Penyelesaian Ekonomi : Lantik Menter Kewangan Baru - Nazri Khan

8:59 PM 0 Comments A+ a-



PENYELESAIAN EKONOMI : LANTIK MENTERI KEWANGAN BARU

Alhamdulillah, Malaysia telah berusia 58 tahun selepas Hari Merdeka minggu lepas, tetapi jujur saya rasa dari perspektif ekonomi, mungkin tidak banyak yang dirayakan, malah banyak yang perlu berkabung. Tahun 2015 sewajarnya menjadi tahun paling banyak publisiti untuk Malaysia kerana kita julung kali menjadi Pengerusi Komuniti Ekonomi ASEAN dan ahli penuh United Nation Security Council.

Sayang, ekonomi negara seolah-olah kehilangan arah dan taring kerana 'banyak benda tak kena' berlaku tahun 2015, luar negara dan dalam negara.

Ringgit mencecah paras terendah dalam 17 tahun. Harga minyak mentah, emas, getah dan kelapa sawit menjunam paras terendah dalam 5 tahun. Cukai baru dalam sejarah, GST telah bermula. Paras hutang isirumah Malaysia diantara yang tertinggi di Asia. Paras pelabur saham asing menyusut lebih 50% sejak tahun 2007. Indeks Bursa Malaysia turun ke tahap paling bawah dalam tiga tahun setengah.

Yang pelik, sehingga hari ini, belum ada kenyataan rasmi, Malaysia sudah berdepan dengan krisis ekonomi.

Setakat ini, rata-rata mengatakan ringgit jatuh sebab faktor luaran. Ringgit yang murah juga akan menjadi baik untuk eksport, universiti dan pelancongan. Jika ini betul, kenapa laporan terkini Bank Negara yang menunjukkan Eksport Kasar menurun sebanyak 3.7% pada Suku Kedua 2015 walaupun ringgit susut nilai sepanjang tempoh tersebut ?

Saya berharap semua orang terutama pakar-pakar ekonomi akan berhenti bercakap karut yang mungkin tak berguna jika butang panik berlaku.

Saya mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Khas Ekonomi tetapi banyak yang tidak perasan, beberapa individu penting tiada dalam senarai ini, terutamanya Gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz. Selain itu yang saya rasa agak pelik adalah Perdana Menteri kita tidak dinamakan sebagai pengerusi jawatankuasa ini. Saya berharap dua kelemahan ini dapat ditampung supaya jawatankuasa khas ekonomi ini mempunyai gigi.

Ok. Melihat semua ini, secara peribadi, penyelesaian paling 'simplistik' untuk menghentikan aliran menurun saham adalah mengumumkan perlantikan seorang Menteri Kewangan baru yang berkarisma, neutral dan merdeka.

Pilih Menteri Kewangan baru yang berkaliber, kompeten, boleh berdiri sendiri dan mempunyai pengalaman luas dalam dunia ekonomi, punya reputasi baik untuk merubah psikologi pelabur dan sentimen pasaran Malaysia. Beliau juga perlu di hormati oleh semua institusi pelabur dalam dan luar negara untuk menarik semula aliran wang luar.

Beberapa nama datang ke fikiran saya termasuklah Tengku Razaleigh, Dato Sri Mustapha Mohamad, Dato Seri Wahid Omar, Dato Seri Nazir Razak, Dato Tajudin Atan atau mana-mana CEO Bank Malaysia yang berpengaruh di Malaysia.

Harap pandangan peribadi saya ini boleh dilakukan segara tanpa ada masalah.



Sila kongsi artikel ini...

Isu Samak Troli TESCO - Abu Ruqayyah Ba 'Alawi

8:46 PM 0 Comments A+ a-



-ISU SAMAK TROLI TESCO-
(Sila baca kesemuanya untuk mengelakkan salah faham)

1) Isu ini berkaitan dengan tindakan seorang pengunjung tesco yang sangat biadap membawa masuk seekor anjing peliharaannya di dalam pasaraya tersebut. Anjing itu dimasukkan di dalam salah sebuah troli milik tesco berdasar gambar yang dimuatkan di dalam media sosial. Perbuatan ini sudah pasti mengundang rasa tidak selesa dan kemarahan para pengunjung tesco dan orang ramai terutama dari kalangan umat Islam.

2) Pihak tesco dengan bantuan sekumpulan orang Islam dari sekitar kawasan itu menyamak troli-troli yang ada ditesco. Tindakan ini juga mendapat cemuhan dari sebahagian ilmuan dan penuntut ilmu agama, kononnya tindakan ini keterlaluan, kemudian ia dikaitkan dengan pendapat yang dipegang oleh umat Islam di Malaysia mengenai kenajisan anjing yang mana kononnya tidak bertepatan dengan kehendak hadith Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam.

3) Secara ringkas, menurut mazhab Syafi'ie anjing merupakan najis mughallazah bukan sahaja pada jilatannya malah apa sahaja bahagian luaran anjing yang dalam keadaan basah adalah ketogari najis berat yang perlu disamak. Jika ia kering maka ia tidak dikira sebagai najis mughallazah.

4) Berkenaan tindakan menyamak kesemua troli di tesco, dalam situasi begini adakah semua troli-troli tersebut wajib disamak menurut mazhab Syafi'ie? Adakah tindakan ini dianggap melampau disebabkan pendapat muktamad mazhab Syafi'ie mengenai isu kenajisan anjing ini?

5) Boleh dikatakan ramai yang sudah tahu bahawa permasalahan anjing ini merupakan isu yang diperselisihkan oleh para ulama 4 mazhab. Di sini saya tak minat nak bincang isu khilaf berkenaan kenajisan anjing, cuma saya hendak tekankan benarkah isu troli dan anjing dipayahkan oleh mazhab Syafi'ie?

6) Menurut kaedah umum ilmu fiqh, segala yang tidak pasti tidak boleh dijadikan hukum dan diputuskan. Hanya perkara yang dapat dipastikan dengan keyakinan sahaja yang boleh diputuskan hukumnya. Sebagai contoh kalau seseorang rasa syak samaada dia terkentut atau tidak ketika solat, adakah solatnya batal? Jadi di sini selagi kentut tidak dapat dipastikan dengan yakin serta bukti yang kukuh, selagi itu lah solatnya tidak terbatal dan wajib diteruskan(bagi solat fardu).

7) Permasalahan no. 6 di atas bersesuaian dengan satu kaedah fiqh yang berbunyi, "الأصل بقاء ما كان على ما كان", maksudnya, "Asal sesuatu itu kekal mengikut apa yang sebelumnya atau asalnya". Iaitu solat itu kekal sah dan tidak perlu dibatalkan kerana hukum asalnya tidak terbatal kerana tiada bukti yang pasti dan yakin berlakunya kentut ketika solat, yang wujud hanya syak wasangka.

8) Berbalik kepada hukum menyamak troli, bilakah ia wajib disamak? troli wajib disamak apabila dapat dipastikan bahawa troli itu tersentuh oleh najis mughallazah seperti anjing, kemudian dapat dipastikan bahagian anjing yang disentuh dalam keadaan basah samaada air liurnya atau kulit yang basah mahupun kencing atau tahi. Kepastian dapat dipastikan saksi mata yang yakin bukan ragu-ragu dan diketahui troli yang manakah yang tersentuh najis mughallazah.

9) Berdasarkan kaedah fiqh di atas, troli yang disahkan disentuh oleh anjing hanya satu troli, jadi yang wajib disamak ialah hanya lah satu. Oleh itu yang wajib disamak adalah satu troli sahaja. Namun ada satu persoalan, dalam banyak-banyak troli, yang mana satu yang disentuh oleh anjing? adakah boleh dipastikan di sini yang mana satu?

10) Jika benar dapat dipastikan troli yang mana satu, terdapat satu lagi persoalan. Adakah saat keberadaan anjing di dalam troli tersebut dalam keadaan basah atau kering? Ada siapa yang nampak anjing menjilat troli tersebut atau kencing dan berak? berkemungkinan juga anjing tidak menjilat troli tersebut mahupun buang najis. Kalau ada sesiapa yang cakap, "Biasanya anjing akan menjilat", tetapi kenyataan ini masih lagi dalam bentuk sangkaan bukannya kepastian kerana tidak semestinya anjing itu akan menjilat ketika berada di dalam troli, kecuali terdapat bukti seperti saksi yang melihat.

11) Kepastian dan keyakinan hanya boleh ditetapkan dengan bukti bukan sekadar sangkaan. Maka sangkaan tidak boleh dijadikan sandaran hukum. Oleh itu, dalam isu troli ini, tiada siapa yang dapat pastikan troli yang mana satu terkena najis anjing. Begitu juga tiada sesiapa pun yang dapat pastikan dengan bukti, adakah kenajisan anjing yang berasal dari satu troli telah berpindah kepada troli-troli yang lain?

12) Selagi mana tiada bukti troli yang mana satu? anjing jilat atau tidak? kulit basah atau tidak? kencing atau tidak? adakah najis itu berpindah ke troli-troli yang lain? selagi itu lah hukum kenajisan troli tidak dapat dipastikan, selagimana ia tidak dapat dipastikan dan diyakini selagi itu lah tidak akan jatuh kepada hukum wajib samak. Perkara ini selaras dengan kaedah yang berbunyi "اليقين لا يزال بالشك", maksudnya "Keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan" iaitu keraguan tidak boleh diguna pakai atau keraguan tidak boleh mengatasi keyakinan.

13) Ketahui lah mazhab Syafi'ie dan ulama-ulamanya sendiri tidak mewajibkan samak puluhan atau ratusan troli milik tesco. Jelas di sini, isu ini bukan salah mazhab Imam Syafi'ie atau sebab ia yang menyukarkan umat, sedangkan dalam isu ini mazhab Syafi'ie sedikit tidak menyusahkan, malah ia selaras dengan ruh agama Islam yang mudah dan tidak menyusahkan penganutnya.

