Skandal 1MDB dan Skandal Watergate: Skandal terburuk bagi Malaysia dan Amerika Syarikat - Fitri Asmuni GHB

8:36 PM 0 Comments A+ a-




Skandal 1MDB dan Skandal Watergate: Skandal terburuk bagi Malaysia dan Amerika Syarikat.

Pada tahun 1970an, Amerika Syarikat pernah dilanda sebuah skandal politik yang melibatkan kepimpinan tertinggi negaranya yang membawa kepada perletakkan jawatan Presiden Richard Nixon pada tahun 1974 dari parti Republik.

Skandal ini bermula selepas 5 orang lelaki yang memecah masuk ibu pejabat Democrate National Committee (DNC) di kompleks Watergate pada 17 Jun 1972 telah ditangkap.

Ketika Presiden Nixon masuk bertanding pemilihan semula sebagai presiden, Amerika Syarikat terlibat dalam Perang Vietnam yang menyebabkan berlakunya krisis dalaman negara yang teruk. Demi mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden, Nixon telah mengarahkan orang-orangnya untuk memecah masuk ke dalam ibu pejabat parti Demokrat di Watergate, Washington D.C. Lima orang ahli Jawatankuasa Pemilihan Semula Presiden (dikenali sebagai Creep) telah ditugaskan untuk memecah masuk ke bangunan Watergate tersebut untuk mencuri dokumen-dokumen rahsia parti Demokrat dan memasang alat pengintipan pada telefon bagi memintas sistem komunikasi parti tersebut.

Malangnya, ketika mereka bersiap sedia untuk memecah masuk ke dalam pejabat tersebut, seorang pengawal keselamatan pejabat itu menyedari kehadiran mereka di dalam bangunan tersebut dan melaporkannya kepada pihak polis untuk membuat tangkapan.

Di peringkat awal penyiasatan, FBI berjaya mengaitkan pencerobohan tersebut dengan White House tetapi ia kemudiannya telah berjaya dinafikan oleh Presiden Nixon.

Skandal tersebut pada awalnya tidak menjejaskan sokongan Nixon untuk terus kekal sebagai Presiden Amerika Syarikat buat penggal yang berikutnya. Nixon berjaya menutup skandal tersebut selama 2 tahun. Dalam tempoh tersebut, pelbagai tindakan telah dirancang oleh Nixon untuk meyakinkan rakyat bahawa pencerobohan tersebut tiada kaitan dengannya. Contohnya beberapa hari selepas kejadian pecah masuk, Nixon mengatur untuk membayar wang yang banyak kepada pemecah masuk. Dia dan pembantunya kemudian mengarahkan CIA untuk menghalang siasatan FBI terhadap jenayah itu. Sementara itu, 7 orang telah didakwa atas tuduhan yang berkaitan dengan kejadian Watergate dan atas gesaan pembantu Nixon, 5 mengaku bersalah dan mengelak perbicaraan manakala 2 yang lain telah disabitkan pada Januari 1973.

Pada masa yang sama, beberapa konspirator mengalami tekanan dalam cubaan menutup kes itu. Akibat dari tekanan tersebut, beberapa pembantu Nixon mendedahkan di Mahkamah bahawa Nixon secara diam-diam telah merakam setiap perbualan yang berlaku di Pejabat Oval.

Nixon bertungkus-lumus melindungi pita-pita itu. Peguamnya berhujah bahawa keistimewaan eksekutif presiden membenarkan Nixon untuk menyimpan pita-pita itu, tetapi Sirica, jawatankuasa Senat dan pendakwa khas bebas, Archibald Cox berazam untuk mendapatkan pita-pita itu. Apabila Cox enggan menyerah kalah untuk mendapatkan pita-pita rakaman itu, Nixon mengarahkan Cox dipecat, yang akhirnya membawa kepada perletakan jawatan beberapa pegawai Jabatan Kehakiman yang lain sebagai tanda protes terhadap campur tangan yang dilakukan oleh Nixon. Akhirnya, Nixon bersetuju untuk menyerahkan beberapa pita rakaman tersebut tetapi tidak kesemuanya.

Pada bulan Julai 1974, Mahkamah Agung mengarahkan Nixon untuk menyerahkan pita-pita rakaman yang masih disimpin oleh Nixon. Walaupun Nixon melengahkan arahan mahkamah, Kongres mengundi untuk mensabitkan Nixon bersalah atas tuduhan menghalang proses keadilan, penyalahgunaan kuasa, usaha mahu menutup skandal dan beberapa pelanggaran terhadap Perlembagaan negara. Akhirnya pada 5 Ogos 1974, Nixon terpaksa menyerahkan kesemua pita-pita rakaman tersebut yang menyimpan bukti yang tidak dapat dinafikan oleh Nixon mengenai penglibatannya dalam jenayah skandal Watergate. Akhirnya pada 8 Ogos 1974, Richard Nixon meletakkan jawatannya selaku Presiden Amerika Syarikat.

