Apa kata tabligh tentang Bersih 4? – Mohd Azhar

9:15 PM 0 Comments A+ a-



ABIM, PKPIM, IKRAM, PAS, merupakan antara Jemaah dan Persatuan Islam di Malaysia yang mempunyai tempat dan pengikut tersendiri dan mempunyai pendirian masing-masing dalam membawa perjuangan serta matlamat Islam mereka.

Terbaru kumpulan GHB yang dilaporkan bakal membentuk sebuah parti politik Islam turut akan tersenarai sebagai sebuah pertubuhan membawa imej Islam dalam perjuangan mereka. Namun kita sering tertinggal untuk melihat pandangan dari sebuah kumpulan yang tidak kurang besarnya di Malaysia iaitu Tabligh, sebuah persatuan besar yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Kesemua pertubuhan yang disebutkan tadi mempunyai pendirian yang hampir sama menyokong demonstrasi aman Bersih 4 berdasarkan kepada tuntutan yang digariskan dalam perhimpunan tersebut kecuali PAS yang dilihat berhati-hati dan seakan-akan menolak secara halus perhimpunan tersebut atas alasan yang tidak begitu kukuh pada pandangan umum. Apapun mereka dikatakan akan menghantar wakil tetapi tidak mengerah ahlinya untuk sertai.


Saya sempat bertemu seorang rakan yang mengikut jemaah tabligh untuk berbual dan bertanyakan pandangan beliau tentang isu-isu semasa. Ramai di kalangan masyarakat di Malaysia mempunyai tanggapan pengikut-pengikut Tabligh ini tidak boleh bercakap dan menyentuh isu politik kerana mahu menjaga matlamat serta didikan asas mereka iaitu menjaga amal. Namun saya percaya politik dan siasah ini adalah fitrah dan ada dalam jiwa setiap manusia Cuma cara dan jalan mereka menginterpretasikannya sahaja berbeza.



Menyentuh isu kejatuhan ringgit dan penyelewengan besar dalam 1MDB dan derma 2.6 bilion, nada sahabat saya ini tidak banyak beza dengan sebahagian besar rakan-rakan anak muda saya yang lain. Beliau berkata semua ini adalah akibat daripada kepimpinan yang tidak mengikut cara nabi, kesan pendidikan yang berkiblatkan keduniaan dan bermacam-macam lagi hujah islamik yang dilontarkan. Saya mendengar dengan penuh minat kerana diselit-selitkan juga pesanan-pesanan makruf yang ikhlas. Cuma di hujung ulasannya itu beliau berkata semua ini adalah perancangan daripada pihak luar dan US untuk melemahkan dan memburukkan imej Malaysia.

“Semua ini mereka yang buat. Siapa yang kawal semua ini?.Amerika lah kan?So mereka memang mempunyai agenda untuk rancang semua ini?”, katanya bersungguh.

Saya hanya mendiamkan diri tanpa membalas kerana tujuan saya hanya untuk melihat sisi pandang beliau terhadap isu-isu semasa bukan berdiskusi mencari kebenaran. Namun di dalam hati saya berbisik, patutlah Tabligh tidak boleh bercakap soal politik kerana hujahnya akan tersasar dan kurang meyakinkan apabila menyentuh soal pentadbiran dan urus tadbir. Mungkin maksud tidak boleh itu bukan bermakna tidak dibenarkan tetapi tidak berupaya.

Perbualan kami diteruskan dengan menyentuh isu perhimpunan Bersih 4. Persoalan berupa andaian saya lontarkan kepadanya dengan nada kebimbangan. “Bagaimana agaknya perhimpunan Bersih 4 ni ya?Mesti kecoh” telahan saya sambil memandang ke atas seolah-olah membayangkan sesuatu.

Lantas beliau menjawab “Ha, Bersih 4? Bila tu?”. Saya terdiam seketika kerana tidak menyangka masih ada rakyat Malaysia yang tidak mengetahui perkembangan ini dalam suasana seluruh Malaysia memperkatakannya.

“Ya, sabtu dan ahad ni, 2 hari, macam ramai je yang akan turun”jawab saya ringkas. Mukanya berubah sambil menggeleng-gelengkan kepala. “Kenapa?”, tanya saya kepadanya.

Beliau lantas bersuara mengatakan semua tindakan ini tidak betul. Jauh tersasar daripada apa yang sepatutnya dibuat. Tindakan seperti ini, berhimpun beramai-ramai, tidak mengikut apa yang nabi ajar. Nabi menganjurkan setiap permasalahan perlu diselesaikan di masjid. Bukan dengan cara menunjuk perasaan turun di jalan raya. Nabi kita tidak mengajar cara begini untuk menyelesaikan masalah. Berhimpun di jalan raya tidak akan menyelesaikan masalah dan akan hanya membawa kerosakan. Malah semua tindakan ini tidak disukai Allah. Kalau dilihat masa mereka berhimpun ini akan melewati waktu Zohor dan mungkin sampai ke Asar. Ini akan mendorong peserta yang hadir dalam perhimpunan itu meninggalkan solat dan sekiranya ada di kalangan mereka yang mati ketika itu, bagaimana mati mereka ini? Berbagai-bagai lagi hujah negatif yang diberikan.

Saya mangangguk-anggukkan kepala tanda faham persepsi beliau dengan perhimpunan ini. Sekali lagi saya tidak membalas kerana saya berbual sekadar untuk melihat pandangan beliau. Seusai beliau melontarkan hujah dan pandangannya, saya meminta izin beredar kerana bimbang beliau mengeluarkan hujah “Kau tengok PAS, PAS pun dah sedar, PAS pun tak sertai, kan betul apa aku cakap”.





Sila kongsi artikel ini...

Kenapa saya tidak turun sertai Bersih 4 – Ong Lian Kheong

8:43 PM 0 Comments A+ a-



Kenapa saya tidak turun sertai Bersih 4 – Ong Lian Kheong

Ramai sekali yang marah saya apabila saya bertegas tidak bersetuju dengan perhimpunan kali ini. Ramai juga yang memandang serong terhadap pendirian saya mengenai Bersih 4. Bermula daripada himpunan Bersih pertama hingga ke-3, saya tidak pernah terlepas untuk tidak hadir.

Di awal penubuhan Bersih, dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang sedia untuk menggalas amanah rakyat bagi memastikan pilihan raya di negara kita berlangsung dan berjalan secara adil dan saksama.