14) Untuk isu fiqh kenajisan anjing ini yang mana furu' yang dibincangkan yang seakan-akan sama dengan isu ini, saya sarankan agar merujuk kitab-kitab fiqh mazhab Syafi'ie seperti "Hasyiah Qalyubi wa 'Umairah" dan "Hasyiah al-Jamal 'ala Syarh al-Manhaj". (Tidak sempat saya masukkan dalam ruangan ini, insya Allah di lain waktu).

15) Namun di dalam Islam terdapat konsep yang dinamakan sebagai "Ihtiyat" iaitu mengambil tindakan berhati-hati di dalam beragama atau bersikap warak dalam urusan yang berkaitan dengan hukum hakam. Berkenaan isu troli dan anjing, tidak salah jika mengambil sikap lebih berhati-hati iaitu dengan menyamak semua troli-troli yang ada. Meski pun samak di sini bukan lah wajib, akan tetapi bersikap warak dalam hal ini adalah perkara yang baik dan ini merupakan pilihan dan kehendak peribadi atau inisiatif secara individu mahu pun kelompok.

16) Selagi mana tindakan menyamak troli-troli ini tidak merosakkan harta benda, mencederakan sesiapa mahupun menyusahkan orang lain, selagi itu lah tindakan ini tidak wajar diketogarikan sebagai tindakan yang keterlaluan. Apa yang mereka lakukan ini ada inisiatif mereka sendiri bukan kerana paksaan.

Sekadar pandangan yang terdedah kepada salah dan silap. Wallahu A'lam.

Abu Ruqayyah Ba 'Alawi


s


Sila kongsi artikel ini...

Allah Maha Bijaksana Memandu Istiqamah - Abdul Hadi Awang

4:38 PM 0 Comments A+ a-



ALLAH MAHA BIJAKSANA MEMANDU ISTIQAMAH

23 Zulkaedah 1436H / 07 September 2015M

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran :

وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ * وَإِنْ يُرِيدُوا أَنْ يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ * وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

"Dan jika mereka (lawan atau musuh kamu) cenderung kepada perdamain, maka kamu hendaklah cenderung kepadanya, dan bertawakkal kepada Allah, sesungguhnya Dia (Allah) Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan jika mereka hendak menipumu, maka cukuplah Allah (bagi memelihara mu). Dialah yang menguatkan mu dengan pertolongannya dan orang-orang yang beriman (bersama mu). Dan Dia (Allah) berkuasa menyatukan diantara hati-hati mereka. Kalau Engkau belanjakan apa yang ada dibumi semuanya nescaya Engkau tidak dapat menyatukan hati-hati mereka, tetapi Allah telah menyatukan hati-hati mereka. Sesungguhnya Dia (Allah) Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana)."

(Surah Al-Anfal, ayat 61 - 63)

Al-Quran adalah petunjuk yang benar sepanjang zaman daripada Allah, dan Rasulullah adalah contoh kebijaksanaan manusia pilihan Allah. Namun Allah memandu dengan hidayah-Nya apabila membawa mesej dakwah membawa rahmat dan adil kepada seluruh manusia, sama ada dalam berjamaah atau bernegara. Di antaranya menjadikan konsep perdamaian diutama dan didahulukan, walupun terhadap musuh paling keras dan zalim, di atas asas yang sangat kukuh berkonsepkan :

[a] Thawabit

(Nas yang tidak boleh diubah dan tidak boleh berganjak daripadanya)

- iaitu perkara aqidah, dasar dan matlamat perjuangan Islam.

[b] Mutaghayyirat

(menerima perubahan dan anjal atau fleksibel)

- mengikut perkembangan situasi dan realiti, bersama kebijaksanaan yang tidak putus hubungannya dengan Thawabit.

Apabila Rasulullah SAW bersama para sahabatnya RA dihalang daripada masuk ke Makkah bagi menunaikan umrah yang diizinkan kepada semua, mengikut adat dan undang-undang masyarakat arab sejak zaman berzaman, tiba-tiba dicabul secara zalim, sehingga berlaku ketegangan yang diizinkan berperang, sampai berlakunya Bai’ah kesediaan berperang dengan tekad menang atau mati syahid. Tiba-tiba ditawarkan perdamaian Hudaibiyyah oleh musuh yang sangat zalim dan penipu besar, dengan syarat-syarat yang sangat berpihak kepada mereka, menyebabkan majoriti para sahabat RA mahu menolak keras perdamaian yang ditawarkan itu. Tetapi Rasulullah SAW, dengan petunjuk Allah, tetap mengutamakan perdamaian, tanpa peduli kepada syarat-syarat yang tidak adil dan kemungkinan penipuan daripada musuh. Para Sahabat pula tetap akur kerana keteguhan iman mengatasi semangat yang berkobar untuk bertindak dengan kesediaan setelah berbaiah.

Natijahnya ialah kekukuhan saf perjuangan dalaman dikalangan umat Islam sendiri yang terdiri daripada Muhajirin dan Ansar yang terkumpul daripada Aus dan Khazraj dengan hidayah Allah disatukan hati mereka, menambahkan lagi orang-orang yang menerima Islam dengan hidayah Allah juga. Peristiwa ini juga menyingkirkan kalangan munafik yang bersembunyi disebalik badan untanya, tidak layak mendapat hidayah kerana tidak ada Istiqamah, hanya menjadi duri dalam daging, beriman tanpa keyakinan kepada Allah yang menjanjikan kemenangan dengan mimpi benar kepada Rasulullah SAW. Allah SWT berfirman menerusi Al-Quran :

لَقَدْ صَدَقَ اللَّهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِنْ شَاءَ اللَّهُ آمِنِينَ

Sesungguhnya Allah membenarkan Rasul-Nya secara mimpi yang benar, bahawa kamu dapat masuk ke-Masjid Haram (Makkah) Insyallah dalam keadaan aman."

(Surah Al-Fath, ayat 27)

Tiba-tiba mereka dihalang dengan kekerasan yang hampir mencetuskan peperangan. Kalangan munafiq terdedah, apabila melihat dengan nyata mimpi tidak menjadi kenyataan, tanpa menyedari perkara yang tersirat dalam ilmu Allah dan Kebijaksanaannya. Ada pun kalangan yang beriman tetap menerima kenyataan Allah dan keputusan Rasulullah SAW walaupun tidak nampak hikmah dan tujuannya di masa itu secara spontan.

Allah menegaskan bahawa mereka masuk ke Makkah dalam keadaan aman, bukannya disekat dan diganggu sehingga kenyataan mimpi Rasullah SAW ditangguh. Rasulullah SAW menerima perintah Allah supaya mendahulukan perdamaian dengan keyakinan kefahaman kepada kekuasaan Allah yang berlaku disebaliknya. Ada pun para sahabat pula dibayangi penipuan dengan keangkuhan yang nyata dalam perjanjian Hudaibiyyah yang dimeteraikan :

[1] Tidak dibenarkan permulaannya dengan ditulis "بسم الله الرحمن الرحيم"dipaksa supaya menerima pakai ayat di masa jahiliyyah "باسمك اللهم".

[2] Mana-mana kalangan orang Madinah yang melarikan diri ke-Makkah tidak boleh diminta pulang. Ada pun orang Islam Makkah yang berhijrah ke Madinah wajib dihantar semula ke Makkah.

[3] Muhammad dan pengikutnya tidak dibenarkan masuk ke Makkah mengerjakan umrah pada tahun ini. Umrah mereka ditangguhkan di tahun hadapan.

Akhirnya, nyatalah hikmah berlakunya janji Allah kedatangan mereka yang masuk Islam berlipat-ganda dan berduyun-duyun, serta perpaduan kalangan mereka yang ikhlas sahaja. Negara Islam Madinah makin teguh dan kuat, berakhir dengan peristiwa Fathul Makkah (pembebasan Kota Makkah).

Allah telah menjinakkan hati-hati manusia dengan kewujudan perpaduan dalaman umat Islam di kalangan Muhajirin dan Ansar, Aus dan Khazraj dengan Hidayah yang tidak mungkin dicapai dengan perbelanjaan harta sepenuh bumi. Menolak sangkaan golongan munafiq dan lemah iman yang menyusup ke dalam jemaah Islam. Firman Allah :

بَشِّرِ الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا * الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ أَيَبْتَغُونَ عِنْدَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا

"Berilah berita galakkan kepada orang-orang munafiq, bahawa untuk mereka azab yang sangat pedih. Mereka ialah kalangan orang yang memberi wali (kawan setia dan kepercayaan) kepada orang yang kafir bukannya kepada orang-orang yang beriman. Adakah mereka mahu mendapat kekuatan yang dapat memberi kemenangan daripada orang-orang yang kafir itu? Maka sesungguhnya kemuliaan dan keperkasaan yang memberi kemenangan itu semuanya daripada Allah."

(Surah An-Nisa', ayat 138 - 139)

Maka Rasulullah SAW menolak tawaran bantuan daripada bukan Islam ketika Badar dan Uhud, di mana Islam dalam keadaan sangat lemah, sebaliknya terus bertahaluf dan boleh menerima bantuan bukan Islam selepas Fathul Makkah, di masa Islam berada dalam keadaan yang sangat kuat. Menunjukkan mesej Islam bagi menyampaikan rahmat dan adil ketika kuat terhadap pihak yang lain, tegak di atas kekuatan sendiri. Bukan meminta dan menagih atau menumpang kekuatan pihak lain bagi kemenangan Islam, atau menipu kawan di masa lemah menendang kawan di masa kuat.

