Mmemorandum : Penafian hak ikat jamin untuk aktivis Khalid Ismath Satu pencabulan hak asasi paling serius dan fundamental

3:39 PM 0 Comments A+ a-



Satu rombongan masyarakat sivil yang terdiri daripada wakil-wakil 36 buah organisasi, telah menyerahkan satu memorandum pada hari ini (16 Oktober 2015) kepada Pejabat Ketua Hakim Negara di Putrajaya.

‪#‎BebasKhalid‬ ‪#‎FreeKhalid‬

Berikut adalah isi kandungan memorandum tersebut:

Kepada
Tun Arifin bin Zakaria
Ketua Hakim Negara

16 OKTOBER 2015

Penafian hak ikat jamin untuk aktivis Khalid Ismath
Satu pencabulan hak asasi paling serius dan fundamental!

Kami dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan organisasi-organisasi lain yang endorse memorandum ini amat tidak berpuashati dan terkejut dengan keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 13 Oktober 2015 apabila ikat jamin bagi Aktivis Khalid Mohd Ismath dinafikan dengan sebab-sebab yang langsung tidak munasabah!

Khalid Mohd Ismath, merupakan seorang aktivis mahasiswa dan ahli Parti Sosialis Malaysia telah ditahan pada 7 Oktober 2015 di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan seterusnya di tangkap semula selepas dibebaskan pada 9hb.Oktober dibawah Akta Hasutan 1948.

Beliau telah direman selama 6 hari dan akhirnya dibawa ke Mahkamah untuk dituduh pada 13 Oktober 2015. Pihak Pendakwaraya Polis telah melemparkan sebanyak 14 pertuduhan keatas beliau, 3 pertuduhan dibawah Akta Hasutan dan 11 lagi pertuduhan dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia, 1998 .

Kami membangkit beberapa persoalan berikut atas tingkah laku pihak Peguam Negara, Pendakwaraya, Polis dan juga Institusi Kehakiman. Kami melihat Instutusi kehakiman sebagai satu simbol penting untuk menegakkan keadilan dan membela rakyat dan mempunyai peranan penting dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai "check dan balance" kepada tindak tanduk Eksekutif dan pihak-pihak lain yang berpengaruh.

Kami hujahkan beberapa perkara penting untuk tatapan Yang Amat Arif, Ketua Hakim Negara.

1. Unsur niat jahat wujud sejak awal lagi

Dipercayai pihak polis dari awal lagi tidak mempunyai sebarang bukti terhadap Khalid. Penangkapan dibawah Akta Multimedia dan Komunikasi, 1998 dibuat hanya untuk menahan Khalid dan merampas barangan kepunyaannya.

Tangkapan kedua pada 9 Okotber 2015 di bawah Akta Hasutan dibuat atas maklumat yang diperolehi dari komputer dan telefon bimbitnya yang telah dirampas. Rampasan barang-barang berkenaan adalah semata-mata untuk memancing mendapatkan sebarang bahan bukti untuk digunakan terhadap Khalid untuk mendapat maklumat mengenai seorang bekas Penasihat Undang-undang Istana bernama Kamal Hisham Jaafar.

Khalid hanya melahirkan simpati terhadap penahanan Kamal Hisham Jaafar melalui media sosial. Pada hakikatnya Khalid tidak mempunyai sebarang hubungan intip.

2. Permohonan reman dengan sewenang-wenangnya

Semasa dalam tahanan, pihak polis telah menyalahgunakan proses reman dengan sewenang-wenangnya kononya untuk melakukan siasatan? Pada masa yang sama, pihak polis juga tergesa-gesa dalam mendapatkan reman pada kali kedua pada 9 Oktober tanpa memberitahu kepada keluarga dan peguam yang mewakili Khalid.

Sepatutnya pihak polis menggunakan sepenuhnya tempoh dua hari reman yang diberikan oleh Majistret untuk melakukan siasatan

Pihak peguam tidak diberikan notis awal untuk mewakili Khalid. Ini terus-terang menunjukkan penyalahgunaan kuasa oleh polis; penafian hak representasi kepada peguam dan keadilan serta bertentangan dengan proses penghakiman dimana proses penghakiman harus melindungi hak tahanan.

