KENYATAAN MEDIA
BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI KEDAH
12 Syawal 1436 | 28 Julai 2015
"Mukhriz Dirundung Dilema, Kedah Terumbang Ambing"
1. Negeri Kedah kini berada dalam keadaan tidak menentu ekoran Menteri Besar, Dato' Seri Mukhriz Mahathir dilihat terumbang ambing mendepani situasi politik semasa khususnya pergolakan dalaman Umno-BN.
2. PAS Kedah tidak menolak kemungkinan Umno Negeri Kedah sedang turut dicengkam pertembungan dalaman yang cuba disembunyikan sebagaimana sedang berlaku dalam Umno di peringkat nasional.
3. Terkini menyaksikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin digugurkan dari rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
4. Umum beranggapan Mukhriz gagal menyatakan pendirian jelas berhubung asakan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mengecam pentadbiran Najib. Dilema itu diakui beliau sebagaimana tersiar di media.
5. Tambahan pula pengalamannya sebagai Timbalan Menteri dahulunya tidak mampu memberi impak besar kepada negeri Kedah dan rekodnya selaku Menteri Besar sehingga ke hari ini menunjukkan beliau belum mempunyai wawasan realistik melainkan hanya retorik.
6. Bahkan kehendak Mukhriz untuk mengadakan pembangunan mega yang dibanggakannya tidak menjejak ke bumi nyata dan tidak menyentuh keperluan sebenar rakyat negeri ini, selain tanpa pembelaan sewajarnya terhadap isu dan hak rakyat sebagaimana cengkaman kejatuhan harga getah, kenaikan harga barangan, masalah perbekalan air, pampasan harga tanah dimanipulasi dan sebagainya.
7. Adalah malang, apabila 6 projek mega di Kedah tidak tersenarai dalam agenda pembangunan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang diumumkan baru-baru ini. Sama ada Kedah diabai dan didiskriminasikan atau lantaran permainan politik dalaman Umno-BN, yang pasti rakyat negeri Kedahlah mendapat kerugian atas semua itu.
8. Sehubungan itu, PAS Negeri Kedah berazam dengan sepenuh tekad untuk kembali ke Wisma Darul Aman menerajui Kerajaan Negeri Kedah, seterusnya menyambung semula usaha mensejahterakan rakyat negeri Jelapang Padi tercinta ini dengan pemerintahan dan perkhidmatan lebih baik.
9. PAS Negeri Kedah menyeru agar seluruh rakyat memberi penilaian secara adil dan bersama kami untuk memastikan hasrat ini direalisasikan menerusi undi pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Dato' Dr Mohd Hayati bin Othman
Timbalan Pesuruhjaya
PAS Negeri Kedah
--
KENYATAAN MEDIA
BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI KEDAH
5 Syawal 1436 | 21 Julai 2015
"Relevan PAS Adalah Teguh Berpegang Dengan Dasar Islam"
1. Keteguhan berpegang kepada Islam adalah prinsip utama PAS. Pegangan ini selaras dengan perintah Allah, "Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan jangan kamu bercerai berai...." (Ali Imran) dan hadis Rasulullah SAW, "Islam itu berputar bagaikan roda, maka berputarlah kamu sebagaimana ia berputar."
2. Bermakna di sebarang zaman dan tempat, PAS wajib berpegang dan menyampaikan Islam kepada masyarakat untuk dasar Islam itu diterima atau diakui. Di mana perkara ini dilaksanakan secara berperingkat dengan membina kefahaman menerusi kegiatan dakwah, siyasah dan tarbiyah yang PAS laksanakan.
3. Walaupun kerana pegangan itu PAS dicemuh hina, diberi tekanan dan sekatan, pemenjaraan hingga kepada pembunuhan, sekali-kali PAS tidak akan berubah untuk menuruti jalan yang menyimpang dari dasarnya.
4. PAS menolak politik manipulasi, fitnah, penyelewengan dan memperalatkan atau sebarang mekanisma 'matlamat menghalalkan cara' untuk meraih kemenangan mendapat kuasa. Juga sebarang pendekatan populis, pragmatik, sekular dan seumpamanya yang tidak berpaksi kepada Islam, tetapi hanya semata-mata meraih undi.
5. Jika relevansi PAS dalam landskap politik semasa diukur dengan sokongan masyarakat kepada parti ini, maka dalam konteks demokrasi, PAS terbuka meraikan penerimaan dan penolakan tersebut secara wajar. Tugas PAS adalah terus berusaha tanpa putus asa dengan pelbagai pendekatan.
6. Dalam realiti sokongan massa, terbukti dalam perkiraan 'padang yang sama rata' PAS telah menerima peningkatan undi ketara hingga menambah kerusi dan pemerintahan negeri. PAS juga menerima penambahan keahlian secara purata 3,000 sebulan dan semakin menaik. Malah, PAS sudah lama menembusi sokongan dan undi dari segmen bukan Melayu Islam di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.
7. Relevansi PAS juga terlihat dalam kemampuannya bergerak dan berperanan dalam negara pada setiap aspek denyut nadi rakyat dan isu. Suara dan sentuhan PAS sentiasa menjadi pandangan, cadangan dan penyelesaian alternatif.
8. Terus relevan, lestari dan membawa perubahan, PAS sentiasa menyegarkan momentumnya menerusi Muktamar Tahunan PAS yang menjadi pemutus pergerakan semasa dalam rangka dasarnya kekal dipelihara menerusi pemantauan dan panduan Majlis Syura Ulamak PAS.
9. Pembaharuan PAS hanyalah pada pendekatan yang sentiasa diolah untuk maslahat umum dan bukannya mengejar kepentingan politik sempit. Pembaharuan juga harus menguatkan serta menyatukan, bukan mufaraqah dan perpecahan hingga meragukan masyarakat.
11. PAS digerakkan secara kolektif oleh ahlinya yang melebihi 1 juta dan mempunyai akar umbi di seluruh negara. Pandangan dan pilihan mereka mestilah diterima dan diakuri di mana setiap individu tertakluk kepada Perlembagaan PAS. Menolak dan mengingkari kehendak majoriti ahli yang telah berorganisasi secara peraturannya hanyalah sikap kekecewaan dan tidak akan membawa kemajuan.
10. Secara khusus, PAS menarik sokongan masyarakat Malaysia termasuk bukan Islam dengan keadilan, menghormati hak, memberi perlindungan dan jaminan keamanan dengan menolak setiap diskriminasi dan prejudis.
11. PAS akan terus berdiri dan menggerakkan seluruh jenteranya untuk sentiasa menyantuni dan memberi khidmat kepada masyarakat negara ini sebagai pilihan parti politik terbaik dan sedia menggantikan pemerintahan BN sedia ada.
USTAZ DR AHMAD FAKHRUDDIN SYEIKH FAKHRURAZI
Pesuruhjaya
PAS Negeri Keda