Isu Samak Troli TESCO - Abu Ruqayyah Ba 'Alawi

8:46 PM 0 Comments A+ a-



-ISU SAMAK TROLI TESCO-
(Sila baca kesemuanya untuk mengelakkan salah faham)

1) Isu ini berkaitan dengan tindakan seorang pengunjung tesco yang sangat biadap membawa masuk seekor anjing peliharaannya di dalam pasaraya tersebut. Anjing itu dimasukkan di dalam salah sebuah troli milik tesco berdasar gambar yang dimuatkan di dalam media sosial. Perbuatan ini sudah pasti mengundang rasa tidak selesa dan kemarahan para pengunjung tesco dan orang ramai terutama dari kalangan umat Islam.

2) Pihak tesco dengan bantuan sekumpulan orang Islam dari sekitar kawasan itu menyamak troli-troli yang ada ditesco. Tindakan ini juga mendapat cemuhan dari sebahagian ilmuan dan penuntut ilmu agama, kononnya tindakan ini keterlaluan, kemudian ia dikaitkan dengan pendapat yang dipegang oleh umat Islam di Malaysia mengenai kenajisan anjing yang mana kononnya tidak bertepatan dengan kehendak hadith Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam.

3) Secara ringkas, menurut mazhab Syafi'ie anjing merupakan najis mughallazah bukan sahaja pada jilatannya malah apa sahaja bahagian luaran anjing yang dalam keadaan basah adalah ketogari najis berat yang perlu disamak. Jika ia kering maka ia tidak dikira sebagai najis mughallazah.

4) Berkenaan tindakan menyamak kesemua troli di tesco, dalam situasi begini adakah semua troli-troli tersebut wajib disamak menurut mazhab Syafi'ie? Adakah tindakan ini dianggap melampau disebabkan pendapat muktamad mazhab Syafi'ie mengenai isu kenajisan anjing ini?

5) Boleh dikatakan ramai yang sudah tahu bahawa permasalahan anjing ini merupakan isu yang diperselisihkan oleh para ulama 4 mazhab. Di sini saya tak minat nak bincang isu khilaf berkenaan kenajisan anjing, cuma saya hendak tekankan benarkah isu troli dan anjing dipayahkan oleh mazhab Syafi'ie?

6) Menurut kaedah umum ilmu fiqh, segala yang tidak pasti tidak boleh dijadikan hukum dan diputuskan. Hanya perkara yang dapat dipastikan dengan keyakinan sahaja yang boleh diputuskan hukumnya. Sebagai contoh kalau seseorang rasa syak samaada dia terkentut atau tidak ketika solat, adakah solatnya batal? Jadi di sini selagi kentut tidak dapat dipastikan dengan yakin serta bukti yang kukuh, selagi itu lah solatnya tidak terbatal dan wajib diteruskan(bagi solat fardu).

7) Permasalahan no. 6 di atas bersesuaian dengan satu kaedah fiqh yang berbunyi, "الأصل بقاء ما كان على ما كان", maksudnya, "Asal sesuatu itu kekal mengikut apa yang sebelumnya atau asalnya". Iaitu solat itu kekal sah dan tidak perlu dibatalkan kerana hukum asalnya tidak terbatal kerana tiada bukti yang pasti dan yakin berlakunya kentut ketika solat, yang wujud hanya syak wasangka.

8) Berbalik kepada hukum menyamak troli, bilakah ia wajib disamak? troli wajib disamak apabila dapat dipastikan bahawa troli itu tersentuh oleh najis mughallazah seperti anjing, kemudian dapat dipastikan bahagian anjing yang disentuh dalam keadaan basah samaada air liurnya atau kulit yang basah mahupun kencing atau tahi. Kepastian dapat dipastikan saksi mata yang yakin bukan ragu-ragu dan diketahui troli yang manakah yang tersentuh najis mughallazah.

9) Berdasarkan kaedah fiqh di atas, troli yang disahkan disentuh oleh anjing hanya satu troli, jadi yang wajib disamak ialah hanya lah satu. Oleh itu yang wajib disamak adalah satu troli sahaja. Namun ada satu persoalan, dalam banyak-banyak troli, yang mana satu yang disentuh oleh anjing? adakah boleh dipastikan di sini yang mana satu?

