Kontroversi pekerja Bangladesh: Mesyuarat kabinet berfungsi kah tidak? - Tuan Ibrahim Tuan Man

7:54 PM 0 Comments A+ a-



Kontroversi pekerja Bangladesh: Mesyuarat kabinet berfungsi ke tidak?

Kontroversi kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh yang berakhir dengan pembekuan pengambilan warga asing serta-merta oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi amat memalukan kerana ia mendedahkan betapa lemahnya kepimpinan kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Penerangan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot yang menjelaskan bahawa jumlah 1.5 juta yang dinyatakan oleh TPM adalah pekerja yang berdaftar dengan kerajaan Bangladesh untuk dihantar ke 139 negara yang memerlukan khidmat mereka lagi mengejutkan. Ia cukup berbeza dengan apa yang dinyatakan TPM sebelum ini di mana kerajaan akan membawa masuk sejumlah 1.5 juta tenaga kerja Bangladesh secara berperingkat dalam tempoh 3 tahun.


Lebih mengejutkan graduan Oxford dari Umno juga merasakan apa yang diutarakan TPM sebelum ini itu munasabah.

Kenyataan TPM hari ini datang sehari selepas Najib memberitahu wartawan di Amerika Syarikat bahawa beliau akan berbincang dengan timbalan beliau mengenai kemasukan 1.5 juta Bangladesh.

Ini menimbulkan persoalan – apakah menteri-menteri ini menghadiri mesyuarat kabinet? Apakah perkara sebesar ini dibincang di dalam kabinet? Jika tidak, apa yang dibincang di dalam kabinet sebenarnya dalam setiap kali mesyuaratnya? Apakah yang cuma dibincang ialah strategi mempertahankan kedudukan Najib sebagai PM?

Apa yang berlaku dalam kontroversi kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh ini, saya percaya, adalah hasil daripada tindakan mempertahankan PM dalam episod 1MDB dan juga derma RM2.6 bilion sehingga ia menjadi satu budaya dalam Umno-BN.

Apa yang disebut oleh pihak atasan diterima bulat-bulat tanpa soal ibarat lembu dicucuk hidung. Apabila pihak atas membuat kesilapan yang terang-terang, tiada siapa yang berani memperbetulkannya sehinggalah nasi menjadi bubur seperti apa yang dilakukan oleh Richard Riot hari ini.

Lebih besar lagi, kontroversi kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh ini, menonjolkan bahawa PM tiada masa menguruskan negara kerana disibukkan mempertahankan diri. Ahli-ahli kabinet pula turut serta dalam kerja mempertahankan bos sehingga alpa dengan kerja sendiri.

Apa yang rakyat boleh harap lagi daripada kabinet yang gemuk tapi kurang berfungsi ini?

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
19 Februari 2015


Sila kongsi artikel ini...

Mana RM 2.6 Bilion? - Zulhazmi Shariff

2:41 PM 0 Comments A+ a-



MANA RM2.6 BILION?

The Wall Street Journal (WSJ) sekali lagi mempertahankan kenyataan mereka sebelum ini bahawa RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib Tun Razak bukannya derma dari dermawan Timur Tengah sebaliknya adalah daripada wang 1MDB melalui anak-anak syarikatnya termasuk SRC International.

Sehingga hari ini tiada sebarang tindakan diambil terhadap WSJ untuk membuktikan dakwaan WSJ tersebut walau pun sebelum ini Najib Tun Razak mengugut akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.


Siapa yang kita rakyat Malaysia hendak percaya??

Wang RM2.6 bilion tersebut dikatakan derma oleh SPRM yang menyiasat isu tersebut. SPRM dalam kenyataan rasminya menyatakan bahawa wang tersebut ialah derma daripada Timur Tengah dan bukannya wang SRC International. Timbalan Perdana Menteri kemudiannya mengatakan beliau sendiri telah berjumpa dengan penderma tersebut. Seterusnya Peguam Negara turut mengesahkan ianya derma dari Timur Tengah malah sejumlah RM2.03 bilion telah dipulangkan oleh Najib kepada penderma. Peguam Negara selepas itu mengarahkan SPRM menghentikan dan menutup kertas siasatan berkaitan isu tersebut.

Selain itu akhbar-akhbar luar negara melaporkan bahawa FBI juga menyiasat beberapa transaksi melibatkan pengaliran wang yang turut melibatkan orang-orang yang rapat dengan Najib Tun Razak.

Siapa kita nak percaya??? SPRM? Peguam Negara? Polis DiRaja Malaysia? Najib Tun Razak?

Sampai bila kegilaan ini hendak dibiarkan? Cukuplah. Cukuplah.

BERANI BERUBAH.
Zulhazmi Shariff.
19022016


Sila kongsi artikel ini...

Selesaikan dahulu pengangguran rakyat – Faiz Fadzil

11:07 AM 0 Comments A+ a-



Selesaikan dahulu pengangguran rakyat – Faiz Fadzil

Keputusan kerajaan mengambil 1.5 juta warga Bangladesh untuk bekerja di negara ini atas alasan rakyat terutama belia tidak berminat bekerja dalam bidang 3D iaitu 'dirty, dangerous and difficult' adalah menjengkelkan.