3. Penangkapan semula pada 9 Oktober 2015.

PSM memandang serius tentang penangkapan semula Khalid di bawah Akta Hasutan. Penangkapan semula Khalid yang sepatutnya bebas seperti yang diarahkan oleh Majistret pada 9hb Oktober, menunjukkan bahawa pihak polis telah menghina proses dan keputusan mahkamah. Ini adalah tindakan yang tidak adil dan menggunakan kuasa polis secara sewenang- wenangya.

4. Paksaan untuk mengaku/ menerima pertuduhan yang disabitkan

Khalid semasa perjumpaan dengan keluarga telah memaklumkan bahawa, pegawai penyiasat asyik meminta Khalid untuk mengaku kesalahan dan sekiranya dia mengaku bersalah maka dia akan dibenarkan untuk berjumpa dengan pihak keluarga. Kami memandang serius terhadap perkara ini kerana kami percaya mana-mana orang yang ditahan tidak harus dipaksa untuk mengaku terhadap pertuduhan dan ini adalah bercanggah dengan peruntukan dibawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) dimana tahanan mempunyai hak untuk berdiam diri dan mereka harus menjawab soalan dengan suka rela dan bukan dengan paksaan. Malah, Khalid dan keluarga Khalid masih bekerjasama dengan pihak polis dalam proses penyiasatan ini.

5. Pendakwaraya Begitu Pasti Permohonan Jamin akan Dinafikan

Kami mempersoalkan tingkah laku pihak Pendakwaraya yang begitu pasti permohonan untuk jamin akan ditolak oleh Hakim Mahkamah Sesyen SEBELUM bermulanya sidang mahkamah. Beliau memaklum kepada peguam Khalid Mohd Ismath, sudah pasti beliau tidak akan diberikan jamin .

Seolah-olah, keputusan pendengaran Mahkamah tersebut telah dibincang dan persetujui terlebih dahulu antara Peguam Negara, Pendakwaraya dan Majistret Mahkamah Sesyen. Kami mengetahui ini adalah satu tuduhan yang cukup serius tetapi kami mempertengahkan ini kepada kebijaksanaan Yang Arif untuk menyiasat.

6. Alasan yang tidak professional dan munasabah Pendakwaraya

Pihak Pendakwaan hanya mempunyai satu alasan sahaja dan alasannya cukup remeh dan tidak berlandaskan undang-undang iaitu Ketua pendakwaan berkata, “ Kami tidak mahu tawarkan sebarang jamin kerana kami tidak mahu pisang berbuah dua kali. Nanti macam kes Ali Abdul jalil, dia akan larikan diri ke Sweden”. Walaupun peguam kami memberikan pelbagai alasan undang-undang termasuk bahawa orang yang terbabit dalam kes membunuh juga boleh mendapat jamin tetapi segala hujah Peguam Khalid langsung tidak diambil kira’

Adalah amat tidak professional membandingkan kes Khalid Ismath dengan kes lain dan tambahannya pula Khalid Ismath belum lagi dibuktikan kesalahnnya!

7. Keputusan Hakim Mahkamah Seksyen satu precedent yang cukup mengerunkan

Keputusan Hakim Mahkamah Seksyen menafikan hak jamin adalah satu pencabulan hak asasi yang amat serius dan cukup fundamental. Prinsip seorang adalah tidak bersalah sehingga didapati bersalah. Innocent till proven Guilty telah dicabuli. Ini memberi satu isyarat buruk kepada kebebasan asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.

Ini merupakan satu bentuk penahanan tanpa bicara. Menafikan hak memberi jamin adalah satu bentuk hukuman dan melanggar segala prinsip keadilan, hak asasi dan prinsip perundangan yang asas.

