama dalam Pakatan Rakyat, iaitu 'bersetuju untuk tidak bersetuju' dalam beberapa perkara, termasuk isu hudud. Ini dilihat apabila terus menerus menyerang sebahagian kepimpinan Pas dan mencampuri urusan pemilihan kepimpinan Pas.

Badan Perhubungan Pas Negeri Pahang meyakini bahawa keputusan yang diambil demi menjaga kepentingan Islam adalah keputusan yang terbaik.

Justeru, BPPNP ingin menegaskan kepada seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong Pas agar sama-sama mendokong keputusan ini dan setiap tindakan yang akan diambil perlu dirujuk kepada kepimpinan tertinggi parti.

"Beristiqamah Hingga Kemenangan"

YB Ustaz Rosli Abdul Jabar
Pesuruhjaya Pas Negeri Pahang


Sila kongsi artikel ini...

Cakaplah Apa Sahaja, GHB Sedia Mendengar!

2:41 AM 0 Comments A+ a-



CAKAPLAH APA SAHAJA, GHB SEDIA MENDENGAR !

1. Macam macam yang dikatakan ke atas Gerakan Harapan Baru. Ada yang mengaitkan dengan golongan Islam liberal. Ada yang mengatakan ia akan hanya bertahan dua tahun sahaja . Ada yang menyamakannya dengan pertubuhan pertubuhan politik serpihan daripada Pas seperti Hamim yang tidak akan bertahan lama.Ada yang mengaitkan ia pertubuhan orang orang kecewa kerana kalah dalam pemilihan Pas dan banyak lagi tuduhan tuduhan nakal dan liar ke atas GHB

2. Sebagai pertubuhan yang meraikan kebebasan bersuara maka GHB mengucapkan terima kasih kepada semua golongan yang memberikan pendapat mereka mengenai GHB. Pendapat pendapat yang diberikan tersebut bukan sahaja perlu dihormati malahan perlu juga diambil kira oleh GHB. Tidak rugi mendengar pendapat yang berbeza seperti mana tidak untung mengangap kepelbagaian pendapat satu masalah. Teruslah bercakap kami ( GHB ) sedia mendengar !!!

3. Memandangkan wujudnya pelbagai tuduhan ke atas GHB maka tidak salah untuk GHB membuat serba sedikit klarifikasi , bukan bertujuan memuaskan hati mana mana pihak jauh sekali semua orang, sebaliknya ianya lebih kepada menjelaskan serba sedikit kekaburan yang menjejaskan pandangan setengah pihak tentang GHB.

4. Jika kekecewaan yang dikatakan mencetuskan wujudnya GHB ia tuduhan yang betul dan salah dalam nafas yang sama. Majoriti penggerak GHB adalah mereka yang terlibat dalam Pas sebagai pemimpin utama sama ada di peringkat nasional atau negeri khususnya. Sayang dan cinta mereka kepada Islam tidak pernah padam dulu, kini dan selamanya insyaAllah. Ironinya jika mereka bersama dengan Pas sebelum ini kerana Islam , jika GHB ditakdirkan menubuhkan wadah siyasah yang baru, insyaAllah Islam juga penyebab kepada keputusan penubuhan wadah siyasah tersebut.

5. Sebagai pimpinan utama dalam Pas sebelum ini, penggerak penggerak GHB bukan sahaja mahu Islam berdaulat di negara ini mereka juga mahu Islam dihormati oleh semua lapisan masyarakat..Islam yang jika berjanji tidak akan khianati janji itu..Islam yang jika memerintah pemimpinnya bertaqwa, berintegriti, amanah, cekap , jujur dan peduli rakyat ..Islam yang bukan sahaja bercakap dan berslogan bahawa Islam itu rahmat untuk semua namun slogan rahmatnya hanya kekal slogan dan tidak dirasai oleh manusia di kelilingnya.

6. Ya ,penggerak GHB memang kecewa tapi mereka bukan kecewa dengan kekalahan dalam muktamar. Sebaliknya mereka kecewa kerana gerakan Islam yang mereka infaqkan diri , harta benda dan masa mereka tidak lagi gerakan Islam yanh mereka kenal dulu..kini gerakan Islam itu merasakan hanya kerana ia menggelarnya gerakan Islam maka apa sahaja yang ia lakukan , meskipun tidak mencerminkan Islam yang sebenar dan Indah, tetap dikira Islam kerana ia dianggap memonopoli definisi dan apa sahaja yang dikaitkan dengan Islam.

