MB Tidak Hormati PKR Tumpat - Wan Johari

11:32 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
MB TIDAK HORMAT PKR TUMPAT

Merujuk kepada pengumuman Pesuruhjaya PAS Kelantan merangkap YDP PAS Kawasan Tumpat, YAB Dato Ustaz Haji Ahmad bin Yaacob pada 25 Muharam 1437H bersamaan 7 November 2015 bertempat di Dewan Wisma I’badurrahman, Pejabat PAS Dun Pasir Pekan yang mengumumkan perlantikan Timbalan YDP PAS Kawasan Tumpat merangkap Setiausaha PAS Kelantan yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato’ Che Abdullah (ADUN Wakaf Bharu) sebagai penyelaras Parlimen Tumpat bagi menggantikan YB Dato Kamarudin bin Jaafar yang telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.

Seperti yang kita sedia maklum, PAS menegaskan mereka masih bersama Pakatan Rakyat dan bekerjasama ( bertahaluf ) dengan PKR, ini dibuktikan dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pimpinan PAS sejak dari krisis sehingga meruntuhkan Pakatan Rakyat.

Perlantikan YB Dato Che Abdullah sebagai penyelaras Parlimen Tumpat telah bertentangan dengan semangat tahaluf yang digembar gemburkan oleh PAS dan pada masa yang sama PAS telah tidak menghormati PKR sebagai rakan sekutu tunggalnya buat masa sekarang.

Di samping itu perlantikan Ahli Jawatan Kuasa Hal Ehwal Tanah Jajahan (JHET) bagi bagi mewakili Ahli Parlimen Tumpat juga telah diambil alih oleh Naib YDP PAS Kawasan Tumpat merangkap Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Kelantan, Ustaz Wan Roslan tanpa berunding dengan PKR.

PAS secara terang-terangan menggunakan kuasanya dengan mencabuli tahaluf bersama PKR, dan pekara sebegini secara umum bukanlah kali pertama dilakukan oleh PAS.

Sebagai anggota PAKATAN HARAPAN bersama DAP dan PKR, AMANAH Tumpat kesal dengan pencabulan kuasa oleh PAS dan sikap tidak menghormati rakan yang dilakukan oleh PAS.

Sekian.

WAN MOHD JOHARI B WAN OMAR
Ketua Penaja
Parti Amanah Negara
Parlimen Tumpat

11 November 2015


Sila kongsi artikel ini...

Kenapa Dasar Luar Malaysia di Bawah Tun Mahathir Penting Demi Survival Negara? - Wan Fayhsal

11:26 PM 0 Comments A+ a-



KENAPA DASAR LUAR MALAYSIA DI BAWAH TUN MAHATHIR PENTING DEMI SURVIVAL NEGARA

oleh Wan Fayhsal

Tadi pagi saya dan rakan sempat hadir ke seminar "Malaysian Foreign Policy: Present and Future Trends" anjuran ICON Centre for Global Affairs di Carcossa Seri Negara.

Banyak pembentangan menarik berhubung dasar luar Malaysia - suatu tajuk yang amat jarang diwacanakan.

Saya sempat hadir ke sesi pertama yang dipengerusikan oleh tuan rumah Dr. Razak Baginda dengan menampilkan pembentang seperti Dr. Karminder (INTAN), Dr. Mustafa Izzudin (ISEAS) dan Cik Elina Noor (ISIS).

Sesi pertama membicarakan sejarah dan keadaan semasa dasar luar Malaysia yang selalunya dibicarakan melalui pembahagian fasa kepimpinan tertinggi negara (Perdana Menteri) daripad zaman Tunku Abdul Rahman sampailah ke zaman DS Najib.

Kita tahu zaman Tunku dan Tun Razak lebih kepada neutral dan berkecuali (walaupun Tunku pro-British lebih) dan yang menongkah arus dasar luar adalah Tun Mahathir dengan "Buy British Last", "Dasar Pandang Timur", dasar luar berpaksikan kepentingan "Islam dan Dunia Muslim" dan juga dasar kerjasama erat "Selatan-Selatan" (South-South Cooperation).

Selepas daripada zaman Tun Mahathir, dasar luar negara kata Dr. Karminder agak "ambivalent" yakni satu pemisahan daripada dasar luar Tun Mahathir yang mana hala tuju dan posisinya agak tidak samar-samar. Ini kemungkinan kerana gaya dan sifat kepimpinan Tun Abdulah Badawi.

Di bawah DS Najib, para pembentang mengatakan ianya agak seimbang tapi ketika sesi soal jawab saya bangun dan berhujah bahawa dasar luar DS Najib lebih berat kepada Amerika berdasarkan bukti-bukti empirikal seperti pelantikan arwah Tan Sri Jamaluddin Jarjis sebagai duta bertaraf menteri, mendapat kerusi Majlis Keselamatan PBB, "Golf Diplomacy" dengan Obama dan banyak lagi.

