Kerajaan Malaysia Perlu Tarik Diri Dari TPPA Memandangkan Rundingan Akan Dimuktamadkan Pada Minggu Ini - S. M. Mohamed Idris

6:41 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Akhbar
23 Julai 2015

Kerajaan Malaysia Perlu Tarik Diri Dari TPPA Memandangkan
Rundingan Akan Dimuktamadkan Pada Minggu Ini
Rundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) akan diadakan pada minggu ini dan minggu depan di Hawaii.

Dijangkakan ia adalah pusingan terakhir rundingan TPPA. Ketua Perunding dan pasukan mereka akan bertemu pada 24 – 27 Julai diikuti oleh mesyuarat Menteri Perdagangan pada 28 – 31 Julai.

Menteri-Menteri dijangka menyelesaikan semua isu tertangguh dan memuktamadkan teks TPPA pada 31 Julai. Selepas beberapa pindaan dan “semakan perundangan”, Perjanjian itu dijangka ditandatangani pada Oktober atau November 2015.

Oleh sebab itu mesyuarat di Hawaii pada minggu ini amat penting. Ia merupakan peluang terakhir bagi Malaysia untuk membuat pilihan yang betul kerana ia akan menjejaskan rakyat dan generasi masa hadapan Malaysia.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yakin bahawa TPPA merupakan perjanjian yang penuh dengan kecacatan dan akan memberikan kesan buruk ke atas ekonomi dan masyarakat Malaysia, serta tidak langsung membawa sebarang manfaat sepenuhnya.

Oleh sebab itu kami menggesa Perdana Menteri, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan Kabinet, supaya menarik keluar Malaysia dari rundingan TPPA dan tidak menjadi sebahagian daripada pihak yang memuktamadkan rundingan atau menandatangani perjanjian itu.

Kami juga turut menggesa Ahli Parlimen peka akan isu dalam TPPA dan menyuarakan bantahan agar Malaysia tidak meneruskan penyertaan dalam TPPA, serta mengundi agar Malaysia tidak menyertai TPP.

Rundingan di Hawaii pada minggu ini amat berbahaya memandangkan Amerika Syarikat (AS) khususnya akan memberi tekanan ke atas Malaysia agar bersetuju dengan terma dan syarat bagi isu yang tertangguh dalam TPPA.

AS percaya ia kini berada dalam kedudukan yang kuat disebabkan Presidennya telah memperolehi kuasa ‘fast track’ daripada Kongres. Ini membolehkan Pentadbiran AS meletakkan TPPA dihadapan Kongres AS untuk diundi “Ya atau Tidak” tetapi bukan untuk mengubah teks.

Oleh itu ia amat berbahaya kerana AS akan cuba mengasak pandangan mereka berhubung isu tertangguh yang akan menjadi tumpuan dalam pertemuan di Hawaii.

Antara isu tertangguh yang utama dalam pusingan rundingan di Hawaii ialah:

· Menjadikan perlindungan harta intelektual lebih panjang dan kuat untuk manfaat syarikat transnasional, terutama sekali industri farmaseutikal, dan dengan itu melemahkan peranan dan kemudahan mendapatkan ubatan generik yang lebih murah.

· Sama ada Malaysia mampu untuk mengambil langkah kesihatan seperti kawalan ke atas pemasaran tembakau yang sedang dicabar dalam banyak peruntukan TPPA.

· Mengembangkan hak pemegang hakcipta dan dengan itu menjadikan buku teks, jurnal, maklumat saintifik dan maklumat digital menjadi mahal untuk jangkamasa lebih lama.

· Menghapuskan duti import ke atas hampir semua barangan, dan membenarkan syarikat asing bebas masuk ke dalam sektor perkhidmatan.

· Menekan Malaysia untuk menyertai banyak perjanjian antarabangsa, termasuk UPOV 1991, yang akan mengurangkan kemampuan petani untuk mengawal benih mereka sendiri dan menjadikan mereka bergantung kepada dan membayar royalti ke atas benih milik syarikat transnasional.

· Memuktamadkan butiran sistem pertikaian pelabur-negara, di mana pelabur asing dibolehkan untuk menuntut berbilion ringgit daripada kerajaan bagi sebarang kerugian daripada keuntungan masa hadapan akibat pengenalan atau perubahan dalam dasar negara atau negeri dan juga dalam melaksanakan undang-undang dan dasar sedia ada.

· Meminta Malaysia supaya menerima undang-undang baharu mengenai pemerolehan kerajaan di mana kerajaan hilang hak untuk memberikan keutamaan kepada perniagaan tempatan dalam pemerolehan barangan dan perkhidmatan.

· Meminta Malaysia supaya menerima undang-undang baharu mengenai perniagaan milik negara di mana syarikat berkaitan kerajaan tidak akan dibenarkan untuk menerima bantuan kerajaan atau memberikan keutamaan kepada syarikat dan penduduk tempatan apabila membeli atau menjual bahan atau perkhidmatan.

· Melarang atau mengehadkan hak kerajaan untuk mengawal aliran masuk dan keluar dana dan memberikan hak yang belum pernah terjadi sebelum ini kepada institusi kewangan asing untuk menyaman kerajaan di tribunal antarabangsa.
Jika menteri Malaysia tunduk kepada tekanan ini, kesan sampingan yang akan berlaku termasuklah:

· Harga bagi ubatan yang lebih tinggi, menjadikannya sukar untuk dicapai oleh golongan miskin dan kelas pertengahan. Contohnya, ubatan terbaharu bagi Hepatitis C kini berharga lebih RM300,000 untuk rawatan 12 minggu.

· Syarikat ubatan generik tempatan akan mendapati lebih sukar untuk kelangsungan dan pengimportan banyak ubatan generik murah juga akan menjadi sukar dan lambat. Ini akan menafikan pesakit Malaysia terhadap hak mereka untuk mendapatkan akses terhadap rawatan, dan menyebabkan banyak kematian yang tidak sewajarnya dan penyakit serius yang tidak dirawat akan berterusan.

· Perlindungan kesihatan awam melalui kawalan ke atas penjualan tembakau akan dikompromi memandangkan langkah ini boleh dicabar oleh syarikat tembakau yang akan mengambil kesempatan daripada peruntukan dalam TPPA. Penjualan produk tembakau membunuh ramai rakyat Malaysia setiap tahun.

· Penghapusan tarif secara menyeluruh akan mengancam daya maju industri tempatan dan mengancam pekerjaan serta kehidupan beribu penduduk tempatan.

· Beribu petani kecil akan terancam kehidupan mereka oleh import yang murah dan mereka terpaksa membayar lebih untuk benih dan input pertanian lain.

· Pelajar dan rakyat Malaysia lain perlu membayar harga yang tinggi bagi buku dan bahan maklumat mereka bagi tempoh yang lebih panjang, atau tidak membelinya disebabkan oleh harga tinggi.

· Kerajaan akan dibataskan daripada mengawal aliran dana ke dalam dan keluar negara, dengan itu akan kehilangan alat dasar penting untuk memastikan kestabilan kewangan dan mengelakkan krisis kewangan. Ini akan memudaratkan kerana Malaysia akan mudah terjejas oleh krisis kewangan global baharu.

· Rakyat dan perniagaan tempatan kita tidak lagi mampu untuk menikmati keutamaan atau bantuan daripada perbelanjaan dan projek kerajaan memandangkan orang asing dari negara TPPA akan diberikan layanan yang sama atau lebih baik daripada warganya.

· Syarikat dan perniagaan negara di mana kerajaan mempunyai kepentingan akan dibendung dalam operasi mereka dan syarikat asing yang besar mampu dengan lebih baik untuk mengambil saham mereka daripada pasaran tempatan.

· Hak kedaulatan negara untuk membuat dasar dan Parlimen untuk menggubal undang-undang dan kehakiman untuk mentafsir undang-undang berada dalam bahaya disebabkan sistem pertikaian pelabur-negara dalam TPPA di mana orang asing boleh menyaman kerajaan berbilion ringgit di tribunal asing yang menunjukkan lebih berpihak kepada pelabur asing.

Sementara TPPA akan memberikan kesan sampingan yang serius ke atas rakyat Malaysia, tiada sebarang manfaat yang akan dibawa oleh TPPA. Malaysia sudah pun menikmati akses pasaran ke Amerika Syarikat dan negara maju lain bagi hampir semua produk penting kita, manakala akses pasaran ke negara Asia dan ASEAN lain sudah pun diperolehi melalui perjanjian perdagangan kita dengan mereka.

Oleh itu tiada alasan bagi Malaysia untuk menyertai TPPA. Tidak terlambat bagi kerajaan untuk membuat keputusan yang betul dan menarik diri dari TPPA sebelum ia dimuktamadkan pada minggu ini.

Tiada apa yang perlu dimalukan untuk menarik diri daripada perjanjian yang tidak memberikan manfaat tetapi sebaliknya membahayakan negara. Banyak negara lain telah membuat keputusan untuk tidak menyelesaikan rundingan mereka apabila berhadapan dengan hasil perjanjian perdagangan yang tidak memihak kepada mereka.

Malah ia lebih memalukan dan menjadi satu tragedi kepada negara untuk melengkapkan dan menyertai perjanjian yang komprehensif dan yang memusnahkan sepertimana TPPA ini, yang akan melepaskan kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh pemimpin di masa lalu untuk Malaysia, dan yang akan merosakkan prospek bagi masa depan pembangunan sosial dan ekonomi kita.

Perdana Menteri, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan Kabinet perlu membuat keputusan sekarang untuk tidak menyertai TPPA dan untuk tidak meneruskan rundingan itu.


S. M. Mohamed Idris
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang




--


Sila kongsi artikel ini...

BIG BAND 2015 WORLD TOUR (MADE) IN MALAYSIA: Hedonisme Merosakkan Rakyat Selepas Merosakkan Negara

6:38 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Rasmi Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP).

BIG BAND 2015 WORLD TOUR (MADE) IN MALAYSIA: HEDONISME MEROSAKKAN RAKYAT SELEPAS MEROSAKKAN NEGARA.