Selepas berjayanya dan hangat sambutan ke atas himpunan Bersih yang pertama itu pada 2007, Bersih semakin dipandang dan diangkat oleh masyarakat umum. Tidak ketinggalan, badan-badan hak asasi antarabangsa juga cuba untuk membina hubungan dengan Bersih.

Malang sekali, wujud pula anasir-anasir daripada “bapak kapitalis” nombor satu dunia, Amerika Syarikat yang juga cuba mendapatkan Bersih untuk membina jambatannya dengan kumpulan yang semakin “menang” itu.

Menang, bukan bermakna mereka berjaya dalam tuntutan yang mereka minta daripada kerajaan, tetapi "menang" bermaksud mereka berjaya mendapatkan perhatian rakyat umum dan diminati serta mendapat kepercayaan utuh rakyat agar Bersih boleh diharap sebagai badan yang akan membawa isu-isu rakyat berkaitan ketelusan pilihan raya.

Kita puji usaha Bersih generasi pertama ini kerana keikhlasan mereka dan juga kesungguhan mereka memerah keringat dan berhempas pulas membawa kesedaran rakyat ke tahap lebih tinggi dalam konteks pemahaman rakyat berkenaan sistem pilihan raya dan menimbulkan rasa berani dan yakin rakyat untuk menuntut hak mereka sebagai pengundi.

Selepas usaha-usaha hebat yang mulanya dipelopori generasi Bersih 1 mendapat perhatian banyak pihak, Bersih dengan gabungan pelbagai pihak itu mula memikirkan satu jalan untuk membina satu badan yang lebih sistematik dan tersusun organisasinya dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa yang serius serta membina pejabat dan membayar kakitangan untuk menggerakkan Bersih dengan lebih serius dan terancang.

Lebih daripada itu, mereka juga memilih jawatankuasa melalui pilihan raya dalam kalangan NGO dan NGI. Bersih 2 tertubuh dengan jayanya dan seterusnya melahirkan protes yang lebih berjaya berbanding Bersih 1 dengan penyertaan yang lebih ramai pada 2011.

Banyak kedutaan asing juga berlagak prihatin dengan nasib menimpa Bersih dan isu rakyat Malaysia. Negara yang paling menunjukkan kesungguhannya untuk membantu Bersih adalah Amerika.

Amerika mula memberikan dana kepada Bersih secara tahunan dengan jumlah yang besar seperti yang tercatat dalam laporan sebuah badan di bawah kedutaan Amerika, NED.

Ia bukan setakat sebuah badan biasa tetapi sebuah badan yang banyak melakukan perkara tidak bertanggungjawab di negara-negara yang anti dengan Amerika seperti di Venezuela, Iran dan Russia.

NED mendanai kumpulan berbahaya yang cuba menimbulkan ketegangan di Venezuela dengan cara bersenjata. Mereka mendanai gerakan pembangkang yang ingin menjatuhkan Hugo Chavez kerana Hugo Chavez adalah satu-satunya presiden negara bukan Islam yang kaya dengan petroleum dan gas yang lantang bersuara menentang kerakusan Israel di Palestin dan melawan Amerika di Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Akhirnya, NED dihalau oleh kerajaan Venezuela dan terbaru, Russia mengisytiharkan NED sebagai sebuah agensi CIA yang bertindak mengumpul maklumat bagi tujuan peperangan dan keganasan di negara itu.

Selepas himpunan Bersih 2 berjaya mendapat perhatian dunia dengan penyertaan 100,000 orang peserta yang majoritinya dikerah oleh parti PAS pada 2011 itu, dalam diam para jawatankuasa induk yang oportunis ini menjalin kerjasama erat dengan NED untuk mendapatkan dana yang jumlahnya ratusan ribu dolar setiap tahun bermula tahun tersebut.

Di dalam jawatankuasa Bersih, tiada pemimpin parti politik yang dibenarkan menganggotai majlis mesyuarat jawatankuasa dan memegang jawatan dalam Bersih 2 itu. Oleh demikian, baik PAS, PKR mahupun DAP memang tidak tahu menahu dengan dana itu sehinggalah perkara ini terdedah sendiri hasil buah mulut media dan propaganda kerajaan.

Pendedahan demi pendedahan oleh media pada ketika itu berjaya membuktikan Bersih menerima dana daripada NED dan NED terpaksa menulis perkara itu dalam laman sesawangnya.

Jawatankuasa berelaun, penginapan di hotel besar untuk mesyuarat dan program, maka mulalah ramai golongan yang cuba merebut kerusi dalam jawatankuasa Bersih. Pada pilihan raya Bersih 3, akhirnya Bersih terlepas kepada tangan-tangan korporat yang menjadi sebahagian daripada Bersih 3.

Bukan susah, penyertaan ke dalam Bersih adalah terbuka asalkan mereka ada NGO yang dibina atas nama syarikat. Ramai juga korporat yang daripada pemikiran Barisan Nasional (BN) selama ini, secara tiba-tiba berminat menjadi sebahagian daripada Bersih dengan memeterai perjanjian dengan Bersih 3, dan masuk bertanding untuk jawatan dalam Bersih walaupun NGO mereka hanya ada dua tiga kerat sahaja.

Jangan terkejut, lobi-melobi ketika pilihan raya Bersih 3 adalah lebih teruk berbanding lobi melobi pemilihan PKR atau DAP.

Nama-nama aktivis seperti Pak Syed Ibrahim, Ahmad Syukri Razab, Badrul Hisham (Che Gu bard) terus tersingkir daripada senarai walaupun umum tahu mereka merupakan hardcore dalam perhimpunan Bersih yang berjaya selama ini.

Sebaliknya, nama-nama korporat yang kita tidak pernah dengar selama ini, yang mempunyai pangkal nama dengan panggilan “datuk” dan “doktor” secara tiba-tiba naik menjadi pemimpin utama dalam Bersih 3.

Mujurlah nama Maria Chin berjaya memenangi jawatan pengerusi Bersih sekali gus membawa Bersih dalam penghayatan rakyat marhaen kebanyakan. Namun para jawatankuasa, masih dikuasai golongan bukan aktivis sebaliknya korporat kapitalis.

