ANAK Sokong Usaha Perlombongan Bauksit Sebagai Pendapatan Peneroka
KENYATAAN MEDIA: ANAK SOKONG USAHA PERLOMBONGAN BAUKSIT SEBAGAI PENDAPATAN PENEROKA.
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) menggesa Kerajaan Negeri Pahang dan Felda mengambil langkah segera menangani isu perlombongan Bauksit di Felda Bukit Goh Kuantan ekoran lapuran media mengenai status 71 peneroka di Felda terbabit.
Pagi ini saya telah mengetuai lawatan Kerja ke tapak perlombongan dan mengadakan pertemuan dengan peneroka/Gen 2 yang terbabit di Pejabat Pertubuhan Peneroka Felda Bukit Goh. Taklimat dari Setiausaha Jawatankuasa Penyelaras Bauksit Bukit Goh, Dr Sahrudin Mohd, yang merupakan anak peneroka tempatan dan juga wakil peneroka, Hj Harun Mamat, ANAK telah mendapat gambaran sebenar perkembangan projek tersebut.
Pada dasarnya, ANAK menyokong usaha yang menyumbang kepada pendapatan peneroka. Peneroka Felda Goh seramai 670 orang di buka pada tahun 1970. Pada usia pokok sawit hampir 20 tahun dengan pendapatan yang tidak begitu stabil; tentu sekali melalui perlombongan Bauksit yang dibayar atas kadar sekitar RM7 setan kepada peneroka melalui perjanjian yang disemak peguam peneroka, pemulihan atas kebun yang telah di lombong, pemilikan hak milik tanah yang tidak terjejas, adalah jaminan yang melegakan peneroka.
Isu Alam Sekitar seperti pencemaran sungai dan persekitaran, debu, kekotoran jalanraya, kesesakan lalulintas oleh lori lori yang mengangkut bauksit dan lain lain yang berkaitan adalah tanggungjawab Kerajaan dan agensi terbabit.
Kenyataan Menteri Besar Pahang dan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad yang disusuli tindakan agensi tertentu seperti PTG, JPJ dan Jabatan Alam Sekitar; meskipun dilakukan atas bidang kuasa mereka dan kepentingan peneroka, pengguna jalanraya dan masyarakat setempat; ia harus disusuli dengan mekanisma berkesan yang memberi pendapatan@meningkatkan sosio ekonomi peneroka, meningkatkan hasil Kerajaan dan peluang pekerjaan.
ANAK akan menyertai penyerahan memorandum oleh Jawatankuasa Penyelaras Bauksit kepada YAB Menteri Besar Pahang minggu depan dan sedia memberi pandangan demi kepentingan rakyat. Inisiatif oleh Jawatankuasa Penyelaras Bauksit Bukit Goh yang membantu peneroka terbabit termasuk mengawal elemen penipuan oleh pemaju projek dan pihak luar adalah langkah yang kena pada tempatnya.
Perlombongan bauksit di Bukit Goh adalah rezeki dari anugerah Allah. Ia boleh memberi pendapatan lumayan jika di urus dengan baik. Moga usaha kita di berkati Allah.
' MENERAJUI PERUBAHAN '
Mazlan Aliman
Presiden ANAK
24 Julai 2015
--
Sila kongsi artikel ini...