1. UMNO/BN sekali lagi bakal melakukan kerosakan buat rakyat selepas melakukan banyak kerosakan terhadap negara dengan isu 1MDB, Tabung Haji, TPPA, dakwaan perpindahan wang ke akaun peribadi Najib Tun Razak dan pelbagai lagi ketirisan yang berlaku.


2. Terdekat ini, negara sekali lagi bakal digemparkan dengan kehadiran kumpulan KPOP terkemuka iaitu Big Bang di dalam misi mereka " 2015 World Tour " dan pada 25 Julai ini, misi mereka akan tertumpu di negara kita, Malaysia.

3. Sebelum ini, negara digemparkan dengan aksi berpeluk muslimah melayu Islam bersama dengan artis KPOP diatas pentas yang merosakkan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dicanang-canang oleh kerajaan sebelum ini.

4. Seolah-olah kerajaan tidak menghormati bulan Ramadhan dan Syawal yang lalu sebagai bulan tarbiah dan penyusian jiwa bagi individu, keluarga dan masyarakat ke arah penghayatan Islam yang sebenar dalam kehidupan seharian. Sepatutnya pihak kerajaan mengambil pengajaran peristiwa yaang berlaku dalam bulan mulia itu dan menjadikan ia sebagai kayu pengukur perancangan modal insan generasi hadapan yang akan memimpin negara satu hari nanti.

5. Justeru, Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP) menyeru kepada kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Dato' Seri Najib Tun Razak, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) memandang serius perkara ini agar kejadian yang lalu tidak berlaku kembali sekaligus boleh mencemarkan nama Malaysia sebagai negara umat Islam dan tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam untuk bersama-sama membantah penganjuran konsert ini. Dimaklumi bahawa Islam adalah menjadi agama rasmi persekutuan yang seharusnya dihormati oleh seluruh rakyat di negara ini tanpa mengira bangsa atau agama.

6. Islam tidak melarang hiburan, tetapi hiburan yang ingin diketengahkan mestilah menepati kehendak Islam dan moral manusia. Cukuplah negara sedang berada di ambang kerosakan, janganlah pula rakyat yang dijadikan mangsa seterusnya untuk dirosakkan.

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.

Ustaz Haji Khirul Muntanazar Bin Ismail.
Pengerusi Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP).

Jumaat | 8 Syawal 1436H | 24 Julai 2015

 





--


Sila kongsi artikel ini...

Bahaya Indoktrinasi Dan Asobiyah Dalam Berjemaah, Kronologi Perlanggaran Janji Tahaluf Siyasi Oleh PAS

6:37 PM 0 Comments A+ a-



BAHAYA INDOKTRINASI DAN ASOBIYAH DALAM BERJEMAAH, KRONOLOGI PERLANGGARAN JANJI TAHALUF SIYASI OLEH PAS

Tulisan ini bertujuan utk pencerahan [Al-Maidah ayat 8] pada "emosi luar kawalan" sbhgn besar ahli PAS yg bersungguh mengungkapkan DAP tak hormati PAS/Presiden PAS sehingga dijadikan topik "DAP bashing" dlm muktamar pelbagai peringkat baru ini.

PERTAMANYA, ALLAH mengingatkan utk berlaku 'adil pada sesiapa sahaja (walau musuh);

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Orang beriman wajiblah;

[1] Menjadi org yg menegakkan keadilan kerana Allah dgn "menerangkan kebenaran"
[2] Janganlah sesekali berlaku tidak ‘adil (zalim) terhadap musuh (atau bukan kumpulan kita).
[3] Keadilan adalah sifat org bertaqwa.

Di posting lepas,
Saya hanya kemukakan SATU CONTOH perlanggaran kuasa Presiden yg tidak ikut bahkan mengenepikan perlembagaan PAS, yg membawa mudharat begitu besar buat PAS, hingga kesannya PAS secara teknikal telah pun "terputus hubungan" dgn Pakatan Rakyat. Ia hanya disebabkan sifat tergopoh-gapah Dewan Ulamak yg cuba menjadikan muktamar sbg medan menyerang DAP.

Hingga kini saya masih terkejut dgn kenyataan Dewan Ulamak;
"Kami hanya nak gempar sahaja utk putuskan hubungan dgn DAP, bukan sungguh untuk putuskan". Dan keduanya saya sgt tak sangka Presiden sanggup mengarahkan usul tersebut untuk diterima secara paksa oleh perwakilan muktamar.

Baru satu teguran saya kemukakan, dah berduyun serangan peribadi pelbagai pihak diterima. Mereka tidak dapat menerima bahawa Presiden PAS telah melakukan kesalahan besar dalam jamaah. Seolahnya kedudukan ketua kesayangan jamaah kita itu mestilah sentiasa suci dari kesalahan sedemikian.

[Moga Allah ampunkan kita semua serta Tuan Guru kita Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang]

Ramai juga marah sebab saya perincikan segalanya dlm bentuk tulisan. iAllah saya ada jawapan, mengapa perlu dilakukan sedemikian.

1. Tujuan ramai ahli PAS menafikan kesalahan sendiri tersebut, tidak lain untuk mahu terus melemparkan sahaja kesalahan itu pada pihak luar, ie. DAP atau PKR, dgn tujuan membersihkan PAS dari segala keburukan tersebut. Maka disebut dan diulang-ulangi, Presiden PAS terpaksa bertindak balas termasuk "memutuskan hubungan dgn DAP" atas alasan menjaga maruah parti Islam.

2. Itulah contoh doktrin “salah faham walak” yg di "indoktinasi"kan melalui system tarbiyyah PAS yg sedang membinasakan gerakan Islam. Bahkan menjadi FITNAH besar buat Islam itu sendiri.

3. Ramai menuduh DAP/PKR sbg pengkhianat, tidak hormat pada PAS dan Presiden PAS. Namun mereka disumbat utk mendiamkan diri, bahkan menyorokkan sebarang perlanggaran janji oleh PAS pada Pakatan Rakyat itu pula.

4. Prinsip plg utama dlm perjanjian adalah ‘aqad, atau janji sesebuah ikatan. Ramai kalangan PAS meremehkan asas perjanjian tersebut, atas alasan, bagi kumpulan Islam, “tahaluf dgn kumpulan bukan Islam itu bukanlah suatu yg kekal”.

5. Ya benar, tahaluf bukan suatu yg kekal. Ia adalah ketetapan bersyarat yg diteruskan selama masih menguntungkan Islam. Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS menyenaraikan paling kurang 6 syarat perjanjian itu.

6. Namun, hakikatnya, walau remeh bagaimana sekalipun, selama sesuatu perjanjian itu masih lagi effektif (berkuatkuasa) tanpa sebarang pembatalan atau pembubaran, maka selama itulah adab dan disiplin dlm berjanji WAJIB dipegang.

Rasulullah SAW menyebut;
“Seseorang mukmin (adalah mereka) yg berpegang pada janji mereka”.

7. Perlu diingat, disebabkan perjanjian tahaaluf itu melibatkan 3 pihak, maka mana-mana sahaja pihak yg mahu membatal atau menukar apa2 sahaja persetujuan dan janji itu, wajiblah membincangkannya semula dgn dua pihak lain yg berjanji. HARAM hukumnya suatu pihak membatalkan sesuatu perjanjian secara bersendirian, atas apa alasan sekalipun.

ITULAH konsep perjanjian ('aqad) dalam ISLAM.

Sekarang saya akan bawakan "antara punca asas" perlanggaran janji / kesalahan besar oleh PAS, hanya dlm contoh krisis Menteri Besar Selangor tahun lepas. Bagi saya, inilah antara punca plg awal PAS "kehilangan trust" atau keyakinan yg begitu dahsyat dari rakyat, ahli sendiri, bahkan dari bangsa dan agama lain, mudharat hingga ke hari ini.

Antaranya;
[ Kes MB Selangor sahaja ];

[a] Seawal 2012 lagi, PAS dan DAP melihat kegagalan Khalid Ibrahim (TSKI) sbg Menteri Besar yg membawa aspirasi Pakatan Rakyat Selangor. Maka atas persetujuan JK Kerja PAS Pusat, satu surat telah dihantar kepada PKR mendesak diturunkan segera TSKI dari jawatan MB, demi menyelamatkan masa depan PR di Selangor. Pointnya, desakan paling kuat untuk digugurkan TSKI dari MB datang dari PAS dan DAP. Bukan idea asal PKR.

[b] Awal 2014, selepas terdapat bukti serious melibatkan TSKI, PKR menggerakkan “Kajang Move”, dan mendapat persetujuan kesemua parti utk sama-sama membantu dlm PRK tersebut. Secara dasar PAS bersetuju turut membantu PRK Kajang tersebut. Tetapi ramai dalaman PAS (khasnya dari Terengganu) dibiarkan memboikot PRK tersebut tanpa teguran oleh Presiden PAS.

[c] Selepas kegagalan Kajang Move, PKR melakukan beberapa pendedahan kes moral TSKI kepada media dan kepada pimpinan PR sendiri. PKR menyatakan, itu sbg sebab jelas utk mereka menukar MB pada masa itu. Ironinya, PAS tanpa diduga mengambil langkah mempertahankan pula kepimpinan TSKI tersebut dgn pelbagai alasan.

[d] 24 Julai 2014, dlm mesyuarat Majlis Presiden PR yg Presiden PAS putuskan untuk tidak hadir (diwakilkan), ketetapan bersama PAS & DAP utk membawa cadangan rasmi PKR utk pertukaran MB tersebut ke parti masing-masing, dan akan menyatakan keputusan 10 Ogos 2014 (dan ditukar kepada 17 Ogos 2014). Itulah keputusan bersama PR hari tersebut.

[e] Tidak sampai 24 jam, Presiden PAS sendiri membuat keputusan unilateral menolak keputusan mesyuarat yg beliau tidak hadir tersebut, dgn menyatakan PAS akan terus mempertahankan kepimpinan TSKI sbg MB Selangor, tanpa menunggu keputusan mesyuarat JK PAS Pusat pada 17 Ogos 2014 tersebut (pengumuman selepas Kuliah Jumaat di Rusila).