Menilai isi pembentangan yang bernas daripada para pengkaji dan sarjana dasar luar Malaysia tersebut, aqal saya cuba menghubungkan keresahan, kerisauan dan cadangan Tun Mahathir berhubung keperluan adanya "Council of Elders" yang baru-baru ini heboh diperdebatkan oleh ramai pihak kononnya itulah alasan kenapa Tun Mahathir menyerang DS Najib.

Daripada itu saya cuba memahami realpolitik antarabangsa dan sosok Tun Mahathir dalam mencorak dasar luar Malaysia selama 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri.

Para pembentang ungkapkan pelbagai jenis bentuk analisa tentang dasar luar Tun Mahathir yang dikatakan tidak demokratik, "microphone diplomacy" (kelantangannya) dan bermaca-macam lagi yang positif dan negatif tapi saya fikir ada sesuatu yang tidak terungkap akan kekuatan dasar luar Malaysia di bawah Tun Mahathir yang mana seperti dikatakan para pembentang, sebaik saja Tun Mahathir meninggalkan jawatan Perdana Menteri, kekuatan dasar luar tersebut turut luput bersama-samanya. Apakah kekuatan dasar tersebut?

"Kepercayaan" (Trust).

Dalam semua Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir ada satu kekuatan "Soft Power" yang tiada galang ganti oleh mana-mana pemimpin yang ada dan akan lahir di Malaysia dalam jangka masa sederhana kelak iaitu kemampuan Tun Mahathir untuk membina jalinan diplomatik atas dasar "kepercayaan" yang bersifat peribadi (personal), bukan menggunakan perkakas kenegaraan (state apparatus).

Kelebihan ini membolehkan Tun Mahathir mendapat akses kepada kemudahan diplomasi yang unik seperti mendapat akses kepada pelaburan ekonomi melalui PETRONAS di Sudan (jasa DS Anwar Ibrahim juga amat besar dalam hal ini kerana jaringan aktivisme Islam beliau di Timur Tengah), Vietnam, Timor Leste, dan banyak lagi negara dunia ketiga; mendapat bantuan ekonomi dan perdagangan daripada Jepun, juga dunia Islam.

Tidak lupa juga jasa penting Tun Mahathir dalam Perang Bosnia. Semua ini mengukuhkan kedudukan negara di mata dunia yang menarik ramai negara-negara sedang membangun untuk menjadi rakan rapat (ally) dengan Malaysia yang selalunya diterjemahkan kepada keuntungan ekonomi dan politik.

Pendek kata, Tun Mahathir adalah "salesman brand Malaysia" paling unggul kerana kekuatan peribadinya yang dipercayai oleh ramai pemimpin dunia ketiga di Asia, Afrika dan Latin Amerika.

Bila Tun Mahathir tidak lagi memimpin negara, nama Malaysia masih harum dan dipercayai oleh negara-negara tersebut yang masih berbekas daripada diplomasi yang Tun Mahathir buat dahulu.

Ini sebenarnya adalah sumber kekuatan untuk kita terus "survive" dari segi ekonomi dan geopolitik

Maka pada hemat saya ketika negara kita berhadapan dengan cabaran ekonomi yang serius khususnya melibatkan penyusutan pendapatan negara daripada hasil minyak dan gas juga komoditi, Malaysia perlukan usaha diplomasi ekonomi yang ada "sentuhan peribadi" daripada Tun Mahathir untuk seperti contoh, membuka akses kepada pasaran di Afrika.

Hanya dengan perutusan surat atau panggilan telefon, Tun Mahathir mampu menyusun atur "high profile trade entourage" untuk negara - seperti contoh membantu PETRONAS masuk semula ke negara-negara Afrika yang kini banyak China yang kuasai.

Beza kita dan China ialah negara Afrika hargai nilai persahabatan kerana Tun Mahathir menerapkan dasar seperti contoh "affirmative action" membangunkan kapasiti kaum peribumi Afrika (contoh ialah ENGEN di Afrika Selatan) manakalah negara China menggunakan kekuatan "cash is king" untuk melabur dan membina infrastruktur.

Sentuhan halus dasar luar Malaysia di bawah Tun Mahathir lebih tulus dan kekal lama berbanding apa yang China buat kepada negara Afrika yang kini dipandang serong seperti ulang siaran dasar penjajahan kuasa Barat yang hanya "expropriate natural resources" (merampas sumber asli).

