Apa kata tabligh tentang Bersih 4? – Mohd Azhar

9:15 PM 0 Comments A+ a-



ABIM, PKPIM, IKRAM, PAS, merupakan antara Jemaah dan Persatuan Islam di Malaysia yang mempunyai tempat dan pengikut tersendiri dan mempunyai pendirian masing-masing dalam membawa perjuangan serta matlamat Islam mereka.

Terbaru kumpulan GHB yang dilaporkan bakal membentuk sebuah parti politik Islam turut akan tersenarai sebagai sebuah pertubuhan membawa imej Islam dalam perjuangan mereka. Namun kita sering tertinggal untuk melihat pandangan dari sebuah kumpulan yang tidak kurang besarnya di Malaysia iaitu Tabligh, sebuah persatuan besar yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Kesemua pertubuhan yang disebutkan tadi mempunyai pendirian yang hampir sama menyokong demonstrasi aman Bersih 4 berdasarkan kepada tuntutan yang digariskan dalam perhimpunan tersebut kecuali PAS yang dilihat berhati-hati dan seakan-akan menolak secara halus perhimpunan tersebut atas alasan yang tidak begitu kukuh pada pandangan umum. Apapun mereka dikatakan akan menghantar wakil tetapi tidak mengerah ahlinya untuk sertai.


Saya sempat bertemu seorang rakan yang mengikut jemaah tabligh untuk berbual dan bertanyakan pandangan beliau tentang isu-isu semasa. Ramai di kalangan masyarakat di Malaysia mempunyai tanggapan pengikut-pengikut Tabligh ini tidak boleh bercakap dan menyentuh isu politik kerana mahu menjaga matlamat serta didikan asas mereka iaitu menjaga amal. Namun saya percaya politik dan siasah ini adalah fitrah dan ada dalam jiwa setiap manusia Cuma cara dan jalan mereka menginterpretasikannya sahaja berbeza.



Menyentuh isu kejatuhan ringgit dan penyelewengan besar dalam 1MDB dan derma 2.6 bilion, nada sahabat saya ini tidak banyak beza dengan sebahagian besar rakan-rakan anak muda saya yang lain. Beliau berkata semua ini adalah akibat daripada kepimpinan yang tidak mengikut cara nabi, kesan pendidikan yang berkiblatkan keduniaan dan bermacam-macam lagi hujah islamik yang dilontarkan. Saya mendengar dengan penuh minat kerana diselit-selitkan juga pesanan-pesanan makruf yang ikhlas. Cuma di hujung ulasannya itu beliau berkata semua ini adalah perancangan daripada pihak luar dan US untuk melemahkan dan memburukkan imej Malaysia.

“Semua ini mereka yang buat. Siapa yang kawal semua ini?.Amerika lah kan?So mereka memang mempunyai agenda untuk rancang semua ini?”, katanya bersungguh.

Saya hanya mendiamkan diri tanpa membalas kerana tujuan saya hanya untuk melihat sisi pandang beliau terhadap isu-isu semasa bukan berdiskusi mencari kebenaran. Namun di dalam hati saya berbisik, patutlah Tabligh tidak boleh bercakap soal politik kerana hujahnya akan tersasar dan kurang meyakinkan apabila menyentuh soal pentadbiran dan urus tadbir. Mungkin maksud tidak boleh itu bukan bermakna tidak dibenarkan tetapi tidak berupaya.

Perbualan kami diteruskan dengan menyentuh isu perhimpunan Bersih 4. Persoalan berupa andaian saya lontarkan kepadanya dengan nada kebimbangan. “Bagaimana agaknya perhimpunan Bersih 4 ni ya?Mesti kecoh” telahan saya sambil memandang ke atas seolah-olah membayangkan sesuatu.

Lantas beliau menjawab “Ha, Bersih 4? Bila tu?”. Saya terdiam seketika kerana tidak menyangka masih ada rakyat Malaysia yang tidak mengetahui perkembangan ini dalam suasana seluruh Malaysia memperkatakannya.

“Ya, sabtu dan ahad ni, 2 hari, macam ramai je yang akan turun”jawab saya ringkas. Mukanya berubah sambil menggeleng-gelengkan kepala. “Kenapa?”, tanya saya kepadanya.

Beliau lantas bersuara mengatakan semua tindakan ini tidak betul. Jauh tersasar daripada apa yang sepatutnya dibuat. Tindakan seperti ini, berhimpun beramai-ramai, tidak mengikut apa yang nabi ajar. Nabi menganjurkan setiap permasalahan perlu diselesaikan di masjid. Bukan dengan cara menunjuk perasaan turun di jalan raya. Nabi kita tidak mengajar cara begini untuk menyelesaikan masalah. Berhimpun di jalan raya tidak akan menyelesaikan masalah dan akan hanya membawa kerosakan. Malah semua tindakan ini tidak disukai Allah. Kalau dilihat masa mereka berhimpun ini akan melewati waktu Zohor dan mungkin sampai ke Asar. Ini akan mendorong peserta yang hadir dalam perhimpunan itu meninggalkan solat dan sekiranya ada di kalangan mereka yang mati ketika itu, bagaimana mati mereka ini? Berbagai-bagai lagi hujah negatif yang diberikan.

Saya mangangguk-anggukkan kepala tanda faham persepsi beliau dengan perhimpunan ini. Sekali lagi saya tidak membalas kerana saya berbual sekadar untuk melihat pandangan beliau. Seusai beliau melontarkan hujah dan pandangannya, saya meminta izin beredar kerana bimbang beliau mengeluarkan hujah “Kau tengok PAS, PAS pun dah sedar, PAS pun tak sertai, kan betul apa aku cakap”.





Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.