[f] Hari kelima Syawal 2014, Presiden PAS berjumpa terus dgn Tuanku Sultan Selangor, dan kemudiannya Presiden PAS mengeluarkan kenyataan bersendirian menolak pencalonan yg dipersetujui PKR/DAP melantik Dato’ Seri Wan Aziah (DSWA) sbg MB Selangor. Alasan yg diulang-ulangkan adalah, disebabkan beliau seorg wanita.

[g] 17 Ogos 2014, sebaik memulakan Mesyuarat JK Kerja PAS Pusat, Presiden PAS mengejutkan semua, apabila beliau sendiri mencadangkan dua nama, DSWA dan Azmin Ali sbg calon pengganti MB. Cadangan TGHA disokong 100% AJK PAS Pusat. Juga dlm kenyataan media diulangi sekali lagi bahawa kerusi MB Selangor adalah milik PKR, dan PAS tidak akan mengmbilnya.

[h] 17 Ogos 2014, 6:30 petang, di Empire Hotel Subang Jaya, berlaku satu mesyuarat Majlis Presiden yg melegakan semua pihak (termasuk menggembirakan puluhan pemberita yg bertepuk tangan), iaitu satu sahaja nama dipersetujui bersama oleh PKR, PAS dan DAP, iaitu DSWA sbg pengganti MB Selangor, selepas Azmin Ali menolak pencalonan bagi menghormati pendirian PKR.

[i] 22 Ogos 2014, tanpa disangka, Presiden PAS sendiri secara diam mengajak Azmin Ali “melompat” ke dalam PAS bersama beberapa ADUN lain, untuk membantu PAS membentuk "kerajaan baru" dgn Azmin dinamakan sbg MB yg baru. Semua pihak "speechless" dgn pendedahan Azmin. Ia akhirnya terpaksa diakui sendiri oleh Presiden PAS dlm mesyurat JK PAS Pusat pada 25 Ogos 2014.

[j] 25 Ogos 2014, teguran dibuat oleh JK Kerja PAS Pusat atas perlanggaran janji oleh Presiden PAS tersebut, dan PAS secara collective, mengulangi pendirian asal PAS yg diputuskan pada 17 Ogos 2014 sebelum itu.

[k] Selepas buntu disebabkan Presiden PAS masih tidak benarkan Surat Persetujuan 3-parti diserahkan kepada istana, maka Tuanku Sultan menitahkan pula setiap parti menamakan plg kurang 3 nama untuk nilaian istana.

[l] Pada awal September 2014, Presiden PAS lagi sekali melanggar terma asas perjanjian PAS dgn PKR/DAP, apabila menyerahkan kesemua 3 calon ADUN dari PAS sbg calon MB kepada kepada istana. Ini bererti PAS mengkhianati janji utama oleh PAS sendiri, sama ada dlm bentuk pertuturan, tulisan dan kefahaman yg telah lama terbentuk di dalam PR Selangor, bahawa, Selangor diserahkan pada PKR untuk memegang MB.

[m] Selepas tekanan dalaman parti dan Setiausaha Agung PAS sendiri, selang sehari selepas itu, Presiden menukarkan 2 cadangan nama ADUN PAS tersebut dgn memasukkan dua nama ADUN lain dari PKR yg tidak pernah dipersetujui dlm mesyuarat JK PAS Pusat, tapi, mengekalkan nama Iskandar Samad sbg calon MB Selangor daripada PAS.

[n] Sepanjang hampir dua bulan krisis MB Selangor itu berjalan, sehinggalah perlantikan YB Tuan Mohamed Azmin Ali Bin Ali sbg MB pilihan istana pada 22 September 2014, PAS menerima kritikan dan serangan hebat dari ahli politik dan rakyat, termasuklah dari golongan bukan Islam atas pelbagai tindakan pengkhianatan dan perlanggaran janji yg jelas dilakukan, dgn mengenepikan langsung keputusan dalaman parti dan juga keputusan bersama Majlis Presiden PR.

Ikhwah akhawat;

Itu hanyalah sebahagian kronologi ringkas punca pelbagai siri salahguna kuasa dalaman parti, dan tindakan sendirian Presiden PAS melanggar keputusan “syura JK PAS Pusat” dan “keputusan bersama Majlis Presiden PR”. Maka itulah punca besar PAS menerima ujian FITNAH besar pada masa ini hingga memberikan gambaran Islam yg sgt buruk pada seluruh rakyat dan negara.

ADIL kah utk kita HANYA "menyerang DAP/PKR" yg dituduh mengkhianati PAS, tidak menghormati PAS, setelah mengetahui hakikat sebenar bahawa kumpulan kita sendirilah yg telah memulakan pelbagai kerosakan dan perlanggaran/pengkhianatan (makar) dlm satu perjanjian rasmi yg diikat atas pelbagai dasar bersama Pakatan Rakyat?

Dan satu lagi yg tidak disangkakan, rentetan peristiwa yg telah berlaku tersebut, maka;

Tanpa diduga;
Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS pada 7 September 2014, selepas pelbagai serangan luar, dan teguran, kritikan dalaman dilontarkan pada sikap Presiden PAS tersebut, demi memelihara maruah Presiden PAS yg teruk diserang pada masa itu, MSU telah membuat keputusan yg mengejutkan, iaitu;

“Presiden PAS mempunyai kuasa pemutus dalam apa jua urusan parti. Atau dalam huraian lain menyatakan bahawa TGHA selaku Presiden mempunyai "kuasa veto" yg berhak membuat keputusan bersendirian, atau membatalkan apa sahaja keputusan yg telah dibuat oleh PAS atau PR, tanpa boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Dan secara langsung keputusan itu membebaskan Presiden PAS dari pelbagai kesalahan pembatalan keputusan-keputusan syura JK Kerja PAS Pusat sendiri yg telah berlarutan selama lebih dua bulan, termasuklah juga perlanggaran janji-janji Pakatan Rakyat yg sudah berlaku.

Nota;

[ Infrographik di atas membezakan walak atau kepatuhan pada ketua dlm konteks berjamaah, dibandingkan dgn perjanjian bersama pihak luar (DAP/ PKR) yg hanya diikat oleh ‘aqad. Kecelaruan timbul apabila elemen berjamaah dan 'amal jamaie yg dipegang oleh ahli-ahli PAS itu (dlm gerakan Islam) telah cuba dipaksakan kepada pihak luar yg langsung tidak ada keterikatan dgn jamaah PAS ]

8. Sejak tarikh keputusan MSU memberikan “kuasa veto” pada Presiden PAS itu, kocakan dan serangan balas antara ketiga-tiga parti berlarutan di luar kawalan mana-mana pihak. Media UMNO benar-benar gembira dan melaksanakan tugas mereka dgn lancar sekali atas segala krisis dalaman PR tersebut.

9. Presiden PAS pada 20 September 2014, dalam penggulungan Muktamar PAS ke-60 di Batu Pahat, dalam nada yg marah dan membakarkan emosi ahli-ahli utk meneruskan serangan pada PKR/DAP, apabila memilih untuk melemparkan kata celaan seperti “broker dan barua” yg disambut gembira oleh para penyokong yg begitu ta’asub pada susuk tubuh itu.

Itu baru sahaja isu krisis keyakinan dan pengkhianatan dalam isu MB Selangor.

10. Saya tidak berhajat lagi membicarakan kes pengkhiatan PAS apabila menantu Presiden PAS sendiri, Zaharuddin Muhammad berpakat dgn Presiden PAS untuk meletakkan sahabat baik Zaharuddin sbg calon PAS di Kota Damansara dgn menolak calon PKR. Juga perkara yg sama berlaku di Sungai Acheh, Pulau Pinang. PR mengalami kekalahan pada dua seats tersebut atas tindakan pertandingan 3 penjuru melibatkan PAS.

Ikhwah akhawat;

11. Saya tegaskan, isu perlanggaran dan pengkhiantan janji dalam “bertahaaluf” tidak pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dalam 16 perjanjian yg beliau meterai. Namun apabila ianya dilakukan oleh Presiden PAS, bangkitlah para ustaz-ustaz muda PAS, Dewan Ulamak PAS, MSU PAS, etc, pakat mencari pelbagai dalil dan nas untuk membenarkan segala bentuk kesalahan dan pengkhianat tersebut, demi menjaga maruah dan airmuka seorg ulamak yg dikasihi, dan hormati tersebut.

Itulah yg disebut Nabi Muhammad SAW;

قلت يا رسول الله ِما العصبية قال أن تعين قومك على الظلم
الراوي : واثلة بن الأسقع الليثي أبو فسيلة

Aku bertanya wahai Rasulullah;
"Apakah maksud 'asobiyyah wahai Rasulullah?"
Jawab Nabi, iaitu "Engkau menolong saudara engkau di atas perkara zalim".

Dan balasan Allah pada 'asobiyyah adalah jelas;
"Sesiapa yg berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asobiyyah atau marah kerana ‘asobiyyah, maka kematiannya adalah jahiliyyah”.

Sahabat-sahabiyyah seperjuangan,

12. Saya benar-benar mengajak seluruh sahabat-sahabat yg dikasihi yg amat sayangkan perjuangan Islam ini untuk duduk sejenak bermuhasabah diri atas keterlanjuran kita hingga terjatuh dlm perangkap 'asobiyyah yg cukup membinasakan penghujung hayat kita kelak. Jangan lagi kita salah faham bahawa 'asobiyyah hanya ditujukan pada UMNO disebabkan perjuangan bangsa itu sahaja.

'Asobiyyah sebenar adalah apabila kita terus membiarkan diri atau PAS itu sendiri berlaku tidak 'adil pada organisasi lain yg kita tidak sukai. Itulah hakikatnya.

Ikhwah akhawat,

13. PASCA Muktamar PAS minggu sudah; segala lemparan nista dan label buruk yg ditujukan pada sesiapa sahaja yg menegur kesalahan PAS tersebut, dengan istilah-istilah buruk antaranya;
- Tidak walak,
- Berwalikan org bukan Islam
- Mengkhianati jamaah sendiri
- Menggadaikan prinsip Islam
- Beriman dgn Pakatan

Dan sebagainya, adalah satu usaha “kempen sungguh buruk” sejak beberapa tahun oleh sbhgn para pimpinan sendiri dan para ustaz-ustaz penceramah PAS yg akhirnya Dewan Ulamak sendiri meminta hanya memilih "senarai chai" AJK Kerja PAS Pusat yg dikatakan kononnya mahu membetulkan semula jamaah yg sudah dirosakkan.