Bukan itu saja, Tun Mahathir berupaya membuka laluan diplomasi dengan negara kuasa besar seperti Russia (kerana Putin percaya kepada Tun Mahathir) untuk mengimbangi pergolakan di rantau kita antara China dan Amerika.

Di saat inilah sementara beliau masih hidup saya fikir Malaysia dapat susun semula dasar luar negara kita bagi membantu dasar dalam negara khusus melibatkan ekonomi.

Saya tidak yakin dasar luar negara yang ada kini dapat bantu kita keluar daripada kemelut ekonomi dan politik yang amat mencabar kerana skandal 1MDB juga percaturan menteri kita yang agak pro-Washington dalam kemelut Laut Cina Selatan - semua ini menghakis kepercayaan negara-negara yang jadi rakan rapat dan rakan dagang kita yang utama seperti China.

Ini menyukarkan syarikat-syarikat negara kita untuk mendapat insentif istimewa seperti "credit facility" dalam perdagangan malah juga melibatkan pertahanan.

Kekuatan "soft power" Tun Mahathir yang masih berbekas pada negara akan beransur hilang kalau Tun Mahathir semakin dipinggirkan daripada politik negara.

Di saat kecemasan begini ianya adalah satu kebodohan untuk kita memperkecilkan kekuatan Tun Mahathir yang tidak ada pada mana-mana pemimpin politik baik UMNO atau Pakatan.

Kalau saya seorang Perdana Menteri, saya tidak akan teragak-agak untuk mendengar nasihat Tun Mahathir dan melantik beliau menjadi "Minister Mentor" seperti Lee Kuan Yew kerana kebolehan dan kekuatan "soft power" Tun Mahathir adalah unik dan tidak boleh dibeli daripada mana-mana jururunding (consultant). Mendiang Lee Kuan Yew juga punya kekuatan yang sama seperti Tun Mahathir dalam hal ini - seperti juga almarhum Sukarno yang terkenal dengan gerakan Pan Asia-Afrika.

Semoga Allah lanjutkan usia Tun Mahathir untuk selamatkan negara berbekalkan kudrat yang beliau masih mampu infaqkan seperti halnya "soft power" tadi khusus bagi memudahkan generasi pelapis pemimpin muda untuk mendepani cabaran dan kemelut politik, ekonomi dan geopolitik yang semakin mengganas kini. Amin.


Sila kongsi artikel ini...

Baget 2016 Perlu Seiring Tuntutan Anak Muda - Akmal Kamaruddin

11:18 PM 0 Comments A+ a-



[Baget 2016 Perlu Seiring Tuntutan Anak Muda]

1. Rakyat Perak terutamanya anak muda menantikan khabar gembira melalui Baget negeri Perak yang dijadualkan akan dibentang pada 17 November 2015 di Sidang Dun depan. Dalam keadaan ketidakseimbangan ekonomi Negara, Baget Perak 2016 diharapkan dapat membawa sinar buat mereka.


2. Dalam memberi fokus kepada pembangunan fizikal dan kebendaan, Kerajaan Negeri Perak diingatkan agar turut memberi keutamaan kepada pembangunan kerohanian. Keruntuhan akhlaq dan kurangnya didikan agama mendorong manusia untuk melakukan jenayah. Berdasarkan status jenayah yang dikeluarkan PDRM Perak, sepanjang bulan Januari hingga Oktober 2015, kadar jenayah indeks yang direkodkan di negeri Perak ialah sebanyak 5,101. Melalui penekanan aspek kerohanian, ianya dapat membentuk sebuah masyarakat madani yang bersifat amanah dan kehambaan pada Ilahi sekaligus mengurangkan kadar jenayah.

3. Selain dari kurangnya didikan agama, tekanan kos sara hidup menyebabkan kadar jenayah masih dalam keadaan yang tinggi. Seharusnya pada Baget Perak 2016 ini, Kerajaan Negeri membuka ruang pekerjaan yang lebih luas buat seluruh anak muda samada lelaki atau perempuan. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri yang mengumumkan bahawa 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh akan dibawa masuk ke negara kita secara berperingkat dalam tempoh 3 tahun akan menjadi igauan yang mengerikan buat anak muda seandainya peluang pekerjaan tidak disediakan buat penduduk tempatan.

4. Bebanan hutang yang ditanggung oleh anak muda juga perlu dipandang serius oleh Kerajaan Negeri Perak dalam Baget 2016 ini. Kos perumahan yang tinggi dilihat tidak mesra belia. Malahan ianya menjadikan anak muda tergolong dalam kalangan miskin walaupun memiliki segulung ijazah. Tekanan anak muda menanggung GST, hutang PTPTN, hutang kereta ditambah lagi kos rumah yang tinggi memberi kesan yang besar dalam kehidupan.

