Antara Politik, Bisnes dan Kuasa - DrMAL

1:03 PM 0 Comments A+ a-



Antara Politik, Bisnes dan Kuasa

1. Ada rakan yang bertanya kenapa saya begitu lantang mengkritik kepimpinan politik semasa? Kenapa orang teknikal seperti saya masuk campur dalam hal politik? Tak takut ke?

2. Saya sebenarnya tak berminat untuk mengambil bahagian dalam percaturan politik. Saya tidak menjadi ahli mana-mana parti politik. Namun saya sentiasa memerhati walaupun tidak pernah meluahkan perasaan atau pendirian sebelum ini. Saya cuma seorang pengundi senyap.

3. Saya memang tidak bersetuju bila bisnes dikaitkan dengan politik. Saya tidak bersetuju dengan amalan “know-who” yang melampau, yang menyebabkan ramai peniaga yang jujur tertindas dan diketepikan. Inilah juga menyebabkan hanya syarikat tertentu sahaja menjadi kaya raya. Saya juga tidak bersetuju dengan wujudnya syarikat proksi parti politik yang menyumbang dana politik, lebih-lebih lagi bila parti yang berkuasa juga terlibat dengan pemberian kontrak yang berkaitan.

4. Saya percaya usaha kerajaan adalah ikhlas pada zaman selepas merdeka dahulu. Kita semua diberi pendidikan dan bantuan sehingga ke peringkat setinggi yang mungkin. Kita amat berterima kasih. Tanpa usaha positif sedemikian, saya mungkin masih bertani atau berkebun - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Syukur Alhamdulillah.

5. Tentunya, setelah mengenali dunia dan menimba ilmu, dapat membezakan antara baik dan buruk, antara adil dan zalim, antara kejujuran dan penipuan, kita semua ingin menyumbang untuk mempertahankan nilai hidup yang baik sedaya upaya kita. Kita ingin melihat anak-cucu kita hidup dengan lebih selesa, aman dan damai dalam persekitaran yang adil dan saksama.

6. Saya kecewa dengan perubahan amalan pemimpin yang terpilih zaman sekarang - mengejar kekayaan dan kuasa dengan mengorbankan amanah dan keadilan. Pada dekad ini keadaan mencapai satu tahap yang paling parah. Saya percaya jika tiada perubahan dilakukan, perkara yang lebih buruk akan menimpa kita. Inilah yang membimbangkan saya. Inilah satu-satunya tanah air yang kita ada. Saya tak ingin melihat negara ini ditadbir seperti satu pertubuhan mafia.

7. Kisah 1MDB adalah kemuncaknya sekarang. Pemusatan kuasa pada PM menjadi punca segala-galanya. Undang-undang diketepikan. Penguasa undang-undang disekat. Pengkritik disisihkan. Kuasa diguna untuk mengumpul wang. Wang diguna untuk menambahkan kuasa. Sampai bila pusingan ini akan berterusan?

8. Itulah sebabnya saya menulis mencanangkan perubahan. Bila dianalisis secara keseluruhan, perlembagaan kita perlu dipinda. Sistem demokrasi perlu diperkukuhkan. Badan eksekutif dan perundangan perlu di asingkan sepenuhnya. PM perlu dipilih secara berasingan dari ahli parlimen. 9. Tapi bagaimana? Inilah cabaran kita sekarang ..


s


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.