14. Natijah akhir segala indoktrinasi yg panjang itu adalah, berjayalah satu projek meng"nyah"kan semua "parasit" atau pengkhinat perjuangan dalam Muktamar PAS kali ke-61 minggu lepas. Ia adalah manifestasi kejayaan besar "membuang tolol" dari perjuangan Islam (istilah Presiden PAS) dari terus menerajui PAS.

Wallahu 'alam

■ Artikel oleh Sayuti Basiron







--


Sila kongsi artikel ini...

Ahli PAS Diseru Agar Istiqamah Dalam Perjuangan - Cikgu Mala

6:29 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA :
AHLI PAS DISERU AGAR ISTIQAMAH DALAM PERJUANGAN.

Ahli Pas diseru agar terus istiqamah dengan kelangsungan perjuangan walaupun cabaran yang mendatang dalam menongkah arus perjuangan semakin hebat.
Di saat 'sinar kemenangan' di hadapan mata , janganlah ada yang tidak sabar dan bersifat gopoh hingga 'menebuk' bahtera kerana tidak yakin dengan wadah parti Pas yang telah diperjuangkan selama 60 tahun lamanya.
Saya ingin melahirkan rasa sedih dan dukacita atas tindakan segelintir pimpinan tertinggi parti sesi 2015 -2017 yang kini menggerakkan usaha ke arah penubuhan Gerakan Harapan Baru meskipun , masih bergelar ahli PAS dan AJK PAS di peringkat cawangan , kawasan , negeri atau pusat.
Ada sebahagian daripada mereka merupakan 'idola' saya dalam perjuangan tetapi keputusan mereka berpindah ke wadah parti baharu dan meninggalkan PAS tidak akan saya turuti.Walaupun begitu , keputusan mereka saya hormati kerana itu hak masing -masing walaupun jauh di sudut hati , saya cukup kecewa.
Berundurlah secara terhormat dan meletakkan jawatan secara berprosedur tanpa menunggu penajaan parti baharu diluluskan oleh ROS.
Bagi ahli PAS di Negeri Johor khususnya, saya ingin beri ingatan agar jangan menjadi 'gunting dalam lipatan ' dengan menarik ahli keluar parti dengan menggunakan jawatan yang diamanahkan dalam muktamar , dalam pada masa yang sama masih kekal sebagai ahli Pas.Itu sikap hipokrit dan sikap tidak berintegriti dalam parti.
Adalah lebih baik, berundur secara baik secepat mungkin supaya segala gerakerja PAS tidak direncatkan dengan sikap segelintir dari mereka yang tidak bertanggungjawab.
Saya juga ingin melahirkan rasa kesal dengan sikap segelintir pemimpin tertinggi negeri dalam parti yang menggunakan aplikasi whatsApp AJK Parti PAS, dengan menyebarkan maklumat tentang kewujudan parti baru untuk mempengaruhi pemikiran dan pendirian YDP dan Ketua Muslimat Kawasan , agar berpindah ke wadah parti baru.Ada juga mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan sehingga menjejaskan matlamat whatsApp rasmi parti itu diwujudkan.
Kemungkinan juga suatu 'Muktamar Khas' bakal berlaku sekiranya ada kalangan besar AJK Dewan Muslimat Negeri Johor , Dewan Pemuda Pas Johor meletak jawatan. beramai -ramai untuk berpindah ke parti baharu.Apa pun , kita akan bersedia atas segala kemungkinan .


Salam hormat :
Pn.Normala Bt.Sudirman (Cikgu Mala)
AJK Dewan Muslimat PAS Malaysia
AJK Dewan Muslimat PAS Negeri Johor.

8 Syawal 1436H/24 Julai 2015





--


Sila kongsi artikel ini...

Kerajaan Negeri Selangor Bela Nasib Penduduk Pangsapuri Taman Ukay Indah

6:25 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN AKHBAR

KERAJAAN NEGERI SELANGOR BELA NASIB PENDUDUK PANGSAPURI TAMAN UKAY INDAH.

Kerajaan Negeri Selangor bersedia membantu penduduk Pangsapuri Taman Ukay Indah, Ampang yang menghadapi masalah kerosakan lif.


Perkara ini dinyatakan oleh YB Dato' Iskandar Abdul Samad, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar yang turun melawat pangsapuri itu pagi tadi untuk menyaksikan dan mendengar sendiri permasalahan penduduk.

Kerajaan Negeri bersedia membantu membaikpulih 6 unit lif melalui Skim Caring Government Residents' Improvement Aid (CERIA). Jumlah keseluruhan baikpulih dianggarkan RM776,000 dan Kerajaan Negeri akan menyumbang 80% daripada keseluruhan kos.

Walaupun penduduk atau Badan Pengurusan Bersama (JMB) terpaksa membayar baki 20%, tapi hanya 5% diperlukan sebelum kerja dimulakan manakala baki bayaran boleh dibuat secara ansuran kepada Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Kerajaan Negeri percaya cara ini dapat membantu JMB meringankan beban hutang pembayaran balik. Jika setiap penghuni bekerjasama, setiap unit hanya dikenakan sekitar RM20 sebulan bergantung kepada tempoh pembayaran balik.

Menurut YB Dato' Iskandar apabila ditanya kenapa Kerajaan Negeri tidak membiayai kos baikpulih sepenuhnya, beliau berkata Kerajaan pernah membiayai 3 projek baikpulih sepenuhnya sebelum ini, namun masih ada penduduk yang tidak bertanggungjawab serta tidak menghargai usaha Kerajaan Negeri dan kerosakan tetap berulang kembali.

Jika penduduk sendiri membayar sebahagian dari kos baikpulih, mereka akan sama-sama menjaga kemudahan yang dibaikpulih.

Melalui Skim CERIA yang menggunakan konsep perkongsian kos, diharapkan penduduk memberi lebih perhatian dan penghargaan kepada setiap baikpulih yang dilakukan.

Berita ini sekaligus memberi kelegaan kepada penghuni di 660 unit Pangsapuri Taman Ukay Indah dan YB Exco sendiri akan memantau perkembangan baikpulih ini dari semasa ke semasa.

Sejak Skim CERIA diperkenalkan pada 2011, Kerajaan Negeri telah membelanjakan lebih kurang RM25 juta dan sebanyak 176 pangsapuri telah mendapat manfaat termasuk 3 pangsapuri pada tahun 2010 mendapat subsidi 100%.

Tahun lepas Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan skim khas untuk membaikpulih lif yang dinamakan L'CERIA dengan peruntukan RM5 juta setahun.

Disediakan oleh :
Sekretariat Media dan Akhbar
Pejabat Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar
Negeri Selangor
24 Julai 2015

 



--


Sila kongsi artikel ini...

“RASIONAL”kah Harga Petrol Bulan Ogos Ini? Dewan Ulama PAS

6:21 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

“RASIONAL”KAH HARGA PETROL BULAN OGOS INI?

1. Penetapan harga petrol pada setiap bulan memang akan sentiasa mendapat perhatian rakyat. Perubahan walapun sekadar dalam kiraan sen, ia tetap memberikan kesan yang sangat signifikan kepada para pengguna.

2. Ini kerana terdapat 780,000 buah kenderaan berdiesel dan 18 juta buah kenderaan berpetrol di atas jalan raya di Malaysia. Sejumlah 23% daripada pendapatan isi rumah rakyat Malaysia pula adalah dibelanjakan untuk pengangkutan.

3. Pada harga runcit petrol sekarang, sekurang-kurangnya golongan berpendapatan rendah membelanjakan RM322.50 dan golongan berpendapatan sederhana membelanjakan RM645.00 sebulan untuk menanggung kos bahan api kenderaan mereka sahaja belum termasuk kos tol dan penyelenggaraan.

4. Berikut adalah sedikit sorotan isu penentuan harga runcit minyak di negara kita :

(i) 29 September 2014 – KPDNKK mengumumkan bahawa sistem baru rasionalisasi subsidi minyak akan dilaksanakan bermula Januari 2015 bagi diesel dan April 2015 bagi petrol. Sehingga September 2014, RON95 dijual pada harga runcit RM2.10 seliter dan diesel RM2.00 seliter selepas kedua-duanya mengalami kenaikan sebanyak 20 sen bermula September 2013.

(ii) 1 Oktober 2014 – KPDNKK mengumumkan bahawa subsidi minyak dikurangkan sebanyak 20 sen bagi RON95 dan diesel berkuatkuasa serta merta bermula 2 Oktober 2014 menjadikan harga runcit bagi kedua-kedua bahan api itu meningkat kepada RM2.30 dan RM2.20 masing-masing untuk bulan Oktober dan November.

(iii) 21 November 2014 – KPDNKK mengumumkan bahawa subsidi untuk RON95 dan diesel akan dihapuskan bermula 1 Disember 2014 dan harga kedua-dua bahan api ini akan ditentukan secara sistem harga apungan terkawal (managed float system) sama seperti yang digunakan untuk menentukan harga runcit RON97 yang telah dihapuskan subsidinya bermula 16 Julai 2010. Sehingga Februari 2015, rakyat berpeluang menikmati harga runcit minyak yang rendah iaitu RM1.70 bagi RON95 dan diesel.

5. Namun, rakyat hanya dapat mengecapinya hanya buat sementara waktu sahaja. Itupun berikutan kesan kejatuhan harga minyak mentah global. Keupayaan harga minyak mentah global untuk kembali mengukuh adalah positif dalam perkiraan Kerajaan walapun sehingga buat masa ini ia masih belum stabil. Kesempatan inilah subsidi dihapus dan harga runcit minyak pula diapung berdasarkan harga minyak mentah global. Maknanya beban kewangan ini Kerajaan serahkan langsung kepada rakyat untuk ditanggung.