Dengan ini, PSM dan organisasi-organisasi lain merayu supaya:

- Ketua Hakim Negara campurtangan demi memastikan keluhuran undang-undang dijaga dan tidak disalahgunakan

- Mahkamah harus memberi hak jaminan kepada Khalid Mohd Ismath dan membela orang biasa daripada dirampas kebebasan mereka

- Satu tarikh awal diberikan untuk kes ini didengar semula (revision) supaya jamin dapat dberikan

Lebih 30 aduan polis telah dibuat diseluruh negara kerana ada rasa kerisauan bahawa keselamatan khalid akan terancam jika beliau terus ditahan di negeri Johor.

- Hentikan tindakan niat jahat yang berterusan terhadap khalid mohd ismath.

- Menyiasat penyalahgunaan kuasa yang melampau oleh polis. Penahanan berterusan khalid di bawah jagaan polis hanya lah merupakan satu tindakan untuk menghukum Khalid, sedangkan Khalid sedia berkerjasama dalam sepanjang siasatan ini.

Memo ini disokong oleh:
1. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
2. Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT)
3. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
4. Pusat Komas
5. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
6. Student Progressive Front USM
7. Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH)
8. Pemuda Sosialis Malaysia
9. Malaysian Youth and Students’ Democratic Movement (DEMA)
10. Student Progressive Front UiTM
11. Projek Dialog
12. Northern Green Youth
13. Alumni Persatuan Bahasa Tiong Hua USM (Zon Utara)
14. Buku Jalanan Seremban, Negeri Sembilan
15. Perak Civic Forum
16. DEMI Malaysia
17. LesBeFriends
18. Otai Reformis 1998
19. Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
20. Diversity
21. Kumpulan Kolektif Teori Timur, Kuching
22. Persahabatan Semparuthi
23. Johor Yellow Flame
24. Johor People’s Action Group (JPAG)
25. Hands Of Malaysians Extended (H.O.M.E.)
26. Persatuan Kebudayaan dan Sosial India Bandar Baru Kangkar Pulai, Johor Bahru
27. Malaysian Indian Voice, Johor
28. I support IPCMC
30. Persatuan Perikemanusiaan Johor
31. Institut Kesedaran Rakyat
32. Persatuan Dravidar Malaysia, Cawangan Masai Baru
33. Johor Indian Business Association
34. Angkatan Pembebasan Bangsa Malaysia (APBM)
35. Teoh Beng Hock Trust for Democracy
36. LLG Development Centre




Sila kongsi artikel ini...

1MDB, Peguam Negara dan Bank Negara - Tuan Ibrahim Tuan Man

2:02 PM 0 Comments A+ a-



1MDB, Peguam Negara dan Bank Negara

Pihak yang meminjam duit merata-rata sehingga hutangnya menggerunkan kini tidak lagi dipersalahkan. Kesalahan ini sekarang cuba diletak pada pihak lain.

Itulah yang sedang berlaku – apabila Jabatan Peguam Negara meletakkan Bank Negara Malaysia sebagai pihak yang cuai di dalam krisis 1MDB.


Apakah Peguam Negara tidak dapat menghidu bahawa 1MDB ini bermasalah?

Lihatlah rentetan peristiwa pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas kelantangan beliau mengkritik 1MDB, pemecatan Datuk Seri Shafie Apdal daripada kabinet dan perlantikan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail tatkala siasatan pasukan petugas khas yang dianggotai Bank Negara Malaysia, SPRM, Polis dan Jabatan Peguam Negara hangat dijalankan.

Bukan itu sahaja, selepas itu berlaku penukaran pelik Timbalan Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Abdul Hamid Bador, pegawai penyiasat SPRM ke Jabatan Perdana Menteri, melantik 4 anggota Jabatan Kira-Kira Wang Negara ke kabinet, pemececatan pegawai undang-undang Jessica Gurmeet Kaur dan pembubaran pasukan siasatan khas kepada 1MDB.

Perkara ini tidak terhenti di sana, kini para pengkritik 1MDB iaitu Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang pula ditahan di bawah Sosma dan kemudian didakwa tuduhan mensabotaj ekonomi negara.

