PKR: Laporan Interim Ketua Audit Negara Perlu Didedahkan pada Umum

3:30 PM 0 Comments A+ a-



LAPORAN INTERIM KETUA AUDIT NEGARA PERLU DIDEDAHKAN KEPADA UMUM

Saya merujuk kepada kenyataan Menteri Kewangan II, Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang meminta pengkritik 1MDB, agar menghentikan dakwaan tidak berasas kerana, Laporan Interim Ketua Audit Negara terhadap 1MDB, tidak menunjukkan bukti wujudnya salahlaku. Bagaimanapun, Laporan Interim Ketua Audit Negara ini, tidak didedahkan kepada umum.

Amatlah tidak adil dan tidak wajar untuk merujuk isi kandungan dokumen yang kononnya menyatakan, tiada sebarang bukti salahlaku, walhal orang ramai tidak boleh mengesahkan kesahihan kenyataan tersebut. Kenyataan Husni bukan sahaja tidak memperjelaskan isu sebenar, malah ia menambah kekalutan dan cuba mengelirukan orang ramai hakikat sebenar yang berlaku. Ini kerana orang ramai dihalang dari membaca laporan tersebut, bagaimana boleh menyimpulkan sama ada kenyataan Husni itu benar atau palsu.

Ketua Audit Negara telah diarah Perdana Menteri dan Kabinet untuk menjalankan audit, bagi memastikan sama ada sebarang salahlaku berlaku di dalam operasi dan pengurusan 1MDB. Jumlah hutang yang mencecah RM42 bilion amat merisaukan orang ramai, terutama pelabur antarabangsa dan tempatan. Oleh kerana audit ini dilakukan dengan tujuan untuk memberikan pendedahan sepenuhnya operasi dan pengurusan 1MDB kepada umum, maka saya menggesa agar Laporan Interim Ketua Audit Negara ini didedahkan kepada umum serta-merta.

Pada masa yang sama, orang ramai faham bahawa dokumen tersebut hanyalah laporan interim dan Ketua Audit Negara, mungkin belum boleh memberikan kata putus mengenai isu ini. Namun, ia tidak harus dijadikan alasan untuk tidak mendedahkan laporan kepada umum. Orang ramai memahami bahawa dokumen ini hanyalah sebuah laporan interim dan keputusan muktamad hanya boleh diperolehi daripada laporan penuh nanti.

Bagaimanapun, oleh kerana masalah yang timbul akibat 1MBD ini cukup berkait dan mendatangkan kesan kepada pasaran serta ekonomi, khususnya ia mempengaruhi keputusan dan sentimen pelabur, termasuk dalam isu nilaian matawang Ringgit, maka Laporan Interim Ketua Audit Negara ini perlu didedahkan sekarang.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN

15 Julai 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.