6. Bermula 1 Mac 2015, RON97, R0N95 dan diesel mula mengalami kenaikan. Jika pada Mac 2015 harga runcit masing-masing ialah RM2.25, RM1.95 dan RM1.95, namun pada Julai 2015 harganya ialah RM2.55, RM2.15 dan RM2.05 iaitu kenaikan sebanyak 55 sen, 45 sen dan 35 sen seliter masing-masing.

7. Ditambah dengan kenaikan ini lagi ialah pelaksanaan cukai GST bermula April 2015, kenaikan pelbagai kos sara hidup dan nilai matawang Ringgit yang semakin melemah iaitu kini berada pada paras RM3.81 dan dijangka mencecah RM4.01 bagi setiap USD1 menjelang September ini.

8. Kesannya, rakyat tidak mempunyai lebihan wang untuk menyimpan, pendapatan boleh guna juga semakin berkurang dan kuasa membeli semakin mengecut justeru inflasi semakin meningkat. Tekanan dan bebanan ini amat dirasai oleh rakyat Malaysia.

9. Skandal berprofil tinggi melibatkan pemimpin utama negara dan syarikat-syarikat milik Kerajaan sehingga mencetuskan spekulasi pasaran mengeruhkan lagi persekitaran ekonomi domestik dan antarabangsa negara kita.

10. Dalam keadaan ‘worst case scenario’ sekalipun dengan ramalan Ringgit bernilai RM3.9983 bagi setiap USD1 dan harga minyak mentah dunia pula USD56 setong, sekurang-kurangnya RON95 boleh dijual pada harga runcit RM2.10 seliter dan diesel RM2.00 seliter bagi bulan Ogos ini dan saya percaya sebenarnya ia boleh berharga lebih rendah daripada itu.

11. Persoalannya ialah kenapa bebanan kos bahan api ini dibebankan sepenuhnya kepada rakyat sedangkan rakyat telah menikmati subsidi sejak puluhan tahun? Adakah kerana "rasionalisasi" sebagaimana bahasa manis yang digunakan oleh Kerajaan atau kerana pendapatan negara terbesar yang bersumber daripada hasil minyak ini telah digunakan pada tempat dan cara yang tidak patut? Rakyat berhak menilainya dengan penuh prasangka. Sama-sama kita nantikan “rasional”kah harga petrol bulan ogos ini?

Sekian.



DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Jumaat, 24 Jul 2015 | 8 Syawal 1436 H





--


Sila kongsi artikel ini...

AMK Perlis Cabar Kerajaan Sekat Mahathir Ke Luar Negara

6:18 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

AMK Perlis Cabar Kerajaan Sekat Mahathir Ke Luar Negara

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis amat kecewa dengan tindakan kerajaan yang menyekat YB Tony Pua ke luar negara.


Selain itu kami juga tidak berpuas hati kerana beberapa pemimpin PKR antaranya Setiausaha Agung, YB Rafizi Ramli pula dilaporkan dilarang ke Sarawak.

Jika benar tindakan itu diambil disebabkan kelantangan mereka berdua mendedahkan isu skandal 1MDB, maka AMK Perlis berpendapat ia tidak patut sama sekali dan ia satu tindakan membuli pembangkang.

Oleh itu, kami mencabar kerajaan supaya membuat sekatan ke luar negara terhadap bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana beliau lebih lantang mengkritik kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan skandal 1MDB.

Selain itu kami juga mahu kerajaan memberikan penjelasan mengapa tindakan itu dilakukan terhadap ahli politik pembangkang sahaja.

Adakah kerajaan hanya berani dengan pembangkang sahaja?

Kami juga ingin bertanya, bagaimana pula dengan seorang yang telah disabit kesalahan membunuh boleh pula terlepas ke Australia?

Lebih mengelirukan, mereka yang terlibat dengan isu 1MDB seperti pengerusi dan ketua pegawai eksekutif dan penasihat 1MDB masih bebas bergerak tidak pula dikenakan sebarang sekatan manakala mereka yang membongkarnya dikenakan tindakan.

YB Tony Pua bukanlah penjenayah ataupun terlibat dengan kes mahkamah atas pertuduhan yang konkrit.

Di sini AMK Perlis ingin mengingatkan kepada kerajaan supaya jangan sewenang-wenangnya menggunakan kuasa yang ada untuk membela sesuatu pihak.



MOHD SHAHRUN RADZI SALEHUDIN
KETUA AMK PERLIS

24 JULAI 2015



--


Sila kongsi artikel ini...

Pulau Pinang: Kerajaan Negeri menafikan kegagalan dalam menguruskan sisa pepejal

6:16 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media Oleh Pejabat YB Chow Kon Yeow,

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir pada 24 Julai 2015

Kerajaan Negeri menafikan kegagalan dalam menguruskan sisa pepejal sepertimana didakwa oleh sesetengah media perdana dan parti pembangkang.

Misi Kerajaan Negeri adalah memastikan Negeri Pulau Pinang menjadi negeri yang bersih, hijau, sihat dan selamat dan dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah nampak penambahbaikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri Pulau Pinang.

Beberapa kes sampah yang tidak diuruskan dengan baik sepertimana dilaporkan dalam media baru-baru ini merupakan kes berasingan dan telah ditangani oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

Di kawasan pentadbiran MBPP, kutipan sampah di kawasan komersial dan bangunan bertingkat adalah dibuat setiap hari kecuali hari Ahad. Tong sampah besar di kawasan komersial tertentu pula akan dikutip setiap hari. Manakala di kawasan kediaman dan kawasan kampung, sampah adalah dikutip 3 kali seminggu.

Bagi kawasan MPSP, kutipan sampah di kawasan kediaman, komersial dan bangunan bertingkat adalah 3 kali seminggu. Kutipan sampah di pusat membeli belah dan tong sampah besar di kawasan kampung adalah setiap hari.

Walaupun sampah dikutip setiap hari di sesetengah kawasan, ianya masih perlukan kerjasama daripada peniaga dan penghuni supaya tidak membuang sampah di merata-rata tempat






--


Sila kongsi artikel ini...

Penganjuran Konsert Tidak Senditif Keadaan Semasa - Khalil Hadi

6:10 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

PENGANJURAN KONSERT TIDAK SENSITIF KEADAAN SEMASA


1. DPPM membantah penganjuran konsert “BigBang 2015 World Tour [MADE] in Malaysia” yang dijadualkan berlangsung pada hari esok, Sabtu, 25 Julai 2015 bermula jam 6.00 petang di Stadium Putra, Bukit Jalil.

2. Bantahan ini adalah amat patut lebih-lebih lagi apabila pihak penganjur, IME Production dengan bangganya mengumumkan satu konsert tambahan akan diadakan oleh kumpulan BigBang pada hari ini, Jumaat, 24 Julai 2015 bermula jam 8.30 malam juga di Stadium Putra, Bukit Jalil.

3. Konsert ini juga difahamkan mencatatkan rekod penganjuran yang termahal bagi siri MADE World Tour. Dilaporkan bahawa kos penyediaan pentas yang akan digunakan oleh BigBang sahaja sudah mencecah RM1 juta. Harga tiket pula dijual pada harga RM288 hingga RM798 mengikut enam kategori berbeza.

4. DPPM juga melahirkan kekecewaan kerana konsert ini disokong oleh Malaysia Major Events iaitu merupakan sebuah bahagian di bawah Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MoTAC).

5. Sebagai mewakili Kerajaan, sewajar dan sepatutnya pihak Kementerian mengawal industri hiburan dan mendidik rakyat dengan budaya hiburan yang tidak melalaikan atau merosakkan.

6. Sekurang-kurangnya insiden beberapa gadis Melayu bertudung dipeluk dan dicium dahi oleh penyanyi K-pop dari kumpulan B1A4 dalam satu konsert yang diadakan pada awal tahun ini dijadikan pengajaran penting supaya ia tidak lagi berulang.

7. Dalam keadaan negara menghadapi masalah dalam segenap sektor politik, ekonomi dan sosial, maka adalah amat buruk dan hodoh sekali apabila Kerajaan mengajak rakyat untuk berhibur sakan. Kita pula masih berada dalam bulan Syawal dan penganjuran konsert ini telah mencemarkan kemuliaan bulan ini.

Sekian.

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Jumaat, 24 Jul 2015 | 8 Syawal 1436 H

 



--


Sila kongsi artikel ini...

ANAK Sokong Usaha Perlombongan Bauksit Sebagai Pendapatan Peneroka

6:08 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA: ANAK SOKONG USAHA PERLOMBONGAN BAUKSIT SEBAGAI PENDAPATAN PENEROKA.

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) menggesa Kerajaan Negeri Pahang dan Felda mengambil langkah segera menangani isu perlombongan Bauksit di Felda Bukit Goh Kuantan ekoran lapuran media mengenai status 71 peneroka di Felda terbabit.


Pagi ini saya telah mengetuai lawatan Kerja ke tapak perlombongan dan mengadakan pertemuan dengan peneroka/Gen 2 yang terbabit di Pejabat Pertubuhan Peneroka Felda Bukit Goh. Taklimat dari Setiausaha Jawatankuasa Penyelaras Bauksit Bukit Goh, Dr Sahrudin Mohd, yang merupakan anak peneroka tempatan dan juga wakil peneroka, Hj Harun Mamat, ANAK telah mendapat gambaran sebenar perkembangan projek tersebut.

Pada dasarnya, ANAK menyokong usaha yang menyumbang kepada pendapatan peneroka. Peneroka Felda Goh seramai 670 orang di buka pada tahun 1970. Pada usia pokok sawit hampir 20 tahun dengan pendapatan yang tidak begitu stabil; tentu sekali melalui perlombongan Bauksit yang dibayar atas kadar sekitar RM7 setan kepada peneroka melalui perjanjian yang disemak peguam peneroka, pemulihan atas kebun yang telah di lombong, pemilikan hak milik tanah yang tidak terjejas, adalah jaminan yang melegakan peneroka.