5. Bukan sekadar itu sahaja, pembangunan modal insan yang berterusan harus diberi penekanan utama dalam Baget Negeri Perak 2016 ini bagi melahirkan anak muda yang berakhlaq, berintegriti, berdaya saing, kreatif,kreatis dan inovatif. Melalui pembangunan modal insan yang berterusan ini juga, Perak dapat melahirkan ramai belia yang akan membantu memajukan negeri Perak dan sekaligus mengeluarkan Perak dari senarai antara negeri miskin di Malaysia.

6. Generasi Y kini tidak dapat dipisahkan lagi dengan internet. Malangnya kelajuan internet di Perak masih lagi berada dalam paras yang rendah. Bagaimana ingin mewujudkan masyarakat kampung yang celik IT seandainya capaian internet masih rendah dan tidak menyeluruh. Perkara yang sama turut dihadapi oleh rakyat Perak di Bandar yang mana kelajuan internet masih perlahan termasuk di kawasan-kawasan pejabat yang dipenuhi anak muda yang amat memerlukan internet dalam urusan pekerjaan dan kehidupan mereka. Maka Baget negeri Perak 2016 harus membawa agenda jalur lebar ini.

7. Demikian juga dengan tuntutan anak muda dalam pembangunan sukan di negeri Perak. Dengan persembahan bola sepak The Boss Gaurus yang kurang memberangsangkan, isu velodrum rakyat yang tidak berkesudahan dan pembangunan infrastuktur sukan di Bandar dan kampung yang belum menyeluruh, penekanan juga harus diberikan dalam Baget negeri Perak kali ini.

8. Tuntasnya, Dewan Pemuda PAS Perak mengingatkan dan berharap agar Baget negeri Perak 2016 yang akan dibentangkan akan datang perlu seiring dengan tuntutan rakyat dan mesra anak muda. Dewan Pemuda PAS Perak sentiasa optimis dalam usaha kemajuan dan pembangunan anak muda dan belia di negeri Perak ini. Semoga dengan itu Perak tergolong dengan firmanNya : بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ
" Negara yang aman, makmur dan mendapatkan keampunan Allah." (Saba`:15)

‪#‎IstiqamahSehinggaKemenangan‬

Mohd Akmal Hj Kamaruddin
Ketua Dewan Pemuda PAS Perak
30 Muharram 1437H / 12 November 2015


Sila kongsi artikel ini...

Timbang Teguran Dengan Saksama: Tolak Ugutan & Tindakan Ekstrem - Husam Musa

11:13 PM 0 Comments A+ a-



Timbang Teguran Dengan Saksama: Tolak Ugutan & Tindakan Ekstrem

Ugutan dari seorang lelaki yang tidak dikenali telah diterima melalui panggilan telefon dan sistem pesanan (sms) menerusi telefon isteri saya pada petang Isnin lalu, 9 November.

Ugutan itu ditujukan kepada saya.

Pada hari yang sama saya dan isteri membuat laporan polis masing-masing di balai Jalan Tun Razak dan IPK, Kota Bharu.

Berdasarkan kandungan pesanan sms, saya berat mengagak teguran kepada kerajaan negeri adalah punca ugutan itu diterbitkan.

Dari enam teguran utama saya, tiga adalah berkaitan pembalakan dan ladang, khususnya kelulusan hutan simpan kekal untuk tujuan perladangan.

Berdasarkan temu bual persendirian saya, jika saya ditanya suspek utama, saya katakan perlukan siasatan pembalak yang ada kepentingan dengan kelulusan tebang habis.

Sungguh pun saya merasa gentar akan keselamatan saya dan keluarga, InsyaAllah saya tidak akan berganjak dari tugas saya membuat teguran yang benar mengikut hemat dan pegangan perjuangan saya, hatta jika nyawa saya menjadi taruhan.

Saya berharap kerajaan negeri menimbangkan teguran saya dengan saksama bagi mengelakkan pertikaian yang berlanjutan, khusus bagi kelulusan kawasan hutan simpan yang baru, sekalipun atas alasan sambungan kepada kelulusan dasar yang lama.

Saya juga berharap pihak keselamatan menjalankan siasatan dengan bersungguh-sungguh demi mengelakkan provokasi dan kejadian yang lebih buruk.

Saya berterima kasih kepada semua pihak yang sedia berkongsi dan bersimpati.

Allah sebaik Penolong dan sebaik Pelindung. KepadaNya saya bertawakkal.

Husam Musa
30 Muharam 1437/
12 November 2015


Sila kongsi artikel ini...

