Isu Derma RM2.6 Billion Ke Akaun Peribadi Dato' Seri Najib Razak Sepertimana Yang Dinyatakan Oleh SPRM - AMK Selangor
ISU DERMA RM2.6 BILLION KE AKAUN PERIBADI DATO' SERI NAJIB RAZAK SEPERTIMANA YANG DINYATAKAN OLEH SPRM
AMK Selangor memandang serius kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh SPRM berkaitan wang RM2.6 billion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Dato' Seri Najib Razak. Siasatan SPRM mengesahkan bahawa akaun itu wujud dan duit itu adalah duit derma dan bukan dana daripada 1MDB.
AMK Selangor mendesak dan menuntut SPRM agar segera mendedahkan kepada umum siapa yang mendermakan duit tersebut dan atas tujuan apa duit sebanyak itu didermakan kepada DS Najib. SPRM wajib bertindak dengan berani dan tegas demi menyelamatkan negara ini daripada kehancuran akibat sikap rakus dan tamak pemimpin utama negara.
Isu ini bukan lagi bersifat berbeza pandangan politik tetapi AMK Selangor melihat ia sebagai cubaan mencabar kedaulatan negara. Maka, pertembungan ini adalah pertembungan diantara Najib dan rakyat Malaysia. Maka, rakyat Malaysia perlu tangkas bangkit dan melawan cubaan menghancurkan negara ini.
AMK Selangor mendesak supaya DS Najib meletakkan jawatan dengan segera dan segera membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihanraya Umum diadakan. Di samping itu, AMK Selangor menyokong penuh usaha SPRM dan Badan Penyiasat Khas untuk terus menyiasat dan membongkar penyelewengan 1MDB demi negara tercinta. AMK Selangor juga meminta supaya PDRM membantu dengan telus usaha ini dan jangan menganggu penyiasatan yang sedang dijalankan ini. Sementara itu, Jawantankuasa Kira-Kira Negara (PAC) hendaklah dibenarkan untuk bersidang bagi menyiasat 1MDB. Maruah Parlimen Malaysia perlu dimuliakan tanpa sebarang gangguan pihak eksekutif.
Akhirnya, AMK Selangor ingin membuat penegasan bahawa negara kini sedang terjerumus ke dalam gaung yang amat dalam. Negara kini berada dalam kedudukan yang sangat bahaya dengan skandal 1MDB yang sangat menggila. Justeru, AMK Selangor mengajak semua anak muda dan anak Malaysia untuk sama-sama bangkit dan melawan kezaliman dan penyelewengan yang semakin membarah ini. Jangan biarkan diri kita terus menjadi hamba kepada sang penguasa yang zalim, rasuah dan rakus merompak harta negara.
Lawan tetap lawan !!!
Selamatkan Malaysia !!!
Salam Reformasi,
ZAINOL ABIDIN MOHAMED
Timbalan Ketua AMK Selangor/Ketua AMK Gombak.
4hb Ogos 2015
s
Sila kongsi artikel ini...