Isu Alam Sekitar seperti pencemaran sungai dan persekitaran, debu, kekotoran jalanraya, kesesakan lalulintas oleh lori lori yang mengangkut bauksit dan lain lain yang berkaitan adalah tanggungjawab Kerajaan dan agensi terbabit.

Kenyataan Menteri Besar Pahang dan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad yang disusuli tindakan agensi tertentu seperti PTG, JPJ dan Jabatan Alam Sekitar; meskipun dilakukan atas bidang kuasa mereka dan kepentingan peneroka, pengguna jalanraya dan masyarakat setempat; ia harus disusuli dengan mekanisma berkesan yang memberi pendapatan@meningkatkan sosio ekonomi peneroka, meningkatkan hasil Kerajaan dan peluang pekerjaan.

ANAK akan menyertai penyerahan memorandum oleh Jawatankuasa Penyelaras Bauksit kepada YAB Menteri Besar Pahang minggu depan dan sedia memberi pandangan demi kepentingan rakyat. Inisiatif oleh Jawatankuasa Penyelaras Bauksit Bukit Goh yang membantu peneroka terbabit termasuk mengawal elemen penipuan oleh pemaju projek dan pihak luar adalah langkah yang kena pada tempatnya.

Perlombongan bauksit di Bukit Goh adalah rezeki dari anugerah Allah. Ia boleh memberi pendapatan lumayan jika di urus dengan baik. Moga usaha kita di berkati Allah.

' MENERAJUI PERUBAHAN '



Mazlan Aliman
Presiden ANAK
24 Julai 2015





--


Sila kongsi artikel ini...

GHB Sarawak akan melantik Jawatankuasa dalam masa terdekat

6:03 PM 0 Comments A+ a-

GHB SARAWAK
24 July 2015
GHB Sarawak akan melantik Jawatankuasa dalam masa terdekat. Setakat ini kami telah mengenalpastikan figura-figura yang berpotensi dan berpengalaman bagi menerajui GHB Sarawak.
Kami yakin GHB akan diterima oleh rakyat Sarawak berdasarkan kepada maklum balas yang kami terima setakat ini. Rakyat Sarawak akan menerima kehadiran GHB kerana kami mengamalkan prinsip terbuka,inklusif, progressif dan tidak jumud dan tertutup kepada semangat perkauman, melampau dan sempit.
Seperti yang diumumkan oleh GHB pusat bahawa setakat ini GHB bergerak
atas kapasiti sebuah NGO dan bukannya sebuah parti politik sehinggalah
sebuah parti politik yang sah ditubuhkan. Ianya dijangka akan ditubuhkan secara rasmi pada 16 September 2015.
GHB Sarawak akan menumpukan gerakerja memperkemaskan jawatankuasa,mendaftarkan ahli di kalangan rakyat Sarawak tidak kira ianya berparti
atau belum berparti. Kami mengamalkan sikap terbuka di mana sesiapa
sahaja boleh menganggotai GHB tanpa mengira kaum dan agama.
GHB Sarawak seperti juga GHB Pusat tetap bersikap lunak dengan PAS kerana musuh sebenar kami bukannya PAS tetapi BN yang terus meneruskan mengamalkan pemerintahan yang korup dan menindas rakyat. Kami sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja dalam usaha menubuhkan kerajaan baru di Sarawak dan Malaysia.
Kami yakin DAP dan PKR Sarawak bersedia untuk bekerjasama dengan kami sebagaimana pendirian DAP dan PKR di peringkat pusat yang secara
terbuka telah menyatakan sokongan padu kepada penubuhan GHB dan parti
politik baru nanti. Kami sedia bertemu dan berbincang dengan DAP dan
PKR Sarawak pada bila-bila masa.
GHB Sarawak juga bersedia untuk meletakkan calon pada Pilihanraya
Negeri Sarawak akan datang ini. Samada kami bertanding atas tiket
parti baru, parti lain atau bebas ianya belum diputuskan lagi.
GHB Sarawak bersedia untuk mendengar pandangan dan kritikan dari
sesiapa sahaja bagi memantapkan GHB Sarawak bagi melengkapkan diri
kami untuk berkhidmat kepada rakyat Sarawak dan Malaysia amnya.
Sekian

Andri Zulkarnaen Hamden @hud abusiraj
Jurucakap GHB Sarawak.



--


Sila kongsi artikel ini...

Kempen Bebaskan Malaysia: Prolog - Zukri Aksah

2:31 PM 0 Comments A+ a-



Bagi Laksamana Megat Seri Rama, biarlah Johor tidak beraja, asalkan keadilan dapat dibela, akhirnya Sultan dibunuhnya. Walaupun Laksamana yang lebih dikenal dengan gelar Laksamana Bentan ini terkorban jua, tetapi korbannya korbanlah raja, korbannya korbanlah segala kezaliman yang melata, bebaslah Kerajaan Johor Lama.

Sesetengah orang berkata, tanpa UMNO, Melayu entah ke mana, ada UMNO pun Melayu tidak ke mana juga, ramai lagi yang masih merempat di bumi sendiri, kalau sesiapa mahu tahu bagaimana pekatnya nyinyir derita anak Melayu membesar dengan memakan biskut hancur, datanglah bertanya saya.

Sesetengah orang berkata, tanpa Barisan Nasional, Malaysia entah bagaimana, ada Barisan Nasional pun rakyat sudah jadi seperti banduan yang diikat tangan dan ditutup mata, dalam sebuah penjara besar bernama negara.

Begitulah, bagi sesetengah orang, UMNO dan Barisan Nasional ini mempunyai nilai sentimental yang sangat tinggi, tidak kurang juga (sebenarnya kelompok ini lebih ramai) yang menganggap UMNO dan Barisan Nasional ini mempunyai nilai kewangan yang sangat besar, UMNO dan Barisan Nasional yang memberi makan, UMNO dan Barisan Nasional yang memberi kekayaan, maka bersyukurlah mereka ke hadrat UMNO dan Barisan Nasional, tiada selain UMNO dan Barisan Nasional yang memberi mereka makan dan kekayaan.

Tetapi harus diingat bahawa bagi Laksamana Bentan, Sultan Mahmud itu adalah tuannya, segala titah dijunjung, segala salah dikulum. Pangkat, darjat, kemuliaan, harta dan kekayaan semuanya adalah pemberian, kurniaan serta perkenan Sultan. Akhirnya Sultan yang didewa-dewakan ini juga yang disanggahnya, mengapa? Kerana dia merasa sudah sampai masanya dia membebaskan diri dari ketaatan membabi-buta warisan Tun Tuah, Sultan telah berlaku zalim!

Ayuh rakyat Malaysia! Marilah kita bersama-sama membebaskan negara ini dari segala macam sampah dan kekotoran. Alhamdulillah, perjuangan pendek kita selama enam tahun ini telah berjaya membebaskan seorang manusia bernama Anwar Ibrahim dari segala bentuk tuduhan, perbicaraan dan penghukuman yang salah. Anwar sudah menjadi manusia bebas sekarang. Sekurang-kurangnya kita telah berjaya rungkaikan (walaupun mungkin sedikit) cengkaman UMNO dan Barisan Nasional, parti yang memerintah terhadap institusi kehakiman.

Tetapi bila namanya perjuangan, ia tidak akan sependek ini. Banyak lagi yang perlu kita bebaskan. Tahanan tiada hak untuk membela diri bila Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan, secebis pun tiada ruang untuk mereka berbicara. Mahasiswa semakin bertukar menjadi mesin pintar tanpa idealisme kerana kongkongan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Suara kebenaran dari kalangan wartawan dan penulis cuba dibisukan dengan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak serta Akta Hasutan. Kebebasan rakyat untuk melaksanakan hak asasi mereka, berhimpun bagi menyuarakan pendapat disekat menggunakan Seksyen 27 Akta Polis. Menghebahkan kebejatan pemimpin yang memerintah adalah jenayah dengan menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Sementara itu, rasuah di kalangan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional, parti yang memerintah tidak boleh diseret ke mahkamah, alasannya ia adalah hal dalaman parti sahaja. Badan Pencegah Rasuah (BPR) akhirnya berfungsi tidak lebih hanya sebagai sebuah agensi perhubungan awam yang menganjurkan promosi-promosi dan kempen-kempen anti rasuah untuk kalangan pelajar sekolah. Memalukan! Pelbagai lagi agensi dan instrumen kerajaan seperti SPR dan PDRM, selama berpuluh tahun, profesionalisme mereka telah diperlekeh dan dikembirikan.

Tentulah kita tidak boleh membiarkan ini semua, anak muda sedang dan akan mencipta sejarah. Jangan mudah terbuai dengan dendangan perpaduan saban minggu di TV1 itu, serakah dan jenayah kemanusiaan mereka tetap menjadi sesuatu yang sangat salah. Malaysia perlu dibebaskan. Malaysia perlu dibebaskan dari sebarang unsur yang memungkinkan eksploitasi parti yang memerintah dalam menyekat kemunculan suara-suara kedua yang kritis, juga eksploitasi parti yang memerintah dalam mempertahankan kekuasaan dengan cara yang salah.

Biarlah Malaysia tidak berUMNO, tidak berBarisan Nasional, asalkan negara yang semakin bertukar menjadi penjara ini kembali menjadi tanah tumpah darah rakyat yang bebas, asalkan kepimpinan negara kembali menjadi ketentuan rakyat tanpa disogok dengan rasa ketakutan melalui pelbagai undang-undang yang sengaja diadakan untuk disalah guna. Tidak ada lagi manusia semacam Anwar Ibrahim yang akan menjadi mangsa. Kezaliman perlu dibunuh dan rantai yang membelenggu keadilan perlu dirungkaikan segera.

Akhirnya mangkatlah Sultan Mahmud yang zalim itu ketika di atas julang. 2008 yang bakal tiba juga akan kita gunakan untuk memakamkan UMNO dan Barisan Nasional ketika mereka sedang merasa selesa di atas julang kekuasaan mereka, bebaslah semula Malaysia negara tercinta.

 - Zukri Aksah

--


Sila kongsi artikel ini...