7. Ada beza kekalahan dalam muktamar dengan "pembersihan terancang" dalam muktamar melalui satu siri kempen yang lama, tersusun dan teratur ke atas pemimpin pemimpin tertentu dalam Pas dengan menggunakan istilah istilah agama dan tuduhan-tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab. Yang lebih membingungkan pemimpin yang diharapkan berkecuali dan bertindak sebagai pendamai juga turut serta memposisikan golongan tertentu ke satu sudut dan kedudukan yang dilihat asing dan tidak berjenama Islam sekaligus memberikan faedah yang tidak wajar kepada golongan tertentu yang lain.

8. Ya, mungkin sahaja GHB akan bertahan hanya dua tahun dan mungkin juga GHB akan mengalami nasib yang sama seperti pertubuhan yang dibentuk setelah keluar dari Pas.

9. Memandangkan kita bercakap tentang kemungkinan , kemungkinan kemungkinan itu hakikatnya sama sahaja tahap dan darjahnya dengan kemungkinan berikut iaitu berkemungkinan besar GHB yang membawa aspirasi baru yang tidak lari dari Islam yang syumul akan mengalami nasib yang jauh lebih baik daripada parti parti seperti Hamim dan dapat bertahan lebih lama atau lebih daripada dua tahun.

10. Mungkin juga GHB yang dikatakan serpihan ini mendapat lebih banyak sokongan dan menjadikan parti yang asal jika pun tidak menjadi parti yang asing kepada rakyat Malaysia namun mungkin sahaja menjadi parti yang dianggap tidak lagi relevan dalam politik Malaysia. Itulah namanya permainan kemungkinan..penuh dengan ketidakpastian.

11. Mungkin itu juga yang dialami oleh Erdogan dan sahabat sahabatnya yang menubuhkan AK parti setelah keluar daripada wadah sa'adat parti ..mungkin sahaja sahabat sahabat sa'adat membuat pelbagai telahan dan tuduhan ke atas Erdogan dan sahabat sahabatnya dalam AK parti namun realiti menunjukkan bahawa AK parti makin hari makin berkembang dan maju ke depan , saadat parti makin lama makin ke belakang dari persada politik Turki dan hampir menjadi nota kaki dalam politik ..

MOHAMED HANIPA MAIDIN
AHLI PAS DAN PENYOKONG GHB


Sila kongsi artikel ini...

Abim Pusat menyeru rakyat Malaysia untuk tidak lagi melihat kesilapan atau kesalahan seseorang individu atas kapasiti kaum

2:40 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Ringkas saya berhubung Insiden di Plaza ‪#‎lowyatt‬ bersama Dato' Billy Goh Pengerusi PUMM (Malaysia Entrepreneurs Development Association) dan pimpinan Majlis BeliaMalaysia

1) Abim Pusat menyeru rakyat Malaysia untuk tidak lagi melihat kesilapan atau kesalahan seseorang individu atas kapasiti kaum tetapi atas diri individu tersebut sebagai seorang manusia.

2) ABIM berpandangan insiden ini jelas membuktikan perpaduan kaum di Malaysia masih rapuh dan hanya bersifat "surface" yang berlegar hanya dalam kalangan pimpinan atasan dan tidak meliputi seluruh rakyat hingga ke tahap "personal relationship" setiap warga.

Contoh pertama saya yakin, individu yang menyebarkan berita bersifat perkauman di laman facebook mereka sudah tentu tidak mempunyai rakan facebook dari bangsa lain hingga menyebabkan individu tersebut TIDAK RASA MALU, BERSALAH, DAN BERTANGGUNGJAWAB bilamana menyebarkan berita-berita yang bersifat kebencian terhadap bangsa lain.

Contoh kedua saya yakin sekiranya individu Melayu tersebut membeli "hand phone" bersama rakan beliau dari bangsa Cina dan individu Cina yang menjual "handphone" tersebut menjalankan perniagaan bersama rakan Melayu sudah tentu isu salah faham ini tidak merebak hingga menjadi insiden perkauman.

Muhammad Faisal Abdul Aziz


Sila kongsi artikel ini...