Dengan ramai yang nasib hidupnya telah berubah kerana 1MDB, namun nasib

1MDB dan juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih kelihatan teguh kerana Peguam Negara tidak dapat menghidu ada masalah terhadap 1MDB. Ternyata hidung Peguam Negara tidak sesensitif hidung Majlis Raja-Raja yang turut menggesa agar krisis 1MDB diselesaikan dengan cepat.

Yang hebatnya ialah sehingga kini 1MDB masih tidak perlu berdepan dengan PAC dan Perdana Menteri pula belum disoal oleh polis mahupun SPRM. Jikalau semua kejadian ini dijadikan kayu ukuran kepada 1MDB, ini boleh dikira sebagai krisis terbesar negara.

PAS mengalu-alukan sesiapa yang ingin bersama menuntut kebenaran dalam isu 1MDB bersama pembangkang, lebih-lebih lagi daripada kumpulan yang pro-Umno-BN. Dalam sudut ini, PAS menegaskan kami mengalu-alukan kesudian mana-mana NGO untuk bersama pembangkang menentang Umno dalam isu 1MDB dan kepentingan rakyat tapi PAS tidak akan sesekali mengadakan kerjasama politik dengan NGO yang bersentimenkan perkauman.

Jika ada NGO cuba mengapi-apikan dan melaga-lagakan kaum dan agama, PAS adalah musuhnya yang pertama kerana Islam menegah perkara ini dengan jelas dan PAS akan menjadi benteng pertama menghalang NGO tersebut daripada merosakkan kehormonian kaum dengan politik perkauman yang melampau.

Tuan Ibrahim Tuan ManTimbalan Presiden PAS
16 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Arahan Bawa Pulang RM 1.83 billion 1MDB: Tindakan Bank Negara Malaysia Disokong - Nasrudin Hassan

1:52 AM 0 Comments A+ a-



Arahan Bawa Pulang RM 1.83 billion 1MDB:
Tindakan Bank Negara Malaysia Disokong


Oleh : Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat.


1. Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) membatalkan 3 lesen pelaburan asing 1MDB dan mengarahkan syarikat tersebut membawa pulang dananya yang berjumlah RM1.83 billion adalah amat disokong. Ianya merupakan arahan yang rasional setelah usul siasatan BNM agar 1MDB didakwa dengan prosiding jenayah di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang (ECA) 1953 ditolak oleh Pejabat Peguam Negara.

2. Hakikatnya, keputusan Peguam Negara tersebut secara terbuka merendahkan kredibiliti BNM sebagai pengawalselia pasaran kewangan seolah-olah BNM tidak tahu membuat kerja. Dengan arahan ini, masyarakat dan komuniti perniagaan boleh menilai sendiri sama ada 1MDB benar-benar memiliki kecairan aset seperti yang selalu didakwa oleh PM dan kroni-kroni beliau di dalam syarikat itu atau pun segalanya merupakan suatu pembohongan bersistematik.

3. Sekiranya 1MDB gagal untuk mematuhi arahan BNM, Pejabat Peguam Negara pada kali ini tidak boleh lagi berdalih dalam memulakan prosiding perundangan terhadap 1MDB memandangkan syarikat itu secara terbuka menyanggah kuasa BNM sebagaimana peruntukan Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA) 2013.

4. Peguam Negara adalah pegawai undang-undang yang dilantik oleh Yang diPertuan Agong. Mengambilkira kenyataan Majlis Raja-Raja yang menuntut penyiasatan telus dan adil dalam isu berkaitan 1MDB, sebarang dolak-dalik Peguam Negara mengundang risiko lese majeste terhadap Yang diPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

5. Maka satu-satunya tindakan munasabah bagi kerajaan UMNO-BN menutup jejak jenayah mereka selepas ini adalah dengan menyasar dan menukar kepimpinan Bank Negara bagi melemahkan penguatkuasaan FSA sekaligus menyelamatkan 1MDB dan memanjangkan talian hayat rejim korup ini. Sama ada Gabenor Bank Negara Tan Sri Dato’ Dr. Zeti Akhtar Aziz bakal menerima nasib yang sama seperti Tan Sri Abdul Gani Patail atau pun 1MDB-UMNO-BN membuang masa menunggu kontrak perkhidmatan Tan Sri Dr. Zeti yang dijangka tamat April 2016, ketegasan BNM mempunyai tempoh had masa kerana pastinya PM akan meletakkan seorang Pak Sanggup yang tanpa malu akan menukar arahan ini.

