IACC: Malaysia Terus Dimalukan Kerana Pemimpinnya - Mohd Akmal Bin Kamaruddin PAS
IACC: Malaysia Terus Dimalukan Kerana Pemimpinnya
Dewan Pemuda PAS Perak merakamkan rasa dukacita diatas apa yang berlaku di Malaysia kini. Selepas 58 tahun Merdeka, Malaysia perlu berhadapan satu keperitan diatas kerakusan pemimpin yang tidak amanah.
Kritikan demi kritikan yang dilontarkan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) ke-16 yang berlangsung di Putrajaya merupakan satu perkara yang memalukan. Ketika rakyat masih menanti penjelasan yang kukuh berhubung dana RM2.6 bilion dari mana dan kemana wang ini, dunia juga sedang memerhati Malaysia. Masyarakat dunia juga seakan tidak boleh menerima hakikat derma RM2.6 Bilion yang diperolehi oleh Perdana Menteri dalam akaun peribadi beliau.
Ini diburukkan lagi dengan skandal 1MDB yang menatijahkan pemecatan timbalan Perdana Menteri, pemecatan peguam negara, penyiasatan terhadap SPRM dan juga penggantungan jawatankuasa kira-kira negara. Semua ini berpunca dari sifat tidak amanah dan berkemungkinan terdapat unsur rasuah di belakangnya.
Justeru itu, bagi membersihkan nama baik Malaysia, Dewan Pemuda PAS Perak mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi penjelasan yang telus dan konkrit dari mana dan kemana duit RM2.6 bilion itu dan juga membuka ruang siasatan tanpa halangan berhubung skandal 1MDB.
#IstiqamahSehinggaKemenangan
Mohd Akmal Bin Kamaruddin
Ketua Dewan Pemuda PAS Perak
22 Zulqaedah 1436H / 6 September 2015
Sila kongsi artikel ini...