Usahlah perlekeh kemampuan rakyat Malaysia. Rakyat negara ini bukannya berasal dari kutub utara yang tidak biasa dengan cuaca panas dan habuk, mahupun tanah ataupun daun kering. Pertanian adalah sektor ekonomi asal negara ini. Rakyat Malaysia juga punyai kekuatan fizikal yang setanding dengan orang Bangladesh untuk terlibat dalam sektor pembinaan.

Namun, apakah masalah utama yang mendorong kurangnya minat warga tempatan untuk terlibat dalam pekerjaan di sektor perladangan dan pembinaan?

Masalah utama adalah kerana gaji yang rendah ditawarkan kepada mereka. Sebab itulah, tuntutan gaji minima sebanyak RM1,500 jika diluluskan akan dapat menarik minat rakyat negara ini untuk bekerja 3D.

Hanya orang luar seperti warga Bangladesh yang sanggup menerima bayaran gaji rendah kerana jumlah yang diterima di negara ini adalah satu nilai yang besar di negara mereka. Mereka sanggup untuk tinggal berhimpit-himpit di dalam sebuah rumah kongsi.

Mereka tidak menggunakan kenderaan pergi ke tempat kerja. Mereka tidak perlu membayar pinjaman bank untuk sebuah rumah yang harganya ratusan ribu ringgit. Mereka tidak perlu membayar apa-apa yuran pengajian dan perbelanjaan harian anak-anak yang tinggi.

Tetapi, bagi rakyat negara ini, semua tanggungan ini bukan sahaja tanggungjawab, malahan menjadi bebanan.

Ia disumbangkan kos sara hidup yang cukup tinggi, harga rumah yang mahal, kos pengangkutan termasuk komuter, ERL, minyak, cukai kenderaan dan tol yang tinggi, harga barang yang semakin hari semakin meningkat serta bayaran cukai barang dan perkhidmatan (GST). Semua ini perlu ditanggung rakyat negara ini.

Oleh itu, alasan yang diberikan kerajaan adalah meleset umpama membandingkan oren dengan epal.

Jika tidak kerana gaji yang rendah di negara ini, kenapa terdapat rakyat negara ini yang sanggup bekerja di Singapura. Rata-rata rakyat yang bekerja di sana terlibat dalam sektor pembinaan. Bukankah ia kerja 3D.

Namun kerana gaji yang tinggi, mereka sanggup berulang alik ke Singapura bagi mencari pendapatan lebih bagi menampung kos sara hidup yang tinggi di negara ini.

Kenaikan gaji minima kepada RM1,500 pasti boleh dilaksanakan dengan tuntas jika kerajaan dapat mengurangkan kos pengurusan sektor korporat seperti menurunkan cukai korporat, mengurangkan harga barang, minyak dan tarif elektrik serta membatalkan GST.

Jika ini dapat dilaksanakan, syarikat-syarikat terutama sektor SME mampu membayar gaji minima yang dituntut ini.

Perkara lain yang membimbangkan adalah penguasaan perniagaan oleh warga Bangladesh bukan sahaja di kawasan kampung, malahan di bandar-bandar besar termasuk Kuala Lumpur. Mereka kini sudah mula menjalankan perniagaan kedai makan, perniagaan sub-kontrak dalam sektor pembinaan dan perniagaan komputer dan telefon bimbit.

Jika perkara ini tidak dibendung, akhirnya mereka akan menjadi tuan, rakyat pula menjadi kuli. Masalah pengangguran rakyat pula pasti akan meningkat lagi.

Oleh itu, Pemuda Amanah menggesa kerajaan untuk menggalakkan golongan muda menceburi bidang perniagaan dengan meningkatkan inisiatif pinjaman dan latihan kemahiran sebagai satu alternatif kepada masalah pengangguran yang semakin parah di negara ini. Ratusan ribu graduan yang masih menunggu panggilan kerja hendaklah dibantu oleh kerajaan.

Janganlah hanya melihat kepada keuntungan levi semata-mata kerana ia hanya membantu ekonomi Putrajaya dan bukannya rakyat.

Siapa pula kroni yang bakal mendapat keuntungan berbilion ringgit hasil bayaran levi ke atas pekerja Bangladesh.

Kerajaan juga seharusnya membersihkan dahulu masalah warga asing yang tiada dokumen sah bekerja di sini. Kebanjiran warga asing di negara ini sudah lebih dari cukup untuk bekerja di negara ini terutama di sektor 3D.

Rakyat negara ini perlukan perhatian dan bantuan kerajaan. Bukannya dengan memberikan BR1M tanda bantuan. Tetapi pulihkan ekonomi negara, wujudkan peluang pekerjaan dan tingkatkan pendapatan rakyat.

Masalah pengangguran rakyat negara ini perlu diberikan keutamaan berbanding Bangladesh.

Tadbirlah negara ini sepertimana dua Khalifah Umar yang mementingkan kebajikan rakyat dan ketelusan dan integriti pengurusan kewangan negara. – 19 Februari, 2016.


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.