6. Walau apa pun exploitasi UMNO-BN terhadap proses perundangan sedia ada, kesalahan 1MDB telah menjadi satu rekod awam dan di sinilah ketegasan dan keberanian BNM di dalam mengumumkan tindakan-tindakannya amat dihargai. Kesemua rekod mengenai usul prosiding jenayah terhadap 1MDB, pembatalan lesen pelaburan asing dan arahan membawa pulang dana RM 1.83 billion kini telah menjadi pengetahuan umum dan pastinya akan diungkitkan semula oleh rakyat dalam undian PRU14 kelak bagi menghukum kepimpinan UMNO-BN yang korup ini.

Membina Malaysia Sejahtera.

Sekian.


Sila kongsi artikel ini...

Penyertaan Dato’ Saifuddin Abdullah Menguatkan Perjuanagan Rakyat - Wan Azizah

1:48 AM 0 Comments A+ a-



PENYERTAAN DATO’ SAIFUDDIN ABDULLAH MENGUATKAN PERJUANGAN RAKYAT
Krisis politik dan kegawatan ekonomi yang melanda Malaysia hari ini mendorong rakyat dan pemimpin berfikir betapa perlunya mengambil langkah berani dan membuat anjakan dalam pendirian untuk menyertai gerakan yang menerajui perubahan.

Kita telah menyaksikan bagaimana penjawat-penjawat awam di peringkat tertinggi institusi negara seperti SPRM, Bank Negara Malaysia dan Jabatan Audit menampilkan keberanian yang luar biasa dalam pendirian mereka tentang keperluan ketelusan dalam penyiasatan terhadap skandal 1MDB.

Skandal 1MDB telah menyebabkan perpecahan yang dahsyat dalam UMNO. Timbalan Presidennya sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dilucutkan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan salah seorang Naib Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah disingkirkan dari kabinet.

Kecelaruan kepimpinan telah menyebabkan ramai pemimpin UMNO dan parti-parti komponen BN bukan sahaja hilang kepercayaan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak, bahkan terhadap masa depan UMNO dan BN sendiri. Persepsi wujudnya tangan eksekutif yang menghalang ketelusan dalam siasatan terhadap skandal kewangan 1MDB semakin menghakis keyakinan terhadap Perdana Menteri dan UMNO.

Sebelum ini saya telah membuat kenyataan bahawa pintu KEADILAN terbuka luas kepada semua yang komited kepada agenda perubahan untuk menyelamatkan Malaysia.

Pada hari ini, kami berasa gembira dan mengalu-alukan penyertaan Datuk Saifuddin Abdullah ke dalam keluarga besar KEADILAN. Penyertaan beliau sudah tentu akan memperkukuhkan usaha KEADILAN untuk menggembleng perpaduan dan kekuatan rakyat demi perubahan dan pembaharuan.

Datuk Saifuddin adalah mantan Timbalan Menteri Pengajian tinggi. Beliau bersikap sederhana, terbuka dan konsisten mengungkap pendirian yang mesra pembaharuan. Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Global Movement of the Moderates beliau mempunyai jaringan yang kuat dengan NGO. Jaringan tersebut meliputi pelajar dan generasi muda kerana penglibatan beliau yang meluas dan lama dalam pergerakan pelajar dan belia.