PAS wajib mengikut perjalanan ini, wajib beristiqamah dan eratkan hubungan dengan Allah, tarbiyahkan diri dengan ilmu dan iktibar pengalaman, dan ikhlaskan niat kerana keredhaan Allah demi menyelamatkan rakyat dalam negara Hidayah (petunjuk) bukan Negara Jibayah (berpijak hanya di atas duit yang dicukaikan), nescaya selamat daripada agenda tipu dalam semua pengalamannya. Ada orang yang menuduh PAS ditipu di masa menyertai Kerajaan Campuran (1970) dan bersama Barisan Nasional dahulu (1974-1978), sehingga ada yang keluar parti atau menubuh parti lain. Hasilnya pengaruh Islam masuk ke dalam semua kementerian dan jabatan kerajaan, serta institusi pendidikan yang melahirkan pelapis perjuangan lebih panjang. Parti yang ditubuhkan kerana protes mati atau bernyawa ikan diatas tanah yang kering menunggu mati, ada yang kembali semula kepada PAS, ada yang tersungkur keluar daripada medan perjungan.

Ada orang menuduh PAS ditipu apabila bersama Parti Semangat 46. Hasilnya, menawan Kelantan sehingga kini, sehingga berjaya melaksanakan sebahagian daripada Islam dan merancang, termasuk undang-undang syariat Allah iaitulah Qisas, Hudud dan Takzir. Parti semangat 46 sudah mati semangatnya. Ada orang menuduh PAS ditipu lagi kerana bersama Barisan Alternatif, kemudiannya Pakatan Rakyat. Hasilnya menawan semula Terengganu, menguasai Kedah, memimpin Perak, walaupun seketika, hasilnya kebanjiran ahli baru daripada semua kalangan, khususnya penganut Islam yang menjadi tonggak politik negara dan yakin PAS tidak mampu diperkudakan oleh DAP dan wujudnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) daripada kalangan bukan Islam. Mereka yang baru masuk PAS lebih ramai daripada yang mengata PAS ditipu dan terus memeluk DAP dengan kasih sayang tanpa batas atau menubuh parti baru yang manjadi mata rantai DAP.

Ada lagi yang menuduh PAS ditipu Umno dalam isu Hudud, mereka memahami hudud itu berjaya apabila dilihat sudah ada tangan yang dipotong sekarang ini, tanpa menyedari betapa desakan melaksanakannya sudah masuk ke dalam jentera kerajaan dan ke dalam kalangan UMNO sendiri. Tidak lagi suara menghina dan mengejek saperti dahulu, kecuali kalangan yang sudah habis tempuh suaranya, laksana ubat yang sudah tamat tempuhnya.

Inilah hikmah apabila istiqamah dengan Allah SWT secara ilmu yang memandu kebijaksanaan, dan mengatur strategi yang boleh berubah di atas dasar dan matlamat Islam yang haram diubah. Kebiasaannya senario dahulu tidak berulang, hanya menjadi pengajaran untuk mengatur langkah meneruskan perjuangan.

PAS pernah ditendang keluar daripada Barisan Nasional pada tahun 1978 apabila dirasakan mereka kuat dan PAS sangat lemah dengan kejatuhan Kelantan. Namun, kebangkitan PAS selepasnya lebih kuat dan teguh. Kelantan di ambil semula dengan lebih kuat dan panjang umurnya. Kini PAS ditendang keluar oleh DAP yang merasa cukup kuat kerana memerintah hanya Pulau Pinang, namun sokongan kepada PAS lebih meningkat, walaupun beberapa ranting PAS kononnya berjaya dicantas, tetapi tunas yang tumbuh daripadanya lebih banyak dan lebih subur.

Jatikan diri jamaah ini ketika belum menang, kita adalah mulia bersama Islam di masa lemah dan kuat. Maka, perjuangan ini tidak layak bagi mereka yang tidak berani mebuka mulut bercakap Islam, lebih tidak layak kepada yang menagih kasihan pihak lain sehingga melupai pertolongan Allah kepada hamba-hambannya yang beriman dengan ikhlas. Perjuangan ini tidak layak bagi orang yang gopoh untuk menang sehingga tidak Istiqamah di atas aqidah perjuangan, tidak berpijak lagi di atas dasarnya dan sanggup membuang tanda hala tuju perjalanan menegakkan Islam kerana merasa malu dan hina bersama Islam. Semuanya disingkir atau tersingkir hanyut, masuk ke dalam perangkap sampah perjuangan, yang menyekat aliran perjalanan dan kemaraan perjuangan Islam yang sebenar. Firman Allah SWT :

أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَسَالَتْ أَوْدِيَةٌ بِقَدَرِهَا فَاحْتَمَلَ السَّيْلُ زَبَدًا رَابِيًا وَمِمَّا يُوقِدُونَ عَلَيْهِ فِي النَّارِ ابْتِغَاءَ حِلْيَةٍ أَوْ مَتَاعٍ زَبَدٌ مِثْلُهُ كَذَلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ الْحَقَّ وَالْبَاطِلَ فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذْهَبُ جُفَاءً وَأَمَّا مَا يَنْفَعُ النَّاسَ فَيَمْكُثُ فِي الْأَرْضِ كَذَلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ

"Allah menurunkan daripada langit itu air hujan yang mencurah, lalu mengalir ke lembah-lembah dan mengisi air mengikut kadar keluasan masing-masing. Aliran air itu juga membawa buih yang tidak berfaedah, namun di dalam air itu ada bahan berharga (logam) yang boleh dibakar menjadi perhiasan dan barangan yang mahal harganya, di samping buih itu juga. Allah menjadikan perbandingan di antara hak dan batil. Adapun buih (yang batil) itu hanyut menghilang, dan adapun yang memberi manfaat kepada manusia tetap melekat teguh di bumi. (Begitulah Allah menyatakan perbandingannya)."

(Surah Ar-Ra'du, ayat 17)

Sabda Rasulullah SAW :

وَاللهِ لَيُتِمَّنَّ الله هَذَا الأَمْر حَتَّى يَسيرَ الرَّاكبُ مِنْ صَنْعَاءَ إِلَى حَضْرَموتَ لاَ يَخَافُ إلاَّ اللهَ والذِّئْب عَلَى غَنَمِهِ ، ولكنكم تَسْتَعجِلُونَ

"Demi Allah ! Sesunguhnya Allah mesti menyempurnakan urusan Islam (sehingga menang), sehingga orang musafir yang jauh, daripada Sana'a ke Hadramaut (di Yaman) tidak takut lagi (kerana keamanan daripada pelaksanaan undang-undang Islam menentang jenayah khususnya Hudud), (melainkan takut kepada Allah dan takutkan serigala menangkap ternakannya), tetapi kamu terlalu gopoh mahukan kemenangan (tanpa Istiqamah)."

"ISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS






Sila kongsi artikel ini...

Ketagih Kena Tipu - Zulhazmi Shariff

3:35 PM 0 Comments A+ a-



KETAGIH KENA TIPU.

Penyakit "Ketagih Kena Tipu" sudah mula menular. Dulu, puak parti lama aku adalah puak yg mengidap penyakit "Ketagih Kena Tipu" ni. Ketagih sungguh utk ditipu oleh Umno yg sejak azali diketahui kaki tipu. Umno tak blh hidup tanpa menipu. Kerja Umno menipu org saja. Tapi nasib Umno baik krn ada puak yg memang ketagih ditipu.

Dah banyak kali Umno tipu parti lama aku tapi puak2 tu masih syok utk ditipu dan terbaru ditipu isu Private Bill. Sehingga hari ni masih ditipu. Habis bab ketagih parti lama aku, penyakit tu menular kpd PKR.


PKR yg nampak mcm cerdik la ni dah tersampuk penyakit ketagih ditipu tu dan yg paling seronok ketagih ditipu oleh parti lama aku yg asyik kena tipu.

Parti lama aku tu dah la ditipu, la ni depa plk menipu PKR & PKR mcm syok plk nak kena tipu.

Parti lama aku tu kononnya ikhlas berkawan tapi menipu jugak. Banyak kali dah depa dok tipu. Kata bertanding 1 lwn 1 tp parti aku letak calon dia lwn calon PKR. Parti lama aku kata kami tak pelahap jawatan tp letak calon dia sbg MB Selangor. Parti lama aku kata kita sokong calon PKR di Permatang Pauh tp depa pulau secara terang & diam. Punya la menipu.

La ni parti lama aku berpecah & wujud "AMANAH"... Yg seronoknya PKR yg dah tau parti lama aku tu kerja dok menipu blh lg dok syok nak kawan dgn penipu. Kononnya nak nampak terbuka & berlapang dada tp sebenarnya ketagih ditipu. Kami berkawan dgn semua katanya. Bkn dgn AMANAH @ DAP saja.. Kena ingat yg tegas dgn prinsip ialah DAP & AMANAH. DAP tetap dgn prinsip biar pun nampak mcm tak ke mana. AMANAH tegas dgn prinsip sbb tu depa keluar dr parti lama.

Ingatlah PKR oi bahawa kena tipu dgn yg kena tipu tu cukup2 bodoh. La ni bkn masa nak ambik hati kawan dah. La ni masa tetap dgn PRINSIP. Tegas dgn prinsip bkn dok mengular makan keliling yg akhirnya terjerut dgn puak2 penipu.

BERANI BERUBAH bukan terhegeh2 sua kepala utk ditipu.

UMNO PENIPU dan akan terus menipu.

ZULHAZMI SHARIFF
07092015


Sila kongsi artikel ini...

Tok Pa, henti layan rakyat macam kanak-kanak - Ustaz Hj. Mohd Hazizi Ab Rahman ISMA

3:28 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed) dalam akhbar hari ini berkenaan perjanjian Perkongsian Trans – Pasifik (TPPA) menunjukkan kerajaan masih berusaha mahu menunjukkan sisi positifnya. Sedangkan rakyat tahu TPPA mempunyai kesan yang buruk pada jangka masa panjang.

Oleh itu, kerajaan perlu henti layan rakyat seperti kanak-kanak yang diselubungi perasaan takut kerana kurang pengetahuan terhadap sesuatu perkara.