10) Jika benar dapat dipastikan troli yang mana satu, terdapat satu lagi persoalan. Adakah saat keberadaan anjing di dalam troli tersebut dalam keadaan basah atau kering? Ada siapa yang nampak anjing menjilat troli tersebut atau kencing dan berak? berkemungkinan juga anjing tidak menjilat troli tersebut mahupun buang najis. Kalau ada sesiapa yang cakap, "Biasanya anjing akan menjilat", tetapi kenyataan ini masih lagi dalam bentuk sangkaan bukannya kepastian kerana tidak semestinya anjing itu akan menjilat ketika berada di dalam troli, kecuali terdapat bukti seperti saksi yang melihat.

11) Kepastian dan keyakinan hanya boleh ditetapkan dengan bukti bukan sekadar sangkaan. Maka sangkaan tidak boleh dijadikan sandaran hukum. Oleh itu, dalam isu troli ini, tiada siapa yang dapat pastikan troli yang mana satu terkena najis anjing. Begitu juga tiada sesiapa pun yang dapat pastikan dengan bukti, adakah kenajisan anjing yang berasal dari satu troli telah berpindah kepada troli-troli yang lain?

12) Selagi mana tiada bukti troli yang mana satu? anjing jilat atau tidak? kulit basah atau tidak? kencing atau tidak? adakah najis itu berpindah ke troli-troli yang lain? selagi itu lah hukum kenajisan troli tidak dapat dipastikan, selagimana ia tidak dapat dipastikan dan diyakini selagi itu lah tidak akan jatuh kepada hukum wajib samak. Perkara ini selaras dengan kaedah yang berbunyi "اليقين لا يزال بالشك", maksudnya "Keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan" iaitu keraguan tidak boleh diguna pakai atau keraguan tidak boleh mengatasi keyakinan.

13) Ketahui lah mazhab Syafi'ie dan ulama-ulamanya sendiri tidak mewajibkan samak puluhan atau ratusan troli milik tesco. Jelas di sini, isu ini bukan salah mazhab Imam Syafi'ie atau sebab ia yang menyukarkan umat, sedangkan dalam isu ini mazhab Syafi'ie sedikit tidak menyusahkan, malah ia selaras dengan ruh agama Islam yang mudah dan tidak menyusahkan penganutnya.

14) Untuk isu fiqh kenajisan anjing ini yang mana furu' yang dibincangkan yang seakan-akan sama dengan isu ini, saya sarankan agar merujuk kitab-kitab fiqh mazhab Syafi'ie seperti "Hasyiah Qalyubi wa 'Umairah" dan "Hasyiah al-Jamal 'ala Syarh al-Manhaj". (Tidak sempat saya masukkan dalam ruangan ini, insya Allah di lain waktu).

15) Namun di dalam Islam terdapat konsep yang dinamakan sebagai "Ihtiyat" iaitu mengambil tindakan berhati-hati di dalam beragama atau bersikap warak dalam urusan yang berkaitan dengan hukum hakam. Berkenaan isu troli dan anjing, tidak salah jika mengambil sikap lebih berhati-hati iaitu dengan menyamak semua troli-troli yang ada. Meski pun samak di sini bukan lah wajib, akan tetapi bersikap warak dalam hal ini adalah perkara yang baik dan ini merupakan pilihan dan kehendak peribadi atau inisiatif secara individu mahu pun kelompok.

16) Selagi mana tindakan menyamak troli-troli ini tidak merosakkan harta benda, mencederakan sesiapa mahupun menyusahkan orang lain, selagi itu lah tindakan ini tidak wajar diketogarikan sebagai tindakan yang keterlaluan. Apa yang mereka lakukan ini ada inisiatif mereka sendiri bukan kerana paksaan.

Sekadar pandangan yang terdedah kepada salah dan silap. Wallahu A'lam.

Abu Ruqayyah Ba 'Alawi


s


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.