Peranan golongan korporat dalam Bersih 3 ini sedikit sebanyak berjaya mematikan usaha Bersih dengan cara protes jalanan. Hampir-hampir Bersih 3 mengumumkan menolak protes jalan raya kononnya cara ini tidak profesional dan tidak akademik. Namun, pendirian ini banyak ditentang oleh jawatankuasa pemandu Bersih yang sejak awal seperti Hishamudin Rais dan Syukri Razab.

Sudah mula ramai politikus mencari peluang untuk menaikkan nama dengan cuba melobi diri mereka menjadi sebahagian daripada jawatankuasa badan induk itu. Tidak terlepas juga, para korporat yang cuba mencari pengaruh dengan menubuhkan NGO-NGO akademik bagi tujuan melayakkan diri bertanding untuk jawatan-jawatan yang ada dalam Bersih pada pemilihan Bersih ke-3.

Selepas mereka berada dalam Bersih 3, mereka boleh melobi dan berkenalan dengan para duta khususnya dari Amerika dan Eropah bagi tujuan meminta geran untuk projek-projek tertentu. Maka kedudukan mereka di dalam Bersih bukan lagi untuk membela kepentingan rakyat, sebaliknya membina kepentingan peribadi dengan pihak tertentu bagi mendapatkan projek-projek melalui skim dan geran setiap kedutaan.

Namun, saya masih meletak kepercayaan kepada Bersih 3 untuk membawa tuntutan rakyat ke jalan raya. Malangnya, selepas melihat Bersih 4 ini, secara tiba-tiba Bersih menukar tuntutannya daripada membela rakyat kepada membela politikus, ditambah pula dengan mendapat sokongan pimpinan BN sendiri untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semata-mata demi memastikan BN boleh memerintah lebih lama jika Najib ditukar kepada seorang lagi pemimpin BN, saya sudah mula mahu ingkar.

Malahan, lebih menyedihkan saya ialah, pada himpunan Bersih yang lalu, ada antara jawatankuasa Bersih yang tidak langsung turun ke jalan raya sebaliknya didapati berada di restoran-restoran mewah sambil berbincang agenda peribadi tatkala rakyat berhadapan dengan rejim.

Ini membuatkan hati saya tertanya-tanya, atas sebab apakah mereka menjadi jawatankuasa Bersih? Mereka mendapat elaun dan kemewahan, disaat rakyat yang turun ke jalan dan berhadapan dengan pembantaian? Menggunakan nama rakyat bagi tujuan mendapatkan kepentingan peribadi sendiri?

Dan apabila “pemberi dana” meminta mereka membentangkan laporan, kamu mendakwa ia adalah kejayaan kamu sedangkan rakyat yang melalui saat-saat cemas dan sukar itu.

Maka saya, memilih untuk tidak lagi turun ke perhimpunan anjuran Bersih. Saat saya dibantai teruk dengan polis, “datuk-datuk” yang menjadi jawatankuasa Bersih ini sedang menghirup kopi-kopi segar dan mahal di restoran-restoran mewah Barat. Selepas kami habis berhimpun dileraikan, barulah mereka hadir membuat sidang media dan mendakwa “mereka” yang menjayakannya.

Bersih 4 mendapat kutipan derma orang ramai sebanyak RM 1.5 juta seperti diisytiharkan oleh pengerusinya. Ini membuatkan saya tertanya-tanya juga, dengan dana ratus ribu dolar oleh NED setiap tahun, ditambah pula dengan 1.5 juta daripada rakyat Malaysia, untuk apakah dan ke manakah wang ini dibelanjakan?

Jika hanya untuk membayar elaun para jawatankuasa yang terdiri daripada para datuk dan datin, maka Bersih tiadalah bezanya dengan Najib.

Bersihkan Bersih. – 26 Ogos, 2015.

* Penulis adalah bekas aktivis Bersih 1.

s


Sila kongsi artikel ini...

Fajar Menyinsing Rakyat Resah. - Ustaz Idris Ahmad

8:29 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media (16)
Fajar Menyinsing Rakyat Resah.
Ustaz Hj Idris Hj AhmadNaib Presiden Pas
28/8/15


Rakyat resah dan semput dada apabila matahari menyinsing. Cerah sahaja matahari harga barang keperluan sentiasa naik, akibat kejatuhan mata wang. Bermula dengan minum pagi, terasa harga barang sudah naik. Ia ditambah dengan masalah yang sedia ada iaitu cukai GST sebanyak 6 peratus sejak 1 April 2015.

Pekerja di sektor swasta sentiasa resah memikirkan syarikat mereka terpaksa mengurangkan pekerja. Takut, apabila sampai di pejabat sudah ada notis pemberhentian kerja. Terbaru pekerja kilang NAZA di Gurun Kedah yang diberhentikan seramai 300 orang. Awal Julai kilang JVC di Seksyen 20 Shah Alam ditutup, pekerjanya ditawarkan skim pemberhentian kerja sukarela (VSS). Sebelumnya 6000 pekerja MAS telah dibuang.

Kita bimbang fenomena ini akan menimbulkan kesan sosial seperti perceraian, penyakit mental akan meningkat, apabila memikirkan kemana mereka hendak bekerja untuk menyelesaikan hutang rumah, kereta dan sebagainya. Terutama bagi pekerja yang sudah lanjut umur.
Selepas ini pula kadar faedah pinjaman akan dinaikkan. Ini lumrah dalam dunia perniagaan kapitalis akan menaikkan kadar faedah sebagai usaha menampung kos operasi apabila suasana gawat. Dengan ini sudah tentu akan meningkat kadar inflasi.

Kenapa terjadi demikian, semua gara-gara kepimpinan yang tidak amanah dengan negara dan rakyat. Berbelanja dengan boros, rasuah menjadi makanan harian daripada bawah hingga ke atas. Akhirnya beban terkena kepada rakyat marhain.


Sila kongsi artikel ini...

Selamatkan Negara: Hadir Bersih 4.0 - Husam Musa

6:55 PM 0 Comments A+ a-



SELAMATKAN NEGARA: HADIR BERSIH 4.0

Sebagai rakyat biasa Malaysia tercinta, apa yang boleh saya lakukan untuk menyelamatkan negara saya Malaysia pada hari ini?
Ringgit menjunam sebahagiannya kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan negara dan krisis yg dicetuskan 1MDB. Jika ringgit terus menjunam, negara mungkin bangkrap.