Berani saman Harakahdaily, tapi tak berani saman WSJ? Tuan Ibrahim Tuan Man

12:34 PM 0 Comments A+ a-



Berani saman Harakahdaily, tapi tak berani saman WSJ?

Mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih berdolak-dalih dalam mengemukakan saman malu terhadap Wall Street Journal sebagaimana yang dilakukannya kepada Harakahdaily?

Walhal, impak yang dikemukakan WSJ di dalam Bahasa Inggeris dibaca di seluruh dunia dibandingkan impak artikel di Harakahdaily dalam Bahasa Malaysia yang hanya dibaca rata-rata rakyat Malaysia.


Malah, artikel di WSJ bukan sahaja mencemar imej Najib, malah negara kerana kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Atau sebenarnya tindakan memohon penjelasan daripada WSJ hanya sekadar membeli masa untuk menimbulkan isu sensasi yang baru seperti bagi mengalih rakyat daripada apa yang ditimbulkan WSJ?

Apakah akan ada dakwaan balas bahawa WSJ juga melaporkan sesuatu berdasarkan maklumat yang telah diubahusai?

Najib tidak boleh berdalih lagi. Jika melibatkan beliau sahaja, tak apa. Tapi kesan kontroversi ini kini dirasai seluruh rakyat jelata dengan impaknya terhadap keyakinan negara dan juga nilai Ringgit.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
24 Julai 2015




--


Sila kongsi artikel ini...

Tindakan Pemuda DAP Perak mengatakan pihak berkuasa tiada kuasa & tidak layak menjaga akhlak org ramai adalah suatu kenyataan yg agak bodoh

11:59 AM 0 Comments A+ a-



Tindakan Pemuda DAP Perak mengatakan pihak berkuasa tiada kuasa & tidak layak menjaga akhlak org ramai adalah suatu kenyataan yg agak bodoh.

Pemuda DAP Perak dikatakan mengeluarkan kenyataan tersebut ekoran pihak PBT menasihatkan pemilik panggung wayang membuang "couple seat" untuk mengelakkan perlakuan sumbang di dlm panggung wayang.

Ianya isu kecil tetapi melibatkan akhlak yg harus ditangani dgn berhemah & bijaksana.


Kita boleh berbeza pendekatan tetapi mengatakan pihak berkuasa tiada hak & tiada kuasa untuk menjaga akhlak & tatasusila rakyat itu sesuatu yg jauh menyimpang dr konteks.

Semua pemerintah baik di peringkat bwh sehingga tertinggi mempunyai tanggungjawab menjaga akhlak, tata susila & adab masyarakat melalui pendekatan2 yg sesuai. Itu tanggungjawab pemerintah selain tanggungjawab memberikan kesejahteraan kpd rakyat.

Jangan kerana isu kecil tentang pendekatan habis rosak semua benda baik yg kita buat.

Bijaksanalah dlm BERUBAH.

ZULHAZMI SHARIFF
24072015

--


Sila kongsi artikel ini...

Perubahan Untuk Sarawak Sebagai Rakan Kongsi Persekutuan - Nik Nazmi

8:37 AM 0 Comments A+ a-



PERUBAHAN UNTUK SARAWAK SEBAGAI RAKAN KONGSI PERSEKUTUAN

Izinkan saya mengucapkan Selamat Hari Sarawak bagi rakyat Malaysia yang meraikannya pada 22 Julai 2015.

Semenjak penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, Sarawak telah menjadi sebahagian penting negara kita ini.


Sememangnya Malaysia telah mendapat manfaat yang baik daripada kepelbagaian dan sifat majmuk rakyat negeri Sarawak.

Negeri tersebut juga merupakan contoh yang terbaik untuk Malaysia secara amnya dalam mencapai hasrat perhubungan kaum yang harmoni.

Namun sedemikian, ada benarnya juga sepertimana yang dirasakan oleh sebahagian rakyat Sarawak bahawa Malaysia tidak berjaya mencapai cita-cita yang diimipikan dan negeri itu terutamanya tidak memperoleh kemajuan yang sepatutnya dikecapi.

Pihak berkuasa Persekutuan tidak sewajarnya menghukum perbezaan pandangan rakyat Sarawak meskipun mereka tidak bersetuju dengannya.

Walaubagaimanapun saya percaya masa depan Sarawak, dan juga Malaysia, hanya dapat diberi jaminan yang baik sekiranya kita kekal sebagai sebuah persekutuan.

Sebuah negara Malaysia yang adil dan saksama tidak mungkin tercapai tanpa persepakatan rakyatnya dalam menjalankan usaha yang sama.

KEADILAN amatlah komited untuk melaksanakan Deklarasi Kuching 2012, dengan ikrar "...kami berpegang teguh dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang telah dicetuskan dan dikendalikan oleh pemimpin-pemimpin kami yang terdahulu", ini termasuklah untuk memulihara kedudukan Sarawak dan Sabah sebagai rakan setaraf di dalam Persekutuan, memberi perwakilan yang adil kepada kedua negeri itu, menyelesaikan permasalahan dan isu-isu kerakyatan, menghormati dan
mengiktiraf hak anak watan ke atas tanah adat, mengiktiraf pelantikan rakyat Sarawak dan Sabah untuk memimpin dan memegang jawatan di Jabatan Kerajaan di negeri masing-masing, keadilan di dalam isu minyak serta pembangunan sejagat.

Malahan kami percaya bahawa hanya dasar persekutuan yang lebih menyeluruh mampu menghasilkan perkembangan dan kemajuan yang lebih mampan kepada semua rakyat Malaysia.

Kita harus ingat bahawa Malaysia merupakan sebuah persekutuan.

Oleh itu perpaduan dan persetujuan di dalam matlamat adalah penting, di samping sikap saling hormat-menghormati dan usaha berterusan untuk mencapai kebaikan bersama.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan Selamat Hari Sarawak bagi rakan-rakan saya di Malaysia Timur, dan saya berharap dapat meraikan Hari Malaysia bersama-sama semua rakyat Malaysia pada 16 September 2015 akan datang.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA


--


Sila kongsi artikel ini...

BAI'AH PAS adalah BAI'AH HAJJAJIYYAH ? Jatuh Talak ?- Fathul Bari

7:21 AM 0 Comments A+ a-



BAI'AH PAS adalah BAI'AH HAJJAJIYYAH ? JATUH TALAK ?

"JIKA BENAR" Bai'ah dan Sumpah PAS seperti di dalam gambar di bawah yg mana; teksnya berbunyi:

"Bahawa saya bersumpah dengan nama Allah, Wallaahi Wabillahi Watallahi, sekiranya saya meninggalkan/melompat ke parti lain dengan kerelaan saya sendiri setelah terpilih menjadi ahli dewan negeri/dewan rakyat, maka akan TERTALAKLAH isteri/isteri-isteri saya dengan TIGA TALAK. Dan segala perbelanjaan saya dengan menggunakan wang elaun ahli dewan tersebut adalah HARAM.."


KOMENTAR SAYA:

1. Bai'ah di zaman Nabi SAW;

- Nabi SAW dibai'ah dengan cara bersalaman dengan lelaki. Manakala bagi wanita, bai'ah diberikan dengan ucapan. Dan Nabi SAW tidak pernah menyentuh mana-mana wanita yang bukan mahram untuk menerima bai'ah.

- Nabi SAW dibai'ah dengan ucapan, antaranya yang diriwayatkan dari 'Ubadah bin al-Shomit: "Kami telah berbai’ah kepada Rasulullah untuk dengar dan taat dalam keadaan susah ataupun senang, suka ataupun benci dan (dalam keadaan pemimpin) lebih mementingkan dunia melebihi kami. (Kami juga berbai’ah) untuk tidak merebut kekuasaan dari pemerintah melainkan jika kami melihat ‘Kufr Bawwah’ (kekufuran yang nyata) yang kami mempunyai alasan disisi Allah (kami juga berbai’ah) untuk menyatakan al-Hak di mana saja kami berada dan kerana allah kami tidak takut kepada celaan sesiapa yang mencela." (Lihat: hadis riwayat al-Bukhari, no: 7199, Muslim, no: 1836)

- Bai'ah umat Islam kepada Nabi SAW tertegak atas asas iman dan taqwa, bukan asobiyyah dan kepentingan. Contohnya Allah berfirman, maksudnya: "Wahai Nabi, apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk berbai'ah, bahawa mereka tiada akan menyekutukan Allah, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anaknya, tidak akan berbuat dusta yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka dan tidak akan menderhakaimu dalam urusan yang baik, maka terimalah janji setia mereka dan mohonkanlah ampunan kepada Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang" (QS al-Mumtahanah, 12)

- Bahkan bai'ah kpd Rasulullah ini mendapat pengiktirafan dari Allah. Firman Allah,maksudnya: "Allah telah redha ke atas orang-orang beriman ketika mereka berbai'ah kpdmu (Muhammad) di bawah pohon, maka Allah mengetahui segala sesutu di dalam hati mereka..." (QS al-Fatah: 18)

- Kerana itu, maksud bai'ah dari sudut istilah syarak adalah: "perjanjian yg dimeteraikan bertujuan untuk memberikan ketaatan (dalam hal yang ma'ruf), sepertimana seorang pemimpin dibai'ah oleh rakyatnya dengan tujuan pemimpin tersebut akan bertanggungjawab ke atas urusan rakyatnya dan kaum muslimin..." (Lihat: Muqaddimah, oleh Ibn Khaldun, ms 229)

- Para ulama bersepakat bahawa bai'ah yang menepati syarak adalah bai'ah kepada Ulil Amri yang dilantik mengikut sistem yg diiktiraf Islam.

2. Bai'ah yang dipraktiskan oleh PAS-JIKA BENAR- bukanlah bai'ah dari sudut istilah syarak, sebaliknya ia merupakan bai'ah dari sudut bahasa yang bermaksud "perjanjian atau aqad" semata-mata (lihat: Lisanul 'Arab, oleh Ibnu Mandzur, 1/299).

