Perubahan Untuk Sarawak Sebagai Rakan Kongsi Persekutuan - Nik Nazmi

8:37 AM 0 Comments A+ a-



PERUBAHAN UNTUK SARAWAK SEBAGAI RAKAN KONGSI PERSEKUTUAN

Izinkan saya mengucapkan Selamat Hari Sarawak bagi rakyat Malaysia yang meraikannya pada 22 Julai 2015.

Semenjak penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, Sarawak telah menjadi sebahagian penting negara kita ini.


Sememangnya Malaysia telah mendapat manfaat yang baik daripada kepelbagaian dan sifat majmuk rakyat negeri Sarawak.

Negeri tersebut juga merupakan contoh yang terbaik untuk Malaysia secara amnya dalam mencapai hasrat perhubungan kaum yang harmoni.

Namun sedemikian, ada benarnya juga sepertimana yang dirasakan oleh sebahagian rakyat Sarawak bahawa Malaysia tidak berjaya mencapai cita-cita yang diimipikan dan negeri itu terutamanya tidak memperoleh kemajuan yang sepatutnya dikecapi.

Pihak berkuasa Persekutuan tidak sewajarnya menghukum perbezaan pandangan rakyat Sarawak meskipun mereka tidak bersetuju dengannya.

Walaubagaimanapun saya percaya masa depan Sarawak, dan juga Malaysia, hanya dapat diberi jaminan yang baik sekiranya kita kekal sebagai sebuah persekutuan.

Sebuah negara Malaysia yang adil dan saksama tidak mungkin tercapai tanpa persepakatan rakyatnya dalam menjalankan usaha yang sama.

KEADILAN amatlah komited untuk melaksanakan Deklarasi Kuching 2012, dengan ikrar "...kami berpegang teguh dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang telah dicetuskan dan dikendalikan oleh pemimpin-pemimpin kami yang terdahulu", ini termasuklah untuk memulihara kedudukan Sarawak dan Sabah sebagai rakan setaraf di dalam Persekutuan, memberi perwakilan yang adil kepada kedua negeri itu, menyelesaikan permasalahan dan isu-isu kerakyatan, menghormati dan
mengiktiraf hak anak watan ke atas tanah adat, mengiktiraf pelantikan rakyat Sarawak dan Sabah untuk memimpin dan memegang jawatan di Jabatan Kerajaan di negeri masing-masing, keadilan di dalam isu minyak serta pembangunan sejagat.

Malahan kami percaya bahawa hanya dasar persekutuan yang lebih menyeluruh mampu menghasilkan perkembangan dan kemajuan yang lebih mampan kepada semua rakyat Malaysia.

Kita harus ingat bahawa Malaysia merupakan sebuah persekutuan.

Oleh itu perpaduan dan persetujuan di dalam matlamat adalah penting, di samping sikap saling hormat-menghormati dan usaha berterusan untuk mencapai kebaikan bersama.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan Selamat Hari Sarawak bagi rakan-rakan saya di Malaysia Timur, dan saya berharap dapat meraikan Hari Malaysia bersama-sama semua rakyat Malaysia pada 16 September 2015 akan datang.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA


--


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.