Kenyataan Akhbar Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir
KENYATAAN AKHBAR OLEH
TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA ABDUL KADIR BIN HJ SHEIKH FADZIR
PRESIDEN, PARTI IKATAN BANGSA MALAYSIA (IKATAN)
DI KUALA LUMPUR PADA ISNIN 21 SEPTEMBER 2015
Saya terbaca kenyataan yang dibuat oleh Menteri Kewangan II, Datuk Husni Hanadzlah mengenai pembayaran BRIM yang mungkin akan dinaikkan lagi tahun hadapan.
Parti IKATAN mengalu-alukan usaha kerajaan untuk meneruskan usaha untuk membantu mengatasi masalah rakyat yang miskin. Namun demikian, kami rasa sudah sampai masanya pihak kerajaan mengkaji sedalam-dalamnya tentang baik buruknya program pembayaran BRIM ini diteruskan — iaitu mengikut kaedah dan kadar yang dilaksanakan sekarang. Khususnya, kami merujuk kepada keputusan kerajaan untuk menaikkan hak pendapatan keluarga sehingga ke paras RM4,000.00 sebulan untuk melayakkan penerimaan BRIM ini.
Pada pandangan kami kerajaan harus memikir cara lain untuk mengatasi kemiskinan rakyat secara yang lebih kekal dan bermunafaat. Misalnya kami ingin mencadangkan pihak kerajaan melipatgandakan peruntukkan bagi “Tabung Tekun” dan “Amanah Ikhtiar Malaysia” yang banyak dapat membantu rakyat miskin dalam memulakan perusahaan kecil-kecilan.
Sementara waktu Parti IKATAN ingin mencadangkan supaya kerajaan menaikkan pembayaran BRIM ini, SEBANYAK MUNGKIN, kepada keluarga yang miskin yang berpendapatan RM2,000.00 ke bawah. Kami yakin ada berjuta keluarga yang benar-benar berada dalam lingkungan pendapatan tersebut. Mereka inilah yang sebenar-benarnya perlukan bantuan. Bantuan ini pula disarankan dibayar 2 kali kepada golongan ini (dibawah RM2,000.00 sebulan) — iaitu sekali sebelum perayaan kaum masing-masing (Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Christmas). Dan sekali lagi sebelum bermulanya penggal sekolah pada setiap tahun baru
(TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA ABDUL KADIR B. HJ SHEIKH FADZIR)
TARIKH : ISNIN, 21 SEPTEMBER 2015
Sila kongsi artikel ini...