Selesaikan dahulu pengangguran rakyat – Faiz Fadzil

11:07 AM 0 Comments A+ a-



Selesaikan dahulu pengangguran rakyat – Faiz Fadzil

Keputusan kerajaan mengambil 1.5 juta warga Bangladesh untuk bekerja di negara ini atas alasan rakyat terutama belia tidak berminat bekerja dalam bidang 3D iaitu 'dirty, dangerous and difficult' adalah menjengkelkan.

Usahlah perlekeh kemampuan rakyat Malaysia. Rakyat negara ini bukannya berasal dari kutub utara yang tidak biasa dengan cuaca panas dan habuk, mahupun tanah ataupun daun kering. Pertanian adalah sektor ekonomi asal negara ini. Rakyat Malaysia juga punyai kekuatan fizikal yang setanding dengan orang Bangladesh untuk terlibat dalam sektor pembinaan.

Namun, apakah masalah utama yang mendorong kurangnya minat warga tempatan untuk terlibat dalam pekerjaan di sektor perladangan dan pembinaan?

Masalah utama adalah kerana gaji yang rendah ditawarkan kepada mereka. Sebab itulah, tuntutan gaji minima sebanyak RM1,500 jika diluluskan akan dapat menarik minat rakyat negara ini untuk bekerja 3D.

Hanya orang luar seperti warga Bangladesh yang sanggup menerima bayaran gaji rendah kerana jumlah yang diterima di negara ini adalah satu nilai yang besar di negara mereka. Mereka sanggup untuk tinggal berhimpit-himpit di dalam sebuah rumah kongsi.

Mereka tidak menggunakan kenderaan pergi ke tempat kerja. Mereka tidak perlu membayar pinjaman bank untuk sebuah rumah yang harganya ratusan ribu ringgit. Mereka tidak perlu membayar apa-apa yuran pengajian dan perbelanjaan harian anak-anak yang tinggi.

Tetapi, bagi rakyat negara ini, semua tanggungan ini bukan sahaja tanggungjawab, malahan menjadi bebanan.

Ia disumbangkan kos sara hidup yang cukup tinggi, harga rumah yang mahal, kos pengangkutan termasuk komuter, ERL, minyak, cukai kenderaan dan tol yang tinggi, harga barang yang semakin hari semakin meningkat serta bayaran cukai barang dan perkhidmatan (GST). Semua ini perlu ditanggung rakyat negara ini.

Oleh itu, alasan yang diberikan kerajaan adalah meleset umpama membandingkan oren dengan epal.

Jika tidak kerana gaji yang rendah di negara ini, kenapa terdapat rakyat negara ini yang sanggup bekerja di Singapura. Rata-rata rakyat yang bekerja di sana terlibat dalam sektor pembinaan. Bukankah ia kerja 3D.

Namun kerana gaji yang tinggi, mereka sanggup berulang alik ke Singapura bagi mencari pendapatan lebih bagi menampung kos sara hidup yang tinggi di negara ini.

Kenaikan gaji minima kepada RM1,500 pasti boleh dilaksanakan dengan tuntas jika kerajaan dapat mengurangkan kos pengurusan sektor korporat seperti menurunkan cukai korporat, mengurangkan harga barang, minyak dan tarif elektrik serta membatalkan GST.

Jika ini dapat dilaksanakan, syarikat-syarikat terutama sektor SME mampu membayar gaji minima yang dituntut ini.

Perkara lain yang membimbangkan adalah penguasaan perniagaan oleh warga Bangladesh bukan sahaja di kawasan kampung, malahan di bandar-bandar besar termasuk Kuala Lumpur. Mereka kini sudah mula menjalankan perniagaan kedai makan, perniagaan sub-kontrak dalam sektor pembinaan dan perniagaan komputer dan telefon bimbit.

Jika perkara ini tidak dibendung, akhirnya mereka akan menjadi tuan, rakyat pula menjadi kuli. Masalah pengangguran rakyat pula pasti akan meningkat lagi.

Oleh itu, Pemuda Amanah menggesa kerajaan untuk menggalakkan golongan muda menceburi bidang perniagaan dengan meningkatkan inisiatif pinjaman dan latihan kemahiran sebagai satu alternatif kepada masalah pengangguran yang semakin parah di negara ini. Ratusan ribu graduan yang masih menunggu panggilan kerja hendaklah dibantu oleh kerajaan.

Janganlah hanya melihat kepada keuntungan levi semata-mata kerana ia hanya membantu ekonomi Putrajaya dan bukannya rakyat.

Siapa pula kroni yang bakal mendapat keuntungan berbilion ringgit hasil bayaran levi ke atas pekerja Bangladesh.

Kerajaan juga seharusnya membersihkan dahulu masalah warga asing yang tiada dokumen sah bekerja di sini. Kebanjiran warga asing di negara ini sudah lebih dari cukup untuk bekerja di negara ini terutama di sektor 3D.

Rakyat negara ini perlukan perhatian dan bantuan kerajaan. Bukannya dengan memberikan BR1M tanda bantuan. Tetapi pulihkan ekonomi negara, wujudkan peluang pekerjaan dan tingkatkan pendapatan rakyat.

Masalah pengangguran rakyat negara ini perlu diberikan keutamaan berbanding Bangladesh.

Tadbirlah negara ini sepertimana dua Khalifah Umar yang mementingkan kebajikan rakyat dan ketelusan dan integriti pengurusan kewangan negara. – 19 Februari, 2016.


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.