Gunakan saluran parti - Tuan Ibrahim Tuan Man

11:10 PM 0 Comments A+ a-



Gunakan saluran parti

Selaras dengan sabda Rasulullah SAW bermaksud, " Sesungguhnya fitnah itu sedang tidur, Allah melaknat sesiapa yang mengejutkannya" - saya ingin mengingatkan ahli parti termasuk para pimpinan tertinggi PAS agar mengelak membuat kenyataan terbuka sesuatu yang boleh mengundang fitnah dan salah faham di kalangan ahli dan masyarakat luar.

Parti mempunyai disiplin tersedia yang mesti difahami dan dipatuhi. PAS tidak menyekat sebarang kritikan atau komentar kepada pimpinan parti, namun ia mestilah mengikut saluran dan disiplin parti. Ahli parti yang melafazkan dirinya akan beristiqamah, bersama perjuangan parti sehingga mati dan menyayangi parti tidak wajar melukakan imej parti.

Kenyataan berupa tuduhan hanya akan mengundang pelbagai persepsi yang tidak tepat akan membawa kesan dan dosa yang berpanjangan. Lebih bahaya bilamana ia akan mengundang pelbagai tulisan yang hanya menyambung benih fitnah tersebut. Bukan itu sahaja, masa untuk parti bergerak ke depan juga terbazir.

Ahli dan seluruh jentera perlu memberi fokus kepada memperkasakan parti, memperkemas jentera pilihanraya, menambah keahlian parti, terus menggerakkan daftar pengundi dan terus melaksanakan kebajikan bagi mengekalkan reputasi parti yang baik bagi menghadapi PRU akan datang.

Masa, tenaga dan kewangan lebih elok dilabur di tugas-tugas membantu parti kerana itulah erti pengorbanan dalam tarbiyyah.

Sehubungan itu, tumpukan gerakerja melihat ke hadapan dari melihat ke belakang atau ibarat pemain bola yang sibuk mencabut kemuncup dan memerhati gelagat penonton ketika permainan sedang berjalan.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
11 November 2015


Sila kongsi artikel ini...

Tun Dr Mahathir Mohammad Perdana Menteri yang paling berjaya dalam sejarah negara ini - Anina Saadudin

11:08 PM 0 Comments A+ a-



Tun Dr Mahathir Mohammad adalah Perdana Menteri Malaysia ke 4 dan beliau adalah Perdana Menteri yang paling berjaya dalam sejarah negara ini.

Sebagai manusia biasa kita tidak akan mampu menjadi manusia yang berjaya tanpa melakukan kesilapan. Ini kerana kesilapanlah yang menjadikan kita manusia yang lebih baik dan berjaya.


Manusia yang melakukan kesilapan adalah manusia yang berusaha melakukan sesuatu. Jika dia tidak berusaha melakukan sesuatu maka sudah tentu dia tidak akan melakukan apa-apa kesilapan.

Kesilapan-kesilapan yang diperbaiki adalah satu tanda bahawa kita manusia bijak dan tidak pernah berputus asa. Dengan hakikat inilah pemimpin ulung bernama Mahathir membangunkan Malaysia.

Akhirnya Malaysia menjadi negara yang bukan hanya bernama, tetapi ternama.

Mungkin ramai yang terluka dan kecewa dalam kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan oleh seorang manusia biasa. Namun tidakkah kita sedar bahawa tidak mungkin seorang manusia dapat memuaskan hati berpuluh juta manusia.

Mungkin hanya Siti Nurhaliza yang paling berjaya memuaskan hati semua orang yang mendengar nyanyiannya.

Sungguhpun begitu, apa yang paling penting adalah neraca yang menimbang nikmat bagi kehidupan 30 juta rakyat Malaysia. Hasil usaha Tun Mahathir bukan sahaja mengubah lanskap infrastruktur, tetapi juga ekonomi dan kualiti hidup rakyat.

Tun Mahathir memberi nafas baru kepada rakyat maka kerana itulah Tun Mahathir menjadi jantung negara ini. Setiap rakyat berbilang kaum merasa kasih kepada Tun Mahathir.

Hari ini walaupun tanpa kuasa dan wang untuk diberikan, rakyat masih kasih dan setia kepada Tun Mahathir. Itu tanda keberkatan Ilahi ke atas budi dan jasa beliau.

Maka dengan itu, nasihat saya kepada pemimpin-pemimpin negara mahupun para aktivis politik, pengamal media sosial dan sesiapa saja di luar sana, jika anda tidak mampu mengubah kehidupan insan lain, sekurang-kurangnya janganlah anda mengeji insan yang telah mengubah negara ini dari hina kepada mulia.

Tun Mahathir adalah jantung hati rakyat. Sentuhlah jantung hati rakyat dengan kemulian. Jika anda menghirisnya, lukanya mungkin berdarah dan parutnya akan berbekas dihati rakyat.