Kepimpinan yang dikaitkan dengan jenayah ekonomi yang menjadi punca krisis enggan melepaskan jawatan.
Institusi utama negara pula menjadi mangsa sepak terajang politik.

Jawapnya: Saya mesti ikut sama berhimpun menyatakan tuntutan untuk selamatkan negara ini: bagi pihak diri saya dan anak cucu saya.

Ini selari dgn pendirian guru politik Islam negara ini, al Marhum Tok Guru Nik Aziz seperti kata-kata di bawah:

"Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata akan ada perhimpunan Bersih 4.0 jika isu-isu berkaitan dengan tuntutan pilihan raya bersih dan adil tidak diselesaikan dengan segera.

“Bila timbul masalah Bersih (perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu), Syeikhul Azhar, Mufti Mesir masa itu mengatakan perhimpunan yang berlaku di Mesir haram. “Tetapi rakyat Mesir membandingkan dengan fatwa Dr Yusuf Al-Qardawi melalui buku ditulis beliau dan hasilnya tujuh juta rakyat Mesir turun ke jalan kerana fatwa Qardawi betul,” katanya.
…..............
Sekalipun saya kurang sihat, InsyaAllah Saya cuba sedaya upaya akan hadhir hari kedua Bersih 4.

Yb Dato Hj Husam Musa
28 Ogos 2015



Sila kongsi artikel ini...

RM Jatuh : Sediakan Pelan Bantuan Pelajar Malaysia Luar Negara. - Nasrudin Hassan

4:21 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media Penerangan. 25

RM Jatuh : Sediakan Pelan Bantuan Pelajar Malaysia Luar Negara.

1. Ekoran daripada kejatuhan teruk nilai Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika Syarikat, para pelajar persendirian Malaysia yang menyambung pengajian di luar negara berdepan tekanan kewangan yang tinggi. Ia telah meningkatkan kos yuran pengajian termasuk sara hidup harian mereka.


2. Sekiranya perkara ini berterusan, maka ramai pelajar Malaysia terpaksa menangguhkan pengajian dan pulang semula ke negara ini untuk tempoh masa tertentu. Setakat ini, Kementerian Pendidikan Tinggi belum memberikan apa-apa jaminan bagi mengurangkan bebanan kewangan yang dihadapi oleh mereka.

3. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) turut kesal dengan kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi beberapa hari lalu yang mengambil sikap tidak serius berhubung perkara ini jika dibandingkan dengan Menteri Besar Johor yang telah meluluskan bantuan segera berjumlah RM 2.5 juta kepada para pelajarnya yang menuntut di Mesir dan Jordan.

4. Oleh yang demikian, PAS menuntut agar Kementerian Pendidikan Tinggi wajar mengemukakan inisiatif pelan bantuan terhadap para pelajar Malaysia di luar negara. Pihak kerajaan digesa berunding dengan pihak pengurusan pendidikan di luar negara (G to G) agar masalah kewangan yang sedang dihadapi tidak menjejaskan proses pengajian mereka.

5. Antara cadangan yang difikirkan perlu adalah mengkoordinasi bantuan kewangan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri, memberikan jaminan kewangan kepada pihak pengurusan universiti bagi pihak pelajar dan berbincang untuk melanjutkan tempoh pembayaran yuran pengajian bagi tempoh masa tertentu.

Sekian.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
Tarikh : 12 Zulkaedah 1436 / 27 Ogos 2015


Sila kongsi artikel ini...

PKR: Ringgit yang Lemah tidak Membawa Kebaikan kepada Rakyat

3:15 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA: Ringgit yang Lemah tidak Membawa Kebaikan kepada Rakyat

KEADILAN ingin menzahirkan kebimbangan mengenai penyusutan nilai ringgit berterusan ke tahap terendah dalam sejarah yang akan memberikan dampak negatif kepada ekonomi negara.


Kami berterima kasih atas tindakan pihak kerajaan yang telah mengambilkira cadangan kami untuk membentuk suatu jawatankuasa khas ekonomi. Saranan ini telah kami suarakan semenjak Januari 2015 ketika harga minyak mentah dunia jatuh merudum. Bagaimanapun, kami kurang percaya akan keberkesanan jawatankuasa tersebut kerana (a) ketiadaan Gabenor Bank Negara Zeti ataupun sebarang wakil daripada Bank Negara; dan (b) jawatankuasa ini akan hanya bertanggungjawab kepada Perdana Menteri, seorang pemimpin yang tiada tekad politik untuk melaksanakan reformasi ekonomi. KEADILAN menggesa jawatankuasa ini untuk turut tampil melaporkan kepada Parlimen secara mingguan akan sebarang penemuan dan cadangan.

KEADILAN juga ingin menegaskan bahawa krisis matawang ini akan memberikan kesan yang lebih mendalam kepada ekonomi negara. Beberapa pimpinan kerajaan telah mengatakan bahawa nilai ringgit yang rendah ini adalah baik untuk eksport dan industri pelancongan negara. Bagaimanapun, analisa kami berdasarkan angka-angka kerajaan sendiri telah menunjukkan kesimpulan yang amat bebeza.

Nilaian eksport negara tidak menunjukkan sebarang peningkatan yang bermakna walaupun dengan penyusutan nilai ringgit. Untuk tempoh separuh pertama 2015, jumlah eksport negara hanyalah RM 368 billion, iaitu RM 12 billion lebih rendah daripada tempoh yang sama 2014 (RM 380 billion). Ini berlaku walaupun ringgit bernilai 11% lebih rendah pada separuh pertama 2015 berbanding separuh pertama 2014. Penemuan ini amat membimbangkan kerana bertentangan dengan tahun sebelumnya. Ringgit yang 6% lebih rendah pada separuh pertama 2014 berbanding separuh pertama 2013 telah menghasilkan pertambahan nilai eksport RM 42 billion untuk separuh pertama 2014 berbanding separuh pertama 2013.

Jumlah pelancong asing juga tidak memuaskan. Jumlah pelancong asing untuk suku pertama 2015 adalah 609 ribu orang lebih rendah daripada suku pertama 2014 walaupun ringgit 10% lebih rendah pada suku pertama 2015 berbanding suku pertama 2014. Jumlah pelancong asing untuk suku pertama 2015 seramai 6.48 juta juga adalah hampir sama dengan suku pertama 2013 seramai 6.45 juta walaupun ringgit 17% lebih rendah berbanding suku pertama 2013.