Saya yakin beliau akan menguatkan kedudukan KEADILAN dan Pakatan Harapan dalam memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat. Penyertaan beliau bertepatan dengan strategi KEADILAN untuk memberi fokus kepada isu-isu khusus masyarakat Melayu/Bumiputra agar kebajikan mereka akan terbela. Saya bersyukur dengan kehadiran Dato’ Saifuddin Abdullah yang akan dapat bersama-sama mendepani isu-isu Melayu/Bumiputra ini dengan pimpinan KEADILAN yang lain.

Saya juga yakin beliau akan dapat memainkan peranan strategik di dalam Pakatan Harapan untuk memastikan gabungan baru ini menumpukan kepada gagasan idea baru untuk ditawarkan kepada rakyat Malaysia.

Doa saya supaya beliau terus diberi kekuatan dan dilindungi Allah SWT dalam memperjuangkan nasib dan membela hak rakyat.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN
15 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Hijrah Ke Negara Yang Baik - Dr Muhd Nur Manuty

1:45 AM 0 Comments A+ a-



HIJRAH KE NEGARA YANG BAIK

Tahun Baru Hijrah 1437HSekali lagi umat Islam di seluruh dunia merayakan kedatangan tahun baru 1437 hijrah. Sesungguhnya peristiwa hijrah adalah merupakan satu detik yang sangat bermakna kepada umat Islam dari segi zahir dan batin. Hijrah memberi makna yang positif untuk kecemerlangan umat sejak berlakunya hijrah Rasul dari kota Mekah ke Madinah al-Munawwarah dan insyallah ia akan berterusan hingga ke hari kiamat.

Bicara hijrah di dalam al-Qur’an jelas menunjukkan bahawa Junjungan Muhammad SAW memiliki visi yang jauh dari segi da’wah, perancangan yang rapi dan berstratigik, kekentalan semangat pengorbanan yang luar biasa, mempunyai minda terbuka dengan membenarkan orang musyrik seperti ‘Abdullah ibn Uraiqat turut sama berpartisipasi dalam persiapan logistik hijrah. Selain itu, hijrah adalah satu manifestasi semangat persaudaraan (ruh al-ukhhuwah) antara muhajirin Mekah dengan kelmpok ansar di Kota Madinah.


Justeru, al-Qur’an memberi pujian yang tinggi terhadap penggerak- penggerak hijrah yang sentiasa mendapat rahmat dan barakah dari Allah SWT. Firman Allah SWT:

“ Kemudian Tuhanmu (pelindung) bagi orang yang berhijrah setelah menderita cobaan, kemudian mereka berjihad dan bersabar, sungguh, Tuhanmu setelah itu benar-benar Maha pengampun dan Maha penyayang.” (Surah An Nahl: 110).

Kendatipun demikian, hijrah tidak dapat berfungsi secara berkesan jika umat tidak menghayati sepenuhnya prinsip dan tujuan hijrah. Dalam konteks Malaysia, perkembangan mutakahir jelas menuntut umat Islam untuk menjadikan tahun 1437 hijrah, sebagai satu jihad besar berusaha melakukan perubahan kepemimpinan negara supaya tidak diterajui oleh penguasa – peguasa yang korup dan berani menyalahgunakan kuasa dalam pelbagai institusi pemeritah secara wawenang. Justeru, hijrah hanya dapat direalisasikan apabila perpindahan sikap dan perbuatan buruk (al-munkar) berpindah menjadi baik (al-ma’ruf). Dengan lain perkataan, hirah bererti menumpaskan kezaliman dan mengangkat kembali keadilan. Inilah hakikatnya hijrah seperti pesan Junjungan Muhammad (SAW) dalam hadis-jadisnya yang sahih.

Justeru, kita menyeru seluruh umat Islam supaya menjadikan sambutan hijrah 1347 kali ini sebagai satu keutamaan tindakan amar ma’ruf dan nahi munkar dengan penghayatan sepenuhnya terhadap fiqh ‘ul hijrah demi keselamatan dan kesejehteraan hidup rakyat Malaysia.

Dr Muhd Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman & Pemantapan Agama (BiPPA)
Parti Keadilan Rakyat
1 Muharram 1437H/14hb Oktober, 2015


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.