Rakyat Malaysia sudah cukup bijak menilai hakikat di sebalik kerajaan imperialis Amerika yang ditunjangi syarikat multinasional Yahudi.

Perkataan takut digunakan hanya sebagai helah untuk mengalih fokus sebenar isu TPPA.
TPPA merupakan satu perjanjian pelbagai pihak yang memberi ruang sepenuhnya kepada kapitalisme, bukan sahaja dalam menentukan untung rugi sesebuah negara, bahkan identiti dan jatidiri negara terbabit.

Ia adalah soal persaingan tidak seimbang yang membuka jalan kepada penguasaan golongan kapitalis yang akan menggadaikan maruah dan kedaulatan negara.

Ustaz Hj. Mohd Hazizi Ab Rahman

Biro Penerangan Isma


Sila kongsi artikel ini...

ISMA tidak terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dengan penganjuran Himpunan Maruah Melayu

1:45 PM 0 Comments A+ a-



Ikatan Muslimin Malaysia tidak terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dengan penganjuran Himpunan Maruah Melayu yang dijangka akan diadakan di Jalan Bukit Bintang-Petaling pada 16 September ini.

Isma, sejak sekian lama, menyeru ke arah persepakatan Melayu sebagai solusi bagi menghadapi ancaman terhadap kedudukan Islam di negara ini dengan mengangkat slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat.

Apabila BERSIH 4.0 didominasi oleh satu kaum sahaja, ia suatu indikator jelas bahawa orang-orang Melayu sudah tidak mudah untuk mengikut arus ciptaan pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.


Justeru persepakatan Melayu yang didambakan hendaklah diurus secara bijaksana dengan mengangkat agenda nasional, iaitu memelihara kemakmuran Malaysia berpaksikan tiga teras Perlembagaan, mengatasi kepentingan parti atau peribadi pemimpin tertentu.

Ustaz Hj Mohd Hazizi Hj Ab Rahman
Ketua Penerangan ISMA


Sila kongsi artikel ini...

Marilah Semua Rakyat Malaysia Doakan Keselamatan Tuan Anthony Kevin Morais - Khairuddin Abu Hassan

1:26 PM 0 Comments A+ a-



MARILAH SEMUA RAKYAT MALAYSIA DOAKAN KESELAMATAN TUAN ANTHONY KEVIN MORAIS

Saya berdoa agar Tuan Anthony Kevin Morais; Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara berada dalam keadaan selamat dan dipelihara tuhan. Amatlah diharapkan agar keseluruhan rakyat Malaysia turut memanjangkan doa keselamatan Tuan Anthony Kevin Morais mengikut fahaman agama masing-masing.

Kita jangan buat sebarang spekulasi sehinggalah siasatan penuh selesai. Saya yakin Tuan Anthony akan berada di dalam keadaan yang paling selamat masakini.


Namun, pegangan prinsip peribadi ialah tidak gentar sama sekali dengan sebarang ugutan ataupun apa saja malapetaka yang bakal menimpa keatas diri saya khususnya!! Ajal maut di tangan tuhan!!

Atas nama perjuangan untuk menegakkan kebenaran; apa saja risiko yang bakal ditempuhi tidak sama sekali melunturkan semangat untuk menentang kemungkaran oleh pemimpin tertinggi di negara kita!!

Kita harus pasrah dan berpegang utuh pada hukum qadha dan qadhar dari Allah swt!! Semua pengkhianat negara yang menyamun wang kerajaan serta duit rakyat mesti ditangkap, didakwa serterusnya dipenjarakan seandainya mereka ini terbukti melakukan jenayah penyelewangan tersebut tanpa pilih kasih!! Kuncu-kuncu yang terlibat untuk bersubahat bagi menutup kemungkaran ini juga mesti diperangi dan didakwa di atas kegiatan konspirasi mereka mengkhianati bangsa, agama serta tanahair.

Ketirisan, jenayah rasuah serta penyelewengan mesti ditentang secara mati-matian!! Sekiranya unsur-unsur jenayah ini tidak mati; maka negara kita yang tercinta ini bakal mati!! Sebab itulah tanpa sebarang perbedaan fahaman ideologi politik, bangsa serta agama; kita semua warganegara yang bertanggungjawab mesti satu hati untuk membanteras semua pemimpin-pemimpin korup dari bermaharajalela!!

Mulai saat serta detik ini juga apa saja malapetaka yang bakal menimpa kita; lawan tetap lawan sehingga semua pemimpin-pemimpin korup disingkirkan seterusnya dihukum setimpal dengan kesalahan mereka secara adil mahupun saksama!!


Sila kongsi artikel ini...

IACC: Malaysia Terus Dimalukan Kerana Pemimpinnya - Mohd Akmal Bin Kamaruddin PAS

1:22 PM 0 Comments A+ a-



IACC: Malaysia Terus Dimalukan Kerana Pemimpinnya

Dewan Pemuda PAS Perak merakamkan rasa dukacita diatas apa yang berlaku di Malaysia kini. Selepas 58 tahun Merdeka, Malaysia perlu berhadapan satu keperitan diatas kerakusan pemimpin yang tidak amanah.


Kritikan demi kritikan yang dilontarkan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) ke-16 yang berlangsung di Putrajaya merupakan satu perkara yang memalukan. Ketika rakyat masih menanti penjelasan yang kukuh berhubung dana RM2.6 bilion dari mana dan kemana wang ini, dunia juga sedang memerhati Malaysia. Masyarakat dunia juga seakan tidak boleh menerima hakikat derma RM2.6 Bilion yang diperolehi oleh Perdana Menteri dalam akaun peribadi beliau.

Ini diburukkan lagi dengan skandal 1MDB yang menatijahkan pemecatan timbalan Perdana Menteri, pemecatan peguam negara, penyiasatan terhadap SPRM dan juga penggantungan jawatankuasa kira-kira negara. Semua ini berpunca dari sifat tidak amanah dan berkemungkinan terdapat unsur rasuah di belakangnya.

Justeru itu, bagi membersihkan nama baik Malaysia, Dewan Pemuda PAS Perak mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi penjelasan yang telus dan konkrit dari mana dan kemana duit RM2.6 bilion itu dan juga membuka ruang siasatan tanpa halangan berhubung skandal 1MDB.

‪#‎IstiqamahSehinggaKemenangan‬

Mohd Akmal Bin Kamaruddin
Ketua Dewan Pemuda PAS Perak

22 Zulqaedah 1436H / 6 September 2015


Sila kongsi artikel ini...

Apabila Mereka Tidak Menghargai Wanita - Parti Amanah Negara Bangkit Membela

1:13 PM 0 Comments A+ a-



APABILA MEREKA TIDAK MENGHARGAI WANITA - PARTI AMANAH NEGARA BANGKIT MEMBELA

Seluruh negara terpukau dengan keberanian seorang wanita, Anina Saaduddin. Ketika seorang lelaki veteran seperti Timbalan Presiden UMNO dibuli semata-mata kerana cuba melaksanakan amal nahi mungkar; wanita ini bangkit menyambung perjuangan lelaki mantan Timbalan Perdana Menteri itu, dengan menyaman Presiden UMNO.

Ketika wanita ini dipecat dari UMNO, beliau terus berikrar mempetahankan agama, bangsa dan tanah air, sebagaimana dia ungkapkan dalam sajak indahnya itu.


UMNO kehilangan seorang wanita berani dengan menyingkirya dari parti. UMNO mempamerkan sifat tidak menghargai wanita kental seperti ini, malahan membunuh semangat seluruh kaum wanita.

Dari satu sudut yang lain pula, ada organisasi yang bertema mewakili Islam, mempertaruhkan wanita-wanita mulianya sebagai cagaran mempertahankan tiket partinya dalam kerusi Parlimen mahupun DUN.

Wanita-wanita salihah yang ikhlas, yang tidak berdosa, seolah-olah menjadi mangsa hukuman terhadap suami yang terpaksa membuat keputusan baharu, selepas partinya mengubah orientasi perjuangan asalnya.

Beberapa pemimpinnya dengan tidak segan-silu seolah-olah turut bergembira dan mengumumkan rumah tangga bekas ahli mereka sudah runtuh sedang mahkamah syariah belum membuat apa-apa keputusan.

Wanita-wanita dari pelbagai NGO Islam, NGO masyarakat sivil dan penjawat-penjawat awam dan sektor korporat membantah tindakan-tindakan dari kedua-dua parti berkaitan terhadap wanita.

Teman-teman bukan Islam kehairanan dan kebingungan, inikah keindahan Islam yang sebenarnya? Wanita dipandang rendah dan diperlakukan sedemikian rupa?

PARTI AMANAH NEGARA bangkit membela kaum wanita dan akan sentiasa menyakini akan kemuliaan wanita seperti mana yang telah dijaminkan haknya oleh ad-Diinul Islam.

Tindakan terhadap Anina Saaduddin adalah tidak wajar. Tekanan perasaan yang dikenakan ke atas para isteri dan keluarga bersabitan lafaz taklik juga sangat tidak wajar.

AMANAH NEGARA menawarkan seluas-luas gelanggang, kepada seluruh wanita Malaysia, tidak kira apa agama mahupun bangsa, untuk berjuang mempertahankan hak mereka.

Seluruh ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO termasuk Anina Saaduddin, diseru untuk meninggalkan parti yang telah tersasar dari perjuangan itu.

Seluruh wanita yang merasai mereka dianiaya, semata-mata kerana kerakusan pemimpin yang berpolitik secara sempit, diseru untuk berjuang bersama-sama kami dalam sebuah wadah baru, sebuah parti yang memperjuangkan Islam atas nama Parti AMANAH NEGARA.

Mari bersama membina Malaysia yang lebih baik yang memberi bahagian dan tempat yang adil kepada wanita tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.