Dengan harga minyak mentah dunia yang dijangkan susut dalam masa terdekat akibat pertambahan pengeluaran daripada OPEC dan Amerika Syarikat (Shale), penguncupan ekonomi China dan penghapusan sekatan ekonomi kepada Iran, pendapatan negara bakal terkesan. Jadi kita akan menghadapi satu keadaan di mana hasil petroleum akan berkurangan dan nilai ringgit yang rendah pula tidak dapat menjamin pengembangan yang lebih berkesan dalam industri pelancongan dan pertambahan eksport.

Kebimbangan terbesar kita akibat penyusutan nilai ringgit adalah pertambahan kadar inflasi akibat import yang bertambah mahal. Ini akan mengakibatkan kenaikan kos sara hidup untuk rakyat yang masih lagi menanggung beban GST. Kami ingin mencadangkan kepada jawatankuasa khas ekonomi agar tidak menaikkan kadar faedah sewenang-wenangnya sebagai langkah mudah untuk menangani inflasi yang bakal berlaku kerana ianya akan mengekang pengembangan akitiviti ekonomi domestik.

Sebaliknya kami ingin mencadangkan langkah yang lebih mudah, iaitu menurunkan kadar GST kepada 4% atau lebih rendah sebagai langkah sementara untuk membendung inflasi dan membantu komuniti perniagaan. KEADILAN komited dengan penghapusan GST sepenuhnya, tetapi dalam keadaan krisis ini, cadangan ini hanyalah sebagai suatu penyelesaian sementara yang praktikal.

KEADILAN menggesa Dato’ Sri Najib Razak untuk menerima cadangan ini dan memberikan tumpuan kepada ekonomi negara dan penderitaan rakyat dan bukannya memikirkan soal hayat politik beliau sahaja.

YB Wong Chen & Dr Fahmi Ngah
Biro Pelaburan & Perdagangan KEADILAN
28 Ogos 2015

-

PRESS STATEMENT: The Weakening Ringgit is not a Good Deal for the Rakyat

KEADILAN is extremely concerned that the Ringgit continues to free fall to record lows and that the same will have a wider negative impact to the economy.

We are pleased that the government has finally heeded our suggestion to form a special economic committee. We have been requesting the government to do this since January 2015, when the price of crude oil sustained deep falls. However, we are sceptical about the effectiveness of the committee on two points (a) the absence that Bank Governor Zeti or any other representative from Bank Negara; and (b) the committee will only report to the Prime Minister, a leader that has demonstrated time and time again, a lack of political will to reform the economy. KEADILAN urge the new committee to report instead to Parliament its weekly findings and recommendations.

KEADILAN also wishes to stress that the currency crisis will have a much deeper impact on the overall economy. Statements made by government officials seem to suggest that the weaker ringgit would be good for our exports and tourism. Our analyses using the government’s own figures have indicated otherwise.

Despite the weak Ringgit, our export numbers have not improved significantly. For the period 1H15 (this period was chosen as this is the most recent data available), total exports are only RM 368 billion, which is RM 12 billion lower than the same period last year (RM 380 billion). This is despite an 11% weaker ringgit (vs USD) in 1H15 compared with 1H14. This is a worrying trend, because a 6% weaker ringgit in 1H14 vs 1H13 had resulted in an export gain of RM 42 billion for 1H14 vs 1H13.

The tourist numbers are not impressive either. Total tourists for 1Q15 are 609,000 lower than 1Q14 despite ringgit being 10% weaker in 1Q15 vs 1Q14. The 1Q15 tourists total at 6.48 million is also almost similar to 1Q13 at 6.45 million despite ringgit in 1Q15 being 17% lower than 1Q13.

With international crude oil prices expected to be lower in the short term due to the rising production from OPEC and US shale, a weaker Chinese economy and also the recent lifting of sanctions from Iran, government revenue will be impacted negatively. So we now have a situation whereby our oil revenue will be lower, and a weaker ringgit that does not seem to be bringing in materially significant number of tourists or helping to improve our exports.

Our biggest worry from the Ringgit’s fall is rising inflation from more expensive imports. This will translate into higher cost of living for ordinary citizens already suffering from the GST. We also wish to caution the economic committee to be careful not to raise interest rates as an easy way to stabilize the impending inflation because it will diminish our much needed domestic economic activities.

Instead, we propose a simpler solution, to bring down GST to a more sane rate of 4% or lower as a temporary measure to hold back inflation and help out the business community. KEADILAN is committed to a complete revision of the GST but in light of the current crisis, we are suggesting this as a practical interim solution.

KEADILAN urges Dato' Sri Najib Razak to accept our proposal and to focus more on the economy and the rakyat’s suffering, instead of being preoccupied with his own political survival.

YB Wong Chen & Dr Fahmi Ngah
KEADILAN Investment and Trade Bureau
28th August 2015


Sila kongsi artikel ini...

Surat Terbuka Kepada PM: Ke Mana Duit Kami Pergi? - Syahir Che Sulaiman

2:26 PM 0 Comments A+ a-



SURAT TERBUKA KEPADA PERDANA MENTERI:
KE MANA DUIT KAMI PERGI?

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu; Maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya” (Al-A’raf: 96)

YAB Datuk Seri,

Tidak dapat dinafikan, negara kini berhadapan dengan ketidakstabilan politik dan ekonomi. Pertumbuhan KDNK diunjur malar, inflasi terus menjalar, defisit kian melebar, hutang kerajaan makin mengakar, tabungan rakyat semakin sukar, dan terkini Ringgit sudah hilang kadar.

Untuk pengetahuan Datuk Seri, kami anak muda juga cakna memikirkan hal ekonomi negara. Saban hari kami hadapi - harga makan minum mahal, harga rumah mahal, harga kereta mahal, harga petrol mahal. Namun kelangsungan hidup perlu diteruskan, demi mengejar cita dan harapan.

Jika sebelum ini Datuk Seri dilihat mengambil formula mudah untuk mengatasi masalah ini – cukai dinaikkan, subsidi dikurangkan, kini kerajaan tiada pilihan selain meningkatkan integriti untuk memperbaiki tahap keyakinan.

Rakyat perlu dilibat sama.