Tiada parut yang tiada bertanda. Jangan jadikan PRU 14 sebagai batu tanda untuk nafas terakhir Barisan Nasional.

Hurmati jantung negara. Saya Sayang Tun Dr Mahathir Mohammad.

Anina Saadudin


Sila kongsi artikel ini...

Sumbangan Mangsa Bencana Tanah Runtuh Hutan Lipur Lentang

11:03 AM 0 Comments A+ a-



SUMBANGAN MANGSA BENCANA TANAH RUNTUH HUTAN LIPUR LENTANG

Jabatan AMAL Negeri Selangor akan menjalankan operasi Bantuan mangsa bencana tanah runtuh Hutan Lipur Lentang dengan penyediaan makanan [Dapur AMAL] kepada mangsa dan petugas operasi.

Ia melibatkan 86 mangsa dan lebih kurang 100 anggota petugas dari pelbagai agensi kerajaan dan sukarelawan.


Jesteru itu pihak kami, memohon sumbangan untuk menjayakan misi bantuan pada kali ini

Sumbangan anda boleh disalurkan melalui akaun
Bank Islam - 1-201-001-0035434 (Unit AMAL Selangor)

Sebarang maklumat dan perkara berkaitan boleh Hubungi :
Ustaz Hanafi 0122748833
Tuan Adnan 010 4224704
Tuan Mad 013 2202631

Brgd Jen (A) Tuan Ustaz Hanafi Zulkapli
Pengarah Jabatan AMAL Negeri Selangor.


Sila kongsi artikel ini...

Tiada Rasional Munasabah untuk Menaikkan Tarif Air Selangor - Khalid Ibrahim

10:59 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

TIADA RASIONAL MUNASABAH UNTUK MENAIKKAN TARIF AIR SELANGOR

Kenyataan Dato’ Menteri Besar Selangor semalam tentang kepastian bahawa tarif air bakal naik sebaik sahaja proses penyusunan semula selesai sepenuhnya nyata bercanggah dengan semangat dan hasrat asal pengambilalihan industri perkhidmatan air oleh Kerajaan Negeri daripada syarikat konsesi.


Di samping persoalan mengenai nama syarikat yang dilantik sebagai penilai bebas bagi nilai pampasan ekuiti kepada SPLASH dan caj konsultansi yang perlu dibayar oleh Kerajaan Negeri, saya amat terkejut dan terkilan dengan perubahan mendadak pada dasar-dasar awam seumpama ini memandangkan antara sebab asal utama penstrukturan semula indusri air dilaksanakan adalah supaya rakyat boleh menikmati perkhidmatan air yang lebih efisien dan pada tarif yang berpatutan.

Mengikut perancangan awal, kenaikan tarif hanya akan dipertimbangkan selepas tiga hingga empat tahun industri perkhidmatan air Selangor berjaya distruktur semula sepenuhnya manakala sebarang kenaikan dijamin tidak akan melebihi 12 hingga 15 peratus setiap tiga tahun.

Saya yakin banyak lagi usaha yang perlu dan boleh dilakukan sebelum langkah drastik menambah beban rakyat akibat lonjakan kos sara hidup dengan menaikkan tarif air sebaik sahaja proses pengambilalihan selesai. Sebagai contoh, Kerajaan Negeri boleh mengelakkan pembaziran dan ketirisan dalam kos operasi dengan memotong perbelanjaan yang tidak perlu, mengurangkan kontrak berlapis-lapis (multi-level contracts) dan menghentikan serta-merta penganugerahan sub-kontrak.

Tambahan pula, sebagai pemilik mutlak, Kerajaan Negeri tidak perlu lagi mematuhi terma dan syarat yang terkandung dalam Perjanjian Konsesi atau mengikut kaedah operasi lama yang dipraktikan oleh syarikat konsesi. Sebaliknya, ia mempunyai kuasa menetapkan kaedah "pricing" dan "costing" yang baharu di setiap peringkat operasi sebagai salah satu strategi kawalan kos keseluruhan; sekaligus mengurangkan malah menghapuskan keperluan menaikkan tarif.

Oleh kerana industri perkhidmatan air kini milik rakyat Selangor, amat wajar kerajaan negeri faham secara mendalam segala butiran dalam akaun dan rekod kewangan operator perkhidmatan air terutama aspek perbelanjaan. Dari situ, satu formula lestari boleh digarap bagi mengelakkan kenaikan tarif buat jangka masa panjang.

Bagi memastikan hak dan kepentingan rakyat terpelihara, saya menggesa agar satu badan pengawasan bebas industri air ditubuhkan dengan fungsi antara lain, memantau metodologi penetapan tarif dan mutu perkhidmatan di samping memastikan keabsahan justifikasi dan legitimasi keperluan menaikkan tarif seperti yang didakwa. Meskipun kewajaran bagi kenaikan tarif wujud, perkara tersebut perlu dibentangkan di Dewan Negeri Selangor terlebih dahulu agar semua wakil rakyat faham dan jelas tentang isu-isu yang terlibat.