“Sebuah HARAPAN BARU, untuk masa hadapan kita bersama".


USTAZ HAJI HASANUDDIN MOHD YUNUS

7 September 2015

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Parti Pekerja)


Sila kongsi artikel ini...

Bukan Kurang Jubah, Tapi Kurang Amanah - Dr. MAZA

1:00 PM 0 Comments A+ a-



BUKAN KURANG JUBAH, TAPI KURANG AMANAH

Negara-negara umat Islam hari ini tidak kekurangan jubah dan serban. Tidak juga kekurangan mereka yang bercakap agama dan berlagak ‘beragama’. Tidak pula kekurangan mereka yang berzikir kuat di khalayak ramai dengan pelbagai lagu dan dendangan. Tidak juga kekurangan penceramah yang pelbagai style lawak jenaka dan seloka sehingga ceramah agama menjadi ‘new entertainment’ dalam mencari pasaran pendengar dan ‘pembayar’.
Tidak pula kita kekurangan orang-orang politik yang cuba menempelkan diri dengan agama. Sama ada menjadi penaja kepada program-program agama yang membolehkan mereka mendapat political mileage, ataupun mereka sendiri melafazkan kalimah-kalimah yang berunsur agama bagi memboleh rakyat lebih mempercayai mereka. Tidak kurang juga program-program agama yang dirasmikan oleh orang politik yang ‘tidaklah beragama sangat’. Di samping terdapat juga yang memang ikhlas melibatkan diri dalam semua itu.

KEKURANGAN
Kita tidak kurang kesemua itu. Apa yang menjadi kekurangan kita ialah penghayatan sebenar kepada hakikat agama Islam yang diturunkan Allah untuk manusia. Kita sering mempamirkan agama ini dalam bentuk upacara-upacara yang direka dan diadakan oleh pihak-pihak yang mempunyai agenda yang tersendiri seperti upacara berteriak tangis zikir di khalayak ramai bagi memukau orang ramai agar begitu terpengaruh kepada tokoh-tokoh dan mempercayai mereka sebagai ‘orang-orang Tuhan’. Orang politik juga boleh menumpang sekaki supaya kelihatan mereka manusia yang mendapat ‘blessing’ dari orang-orang Tuhan itu. Dalam masa yang sama kita melupai inti-pati ajaran Islam seperti amanah dalam pengurusan harta awam ataupun kepimpinan negara.
Maka jangan hairan jika setiap negara Islam ada mufti dan pelbagai jawatan agama yang lain, ada pelbagai upacara agama, ataupun ‘agama yang diupacarakan’, malangnya dalam masa yang sama index rasuah, pengalahgunaan kuasa, salah tadbir urus juga cukup tinggi. Rakyat ramai yang tertipu dan terdiam kerana mata mereka terlindung oleh jubah-jubah tokoh agama, telinga mereka tersumbat oleh degungan doa yang dibaca memuja dan memuji penguasa samada menteri, presiden, raja ataupun sultan sekalipun mereka itu mencemari segala amanah yang Allah tanggungkan atas bahu mereka.
Saya hairan bagaimana ada rakyat di negeri ‘entah berentah’ yang memuji sultannya melangit tinggi bagaikan wali Tuhan kerana isteri sultan berkenaan bertudung. Dalam masa yang sama mereka melupai bagaimana sang sultan itu sedang membina istana yang harga berbilion dari wang rakyat jelata. Kehebatan seorang sultan, raja, presiden, perdana menteri dan seumpamanya bukan kerena berjubah ataupun berserban, isteri bertudung, pergi ke masjid dan segala amalan peribadi yang lain. Itu adalah tanggungjawab setiap muslim tanpa mengira siapa pun dia, rakyat ataupun raja. Namun kehebatan seorang penguasa apabila dia amanah terhadap jawatan dan harta negara yang berada di bawah kawalannya. Itulah perkara yang tidak dapat dibuat oleh rakyat, hanya mampu dibuat oleh yang berkuasa kerana dia memegang tampok kuasa.

KHIANAT
Jika mereka tidak amanah, sekalipun memakai pelbagai gelaran agama, ataupun dipagari oleh jubah-jubah agama, mereka tetap pengkhianat. Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, seorang yang menyertai misi jihad bersama Rasulullah s.a.w telah dibunuh. Orang ramai mengucapkan tahniah kerana beliau telah mati syahid (martyrdom). Namun Nabi s.a.w menyebut: “Tidak! Sesungguhnya selendang dari harta rampasan perang yang dia ambil pada hari Peperangan Khaibar tanpa pembahagian (yang betul) sedang menyalakan api neraka ke atasnya”.
Betapa, seorang mati semasa berjuang bersama Nabi s.a.w tetap Allah hukum kerana telah mengambil harta awam dengan cara yang salah. Itu sehelai selendang, bagaimanakah pula jutaan, bahkan ratusan juta harta awam?!
Maka sebahagian Negara Barat, walaupun mereka tiada paderi negara yang bertaraf jusa, tiada upacara doa mingguan memuja penguasa tapi apabila mereka amanah, maka negara mereka lebih teratur dan baik urus tadbirnya dibandingkan negara-negara umat Islam. Ini kerana di Barat, samada secara ‘terpaksa’ ataupun terbudaya dalam system yang mereka bina dan pakai, mereka memegang kepada prinsip pentadbiran yang terpenting iaitu amanah. Kita pula sibuk dengan upacara-upacara agama yang sebahagian itu tidak pernah diamalkan oleh Nabi s.a.w dan para sahabah pun, tapi dalam masa yang sama kita melupai inti ataupun essence kepada ajaran Islam ini, iaitu amanah dalam pentadbiran.
Justeru itu al-Quran sebelum mendatangkan ayat yang memerintah taat kepada penguasa, didatangkan terlebih dahulu ayat yang memerintahkan amanah diberikan kepada yang layak dan penguasa yang diberikan amanah itu hendaklah memerintah dengan adil. Maka Allah terlebih dahulu menyebut:(maksudnya) Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat". (Surah al-Nisa: 58).
Selepas itu barulah diikuti dengan firmanNYA: (maksudnya) " Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya" (Surah al-Nisa' 59).
Al-Imam al-Qurtubi menyebut riwayat daripada khalifah Ali bin Abi Talib r.a bahawa beliau menyebut: "Tanggungjawab imam (pemerintah) adalah memerintah dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila dia menjalankan tanggungjawab sedemikian maka wajib ke atas muslimin mentaatinya. Ini kerana Allah menyuruh agar ditunaikan amanah dan melaksanakan keadilan kemudian diperintahkan agar rakyat mentaatinya (pemerintah)" (Al-Qurtubi, al-Jami' li Ahkam al-Quran, 5/259, Beirut: Dar al-Fikr).
Amanah adalah isu utama kegagalan good governance ataupun urus tadbir yang baik dalam dunia umat Islam hari ini. Di samping soal ‘al-quwwah’ ataupun keupayaan sebagai pentadbir yang baik. Kebanyakan Negara Islam bukannya miskin. Banyak hasilnya, tetapi diuruskan oleh yang tidak amanah dan tidak berkemampuan, maka lemah dan rosaklah negara.

KESAN
Seringkali mimbar-mimbar Jumaat dan ceramah agama menyebut nama ‘Umar bin al-Khattab, khalifah kedua yang sangat hebat. Apa yang kita teladani daripadanya?! Pada tahun 17 dan 18 Hijrah telah berlaku kemarau teruk di Madinah. Rakyat menjadi susah. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).
‘Umar ilmuwan besar yang menjadi rujukan dalam Islam. Beliau tidak berkata: ‘kenaikan harga barang merupakan takdir Allah, bersyukur dan berterima kasih kepada penguasa’. Beliau juga tidak membuat fatwa dungu yang menyatakan ‘subsidi tiada dalam Islam’. Sebaliknya beliau dengan penuh amanah dan tanggungjawab di hadapan Allah menghadapi keadaan tersebut.
Kita perlu membetulkan asas kefahaman kita tentang agama. Bukti kesan ajaran Islam bukan pada fesyen pakaian, ataupun hiasan doa upacara yang gaji pembacanya dibayar atau dendangan lagu agama atas pentas yang dihadiri oleh mereka berpangkat dan jawatan. Tetapi kesannya terhasil akidah yang bersih, ibadah yang sahih dan nilai etika yang luhur yang diamalkan oleh para penguasa dan diikuti oleh rakyat jelata. Dalam konteks politik dunia Islam, perlukan manusia-manusia yang amanah untuk memerintah, bukan sekadar berjubah atau berdamping dengan yang berjubah tapi tidak amanah terhadap harta negara dan rakyat.


DrMAZA.com


Sila kongsi artikel ini...

Integriti PM Terhakis Akibat Skandal Rasual: Panggil Segera Sidang Tergembar Parlimen - Wan Azizah

12:24 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

INTEGRITI PM TERHAKIS AKIBAT SKANDAL RASUAH: PANGGIL SEGERA SIDANG TERGEMPAR PARLIMEN

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memandang serius kecaman masyarakat antarabangsa terhadap kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, berikutan kegagalan beliau memberikan penjelasan mengena ‘derma’ sebanyak AS$700 juta (RM2.6 bilion) yang diterima dalam akaun peribadi Presiden Umno itu.


Minggu ini, beberapa badan dunia yang terlibat dalam membanteras rasuah pada Persidangan Antarabangsa Pencegahan Rasuah (IACC) ke-16 di Putrajaya, mengkritik kegagalan PM dan Kerajaan Malaysia dalam menangani gejala rasuah.

KEADILAN berasa gusar apabila Pengerusi Transparency International (TI) Jose Ugaz menggambarkan sumbangan itu sebagai satu kes rasuah dahsyat, yang boleh memberi kesan kepada hak asasi manusia. Naib Pengerusi TI, Elena Panfilova menegaskan sokongan badan antarabangsa itu terhadap Perhimpunan Bersih4 yang turun ke jalanan bagi mendesak PM menjelaskan mengapa dana sebesar itu masuk ke dalam akaun peribadi beliau.