Rakyat perlu dilibat sama dalam usaha bersepadu dalam menangani krisis ini. Rakyat tiada akses pada keuntungan sumber minyak negara, yang kami kira, wajar diagih rata. Rakyat tiada akses pada agihan tender kerajaan, yang kami hitung, wajar diberi secara telus dan terbuka. Rakyat tiada akses pada perbelanjaan menteri, yang kami perincikan, wajar dijimat dalam berbelanja. Rakyat tiada akses pada kutipan GST yang dipungut dari poket kami, yang kami anggar, wajar diagih saksama.

Dua strategi perlu diambil dalam menangani krisis ini. Pertama, memperkasa dayatahan kuasa beli rakyat, kedua, mempertahan dayasaing ringgit.

Bagi memperkasa dayatahan kuasa beli rakyat, beberapa insentif dasar fiskal dan monetari yang akomodatif wajar dilaksanakan, supaya rakyat mempunyai lebih pendapatan boleh-guna (disposable income) agar kerancakan perbelanjaan domestik dapat dikekalkan, antaranya dengan memberi fleksibiliti untuk potongan cukai pendapatan dan caruman KWSP, mengawal kadar faedah yang dikenakan bank, malah jika perlu, dikurangkan kadar GST atau ditangguhkan pelaksanaannya buat sementara. Di pihak majikan, insentif percukaian atau gran khas boleh disediakan untuk mengelak pengilang dan peniaga memberhentikan pekerja bagi mengurangkan beban operasi syarikat.

Persepsi dan sentimen ini perlu diurus dengan baik, dan rakyat perlu diyakinkan untuk terus berbelanja bagi menjana ekonomi negara, serta tidak mudah terpedaya dengan khabar angin yang disebar pihak tidak bertanggungjawab, antaranya ringgit akan hilang nilai, simpanan di bank perlu dikeluarkan, dan pelbagai lagi andaian negatif yang tidak berasas.

Ringgit perlu distabilkan segera.

Bagi mempertahan dayasaing ringgit, kerajaan perlu memberi fokus untuk menstabilkan dinamik penawaran dan permintaan matawang. Langkah mengurangkan permintaan terhadap wang asing perlu diperkenalkan, antaranya dengan menghadkan import barangan mewah, menghadkan aliran keluar modal dan pelaburan luar negeri oleh dana-dana awam, mengurangkan kunjungan ke luar negara oleh penjawat awam, dan menggalakkan rakyat melancong ke destinasi domestik.

Di samping itu, permintaan terhadap Ringgit boleh ditingkatkan, antaranya dengan memberi insentif pelaburan kepada industri berorientasikan eksport, menggalakkan pelabur tempatan membawa pulang keuntungan dari luar negara, dan meningkatkan promosi kedatangan pelancong asing ke dalam negara.

Akhir dari kami, ingatlah ketika Datuk Seri (dan isteri) berfikir ke mana mahu pergi, kami anak muda berfikir ke mana duit kami pergi. Teringat kami akan konsep wasatiyyah yang pernah dizikirkan. Jika ikhlas diamalkan, setiap masalah mampu diselesaikan.

Firman Allah s.w.t.: “Yusuf menjawab: Hendaklah kamu bertanam tujuh tahun seperti biasa, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah dia pada tangkai-tangkai; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makanan. Kemudian akan datang selepas itu, tujuh tahun yang bersangatan kemaraunya, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan bagi mereka; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan. Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah hasil.” (Yusuf: 47–49)

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi
Dewan Pemuda PAS Malaysia



Sila kongsi artikel ini...

Najib Guna Melayu dan UMNO untuk Selamatkan Diri - Mahfuz Omar

10:34 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media.

NAJIB GUNA MELAYU DAN UMNO UNTUK SELAMATKAN DIRI.

1.Kenyataan PM, Dato' Seri Najib kononnya Melayu akan terbangsat jika Umno hilang kuasa adalah tersangat dikesali.Kenyataan ini adalah suatu percubaan untuk memerangkap ahli ahli Umno agar mendiamkan diri dari menimbulkan dan mempertikaikan segala salah laku jenayah yang beliau dan rakan rakannya lakukan bagi mengelak hilangnya kepercayaan rakyat khususnya orang orang Melayu pada Umno.


2. Kenyataan Najib juga adalah bertujuan untuk menimbulkan ketakutan pada ahli umno dan orang Melayu akan akibat dari umno hilang kuasa.Kenyataan ini sebenarnya adalah usaha terdesak Najib bagi menyelamatkan dirinya dari menghadapi krisis kepercayaan dan undi tidak percaya terhadapnya.

3. Dengan berselindung disebalik kebangsatan Melayu bila Umno hilang kuasa, Najib mengharapkan pemimpin dan ahli Umno serta orang Melayu akan terus mempertahankan kedudukan beliau sebagai PM kerana bimbang Umno akan hilang kuasa.Kenyataan Najib sebenar satu percubaan menanamkam kebencian orang Melayu pada bangsa lain yang kononnya bila bangsa lain mendapat kuasa akan menindas orang Melayu.

4.Tetapi harapan Najib meleset apabila tampilnya pemimpin pemimpin Melayu dan pegawai kanan kerajaan mendedahkan salah guna kuasa kerajaan pimpinan Najib untuk merompak harta negara.Pendedahan ini menjadikan akar umbi orang Melayu makin meluat dan muak dengan Najib dan Umno.Perkembangan ini menyaksikan kesatuan orang Melayu dipelbagai peringkat bersama bangsa lain atas nama rakyat Malaysia sehati sejiwa mahukan perubahan politik negara dengan pemimpin yang beramanah dan sistem yang telus demi untuk kesejahteraan rakyat Malaysia.

5. Kepada Najib dan kuncu kuncunya hentikan lah berselindung disebalik nama Islam dan melayu untuk menyembunyikan jenayah politik dan ekonomi atas nama demokrasi.cukuplah penderitaan rakyat selama ini, turun lah secara terhormat demi Malaysia tercinta. Kepada Najib dan kuncunya saya tegaskan kamu semua ada masalah dan beban pada negara. Malaysia memerlukan pembaharuan.Malaysia baru tanpa anda semua dengan sistem yang lebih bebas, telus dan adil pasti akan memberikan kebaikan pada rakyat dan negara.

