PKR: Tiba Masa Untuk Lebih Pengawasan Kehakiman Ke Atas Agensi Kerajaan

7:03 AM 0 Comments A+ a-



TIBA MASA UNTUK LEBIH PENGAWASAN KEHAKIMAN KE ATAS AGENSI KERAJAAN

Insiden-insiden mutakhir seperti kekangan akses ke laman Sarawak Report oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan YB Tony Pua, YB Rafizi Ramli dan Datuk Tong Kooi Ong (The Edge) dilarang ke luar negara menimbulkan rasa bimbang di kalangan para patriot di negara ini. Ia menjadi peringatan bahawa agensi kerajaan sepatutnya melayani kepentingan Rakyat dan bukannya kelompok politik tertentu sahaja.

Ini kerana di dalam kes Sarawak Report, ramai pengamal dan pakar perundangan telah membangkitkan bahawa SKMM telah menggunakan Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang sebenarnya tidak memberi kuasa untuk menghalang akses ke laman web. Namun laman Sarawak Report tetap ditapis, dan SKMM sendiri telah melanggar Akta Jaminan No. 7: “Menjamin tiada penapisan Internet”.

Di dalam kes YB Tony, YB Rafizi dan Datuk Tong Kooi Ong, pengamal undang-undang berpendapat walaupun Ketua Pengarah Jabatan Imigresen mempunyai kuasa untuk menghalang mana-mana warga negara dari meninggalkan negara ini, namun ia mesti berasaskan undang-undang yang khusus. Hingga kini belum lagi diberi asas larangan tersebut dibuat.

Oleh itu, sudah tiba masanya rakyat Malaysia menuntut pengawasan kehakiman (judicial oversight) yang lebih terhadap agensi-agensi kerajaan; sebagai contoh, agensi seperti SKMM, Jabatan Imigresen dan lain-lain perlu membuat permohonan mahkamah sebelum ia boleh menggunakan kuasa-kuasa tertentu, seperti di dalam kes-kes yang dipetik di atas. Ini demi menjamin pihak eksekutif tidak melanggar batas-batas tatakelola dan merobek hak-hak asasi yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tambahan, reformasi yang mendalam perlu dilaksana terhadap undang-undang yang memberi kuasa kepada agensi-agensi tersebut. Rakyat perlu bangkit menggesa Ahli-Ahli Parlimen untuk melaksanakan reformasi ini secepat mungkin.

Semoga tindakan-tindakan yang melanggar tatakelola pentadbiran yang baik seperti yang kita saksikan ini tidak akan lagi di masa hadapan. Dengan pengawasan kehakiman yang lebih rapi, rakyat Malaysia akan diingatkan bahawa kerajaan itu milik Rakyat, dan bukannya milik para kroni atau kelompok politik tertentu.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN

23 Julai 2015


--


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.