Manakala Cobus de Swardt daripada Transparency International-Afrika Selatan mendakwa Najib tidak boleh berdiam diri jika beliau mahu meyakinkan dunia, terutama pelabur, untuk membuat pelaburan di Malaysia. Turuk mengkritik PM juga adalah Setiausaha Agung TI, Salil Shetty dan anggota IACC, Michael Hershman.

Bagi KEADILAN, kenyataan-kenyataan ini adalah senada dengan pendirian kira-kira 500,000 rakyat Malaysia yang turun ke Dataran Merdeka pada 29 dan 30 Ogos lepas. Malah di kalangan anggota komponen BN dan dalam Umno sendiri, begitu sangsi dengan kredibiliti PM, termasuk dalam isu membabitkan 1MDB dan skandal-skandal lain.

Tindakan PM merombak Kabinet dengan memasukkan Pengerusi dan beberapa orang anggota PAC dalam kerajaan, jelas bertujuan menghalang siasatan menyeluruh dilakukan terhadap beliau.

Majoriti rakyat Malaysia, termasuk badan yang mewakili kumpulan anti-rasuah antarabangsa, mengkritik sikap berdiam diri PM terhadap dakwaan derma yang diterima beliau dalam akaun peribadinya.

KEADILAN turut sama mempersoalkan siapa yang memberikan AS$700 juta itu dan apakah tujuan derma itu?

KEADILAN mendesak supaya dipanggil suatu sidang tergempar Parlimen Malaysia dalam kadar segera, bagi membolehkan PM memberikan jawapan secara jujur kepada rakyat Malaysia apakah sebenarnya yang berlaku terhadap 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

SELAMATKAN MALAYSIA

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Presiden KEADILAN

6 September 2015

-

MEDIA STATEMENT

INTEGRITY OF PM ERODED BY CORRUPTION SCANDAL: CALL FOR EMERGENCY PARLIAMENTARY SESSION

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) is extremely concerned by the international community's criticisms of Prime Minister Najib Razak's credibility following his failure to explain the USD700 million (RM2.6 billion) 'donation' that was transferred into the Umno President's personal account.

This week, several international organizations involved in combatting corruption had criticized the PM and Malaysian Government during the 16th International Anti-Corruption Conference in Putrajaya for their failure to tackle corruption.

KEADILAN is deeply concerned when the Chairman of Transparency International (TI), Jose Ugaz described the financial transaction as a major corruption case that has an impact on human rights. TI Vice-Chair, Elena Panfilova expressed the organization's support for Bersih4 which gathered to pressure the PM to explain why such a large amount of money was transferred into his personal account.

Furthermore, Cobus de Swardt of TI-South Africa said that Najib cannot stay silent if he wanted to allay fears, especially among investors who are keen on investing in Malaysia. TI Secretary General, Salil Shetty and IACC member, Micharl Hershman also criticized the PM.

For KEADILAN, these statements are in line with the sentiments of some 500,000 Malaysians who descended on Dataran Merdeka on 29 and 30 August. In fact amongst BN component parties and even in Umno itself there are persistent doubts on the credibility of the PM, including on the 1MDB issue and other scandals.

The PM's decision to execute the recent Cabinet reshuffle, which saw the PAC Chairman and several PAC members being brought into the government, clearly is designed to stop a full investigation into this matter from taking place.

The majority of Malaysians including international anti-corruption organizations criticize the PM's continued silence on the "donation" allegation.

KEADILAN also asks who was this generous donor who donated the USD700 million, and for what purpose?

Therefore KEADILAN urges that an emergency Parliamentary session be held immediately in order to allow the PM an opportunity to give an honest account to the Malaysian people on what has actually happened with 1MDB and the RM2.6 billion donation.

SAVE MALAYSIA

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Leader of the Opposition
KEADILAN President

6 September 2015


Sila kongsi artikel ini...

Kekeliruan yang timbul akibat laporan daripada The Malaysian Insider - Mat Sabu

11:55 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA UNTUK SIARAN
7hb SEPTEMBER 2015

Hari ini, 6 September lebih kurang jam 3 petang, telah berlangsung satu dialog sempena pelancaran Parti Amanah Negara di Hotel Grand Continental di Kuching, Sarawak.


Dalam dialog tersebut saya ditanya tentang pendirian Parti Amanah Negara berkenaan hudud jika di bawa ke Parlimen.

Saya menyatakan bahawa, kami mengambil pendirian sebarang Rang Undang-Undang (RUU) apa sekalipun termasuk undang-undang syariah, hendaklah dibincangkan terlebih dahulu di atas konsep pegangan perjuangan kami iaitu memlih secara demokrasi, konsultasi (perundingan) dan mengambilkira Perlembagaan negara.

Oleh itu, sekiranya isu ini timbul pada masa akan datang, persetujuan di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat 2.0 jika ianya terbentuk nanti, hendaklah dibincang bersama terhadap sebarang pindaan perlembagaan atau hal-hal yang terlalu penting, sama ada untuk bersetuju ataupun tidak.

Kekeliruan yang timbul akibat laporan daripada The Malaysian Insider seolah-olah meletakkan bahawa saya akan mengarahkan anggota parlimen daripada Parti Amanah Negara untuk menolak RUU hudud jika dikemukakan.

Saya jelaskan sekali lagi, sebarang persetujuan atau penentangan hendaklah dibincang bersama dalam komponen Pakatan Rakyat 2.0. untuk bersetuju atau tidak, di atas konsep persetujuan bersama yang menjadi pegangan kepada kami.

Sehubungan itu, saya berharap pihak berkaitan segera memperbetulkan laporan berkenaan, agar ia tidak menimbulkan kekeliruan dan salah anggap di kalangan masyarakat terhadap pendirian kami.

HJ MOHAMAD BIN SABU
Pengerusi
Parti Amanah Negara
6 September 2015


Sila kongsi artikel ini...

Persoalan Sumpah Ta’liq Talak Tiga - Ustaz Ghani Shamsuddin

11:01 AM 0 Comments A+ a-

Persoalan Sumpah Ta’liq Talak Tiga

Oleh USTAZ ABDUL GHANI SHAMSUDDIN
(Ahli Jawatankuasa Kesatuan Ulamak Sedunia)

Di antara sebab kegagalan beberapa gerakan reformasi Islam di dunia Arab dan bukan Arab, selaian daripada gangguan kuasa besar musuh dari kalangan penjajah baru dan lama serta Zionist ialah sifat "Ghuluw" atau melampau dalam bertindak dan mencapai tujuan tertentu. Sedangkan Islam mengajar umatnya bersifat sederhana , berhati-hati dan tidak gopoh dan tidak cenderung bersikap keras dan “tasyaddud”. ( Lihat hurain terpeinci dalam Kitab Dr Ala’ Mohamad Said “ Muhawalat Al Islah Wa Al Taghyir Fi Alam Al Arabi Al Mu’asir Thesis Phd Cet Muaassasah Al Syuruq , Mesir,2007)
Allah berfirman dalam Surah Al Maidah 77
قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لاَ تَغْلُواْ فِي دِينِكُمْ غَيْرَ الْحَقِّ وَلاَ تَتَّبِعُواْ أَهْوَاء قَوْمٍ قَدْ ضَلُّواْ مِن قَبْلُ وَأَضَلُّواْ كَثِيرًا وَضَلُّواْ عَن سَوَاء السَّبِيلِ
Hai orang Ahlul Kitab (orang yang beriman) jangan kamu bersikap melampau dalam agama dengan menyimpang dari kebenaran. Jangan kamu ikut hawa nafsu kaum yang sedia sesat dan telah menyesatkan ramai kalangan dari jalan yang lurus
Allah menegaskan lagi dalam Surah Al Baqarah 143
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُواْ شُهَدَاء عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا
Demikianlah kami jadikan kamu umat yang perdana (sederhana) agar kamu menjadi saksi kepada manusia lain manakala Rasul menjadi saksi terhadap kamu
Rasulullah bersabda :
اياكم والغلو في الدين
Awas kalian; jangan bersikap melampau dalam agama.
Rasulullah berpesan lagi :
هلك المتنطعون قالها ثلاثا
“Celakalah orang yang berdegar-degar melampau.”Baginda mengulangnya sampai tiga kali
Menurut Imam Al Nawawi “ "Al Mutanatti’un" ialah mereka yang beria-ia, melampau dan extrim dalam bertutur-kata dan bertindak.

Perjuangan Rasulullah adalah perjuangan yang paling utama dan penting untuk memastikan Islam survive atau tidak kecundang di peringkat awal Islam. Baginda memang menerima bai’ah positif dalam berbagai bentuk. Tapi baginda tidak pernah membuat bai’ah dan mengikatkan ketaatan pengikut baginda dalam perjuangan dengan sumpah ta’liq perceraian isteri dengan talak satu atau tiga apabila dilanggar sumpah berkenaan. Sedangkan kaedah itu bukannya tidak boleh dilakukan oleh baginda waktu itu demi memastikan kemenangan perjuangan baginda .

Oleh itu melakukan apa yang tidak dibuat oleh baginda bukan sahaja bid’ah tetapi menyusahkan diri , pengikut dan orang ramai. Lebih-lebih lagi dalam kajian mutakhir menyifatkan bahawa berbilang parti dalam politik Islam adalah suatu yang dibenarkan dengan beberapa syarat sampingan.
Parti bukan satu ketumbukan tentera yang berjihad di medan perang. Parti adalah produk dan instrument madani dalam kaedah politik demokrasi yang dibenarkan oleh para alim ulama Islam mutakhir .Asalkan dasarnya ialah Islam dan tidak bercanggah dengan asas-asas Islam samaada disebut perkataan Islam pada nama parti berkenaan atau tidak.