"SEHATI SEJIWA,SELAMATKAN MALAYSIA TERCINTA"

Dato' Mahfuz Hj Omar
Ahli Parlimen Pokok Sena
28 Ogos 2015 / 13 Zulkaedah 1436H



Sila kongsi artikel ini...

Merdeka! Sokong BERSIH! - Anwar Ibrahim

7:46 AM 0 Comments A+ a-



MERDEKA! SOKONG BERSIH!

Gegaran Merdeka menandakan berakhirnya pemerintahan penjajahan curang kerana penindasan dan kezaliman. Merdeka juga mengusung gagasan besar dan keyakinan baru; menegak keadilan dan negara hukum serta memacu pertumbuhan dengan jaminan pengagihan saksama.

Walhasil, Merdeka 2015 dinodai keserakahan dan ketamakan; ekonomi meruncing dan kehidupan rakyat terus melarat. Terdapat ketimpangan luar biasa diantara cita-cita luhur kemerdekaan dan sekatan ke atas kebebasan rakyat. Institusi hukum tercemar dan kesenjangan pendapatan terus melebar.


Kita harus bertindak dan selamatkan Malaysia tercinta!

DATO' SERI ANWAR IBRAHIM

27 Ogos 2015

-

MERDEKA! Support BERSIH!

There is a tide in our affairs which, unless we seize it, will see our voyage for democracy and rule of law in shallows and in miseries. This is the rising tide of corruption and electoral fraud; financial malfesance; arrogance of power and transgression; and judicial impropriety!

It is therefore morally incumbent that Malaysians join hands in this effort and save Malaysia from the systemic crisis of governarability.

DATO' SERI ANWAR IBRAHIM

27 Aug 2015


Sila kongsi artikel ini...

Semua Pihak Perlu Bertenang Dan Terbuka Meraikan Perbezaan Pandangan - CheGu Bard SAMM

6:30 AM 0 Comments A+ a-



SAMM rai BERSIH 4 dan minta semua bertenang termasuk pasukan keselamatan

Kenyataan Umum
26 Ogos 2015


Semua Pihak Perlu Bertenang Dan Terbuka Meraikan Perbezaan Pandangan

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menasihatkan Najib dan Polis DiRaja Malaysia agar tidak mengambil sebarang tindakan keterlaluan dalam menghadapi perhimpunan Bersih 4 nanti.

Bersih telah berulang kali menyatakan bahawa perhimpunan hujung minggu nanti adalah satu perhimpunan tunjuk rasa secara aman. Perhimpunan tersebut juga akan menjadi medan ujian bagi Najib sama ada Najib akan menuju bentuk pemerintahan tirani seperti Mahathir semasa zaman Reformasi 1998 dahulu.

SAMM dengan ini meminta semua pihak agar bertenang kerana Kerajaan tidak akan terguling hanya dengan demonstrasi 48 jam. Perhimpunan Bersih hanyalah sekadar ruang untuk rakyat melaksanakan hak yang dijamin Perlembagaan dan menyuarakan pendapat bagi mendesak penambahbaikan sistem pentadbiran negara khususnya penambahbaikan Pilihanraya.

SAMM menghargai usaha Bersih mengubah dan menggugurkan tuntutan menjatuhkan individu semata-mata kerana kita perlu ingat perubahan sistem bernegara itu adalah lebih penting dan utama. Tiada gunanya pemimpin tertinggi negara silih berganti tetapi sistem yang bejat ini tidak dipulihkan.

SAMM mendokong penuh tuntutan Bersih ke arah Pilihanraya Umum yang bebas dan adil dimana SAMM merupakan sebahagian tenaga yang mengasaskan Bersih sejak dari zaman Syed Syahir menjadi pengerusinya. Malah tidak keterlaluan, strategi demo Bersih 1 yang diwarisi hingga kini merupakan idea asal SAMM bersama sekutu ketika itu.

Dalam perkembangan yang sama, SAMM tidak pernah sesekali membuat sebarang ketetapan menghalang mana-mana komrad SAMM untuk menyertai perhimpunan Bersih 4 nanti. Komrad SAMM bebas untuk turut serta. SAMM tetap kekal komited untuk meraikan pandangan dan pelbagai aksi unjuk rasa bagi menyelamatkan tanahair ini daripada terus terbeban dengan kerosakan sistem yang serius.

SAMM juga menyelar tindakan-tindakan kumpulan anti-Bersih 4 termasuklah aksi separa matang kumpulan baju Merah di depan Sogo. Walaupun berbeda pandangan politik tetapi tidak sepatutnya ia dizahirkan dengan tindakan mengugut dan cuba menimbulkan kekacauan terhadap sebuah perhimpunan aman yang lain. Jika kumpulan ini mahu membuat perhimpunan untuk tujuan menyokong Perdana Menteri, buatlah di lokasi lain atau di masa yang lain kerana Bersih telah umum lebih awal.

Che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)


Sila kongsi artikel ini...

Derma RM 2.6 bilion: Apa Kesudahan Kisah Najib? - Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss

3:28 AM 0 Comments A+ a-



DERMA RM 2.6 BILION: APA KESUDAHAN KISAH NAJIB?

Oleh: Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss

Rakyat Malaysia dikejutkan dengan satu berita yang hangat diperkatakan oleh masyarakat kampung di kedai kopi sehinggalah masyarakat antarabangsa di Sidang Parlimen mereka disebabkan sumbangan derma kepada seorang yang bernama Dato' Sri Haji Mohammad Najib Tun Haji Abdul Razak.

Siapa tidak kenal Dato’ Sri Najib yang ketika itu Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan Malaysia dan juga Presiden Umno yang menerima sumbangan derma yang ‘dikatakan’ berjumlah AS$ 700 Juta (RM 2.6 Bilion), adakah ianya benar?

Melalui carian enjin Google dengan menaip ‘Najib RM 2.6 Bilion’ terdapat pelbagai kisah tersebut termasuk paparan gambar Dato’ Sri Najib yang berjumlah lebih 700 Ribu jaringan dalam pelbagai bahasa yang menunjukkan ramai yang berminat akan kisah yang berlaku.

Bermula pada 5 Julai 2015 dengan laporan The Wall Street Journal (WSJ) yang juga sebuah syarikat akhbar harian antarabangsa yang berpengaruh yang diterbitkan di New York City, Amerika dengan peredaran di seluruh negara dengan cetakan hampir 2.6 Juta naskah jualannya.