Ia merupakan antara skandal politik terburuk yang pernah melanda Amerika Syarikat. Hari ini di Amerika Syarikat, skandal Watergate telah menjadi satu istilah bagi merujuk kepada konspirasi politik, rasuah, penggunaan harta awam untuk kepentingan peribadi dan penyalahgunaan kuasa politik.

Di Malaysia, kita berdepan pula dengan skandal 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib. Saya berani katakan bahawa skandal Watergate tidaklah seteruk skandal 1MDB yang memalit Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia.

Dalam skandal Watergate, sekalipun Nixon telah melakukan banyak tindakan untuk menutup skandal tersebut, tetapi ia tidaklah seteruk jika hendak dibandingkan dengan tindakan yang sedang dilakukan oleh Najib Tun Razak dalam skandal melibatkan 1MDB dan dirinya sendiri.

Demi menyelamatkan dirinya yang sedang lemas, Najib sanggup melakukan apa sahaja sehingga ke tahap menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalannya dan merombak Kabinet baru kepada Kabinet Najib atau Kabinet 1MDB yang tujuannya hanyalah untuk mempertahankan salah saku Najib selaku Perdana Menteri dan menutup skandal 1MDB yang sedang membarah.

Serentak dengan pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin tersebut, Tan Sri Gani Patail selaku Peguam Negara yang mengetuai Pasukan Khas siasatan skandal 1MDB juga telah ditukar secara tiba-tiba dengan Peguam Negara yang baru.

Sebelumnya, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengambil tindakan menggantung permit dan menyekat akhbar The Edge dan Sarawak Report daripada diakses oleh para pembaca agar pendedahan demi pendedahan yang dilaporkan oleh akhbar tersebut mengenai skandal 1MDB dan salah laku Najib tidak sampai kepada rakyat.

Najib juga telah memainkan propaganda kotor apabila menggunakan pihak tertentu untuk mengugut tokoh-tokoh penting yang berada di dalam pasukan Special Task Force termasuklah terhadap Gabenor Bank Negara, Timbalan Gabenor Bank Negara, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM dan lain-lain lagi di samping menahan dan menyoal siasat beberapa yang lain termasuk penasihat SPRM dan Penolong Pendakwaraya SPRM yang terlibat dalam siasatan skandal 1MDB tersebut atas dakwaan yang bukan-bukan di bawah s. 124 Kanun Keseksaan.

Yang lebih menyedihkan, Speaker Dewan Rakyat yang sepatutnya mengambil sikap berkecuali telah bertindak "bias" apabila cuba campur tangan dalam inkuiri PAC dengan mengarahkan agar PAC menangguhkan prosidingnya itu sehingga Pengerusi PAC yang baru dilantik semula. Bukan sekadar itu, kenyataan media SPRM semalam yang mendapat kritikan ramai mengenai dana RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib itu dilihat telah dimandulkan oleh tangan-tangan ghaib yang berperanan untuk menutup jenayah rasuah yang dilakukan oleh Najib Tun Razak.

Kita sedang menyaksikan negara kita dimusnahkan sedikit demi sedikit oleh pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab. Skandal 1MDB dan kebobrokan Najib sudah sampai ke kemuncaknya. Aset-aset negara telah banyak digadaikan. Institusi-institusi yang sepatutnya menjalankan tugasnya secara telus dan amanah serta menjadi tulang belakang dalam menjaga keadilan, keselamatan dan kedaulatan negara dan rakyat telah disalah guna dan diselewengkan.

Apa lagi kemusnahan yang akan dilakukan oleh Najib selepas ini?

Sepandai-pandai Richard Nixon menutup skandal Watergate tersebut akhirnya beliau tersungkur juga. Begitu juga Najib. Beliau sudah berada di puncak kerakusannya. Rakyat mahu melihat sejauh mana Najib mampu bertahan..Adakah beliau akan mengikut jejak langkah Richard Nixon ataupun sebaliknya. Apapun yang berlaku, kita harus mengakui bahawa skandal 1MDB bakal memahat sejarah hitam buat negara.

Kita nantikan bagaimana skandal ini berkesudahan..

‪#‎HarapanBaru‬

MOHD FITRI ASMUNI
Timbalan Ketua Pemuda
Gerakan Harapan Baru
Negeri Perak




s


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.