Sebagai peringatan kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH), terdiri daripada PKR, DAP dan PAN terutama PKR dan DAP yang jarang melepaskan peluang menggasak dan menghentam Barisan Nasional tetapi diam seribu bahasa berhadapan kepincangan dan kebobrokan di rumah sendiri di Selangor dan Pulau Pinang, tibalah masanya untuk hentikan sikap hipokrit dan berdolak-dalih. Diberi peluang dengan kawalan dan kuasa penuh sekarang, Kerajaan Negeri harus buktikan keupayaan mengurus industri perkhidmatan air lebih baik daripada era Barisan Nasional di samping mengotakan semua tawaran dalam Manifesto Pilihanraya Umum ke-13.

Ingin juga saya nasihatkan para pemimpin dari PH dan PAS bahawa "perjuangan "reformasi" yang dilaungkan selama ini bukan hanya untuk mencari salah dan kelemahan Barisan Nasional tetapi juga sebagai panggilan bermuhasabah untuk memperbaiki diri sendiri jika mahu terus membina dan memperteguh keyakinan rakyat bahawa mereka mampu membentuk kerajaan yang lebih baik.

TAN SRI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
ADUN PELABUHAN KLANG


Sila kongsi artikel ini...

PEGANG 26 JAWATAN BERGAJI, JUMLAH PENDAPATAN PENGERUSI DAN TIMBALAN PENGERUSI (PEMIMPIN WANITA UMNO) LEMBAGA PEMEGANG AMANAH YaPEIM BERSAMA KELUARGANYA CECAH RM 154,700 SEBULAN

9:54 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA NOW MALAYSIA

PEGANG 26 JAWATAN BERGAJI, JUMLAH PENDAPATAN PENGERUSI DAN TIMBALAN PENGERUSI (PEMIMPIN WANITA UMNO) LEMBAGA PEMEGANG AMANAH YaPEIM BERSAMA KELUARGANYA CECAH RM 154,700 SEBULAN

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) merupakan satu yayasan yang dipertanggungjawabkan mengurus sumbangan derma orang ramai, pinjaman Kerajaan Persekutuan serta menjana pendapatan melalui perniagaan berteraskan Islam dan kemudiannya sumbangan ini sepatutnya diagihkan kepada kumpulan sasaran dan mereka yang memerlukan.

Mengikut struktur kumpulan organisasi YaPEIM (rujuk lampiran), terdapat 6 institusi milik penuh YaPEIM beserta 2 anak syarikat dan 6 institusi di bawah kawalan YaPEIM beserta 3 anak syarikat iaitu seperti berikut:

Institusi Milik Penuh YaPEIM

Institut Penyelidikan dan Perundingan YaPEIM
Permodalan YaPEIM
Darul Sasaran
PJ Perdana Management & Service
Pusat Khidmat Pembangunan Usahawan YaPEIM
Akademi Pengurusan YaPEIM
Perbadanan INFAQ YaPEIM
YaPEIM Smart Venture
Institusi di Bawah Kawalan YaPEIM

Koperasi YaPEIM Berhad
Ar Rahnu YaPEIM
YaPEIM Hospitality International
Koperasi Ibadah KorbanYaPEIM Berhad
YaPEIM SMART
Koperasi Khairat Warga YaPEIM Berhad
Koperasi Santun Berhad
Koperasi Kebajikan Pasca Perkhidmatan YaPEIM Berhad
Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (PEMANGKIN)
Kewujudan begitu banyak institusi dan anak syarikat di bawah YaPEIM menimbulkan tanda tanya mengenai keperluan tersebut sedangkan matlamat kewujudan YaPEIM adalah berteraskan amal jariah.

Berdasarkan penelitian yang dibuat oleh National Oversight and Whistleblowers (NOW), beberapa individu terutamanya Dato’ Haji Abd. Malek B. Awang Kechil iaitu Presiden Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM dan Datuk Hajjah Siti Jeliha @ Zaleha Binti Hussin iaitu Timbalan Presiden Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM bersama keluarganya (rujuk lampiran) merupakan mereka yang menerima manfaat terbesar dengan kewujudan institusi dan jawatan-jawatan tersebut.