Oleh itu gambaran yang lumrah yang boleh disimpulkan ialah bahawa orang ramai boleh mengikut mana mana parti Islam yang baik program pembangunan atau manifestonya untuk merealisasi cita-cita Islam . Parti juga mempunyai perlembagaan atau undang-undang dasarnya yang tersendiri. Mana-mana parti yang tidak membenarkan ahlinya keluar dari parti berkenaan atau mengenakan cerai talak tiga kepada isteri orang berkenaan apabila keluar daripada parti adalah bercanggah dengan perlembagaannya dan menyempitkan pilihan orang ramai untuk membuat pilihan dalam suasana politik demokrasi atau shura seperti yang dijelaskan oleh ulama yang membincangkan politik Islam masa kini.

Tindakan ini juga adalah menghakis kebebasan asas warga negara dan menggugat kelansungan institusi keluarga. Ia memamirkan menifestasi ghuluw dan tasyaddud yang ditentang oleh Islam.
Ketelanjuran perbuatan seperti ini tidak boleh diperkukuh dengan dakwaan adanya Iijma’ Sukuti” . Bagaimana mungkin boleh dikatakan adanya kesepakatan ulama dalam hal ini pada hal ia adalah peraturan bid’ah yang tidak pernah dibuat oleh Rasulullah dalam perjuangan para sahabat leluhur silam. ( Kalau adapun mungkin di zaman Hajjaj yang zalim)Tidakkah kepentingan membina dan melindungi Negara serta pemerintahan Islam pada waktu itu memang sangat memerlukan instrument seperti ini demi kelangsungan perjuangan Islam. Tetapi mengapa hal ini tidak dilakukan oleh Rasulullah?

Untuk mengurangkan musibah ketelanjuran seperti ini – buat masa kini - maka pendapat yang menyebutkan perlunya penutur sumpah berkenaan membatalkan sumpahnya seperti yang dihuraikan oleh syara’ adalah lebih relevan dari yang lain. Manakala cerai ta’liq itu dianggap lagha kerana ia lebih merupakan tatacara yang dipaksakan untuk bertanding mewakili parti berkenaan dengan tidak ada niat penutur untuk menceraikan isterinya begitu rupa ketika itu dan Fiqh Islam tidak menjadikan kaedah seperti itu sebagai suatu kaedah yang normal dan rasmi dalam merungkai perkahwinan pasangan yang berkahwin dan malah kerana perbuatan tersebut bercanggah dengan perlembagaan parti itu sendiri. Ini adalah untuk mengutamakan kepentingan keluarga sebagai institusi yang amat dilindungi oleh Islam.

Pengertian Jama’ah dalam hadith Rasulullah perlu difahami dalam kontek perbincangan politik semasa . Selaras dengan pendirian gerakan Islam induk di Mesir bahawa Ikhwan hanyalah salah satu dari jamaah muslim dan bukan satu-satunya jamaah Islam di persada politik Mesir. Bahawa jamaah yang dimaksudkan oleh hadith berkenaan lebih kepada Imamul Uzma atau khalifah.

Trend semacam membolot sendiri perjuangan Islam dan ketaksuban terhadap sesuatu jamaah sebagai dia sahaja satu-satu satunya jamaah pembela dan pejuang Islam adalah bertentangan dengan pandangan ulama Islam mutakhir tentang boleh dan dibenarkan berbilang parti dalam perjuangan politik Islam demi memberi ruang kepada activist dan rakyat terlibat mengushakan kebaikan untuk umat Islam menurut lunas, kaedah-kaedah dan peraturan madani yang menyusun atur gerak kerja berpolitik.
Perkataan jamaah yang disebutkan dalam hadith rujukan lebih merujuk kepada keseluruhan umat dan pemerintah yang berlegitimasi yang sedang berkuasa berlandaskan Islam. Ia bukan merujuk kepada sesuatu parti yang bernama Islam atau tidak yang sedang terlibat dalam politik kepartaian.

Sikap ghuluw dan taassub dalam masyarakat lumrahnya tertunjul kerana kecenderungan membesarkan yang kecil, menyusahkan diri dan orang ramai , memaksakan sesuatu yang memeritkan umat dan tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ia juga disebabkan oleh fanatic terhadap pendapat sendiri dan kebanggaan diri. Dengan kata lain kerana sifat dan kecenderungan mahu menghukum kerana dendam " Al Tasyaffi" atau sifat mahu menang sendiri dan meremehkan orang lain.
Kalau pun isu sumpah ta’liq cerai talak tiga - dalam sosok seperti yang kita bincangkan ini - tidak termasuk dalam kategori bid’ah dhalalah" sebaliknya masuk dalam persoalan ijtihadiah; di mana ulama berbeda pendapat mengenainya maka dia bukan persoalan Qat’iatu al Thubut. Atau bukan pula persoalan Qat’iyatu al Dalalah. Dia adalah masalah ijtihadi di mana seseorang hendaklah memilih pilihan yang lebih melindungi maslahah umat berdasarkan kaedah “ Apabila bertembung maslahah Ibad dan Hak Allah maka hendaklah diutamakan maslahah Al "Abd” ( Lihat huraian terpeinci dalam Kitab Mausu’ah Fi Qawa’idil Fiqhiyah Tulisan As Syaikh Dr Mohd Sidqi Bin Ahmad Al Burno” ).

Oleh itu seseorang itu dilarang bersikap taassub untuk memilih yang memberatkan umat dalam perkara berkenaan. Dalam hal ini pendapat pilihan kita ialah pendapat yang menerangkan sumpah talak tersebut tidak menjatuhkan talak kerana alasan yang dinyatakan oleh ulama ulama yang membahaskan hal ini , juga demi melindungi institusi keluarga dan ketenteraman awam.

Andainya sumpah ta’liq cerai talak 3 itu hendak digunapakai dan dianggap jatuh talaq juga maka hakim kes boleh bertindak bijaksana seperti yang kita cadangkan atau menurut amalan pentadbiran sebelum ini yang menggap jatuh jatuh talak satu dan tentunya ia boleh dirujuk semula oleh suami dengan segera - samaada di hadapan hakim atau tidak - dan hubungan keluarga dengan itu boleh diselamatkan. Tapi yang kita anggap lebih arjah di sini ialah pandangan Presiden Persatuan Ulama Muslimin Sedunia Syaikh Yusuf Al Qaradhawi dan yang telah menjadi amalan oleh beberapa mahkamah Syariah di sesetengah Negara Arab.( Lihat kajian Fatwa dan tarjih dalam isu berkenaan dalam majalah Al Wa’yu Al Islami Online)
. Wallah A'lam




Sila kongsi artikel ini...

Apa Niat Presiden PAS Sebenarnya dalam Isu Bai'ah Takliq Talak Tiga? - Hanipa Maidin

10:30 AM 0 Comments A+ a-



APA NIAT PRESIDEN PAS SEBENARNYA DALAM ISU BAI'AH TAKLIQ TALAK TIGA, SOAL AHLI PARLIMEN SEPANG, YB HANIPA MAIDIN

Saya mendengar dan menonton rakaman video ucapan Presiden Pas mengenai isu baiah yang melibatkan Yb Dr Hatta Ramli.

2. Setelah mendengar dan mengamati beberapa kali ucapan beliau tersebut nampaknya wujud jalan keluar ( exit route atau escape clause ) bagi isu kesan baiah tersebut yang mengandungi satu hukuman ( 'iqab) yang amat keras iaitu penceraian talak tiga ke atas pihak yang berbaiah sekaligus menghukum juga pihak ketiga yang bukan menjadi pihak dalam baiah tersebut iaitu isteri Ahli Parlimen dan sudah tentu juga dirasai kesannya oleh anak anak beliau.

3. Ada dua perkara menarik daripada kenyataan Presiden Pas tersebut yang menimbulkan tandatanya.

4. Pertamanya, beliau menukilkan pendapat Ketua Hakim Mahkamah Syariah Kelantan yang mengatakan jatuhnya talak 3 kesan daripada baiah tersebut dan berkemungkinan Mahkamah Syariah Kelantan akan "'ligan"'('kejar )'Dr Hatta untuk dibawa ke Mahkamah Syariah Kelantan.

5. Walaupun Presiden Pas tidak secara jelas menyatakan sokongan atas apa yang dikatakan oleh Ketua Hakim tersebut, namun sikap Presiden Pas yang tidak sama sekali mengkritik tindakan seorang Hakim yang mendahului menjatuhkan hukum sebelum pihak yang dihukum itu dibawa ke Mahkamah menimbulkan persoalan -adakah Presiden Pas merestui kaedah dan bentuk keadilan sebegitu ?

6. Bukankah prinsip sub judice ( tidak mendahului menjatuhkan hukum ) adalah satu prinsip asas dan fundamental dalam sistem keadilan Islam yang sudah tentu Presiden sebuah parti Islam yang berstatus ulama sepatutnya ke depan mempertahankan prinsip keadilan Islam itu?

7. Keduanya, Presiden Pas juga nampaknya bersetuju di sana wujudnya jalan keluar bagi mengelakkan kesan baiah yang keras itu iaitu dengan pihak Pas boleh membuat keputusan memecat Dr Hatta sekaligus kesan baiah tersebut tidak lagi wujud dan terpakai. Sudah tentu ini kaedah terbaik yang Pas patut lakukan demi menyelamatkan satu rumahtangga yang telah dibina sekian lama, dengan andaian baiah itu sendiri bukan baiah yang laghah. Sudah tentu jika baiah itu sendiri diputuskan laghah,saranan Presiden Pas itu tidak relevan lagi.

8. Mengambil kira wujudnya pelbagai pendapat tentang kesahihan baiah itu ,sudah tentu mencari jalan keluar dari masalah pertikaian tersebut ( al-khuruj min khilaf ) adalah satu cara yang baik yang para ulama anjurkan dalam situasi sebegitu.