3. Dalam sejarah "Sumpah Bai'ah" yang menetapkan janji-janji tertentu seperti JATUH TALAK dan lain-lain; diasaskan oleh Hajjaj bin Yusof (wafat 95H) yang terkenal dengan kezalimannya ketika dilantik sebagai Gabenor Iraq. Bai'ah tersebut digelar oleh para ulama sebagai "Bai'ah Hajjajiyyah". Sememangnya bai'ah seperti ini menyelisihi Al-Quran dan Al-Sunnah. (Lihat 'Ilam al-Muwaqqi'in, oleh Ibnu al-Qayyim, ms 63)

4. Cuma persoalan yang perlu dirungkaikan adalah JATUH TALAK atau TIDAK bagi sesiapa yang keluar PAS @ lompat ke parti lain?

Ibnu al-Qayyim merungkaikan isu ini di dalam kitab beliau 'Ilam al-Muwaqqi'in, kata beliau: "Hajjaj telah mencipta bentuk bai'ah yang baru bukan seperti bai'ah Nabi SAW; Bai'ah Hajjaj merangkumi sumpah dengan nama Allah, Talak, bebaskan hamba, sedekah harta benda dan laksanakan haji. Maka para ulama berselisih pendapat tentang hal ini..." (Lihat: 'Ilam al-Muwaqqi'in, oleh Ibnu al-Qayyim, ms 63)

* Pandangan Mazhab Maliki; Abu Bakr Ibnu al-'Arabi berkata: "Telah ijmak ulama-ulama mutakhir (mazhab Maliki) bahawa jatuhnya talak isteri-isteri mereka yg melanggarkan sumpah bai'ah.." (Lihat: 'Ilam al-Muwaqqi'in, oleh Ibnu al-Qayyim, ms 63)

* Pandangan Mazhab Al-Syafie; Sekiranya lafaz sumpah itu jelas, bukan samar-samar maksudnya, beserta niat, maka jatuh talak. (Lihat: Al-majmu, oleh Al-Nawawi, 8/462)

* Pandangan Mazhab Hanbali; Sesiapa yang memahami isi kandungan Sumpah Bai'ah, dan memang berniat untuk mematuhi segala perjanjian ketika bersumpah, maka JATUH TALAK. (Lihat: al-Mughni, oleh Ibnu Qudamah, 11/408)

- Kesimpulannya, sesiapa yang berbai'ah berkonsepkan Bai'ah Hajjajiyyah-walaupun ia menyelisihi sunnah- contohnya JATUH TALAK ISTERI; secara sedar memahami apa yang dilafazkan, tanpa paksaan, dengan kerelaan dan niat, maka apabila dia melanggar sumpah bai'ah tersebut dengan sengaja, JATUHLAH TALAK KE ATAS ISTERINYA.

- Cuma, ulama berbeza pendapat samada jatuh 3 talak -jika diniatkan jatuh 3 talak- atau hanya satu talak sahaja; dinukilkan dari sebahagian ulama mazhab Maliki, jatuh hanya satu talak. Manakala sebahagian yg lain menetapkan jatuh ketiga-tiga talak. (Lihat: 'Ilam al-Muwaqqi'in, oleh Ibnu al-Qayyim, ms 64)

5. Terdapat satu hadis yang diperselisihi statusnya, Nabi SAW bersabda:"Orang Islam itu (berpegang) dengan syarat-syarat (yg telah dipersetujui)" (riwayat Al-Tirmidzi,no:1352)

Mungkin saudara-saudara di kalangan PAS berpegang dengan hadis di atas untuk mengharuskan bentuk bai'ah seperti ini. Syarat ini ditetapkan ke atas sesiapa yang ingin bertanding atas tiket PAS. Jadi, jika tidak mahu terikat dengan syarat-syarat tersebut,maka janganlah bertanding atas tiket PAS, kemudian keluar@lompat ke parti lain.

6. Namun saya berpendapat, konsep sumpah bai'ah yang PAS gunakan -JIKA BENAR- sangat mirip dengan konsep Bai'ah Hajjajiyyah yang menetapkan kelaziman tertentu bagi sesiapa yang melanggarnya. Sesungguhnya keburukannya lebih besar dari kebaikan. Bagaimana dengan status perkahwinan sebahagian ahli-ahli PAS yang telah berbai'ah namun kini meninggalkan PAS? Wallahul musta'an.
________________
  Dr. Fathul Bari


--


Sila kongsi artikel ini...

PAS: Kerajaan Lemah Ringgit Merudum

7:05 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin
Naib Ketua, Dewan Pemuda PAS Malaysia
6 Syawal 1436 | 22 Julai 2015


“KERAJAAN LEMAH, RINGGIT MERUDUM”

Penarafan Fitch Ratings yang menyemak naik unjuran kewangan negara kepada stabil pada 1 Julai lalu masih belum melegakan kebimbangan terhadap prestasi nilai ringgit. Hari ini nilai Ringgit Malaysia berbanding Dollar Amerika berlegar sekitar RM 3.81. Ia menyamai rekod sewaktu kemelesetan ekonomi negara pada tahun 1997/1998.

Secara tidak langsung ia akan mengukuhkan unjuran kebimbangan penganalisis ekonomi bahawa ringgit akan terus merosot sehingga RM 4.00 menjelang September 2015. Walaupun ia mungkin disifatkan sementara namun tonggak fundamental ekonomi negara juga turut terjejas ekoran daripada paras hutang kerajaan yang tinggi disamping kelembapan sektor eksport.

Kemerosotan nilai Ringgit Malaysia turut meningkatkan kadar inflasi dalam negara. Secara purata, inflasi telah menokok sebanyak 2.0% pada bulan April dan Mei. Ia berterusan dalam tren menaik selepas pelaksanaan GST dan pelarasan ketara harga runcit bahan api. Malah, banyak industri terpaksa menyerap kos pembelian bahan mentah yang lebih tinggi akhir-akhir ini. Sifir tersebut membayangkan kos sara hidup rakyat semakin teruk.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kesal dengan sikap kerajaan yang dilihat suram dalam menangani kemerosotan ini. Banyak isu yang melibatkan kepentingan awam juga masih belum terjawab. Ketegangan kaum, skandal kewangan 1MDB yang melibatkan Lembaga Tabung Haji dan Tenaga Nasional Berhad, kejatuhan saham Felda Global Ventures, pemulihan MAS dan perjanjian TPPA.

Ketika negara berdepan krisis yang hampir sama 15 tahun lalu, kerajaan telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (1998) disusuli dengan pelan pemulihan yang jelas. Begitu juga, Perdana Menteri ketika fasa itu telah melakukan kawalan pertukaran mata wang terpilih (2000) serta mengemukakan cadangan penggunaan dinar sebagai mata wang perdagangan antarabangsa (2002).

Sekurang-kurangnya terdapat langkah reaktif dan inisiatif yang telah diambil untuk menangani krisis pada waktu tersebut. Namun, dengan konteks yang lebih kompleks hari ini, kerajaan dilihat lemah dan diselubungi dengan pelbagai isu yang melibatkan kredibiliti Perdana Menteri sendiri. DPPM bimbang kelemahan tersebut menjerumuskan negara ke arah ekonomi yang lebih parah.

DPPM menjangkakan nilai ringgit hanya akan kembali pulih setelah kerajaan mengambil langkah konkrit bagi memulihkan kedudukan ekonomi negara dan isi rumah, mengembalikan kestabilan politik, dan membina keyakinan terhadap urustadbir dana awam yang sangat kritikal sekarang.

Sekian, terima kasih.


--


Sila kongsi artikel ini...

PKR: Tiba Masa Untuk Lebih Pengawasan Kehakiman Ke Atas Agensi Kerajaan

7:03 AM 0 Comments A+ a-



TIBA MASA UNTUK LEBIH PENGAWASAN KEHAKIMAN KE ATAS AGENSI KERAJAAN

Insiden-insiden mutakhir seperti kekangan akses ke laman Sarawak Report oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan YB Tony Pua, YB Rafizi Ramli dan Datuk Tong Kooi Ong (The Edge) dilarang ke luar negara menimbulkan rasa bimbang di kalangan para patriot di negara ini. Ia menjadi peringatan bahawa agensi kerajaan sepatutnya melayani kepentingan Rakyat dan bukannya kelompok politik tertentu sahaja.

Ini kerana di dalam kes Sarawak Report, ramai pengamal dan pakar perundangan telah membangkitkan bahawa SKMM telah menggunakan Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang sebenarnya tidak memberi kuasa untuk menghalang akses ke laman web. Namun laman Sarawak Report tetap ditapis, dan SKMM sendiri telah melanggar Akta Jaminan No. 7: “Menjamin tiada penapisan Internet”.

Di dalam kes YB Tony, YB Rafizi dan Datuk Tong Kooi Ong, pengamal undang-undang berpendapat walaupun Ketua Pengarah Jabatan Imigresen mempunyai kuasa untuk menghalang mana-mana warga negara dari meninggalkan negara ini, namun ia mesti berasaskan undang-undang yang khusus. Hingga kini belum lagi diberi asas larangan tersebut dibuat.

Oleh itu, sudah tiba masanya rakyat Malaysia menuntut pengawasan kehakiman (judicial oversight) yang lebih terhadap agensi-agensi kerajaan; sebagai contoh, agensi seperti SKMM, Jabatan Imigresen dan lain-lain perlu membuat permohonan mahkamah sebelum ia boleh menggunakan kuasa-kuasa tertentu, seperti di dalam kes-kes yang dipetik di atas. Ini demi menjamin pihak eksekutif tidak melanggar batas-batas tatakelola dan merobek hak-hak asasi yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tambahan, reformasi yang mendalam perlu dilaksana terhadap undang-undang yang memberi kuasa kepada agensi-agensi tersebut. Rakyat perlu bangkit menggesa Ahli-Ahli Parlimen untuk melaksanakan reformasi ini secepat mungkin.

Semoga tindakan-tindakan yang melanggar tatakelola pentadbiran yang baik seperti yang kita saksikan ini tidak akan lagi di masa hadapan. Dengan pengawasan kehakiman yang lebih rapi, rakyat Malaysia akan diingatkan bahawa kerajaan itu milik Rakyat, dan bukannya milik para kroni atau kelompok politik tertentu.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN

23 Julai 2015


--


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.