Penangkapan 3 Pegawai adalah Cubaan Menggagalkan Siasatan ke atas Skandal #1MDB? Kecuali Najib dan Rosman, Siapa Pula akan di Tangkap? - Mahfuz Omar

9:26 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media

PENANGKAPAN TIGA PEGAWAI ADALAH CUBAAN MENGGAGALKAN SIASATAN KE ATAS SKANDAL 1MDB? KECUALI NAJIB DAN ROSMAH , SIAPA PULA AKAN DITANGKAP?


1. Pada minggu lepas, saya telah menyatakan di dalam satu kenyataan bahawa selepas pemecatan Tan Sri Abdul Gani Patail dari jawatan Peguam Negara, akan berlaku usaha-usaha daripada pihak tertentu untuk memangsakan dan menganiaya Pegawai-Pegawai Kerajaan khususnya dari Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga Jabatan Peguam Negara yang terlibat di di dalam Pasukan Petugas Khas menyiasat Skandal 1MDB dan kes penyaluran wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi yang dikatakan milik Perdana Menteri.

2. Ternyata ianya benar apabila beberapa hari lepas, tiga individu iaitu bekas Ahli Lembaga Penasihat SPRM, Tan Sri Rashpal Singh; Ahli Sekretariat Kewangan dan Pengubahan Wang Haram Jabatan Peguam Negara, Jessica Gurmeet Kaur ; Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Sazilee Abdul Khairi dan yang terbaru ialah Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Bahari Mohammad Zin telah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kononnya berlaku pendedahan maklumat rahsia Kerajaan yang dikaitkan dengan laman Sarawak Report. Pihak polis bukan sahaja menahan dan menyoal siasat, tetapi juga dikhabarkan sepasukan polis turut menggeledah pejabat salah seorang daripada yang ditahan dan merampas komputer riba serta dokumen-dokumen yang dipercayai berkaitan dengan siasatan 1MDB.

3. Saya melihat perkembangan yang berlaku ini adalah rentetan usaha Perdana Menteri dan jentera di bawahnya untuk mengalihkan perhatian rakyat Malaysia daripada terus mempersoalkan Skandal 1MDB dan penyaluran wang berjumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi yang dikatakan milik beliau sendiri. Apa yang cuba disuapkan kepada rakyat sekarang ialah kononnya segala pendedahan berkaitan dengan 1MDB adalah fitnah kerana bersumberkan dokumen yang telah dipalsukan selain daripada terdapatnya cubaan elemen-elemen tertentu dari Malaysia dan luar negara untuk menjatuhkan Kerajaan dan Perdana Menteri dengan cara yang tidak demokratik. Persoalan sekarang, kecuali Najib dan Rosmah siapa pulak selepas ini akan menjadi mangsa serbuan dan tangkapan untuk menghentikan kemarahan rakyat terhadap Najib dan Kerajaan.

4. Saya juga berpendapat isu pembiayaan politik (political funding) yang tiba-tiba secara bersungguh-sungguh dimainkan di dalam media perdana adalah juga sebahagian daripada strategi perang saraf untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar yang harus dijawab oleh Perdana Menteri. Oleh kerana itu, saya sangat bersetuju dengan pandangan bahawa isu pembiayaan politik ini dibangkitkan hanyalah bertujuan untuk mempersiapkan orang ramai dengan skrip yang disediakan oleh mereka, iaitu siasatan kes penyaluran dana RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi Perdana Menteri mendapati tiada unsur rasuah dan penyelewengan tetapi wang tersebut adalah sumbangan politik kepada jentera UMNO dan Barisan Nasional.

5. Dalam kesempatan ini, saya mengutuk sebarang tindakan dan usaha yang dilakukan untuk menakut-nakutkan Pegawai agensi-agensi yang bertanggungjawab daripada menjalankan siasatan mereka secara telus, adil dan objektif. Sebarang cubaan untuk menggagalkan siasatan atau memaksa Pegawai-Pegawai sama ada untuk menghentikan siasatan atau mengubah hasil siasatan adalah satu perbuatan terkutuk yang harus dihentikan serta merta.

6. Dalam saat iklim ekonomi negara yang gawat dan kejatuhan nilai ringgit yang amat ketara, sebarang tindakan menyalahgunakan kuasa politik untuk campur tangan di dalam tugas penguatkuasaan dan penyiasatan undang-undang akan hanya memburukkan lagi tahap keyakinan rakyat dan pelabur luar kepada negara ini. Mereka akan melihat betapa agensi penguatkuasa undang-undang di Malaysia tidak telus dan tidak bebas untuk melaksanakan tugas terutama di dalam kes-kes yang membabitkan Kerajaan dan individu-individu yang berkuasa.

DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena

3 Ogos 2015/18 Syawal 1436H





--


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.