WSJ untuk rekod pernah disaman oleh hartawan kasino Amerika, Sheldon Adelson pada 2 Mac 2013 kerana dikatakan memfitnahnya berikutan artikel Kate O’Keeffe pada 22 Februari 2013 yang diterbitkan pada 5 Disember 2012 yang bertajuk ‘Fired Executive Rankles Casino Business’.

Pelbagai pihak mentaksif artikel WSJ (http://www.wsj.com/articles/scandal-in-malaysia-1436113149) tersebut sebagai satu yang mengejutkan, sungguh memanaskan politik Malaysia sehinggakan berlakunya rombakan Kabinet Malaysia pada 28 Julai 2015 yang lalu.

WSJ telah mendedahkan tentang sebuah bank yang dikaitkan dengan sebuah Negara dari Timur Tengah iaitu Negara Kuwait yang sebelum ini dikejutkan tentang kes pembunuhan Pengasas Arab-Malaysian Bank (sekarang AmBank Group), Hussain Ahmad Najadi pada 29 Julai 2013.

Pada Mac 2015 yang lalu, Pascal Najadi Pengasas dan Presiden Firma Penasihat Antarabangsa Perbankan Switzerland, Najadi and Partners Ltd anak kepada Pengasas Arab-Malaysian Bank tersebut mengatakan masih menunggu kes pembunuhan bapanya yang belum selesai.

Untuk rekod, sejumlah RM 1.63 Juta zakat perniagaan Kumpulan AmBank bagi tahun kewangan 2013 dan bagi tahun kewangan 2012 pula ianya menunjukkan lebihan RM 9,000 perbezaan tahun tersebut yang lebih baik bersifat tahun kewangannya.

Manakala bagi bayaran cukai perniagaan Kumpulan AmBank pula bagi tahun 2012 ialah RM 499 Juta berbanding tahun 2013 sebanyak RM 484.7 Juta yang jelas menunjukkan pencapaian kewangan pada tahun 2012 adalah lebih baik walaupun terdapat pendeposit wang yang besar pada tahun 2013.

Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) pada 5 Mei 2013, Barisan Nasional (BN) di bawah Dato’ Sri Najib telah memenangi 133 kerusi parlimen daripada 222 kerusi keseluruhannya dan selebihnya dimenangi oleh Pakatan Rakyat (PR) sebanyak 89 kerusi parlimen.

Umum mengetahui bahawa Timbalan Presiden Umno yang juga merangkap Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Yassin adalah Pengerusi Pengurusan Pentadbiran Umno yang juga sering diberikan tugas sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil beberapa kali.

Manakala Bendahari Agung Umno yang juga Bendahari BN adalah Dato' Seri Haji Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan beliau juga adalah Menteri Kewangan 11 dimana bosnya adalah Dato’ Sri Najib yang boleh menjawab isu dana pilihan raya serta isu derma yang panas tersebut.

Jika kembali kepada sejarah berkaitan tokoh politik dengan skandal kewangannya, pada 11 April 1998 ianya berlaku terhadap Tan Sri Muhammad Haji Muhammad Taib, bekas Menteri Besar Negeri Selangor yang terpaksa meletak jawatannya setelah Mahkamah Majistret Brisbane, Australia memutuskannya bersalah.

Beliau ditahan di Lapangan Terbang Brisbane, Australia pada 16 Disember 1996 kerana tidak mengisytiharkan wang milik adiknya untuk membeli tanah di Queensland, membawa keluar wang tunai sebanyak RM 2.4 Juta ke Negara Australia dalam bentuk ringgit Singapura, Malaysia dan New Zealand.

Beliau didakwa di dibawah Financial Transaction Reports Act 1988, Australia, perbicaraan di Mahkamah Persekutuan Brisbane pada 19 Ogos 1997 kerana gagal memaklumkan membawa wang lebih A$ 5,000 yang bertujuan membina rumah mewah di Gold Coast , barat Queensland di atas tanah seluas 4,500 hektar.

Malaysia telah memperkenalkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) di dalam usaha mencegah ‘kuasa ketiga’ menentukan suasana dan keadaan dalam negara kita dengan kewangan yang disalurkan.

Bank Negara Malaysia bertanggungjawab telah meminda Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan untuk memperkukuh lagi sistem kewangan dalam negara kita yang diperkenalkan pada Oktober 2013 yang lalu.

Pelaburan wang haram dalam undang-undang Amerika Syarikat adalah amalan melibatkan urusan kewangan untuk menyembunyikan pengenalan, sumber, atau destinasi wang yang diperolehi secara haram yang diberikan kepada pihak yang ketiga.

Dalam undang-undang United Kingdom, takrifan common law tentang harta milik dalam bentuk yang sama ada keseluruhannya atau sebahagiannya hasil jenayah yang akan menyamarkan fakta bahawa harta milik itu adalah hasil jenayah atau mengaburkan kepemilikan bermanfaatan harta milik itu.

Istilah ‘pelaburan wang haram’ telah digunakan hanya pada urusan kewangan berkaitan jenayah terancang, kini takrifannya diperluas kepada mana-mana urusan kewangan yang menghasilkan aset atau suatu nilai disebabkan tindakan haram, yang mungkin melibatkan tindakan seperti pengelakan cukai atau perakaunan palsu.

Hasil kutipan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun 2013 adalah sebanyak RM 129 Bilion, bagi tahun 2014 pula sebanyak RM 133.7 Bilion berjaya dikutip dan sebanyak RM 124.87 Bilion pada 2012 yang menunjukkan peningkatan setiap tahun, adakah termasuk cukai RM 2.6 Bilion tersebut?

Kepada yang diketagorikan dikenakan bayaran cukai, LHDN tersedia Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menetapkan kesalahan, denda dan penalti kepada mereka yang disenaraikan (http://www.hasil.gov.my/goindex.php…)

Kerajaan Malaysia telah menubuhkan Pasukan penyiasat khas terdiri daripada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Rakyat Malaysia adalah ‘hakim terakhir’ untuk memutusakan kisah Dato’ Sri Najib berdasarkan ‘hujah-hujah’ oleh pelbagai pihak yang menjadi ‘peguam rakyat’ dengan tujuan untuk menyelamatkan Malaysia daripada ‘dakwaan dan kesalahan’ yang perlu dijatuhkan ‘hukuman’!


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.