14 Langkah Pemulihan Ekonomi Untuk Perdana Menteri - Saiful Nang

8:56 AM 0 Comments A+ a-

IDEA ORANG TEPI JALAN : 14 LANGKAH PEMULIHAN EKONOMI UNTUK PERDANA MENTERI

Rosaknya ekonomi pada hari ini sudah jadi sistemik. Ada beberapa langkah besar yang mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai bajet belanjawan berimbang dan keluar dari belenggu defisit setelah sekian lama. Hutang negara boleh langsai dalam tempoh kurang 7 tahun. Juga dalam kurang 7 tahun itu nilaian matawang kita akan lebih tinggi dari USD.

Tidak mustahil langsung langkah-langkah ini boleh dilakukan.

Berikut ialah langkah Perdana Menteri pada hari pertama masuk ke pejabat Perdana Menteri nanti (Jika PM baru) ataupun untuk PM sekarang.

1. Optimize perbelanjaan kerajaan. Bangunan kerajaan, fasiliti kerajaan semuanya mewah-mewah belaka. Namun masih lagi nak meeting pergi ke hotel dan resort makan angin. Optimize sistem kerja yang dilihat mampu mengurangkan sekitar 30-40% penggunaan tenaga manusia. Kurangkan recruitment baru sehingga bilangan optimum dalam kerajaan sudah berlaku. Contohnya, seorang pegawai perlukan 3 orang staff bawahan untuk melakukan tugasan yang sebenarnya jika mereka itu kerja di private company semua dia boleh buat sendiri. Boleh juga tawarkan sebahagian yang kurang perlu dalam usaha no.4 (di bawah).

2. Banteras rasuah dari sekecil-kecil "duit rokok" sehingga sebesar-besar "derma". Boleh juga dicadangkan setiap perasuah dikenakan hukuman mati yang menakutkan supaya semua berhenti memberi dan menerima rasuah dalam apa bentuk sekalipun.

3. Kurangkan import bahan kurang perlu dan lebihkan kepada bahan perlu dan mentah sahaja. Proseskannya di Malaysia sebelum dijual semula. Elakkan import bahan siap dan kita sekadar terus buka dan guna. Dengan cara ini kita mampu kurangkan belanja keluar dan meningkatkan produktiviti dalam negara juga menambahkan nilai dalam eksport barang siap.

4. Bangunkan keperluan makanan negara 90% keluaran dari tanah Malaysia supaya import dapat dikurangkan dan lebihan dapat diproses sebelum diexport. MATAWANG TERBESAR SEMASA PEPERANGAN IALAH MAKANAN. Beras kita pun masih import dari Thailand, India dan Pakistan. Ikan kita pula ada masih beli dari India, Thailand dan Bangladesh. Usahakan sesuatu agar kita keluarkan makanan sendiri untuk keperluan kita sendiri. Jika ada lebihan, kita proses dahulu dan kita exportnya. Bangunkan pertanian semula kepada pertanian berasaskan makanan dan bukan sekadar komoditi seperti getah dan sawit. Utamakan pertanian dan penternakan yang menjadi sumber makanan kita. Selagi kita masih import barang-barang KEPERLUAN ASAS dari negara luar, selagi itu ekonomi kita seperti lembu yang dicucuk hidung. Tertambat dan tidak mampu bebas merdeka. Ini bukan soal import lebih murah dari keluarkan sendiri. Sekali kita bersuara nak laksana hudud kemudian "mereka" kata BUAT SEKATAN EKONOMI kepada Malaysia maka bercatu pulalah makanan kita nanti.

5. Lebihkan usaha export barangan siap dan bukan barangan mentah dan point 3-5 membantu banyak dalam menaikkan nilai matawang kita. Kita rugi export bauxite kepada China kemudian China proses jadi aluminium yang kita beli semula dengan harga tinggi. Atau jual air kepada Singapura dan ditapis di sana lalu dijual semula kepada kita dengan harga tinggi. Negara Scandinavia kurang mengexport kayu balak putih sebaliknya dijadikan dahulu perabot sebelum dijual ke seluruh dunia. Kalau tak ada orang nak beli pun, kita tidak rugi apa-apa selagi semuanya cukup untuk kegunaan dalam negara dahulu.