9.Persoalannya kenapa Pas atau Presiden Pas enggan mengambil atau memilih jalan keluar itu demi menyelamatkan suatu rumah tangga seseorang? Keengganan Pas atau Presiden Pas menawarkan formula jalan keluar itu dengan memecat Dr Hatta mengundang spekulasi liar bahawa dendam menjadi asas kepada keengganan Pas tersebut. Di manakah Islam sebagai rahmat ( mercy ) yang Pas selalu canangkan selama ini ?

10. Bukankah 'Allamah Ibnu Al Qayyim menyatakan "Syariah itu adil keseluruhannya, rahmat keseluruhannya, hikmah ( wisdom ) keseluruhannya, maslahah keseluruhannya dan mana mana perkara yang keluar dari prinsip keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada sebaliknya, dari maslahah kepada kerosakan ( mafsadah ) dan dari hikmah kepada sia sia ia bukanlah syariah meskipun kita cuba masukkan ianya dalam kategori syariah.."

11. Saya tertanya, adakah ketika mana isu baiah ini dihebohkan serata dunia , adakah kita sedang tonjolkan syariah yang sebenarnya atau bagaimana?

Wallahu 'alam wa huwa al Musta'an

Mohamed Hanipa Maidin
Parti Amanah Negara


Sila kongsi artikel ini...

Mengapa Najib masih membisu pasal dana RM2.6 bilion? - Tuan Ibrahim Tuan Man

8:59 AM 0 Comments A+ a-



Mengapa Najib masih membisu pasal dana RM2.6 bilion?

Meskipun Malaysia dan beliau sendiri dimalukan di Persidangan Antarabangsa Anti Rasuah (IACC) ke-16 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih enggan tampil menjelaskan misteri-misteri di sebalik derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaunnya.

Ini menimbulkan lebih banyak persoalan dan spekulasi mengapa Najib memilih untuk membisu daripada menjawab soalan mengenai RM2.6 bilion. Berikut ialah 5 teori yang paling hangat diperkatakan.



Teori 1: Apakah sebenarnya duit itu tidak digunakan untuk Umno?

Persoalan ini timbul kerana Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pun tidak tahu berapa baki yang ada di akaun tersebut ketika ia ditutup. Jika benar duit itu telah digunakan untuk Umno dan pilihanraya, sudah tentu Najib akan berani menjawab Muhyiddin, dan Muhyiddin tidak akan berani bertanya begitu.



Teori 2: Apakah duit itu sebenarnya bukan derma?

Persoalan ini timbul kerana sehingga hari ini penderma yang berbesar hati ini masih misteri kepada rakyat Malaysia. Spekulasi ini lebih hangat apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak berani menjawab cabaran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendedahkan nama penderma tersebut setelah Zahid mengaku telah berjumpa dengan wakil keluarga dari asia barat yang mendermakan RM2.6 bilion kepada Najib.

Jika penderma itu sanggup menderma RM2.6 bilion kepada Najib, mengapa beliau tidak sanggup tampil membersihkan nama Najib? Tidakkah penderma itu takut duit derma itu akan dibazirkan jika Najib jatuh nanti sedangkan derma itu untuk Umno bukan untuk Najib? Apakah betul dakwaan Tun Mahathir bahawa duit itu sebenarnya duit 1MDB?



Teori 3: Apakah ia satu kesilapan taktikal untuk mengelarkan RM2.6 bilion itu sebagai derma?

Dana RM2.6 bilion di akaun Najib didedahkan oleh WSJ pada 3 Julai 2015 yang disyaki duit 1MDB. Sebulan kemudian, barulah SPRM berkata duit itu ialah duit derma. Sehingga kini, tidak kedengaran Najib menyaman WSJ meskipun derma cerita RM2.6 bilion ini sudah menjadi perbualan dan lawak antarabangsa. Apakah ini satu kesilapan taktikal yang teruk? Oleh kerana itu, sehingga kini Najib tidak berani menjawab isu RM2.6 bilion ini secara berdepan meskipun menerima kritikan hebat di IACC di negara sendiri.



Teori 4: Apakah memang ada bukti salahlaku yang dijumpai mengenai RM2.6 bilion?

Spekulasi ini juga antara terhangat diperkatakan ekoran terbubarnya pasukan siasatan khas isu 1MDB, pemecatan Muhyiddin dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail secara mengejut, terbantutnya persidangan PAC, pemindahan pegawai Peguam Negara dan SPRM yang dilakukan secara mendadak, penahanan pegawai SPRM seperti penjenayah untuk disoalsiasat dan kebisuan Bank Negara dalam isu dana RM2.6 bilion. Jika derma itu bersih dari segi tatatertib kewangan, mengapa Najib tidak menggalakkan siasatan diteruskan? Malah, menurut Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Najib belum menjelaskan kepada pemimpin Umno mengenai wang RM42 juta yang dimasukkan ke akaun persendiriannya oleh anak syarikat SRC International.



Teori 5: Apakah antara orang yang dapat menikmati dana RM2.6 bilion itu ialah pemilik akaun atau warisnya?

Persoalan ini juga hangat diperkatakan berdasarkan gaya hidup pasangan ini, yang digelar mewah oleh Tun Mahathir. Apakah disebabkan ini, Najib memilih untuk membisu kerana beliau tahu rakyat dan Umno akan lebih marah?



Tanpa jawapan yang memuaskan, lebih banyak spekulasi mengenai RM2.6 bilion di akaun Najib akan timbul dan hangat diperkatakan. Bukan sahaja Najib yang kena pukul, Malaysia dan nilai Ringgit turut dilanyak bersama kerana hilangnya integriti daripada pemimpin tertinggi dan kabinetnya.

Jika nilai Ringgit terus turun, rakyat perlu bersedia untuk menghadapi kemelesetan ekonomi dan peningkatan inflasi secara mendadak di suku ke keempat 2015 kerana semua barangan import telah menjadi mahal. Situasi dijangka akan diburukkan melalui risiko yang perlu diambil untuk mengekalkan kadar faedah semalaman (OPR) untuk tidak membebankan rakyat Malaysia yang mempunyai hutang isi rumah yang tinggi (melebihi 80% daripada KDNK) dan tekanan daripada GST apabila barang-barangan yang dikecualikan turut dikenakan GST bermula 2016.



Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
6 September 2015


Sila kongsi artikel ini...

Sudah-Sudahlah dengan Isu Bai'ah Cerai Talak Tiga, Bukan Tambah Kekuatan dan Keuntungan untuk PAS Pun - Mahfuz Omar

12:10 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media

SUDAH SUDAH LAH DENGAN ISU BAI'AH CERAI TALAK TIGA BUKAN TAMBAH KEKUATAN DAN KEUNTUNGAN UNTUK PAS PUN.

1. Saya ingin menyatakan sokongan kepada saranan Dato' Ust Tuan Ibrahim Tuan Man Timbalan Presiden Pas agar semua pihak berhenti membincang polemik isu bai'ah cerai talak tiga di media cetak mahu pun di media sosial.


2. Saranan tersebut juga tidak terlepas ditujukan kepada pimpinan dan ahli Pas disemua peringkat yang banyak mengambil bahagian dalam isu ini.Seharus semua pihak menghormati dan menjaga hati dan perasaan orang yang dilibatkan. Kalau pun anda tidak dapat menjaga hati dan perasaan Yb Dr Hatta tetapi ingatlah isteri dan anak menantu serta keluarganya punya hati dan perasaan.

3. Membincang isu bai'ah cerai talak tiga secara terbuka tidak pun membantu menambah kekuatan Pas, tetapi sebaliknya mencalar imej Pas. Bukankah satu ketika dulu bila timbul isu ini semua pihak termasuk pimpinan dan majlis syura menafi ujudnya bai'ah seperti ini. Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz sendiri pernah menyatakan pada media tiada dalam kepalanya bab bai'ah cerai talak tiga. Hari ini macam kita menafikan penafian yang telah kita buat dahulu dengan mempamirkan berbagai bagai bahan bukti yang menjadi rahsia dalaman Pas, yang dahulunya kita kata tak ada. Dengan perbincangan yang berlaku hari ini telah akhirnya membentuk berbagai pesepsi masyarakat terhadap Pas. Paling dibimbangi saya masyarakat akan punya persepsi Pas ini hipokrik dan mengguna agama serta mencagarkan wanita (isteri) untuk kepentingan politik.

4. Hari ini sudah ada kumpulan kumpulan Ngo dan tokoh wanita mengkritik Pas dengan isu Bai'ah dan ini boleh menghakis keyakinan masyarakat wanita terhadap Pas serta tidak baik dari segi masa depan politik Pas yang memerlukan sokongan pengundi wanita dalam pilihanraya. Saya mengharapkan saranan Timbalan Presiden Pas perlu dipertimbang sebaiknya oleh pimpinan dan ahli Pas. Uruslah isu ini dengan hikmah bukannya dengan perasaan bebal.

5. Kepada sahabat karib saya Yb Dr Hatta banyaklah bersabar menghadapi ujian dan cabaran perjuangan.Saya yakin dengan saudara akan terus istiqamah dengan Islam. Kepada isteri dan anak menantu Dr Hatta tabahlah menghadapi cabaran kehidupan. Janji Allah tetap benar, selepas kesedihan akan ada kegembiraan dan selepas kepayahan akan ada kemudahan. Islam agama yang tidak memberatkan umatnya. Pasti ada jalan keluar dari kekusutan ini seperti yang disarankan oleh Sohibussamahah Dato' Dr Wan Salim Mufti P.Pinang.

BINA KELUARGA BAHAGIA,SELAMATKAN MALAYSIA TERCINTA.

Dato' Mahfuz Hj Omar
Ahli Parlimen Pokok Sena
6 Sept 2015/22 Zulkaedah 1436H


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.