Derma RM 2.6 bilion: Apa Kesudahan Kisah Najib? - Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss

3:28 AM 0 Comments A+ a-



DERMA RM 2.6 BILION: APA KESUDAHAN KISAH NAJIB?

Oleh: Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss

Rakyat Malaysia dikejutkan dengan satu berita yang hangat diperkatakan oleh masyarakat kampung di kedai kopi sehinggalah masyarakat antarabangsa di Sidang Parlimen mereka disebabkan sumbangan derma kepada seorang yang bernama Dato' Sri Haji Mohammad Najib Tun Haji Abdul Razak.

Siapa tidak kenal Dato’ Sri Najib yang ketika itu Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan Malaysia dan juga Presiden Umno yang menerima sumbangan derma yang ‘dikatakan’ berjumlah AS$ 700 Juta (RM 2.6 Bilion), adakah ianya benar?

Melalui carian enjin Google dengan menaip ‘Najib RM 2.6 Bilion’ terdapat pelbagai kisah tersebut termasuk paparan gambar Dato’ Sri Najib yang berjumlah lebih 700 Ribu jaringan dalam pelbagai bahasa yang menunjukkan ramai yang berminat akan kisah yang berlaku.

Bermula pada 5 Julai 2015 dengan laporan The Wall Street Journal (WSJ) yang juga sebuah syarikat akhbar harian antarabangsa yang berpengaruh yang diterbitkan di New York City, Amerika dengan peredaran di seluruh negara dengan cetakan hampir 2.6 Juta naskah jualannya.

WSJ untuk rekod pernah disaman oleh hartawan kasino Amerika, Sheldon Adelson pada 2 Mac 2013 kerana dikatakan memfitnahnya berikutan artikel Kate O’Keeffe pada 22 Februari 2013 yang diterbitkan pada 5 Disember 2012 yang bertajuk ‘Fired Executive Rankles Casino Business’.

Pelbagai pihak mentaksif artikel WSJ (http://www.wsj.com/articles/scandal-in-malaysia-1436113149) tersebut sebagai satu yang mengejutkan, sungguh memanaskan politik Malaysia sehinggakan berlakunya rombakan Kabinet Malaysia pada 28 Julai 2015 yang lalu.

WSJ telah mendedahkan tentang sebuah bank yang dikaitkan dengan sebuah Negara dari Timur Tengah iaitu Negara Kuwait yang sebelum ini dikejutkan tentang kes pembunuhan Pengasas Arab-Malaysian Bank (sekarang AmBank Group), Hussain Ahmad Najadi pada 29 Julai 2013.

Pada Mac 2015 yang lalu, Pascal Najadi Pengasas dan Presiden Firma Penasihat Antarabangsa Perbankan Switzerland, Najadi and Partners Ltd anak kepada Pengasas Arab-Malaysian Bank tersebut mengatakan masih menunggu kes pembunuhan bapanya yang belum selesai.

Untuk rekod, sejumlah RM 1.63 Juta zakat perniagaan Kumpulan AmBank bagi tahun kewangan 2013 dan bagi tahun kewangan 2012 pula ianya menunjukkan lebihan RM 9,000 perbezaan tahun tersebut yang lebih baik bersifat tahun kewangannya.

Manakala bagi bayaran cukai perniagaan Kumpulan AmBank pula bagi tahun 2012 ialah RM 499 Juta berbanding tahun 2013 sebanyak RM 484.7 Juta yang jelas menunjukkan pencapaian kewangan pada tahun 2012 adalah lebih baik walaupun terdapat pendeposit wang yang besar pada tahun 2013.

Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) pada 5 Mei 2013, Barisan Nasional (BN) di bawah Dato’ Sri Najib telah memenangi 133 kerusi parlimen daripada 222 kerusi keseluruhannya dan selebihnya dimenangi oleh Pakatan Rakyat (PR) sebanyak 89 kerusi parlimen.