6. Balik kepada asas semula. Event-event belanja besar dalam sukan juga hiburan yang tidak memberi justifikasi pembangunan ekonomi boleh ditangguhkan dahulu untuk memberi laluan kepada pemulihan ekonomi. Balik kepada asas bila kita tiba-tiba jadi orang miskin gelandangan di tepi jalan ketika itu yang kita perlu fikir lebih ialah makanan, minuman dan survival. Bukannya saluran Sukan di Astro atau sanggup tidak makan semata-mata nak tengok JDT main bola. Back to basic...yang kurang perlu kita letak tepi sebentar.

7. Kobarkan semangat bijakpandai yang sudah puluhan tahun kita hantar mereka belajar di negara-negara pencipta untuk memulakan ciptaan dan pengeluaran sendiri hasil inovasi kita sendiri sehingga ciptaan kita menjalar di seluruh dunia. Tidak mustahil kerana South Korea jauh ke belakang berbanding Malaysia satu ketika dahulu kini dengan Samsung, Hyundai dan Kia sahaja telah menerobos besar ekonomi dunia. Dah lama kita belajar di luar negara, dah sampai masanya kita pula menjadi lebih baik dari mereka.

8. Pendidikan rendah dan menengah dirombak semula dengan melebihkan "Problem-based Education" berbanding "Syllibus based learning". Syllibus hanya sekadar guidelines pendidikan dan bukan satu senaraipanjang apa yang perlu dihafaz sebelum dapat sijil peperiksaan.

9. Mengangkat aliran kemahiran setara dengan pendidikan akademik di universiti. Budak nakal tak pandai belajar bukannya orang bodoh. Mereka hanya kurang sesuai dengan sistem pendidikan nasional yang memulakan pendidikan dengan TEORI dahulu barulah PRAKTIS. Kerana golongan yang dikatakan bodoh ini dan masuk dalam bidang kemahiran sebenarnya belajar dengan penguasaan PRAKTIS dahulu barulah TEORI. Kedua-duanya sama sahaja. Jika satu hari nanti Menteri Pendidikan ialah orang dari stream Kemahiran, boleh jadi diterbalikkan pendidikan rendah dan menengah maka akan jadilah budak-budak bodoh yang kononnya masuk kemahiran itu BUDAK-BUDAK PANDAI. Begitu juga sebaliknya. Tiada pembaziran modal daya manusia sepatutnya. PENDIDIKAN YANG BAIK IALAH PEMANGKIN NEGARA MAJU.

10. Setelah kita memiliki semuanya sendiri. Cukup makanan, cukup pakaian dan cukup pendidikan serta kita telah bangunkan rangkaian export hasil negara kita YANG PERLU kepada negara-negara lain maka ketika itu wajarlah kita gunakan semula dinar & dirham sebagai matawang SEBENAR bukannya sekadar kertas yang tertulis nilai tetapi tidak bernilai. Jika mahu berurusan dengan Malaysia gunakanlah dirham dan dinar. Menyedihkan sebenarnya, jika hari ini seluruh negara Islam di dunia menggunakan matawang dirham dan dinar semula, ekonomi dunia akan kita pegang semula dan tidak lagi dimanipulasi oleh nilaian nombor yang dicetak atas kertas lagi.

11. Hentikan dahulu pembangunan projek-projek baru yang tidak menjadi stimulasi ekonomi. Lebihkan pada pembangunan manusia kerana manusia itu yang akan membangunkan prasarana kita nanti. Jangan bangunkan prasarana kelas dunia tetapi minda rakyat masih di kelas kedua.

12. Cadangan hukuman mati kepada penagih dadah yang telah dipulihkan tetapi mengulangi penagihan. Mereka juga memang mahu mati cepat, kita bantulah sikit. Kerana ada penagih dadah maka sentiasa adalah pengedar dadah. Dihukum mati sekalipun pengedarnya, tetapi penagihnya itu banyak maka ia jadi industri yang mewah. Jenayah akan jadi rendah kerana tidak ramai orang mencuri dan meragut untuk beli susu anak berbanding untuk beli dadah.