Hari Raya dan Negara : Tuan Ibrahim Tuan Man

1:04 AM 0 Comments A+ a-



Hari Raya dan Negara

Hari Raya menjelang lagi. Namun Hari Raya ini cukup berbeza kerana negara hari ini berada di dalam persimpangan dan rakyat pula terjerut di tengah-tengahnya.

Hari ini Malaysia berdepan dengan pelbagai masalah.

Negara berdepan dengan kelemahan nilai ringgit dan ketidak-yakinan pelabur kesan daripada kemelut politik yang sedang bergocak.

Kepimpinan negara pula menghadapi masalah integriti, tuduhan rasuah dan tidak amanah dalam kontroversi yang melibatkan 1MDB, Mara, Tabung Haji dan juga percetakan nota duit.

Institusi-institusi kerajaan berdepan dengan masalah defisit kepercayaan rakyat dan kredibiliti, termasuklah Bank Negara, hanya kerana kemelut 1MDB. Tugas mereka umpama kertas membalut api.

Sehingga hari ini, rakyat tidak tahu apa fokus dan sejauh mana siasatan sebenar pasukan petugas khas yang diketuai Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akthar Aziz, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar?

Apakah hasil siasatan mereka akan didedahkan atau ditutup seperti laporan audit interim 1MDB? Bila siasatan itu akan disiapkan? Yang lebih merunsingkan ialah apakah siasatan itu untuk mencari kebenaran atau mencari hujah membersihkan diri? Diharap semua ini akan terjawab selepas Hari Raya.

Di tengah-tengah kemelut ini, terjadilah pula insiden Low Yat yang cuba diambil kesempatan oleh sesetengah pihak untuk menghidupkan api perkauman yang dahsyat. Khazanah negara termahal iaitu kepelbagaian dan keharmonian rakyatnya cuba diroboh sekadar cuba mengalihkan pandangan rakyat daripada isu sebenar yang sedang melanda negara.

Di barisan pembangkang pula, situasi juga masih bernada negatif. Kerjasama yang terjalin sejak 2008 kini goyah dan tidak menentu. Apapun kerja melawan kezaliman dipercayai akan terus dipergiatkan sehingga PRU14. Kita tetap sahabat, walaupun bukan ahli keluarga.

Walau apa yang berlaku, rakyat yang berada di tengah segala masalah ini tidak boleh dibiarkan tanpa diambil peduli kesusahan mereka. Bukan sahaja mereka disumbat dengan pelbagai isu politik, ekonomi dan sosial, malah mereka terpaksa berdepan dengan kenaikan kos sara hidup hasil daripada kenaikan harga minyak dan GST.

Rakyat Malaysia layak, patut dan wajib menerima nasib yang lebih baik. Negara Malaysia sepatutnya makmur. Namun apa yang dibawa kepimpinan negara hari ini hanyalah perasaan malap tidak berjiwa.

PAS akan terus istiqamah dalam perjuangannya memartabatkan Islam dan membela nasib rakyat.

Kepada ahli-ahli parti, saya mewakili barisan kepimpinan PAS Pusat yang baru dan lama memohon maaf atas krisis yang sedang dihadapi parti pada masa ini.

Semoga Allah memberi kekuatan dan petunjuk kepada kita untuk terus istiqamah bersama perjuangan ini sebagaimana Tuan Guru Fadzil Noor, Tuan Guru Nik Aziz dan lain-lain lagi tokoh yang hebat yang mendermakan hayat mereka sehingga titik akhir di dalam perjuangan ini meskipun dilanda ombak sebesar manapun. Ingatlah, di sebalik kejayaan tokoh-tokoh hebat seperti TG Fadzil Noor dan TG Nik Aziz ada di belakangnya pembantu yang setia seperti TG Presiden PAS, pasukan yang mantap, dan hasil peluh dan derma ahli-ahli biasa meskipun ada perbezaan idea dan pendekatan.

Janganlah hanya kerana ada pemimpin dan pandangan yang tidak disukai masa ini maka perjuangan dan parti berpuluh tahun ini ditinggalkan.

Pemimpin datang dan pergi. Yang ada hari ini akan pergi jua satu hari nanti.

Ingatlah, hidup di dunia ini akan berakhir dengan mati. Tapi perpisahan sebenar hanya di akhirat – antara syurga dan neraka. Semoga kita bertemu di pintu syurga.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir Batin.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
15 Julai 2015


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.