Umum mengetahui bahawa Timbalan Presiden Umno yang juga merangkap Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Yassin adalah Pengerusi Pengurusan Pentadbiran Umno yang juga sering diberikan tugas sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil beberapa kali.

Manakala Bendahari Agung Umno yang juga Bendahari BN adalah Dato' Seri Haji Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan beliau juga adalah Menteri Kewangan 11 dimana bosnya adalah Dato’ Sri Najib yang boleh menjawab isu dana pilihan raya serta isu derma yang panas tersebut.

Jika kembali kepada sejarah berkaitan tokoh politik dengan skandal kewangannya, pada 11 April 1998 ianya berlaku terhadap Tan Sri Muhammad Haji Muhammad Taib, bekas Menteri Besar Negeri Selangor yang terpaksa meletak jawatannya setelah Mahkamah Majistret Brisbane, Australia memutuskannya bersalah.

Beliau ditahan di Lapangan Terbang Brisbane, Australia pada 16 Disember 1996 kerana tidak mengisytiharkan wang milik adiknya untuk membeli tanah di Queensland, membawa keluar wang tunai sebanyak RM 2.4 Juta ke Negara Australia dalam bentuk ringgit Singapura, Malaysia dan New Zealand.

Beliau didakwa di dibawah Financial Transaction Reports Act 1988, Australia, perbicaraan di Mahkamah Persekutuan Brisbane pada 19 Ogos 1997 kerana gagal memaklumkan membawa wang lebih A$ 5,000 yang bertujuan membina rumah mewah di Gold Coast , barat Queensland di atas tanah seluas 4,500 hektar.

Malaysia telah memperkenalkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) di dalam usaha mencegah ‘kuasa ketiga’ menentukan suasana dan keadaan dalam negara kita dengan kewangan yang disalurkan.

Bank Negara Malaysia bertanggungjawab telah meminda Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan untuk memperkukuh lagi sistem kewangan dalam negara kita yang diperkenalkan pada Oktober 2013 yang lalu.

Pelaburan wang haram dalam undang-undang Amerika Syarikat adalah amalan melibatkan urusan kewangan untuk menyembunyikan pengenalan, sumber, atau destinasi wang yang diperolehi secara haram yang diberikan kepada pihak yang ketiga.

Dalam undang-undang United Kingdom, takrifan common law tentang harta milik dalam bentuk yang sama ada keseluruhannya atau sebahagiannya hasil jenayah yang akan menyamarkan fakta bahawa harta milik itu adalah hasil jenayah atau mengaburkan kepemilikan bermanfaatan harta milik itu.

Istilah ‘pelaburan wang haram’ telah digunakan hanya pada urusan kewangan berkaitan jenayah terancang, kini takrifannya diperluas kepada mana-mana urusan kewangan yang menghasilkan aset atau suatu nilai disebabkan tindakan haram, yang mungkin melibatkan tindakan seperti pengelakan cukai atau perakaunan palsu.

Hasil kutipan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun 2013 adalah sebanyak RM 129 Bilion, bagi tahun 2014 pula sebanyak RM 133.7 Bilion berjaya dikutip dan sebanyak RM 124.87 Bilion pada 2012 yang menunjukkan peningkatan setiap tahun, adakah termasuk cukai RM 2.6 Bilion tersebut?

Kepada yang diketagorikan dikenakan bayaran cukai, LHDN tersedia Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menetapkan kesalahan, denda dan penalti kepada mereka yang disenaraikan (http://www.hasil.gov.my/goindex.php…)

Kerajaan Malaysia telah menubuhkan Pasukan penyiasat khas terdiri daripada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Rakyat Malaysia adalah ‘hakim terakhir’ untuk memutusakan kisah Dato’ Sri Najib berdasarkan ‘hujah-hujah’ oleh pelbagai pihak yang menjadi ‘peguam rakyat’ dengan tujuan untuk menyelamatkan Malaysia daripada ‘dakwaan dan kesalahan’ yang perlu dijatuhkan ‘hukuman’!


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.