13. GST boleh dimansuhkan kerana ia tidak perlu dalam pemulihan ekonomi negara menuju kepada negara dengan belanjawan berimbang. Jika kita mampu kurangkan import dan tingkatkan export lebihan pakai kita, nescaya GST tidak diperlukan untuk menjana pendapatan negara. Dengan hasil negara sedia ada yang dijimatkan kita mampu sebenarnya membangunkan sarana untuk pengangkutan awam yang baik, jalanraya yang cantik, pendidikan percuma dan perkhidmatan kesihatan yang effisyen. Jika kita lakukan step 10 itu nescaya kita tidak perlukan juga GST. Saya tak boleh jelaskan lanjut hal ini kerana ramai orang bank akan marah (akan dijelaskan dalam artikel lain).

14. Pilihanraya hari ini sudah jadi satu pesta rasuah besar-besaran. Mana-mana parti pun semua ada PENAJA. Penaja ini akan menaja parti itu untuk menang dan akan dapat pulangannya selepas mereka menang. Sama macam bookie bola punya kerja. Setiap pilihanraya mereka memerhati parti mana yang boleh menang maka parti itulah banyak penaja. Jika RASUAH BESAR-BESARAN ini dapat dibanteras dan kempen hanya sekadar ucapan dengan sedikit poster saya rasa tidak ada masalah. Yang masalahnya ialah pemimpin datang ada 200 motorsikal mengiring dan setiap satu dibayar RM20. Tukang gantung bendera dan poster semua dapat upah. Kalau satu Malaysia duit-duit itu dihimpun jadi juga billion RM. Sudah-sudahlah rasuah bila nak pilihanraya sahaja dapat jalanraya baru atau dapat bangunan baru, projek baru dan macam-macam lagi. Bila semua parti tidak menggunakan wang dalam pilihanraya, maka rakyat akan memilih berdasarkan planning pemimpin itu. Dan parti-parti tak perlulah nak terima tajaan atau derma dari mana-mana pihak sebagai modal pilihanraya. Jika dilanggar juga...wajar elok mereka dihukum dengan hukuman seperti di dalam point nombor 2.

(sebenarnya ada lagi banyak langkah...tetapi yang 14 dahulu sebagai pendahuluan)









KESIMPULANNYA

SEMUA CADANGAN DI ATAS boleh dilakukan tanpa mengeluarkan belanja BARU yang besar cukuplah sekadar kita jimatkan di bahagian tertentu dan gunakannya untuk memperbaiki apa yang kita kurang. Memang nak ubah haluan sebuah kapal besar yang sedang tenggelam bukannya mudah. Memang perlukan banyak pengorbanan.

Saya harap ini boleh jadi salah satu input kepada bakal Perdana Menteri yang baru nanti ATAUPUN input kepada Perdana Menteri sekarang. Tak pasti pula PM sekarang berminat nak kisah sangat kerana beliau punyai ratusan penasihat-penasihat yang "hebat".

Saya bukan menulis kerana nak bertanding dalam politik tetapi sebagai rakyat Malaysia yang sentiasa memikirkan apa yang boleh disumbangkan kepada negara untuk membangunkan dan memulihkannya. Kebanyakannya dah kami lama praktik dalam organisasi kami sebab itu kita boleh cakap kerana kita cakap dan telah buatnya. Cuma organisasi kami bukan 30 juta orang tetapi hanya 230 orang sahaja.

Selagi ekonomi kita masih berkonsep sarang labah-labah, survival dan kedaulatan kita ditentukan oleh jaringan yang bersangkutan kepada pokok-pokok lain. Jika pokok-pokok itu putuskan jaringan itu maka sarang kita akan mengecil dan jika separuh dari semua jaringan itu diputuskan, kita sudah jadi lumpuh.

Cadangan di atas ini lebih berkonsepkan SARANG LEBAH. Satu kepimpinan yang tersusun dan penghasilan madu yang banyak. Lebah pencari madu khabarnya tidak makan madu yang dicari selagi ia tidak sampai dikumpulkan di sarangnya dahulu.

Kena malu pada lebah jika kita bekerja untuk negara, tetapi semasa bekerja kita dah "makan" hasilnya dahulu dan yang baki-baki baru kumpul dalam negara.

Semoga Malaysia akan terus aman dan makmur pula ekonominya. Bersatu pula politiknya dan cantik pula sosialnya.

SAIFUL NANG
Rakyat Malaysia Yang Tiada Niat nak Jadi PM




Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.