Berikut adalah senarai jawatan yang disandang oleh Dato’ Haji Abd. Malek B. Awang Kechil berserta gaji dan elaun bulanan:-

Presiden Lembaga Pemegang Amanah RM 15,000.00
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah RM 15,000.00
Pengerusi Jawatankuasa Kerja YaPEIM RM 5,000.00
Pengerusi Panel Pemikir Pembangunan Ekonomi Islam RM 5,000.00
Pengerusi Jawatankuasa Khas LPA Program Mikro Kredit RM 5,000.00
Majlis Penasihat Teknologi Emas & Galian Bernilai RM 5,000.00
Penasihat Dasar dan Operasi Skim Ibadah Korban YaPEIM RM 5,000.00
Pengerusi, Institut Penyelidikan Dan Perundingan YaPEIM RM 4,500.00
Pengerusi, Pusat Khidmat Pembangunan Usahawan YaPEIM RM 4,500.00
Pengerusi, Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin RM 4,500.00
Pengerusi, PJ Perdana Management & Services RM 4,500.00
Pengerusi, YaPEIM Hospitality International Sdn Bhd *tiada maklumat
Jumlah pendapatan bulanan Dato’ Haji Abd. Malek B. Awang Kechil yang telah dikenal pasti melalui YaPEIM adalah RM 73,000.00 sebulan.

Berikut adalah senarai jawatan yang disandang oleh Datuk Hajjah Siti Jeliha @ Zaleha Binti Hussin berserta gaji dan elaun bulanan:-

Timbalan Presiden Lembaga Pemegang Amanah RM 15,000.00
Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah RM 15,000.00
Pengerusi Jawatankuasa Audit YaPEIM RM 5,000.00
Ahli Jawatankuasa Pengawasan Syariah YaPEIM RM 1,000.00
Pengerusi Perbadanan Infaq YaPEIM Sdn Bhd RM 4,500.00
Ahli Lembaga Pemegang Amanah PEMANGKIN RM 2,500.00
Ahli Lembaga Pengarah YaPEIM Smart Venture RM 2,500.00
Jumlah pendapatan bulanan Datuk Hajjah Siti Jeliha @ Zaleha Binti Hussin yang telah dikenal pasti melalui YaPEIM adalah RM 45,500.00 sebulan.

Selain daripada itu, anak kepada pemimpin Wanita UMNO Kelantan tersebut iaitu Wan Johan Bin Wan Ismail turut terlibat secara langsung dalam YaPEIM dan berikut adalah senarai jawatan yang disandangnya beserta gaji dan elaun bulanan:-

Pengarah Kanan, Perancangan, Kesetiausahaan dan Corporate Intelligence RM 18,800.00
Elaun rumah RM 1,200.00
Elaun Keraian RM 1,200.00
Ketua Pegawai Eksekutif, YaPEIM Smart Venture RM 2,500.00
Pengarah Eksekutif, Darul Sasaran Sdn Bhd RM 1,000.00
Lembaga Pengarah, Darul Sasaran Sdn Bhd RM 2,500.00
Ketua Pegawai Operasi, Permodalan YaPEIM RM 1,500.00
Lembaga Pengarah, PJ Perdana Management & Services RM 2,500.00
Manakala suami kepada Datuk Hajjah Jeliha @ Zaleha Binti Hussin iaitu Haji Ismail Bin Mat Nasib dilantik sebagai Fellow dengan pendapatan RM 5,000 sebulan bagi ‘melaksanakan tugas dan tanggungjawab seperti yang diamanahkan YaPEIM bersama YBagia Datuk Zaleha’.

Jumlah pendapatan bulanan Datuk Hajjah Siti Jeliha @ Zaleha Binti Hussin bersama keluarga beliau melalui YaPEIM adalah RM 81,700.00 sebulan.

Sebagai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, mereka sepatutnya memantau pengurusan dan memastikan sumbangan derma orang ramai tidak disalah gunakan dan sampai kepada mereka yang layak menerima.

Namun sebaliknya, mereka ini menjadi penerima sumbangan dan manfaat terbesar apabila mereka bersama keluarga memegang 26 jawatan dalam YaPEIM dengan pendapatan mencecah RM 154,700.00 sebulan dan jumlah tersebut tidak termasuk manfaat-manfaat yang lain.

Bagaimanakah perkara seperti ini boleh berlaku sedangkan agensi YaPEIM diletakkan dibawah pemantauan khas Perdana Menteri Malaysia?

Adakah Dato’ Seri Jamil Khir selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab menguruskan Hal Ehwal Agama Islam sedar berkenaan perkara ini?

Mampukah Perdana Menteri dan Menteri tersebut bayangkan perasaan 588,930 orang penyumbang derma secara bulanan kepada YaPEIM apabila mengetahui mereka yang diamanahkan untuk memantau sumbangan tetapi gagal menjalankan tanggungjawab mereka?

11 NOVEMBER 2015

AKMAL NASIR
Pengarah
National Oversight and Whistleblowers (NOW)


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.