Amaran Keras Buat Najib : Jangan Gadaikan Kepentingan Negara Untuk Selesaikan Hutang 1MDB - Adeysham Nor

8:05 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
PEMUDA AMANAH MELAKA
6 NOVEMBER 2015

AMARAN KERAS BUAT NAJIB: JANGAN GADAIKAN KEPENTINGAN NEGARA UNTUK SELESAIKAN HUTANG 1MDB


1. Pemuda AMANAH Melaka mengambil perhatian khusus mengenai kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTHHA), Datuk Seri Maximus Ongkili yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 5 November 2015 bahawa ada cadangan untuk membenarkan 1MDB melupuskan semua aset IPPnya kepada syarikat yang dimiliki 100% oleh negara asing.

2. Ini bertentangan dengar dasar kerajaan sedia ada bahawa had maksimum ekuiti pemilikan asing yang dibenarkan bagi aset-aset penjanaan elektrik di negara ini ialah 49% sahaja dan 51% lagi ekuiti pemilikan hendaklah dikawal oleh syarikat tempatan.

3. Kenyataan Datuk Seri Maximus Ongkili itu amat merbahaya sekali kerana ia seolah-olah mahu membenarkan desas-desus yang mengatakan bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sanggup membatalkan peraturan had pemilikan asing itu demi membantu 1MDB mendapatkan harga bidaan yang lebih tinggi dari yang harga yang telah ditawarkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

4. Laporan media semalam menyatakan; harga yang dibida oleh TNB ialah sekitar RM8 bilion iaitu hampir sama dengan harga nilaian pasaran semasa. Daripada maklumat yang kami perolehi, harga bidaan pencabar terdekat TNB adalah dari satu konsortium di antara syarikat gergasi China (China General Nuclear Power Corp Ltd) dan syarikat gergasi Qatar (Nebras Power QSC) ialah RM10 bilion iaitu RM2 bilion lebih tinggi dari harga pasaran.

5. Persoalannya kini, apakah pentadbiran Datuk Seri Najib akan mencari helah untuk membenarkan bidaan daripada syarikat asing tersebut walaupun ia jelas mahu melanggar peraturan sedia ada? Apakah pentadbiran Datuk Seri Najib akan menukar undang-undang sedia ada untuk membolehkan sektor elektrik negara kini dibuka kepada syarikat yang 100% dimiliki pegangan asing?

6. Justeru itu, Pemuda AMANAH Melaka ingin memberikan amaran keras kepada Datuk Seri Najib; jangan sesekali terfikir untuk menjual kepentingan strategik negara untuk menutup lubang hutang 1MDB. Pihak kami tidak akan teragak-agak untuk menggerakkan “Kempen Selamatkan Aset Negara” ke seluruh negeri ini sekiranya Datuk Seri Najib berkeras mahu menggubah peraturan pemilikan ekuiti asing dalam sektor penjanaan tenaga elektrik di negara ini.

7. Dengan ini, Pemuda AMANAH Melaka juga ingin mengajak semua rakyat Negeri Melaka ke Dewan Sekolah Pay Fong pada 12 November ini (Khamis) jam 8 malam untuk kami paparkan secara lebih terperinci mengenai isu 1MDB ini dalam satu forum yang akan dikendalikan oleh Pakatan Harapan negeri Melaka bersama-sama dengan Dr Zulkefli, Tony Pua dan juga Rafizi Ramli.

Sekian, terima kasih.

ADEYSHAM NOR
Pengarah Komunikasi,
Pemuda AMANAH Melaka.



Sila kongsi artikel ini...

SELCAT, jabatan Audit Negara dan Bank Negara Boleh Bersihkan Nama DEIG - Khalid Ibrahim

5:53 PM 6 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

SELCAT, JABATAN AUDIT NEGARA DAN BANK NEGARA BOLEH BERSIHKAN NAMA DEIG

Pelbagai kontroversi yang melanda Darul Ehsan Investment Group (DEIG) sejak penubuhan mewajarkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan dan Ketelusan Selangor (SELCAT) untuk menjalankan dengan kadar segera satu siasatan menyeluruh ke atas DEIG terutama mengenai tawaran pinjaman bank RM500 juta kepada salah satu anak syarikat kumpulan tersebut.


Dalam siasatan tersebut, SELCAT mesti mengesahkan bahawa tiada sebarang unsur salahguna kuasa atau perlanggaran tatacara serta etika pengurusan dan pentadbiran walaupun DEIG telah tampil mengakui kewujudan tawaran pinjaman tersebut yang kemudiannya ditolak. Pengakuan tersebut tidak bermakna isu ini boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja malah sepatutnya menjadi satu alasan kukuh bagi SELCAT untuk memulakan siasatan.

Di samping itu, tidak dapat disangkal lagi bahawa wujudnya merit bagi Jabatan Audit Negara untuk menjalankan kajian secara mendalam demi menentukan kesahihan semua dakwaan yang telah dibuat terhadap DEIG. Di peringkat negeri pula, adalah dalam bidang kuasa SELCAT atau Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) untuk menghubungi Bank Negara Malaysia dan memohon satu siasatan bagi mendapatkan kepastian bagaimana pihak bank komersil tersebut boleh menawarkan sejumlah pinjaman yang besar kepada sebuah syarikat (dan anak syarikatnya) yang didakwa masih belum beroperasi.

Saya yakin kerajaan negeri tidak akan menentang mahupun menghalang apa jua bentuk siasatan atau pengauditan kerana proses sebegini boleh membersihkan nama DEIG dari terus terpalit dengan pelbagai tuduhan dan kontroversi, sekaligus membuang syak wasangka terhadap DEIG.

Mengenai satu isu lain yang tidak berkaitan, saya peka dengan komen dan sindiran kononnya saya memainkan peranan membenarkan pembinaan lebuhraya bertol di Selangor. Ingin saya tegaskan di sini bahawa walaupun ada persetujuan secara prinsip atau persetujuan bersyarat secara administratif terhadap keperluan merancang satu sistem aliran trafik yang berkesan termasuk membina jajaran jalanraya lingkaran luar dan dalam Lembah Klang, tidak pernah sama sekali perintah pembangunan atau "development order" dikeluarkan semasa pentadbiran saya bagi mana-mana projek.

Persetujuan secara prinsip yang diberikan juga tertakluk pada hasil kajian Penilaian Kesan Trafik, Sosial dan Alam Sekitar bagi memastikan mana-mana projek lebuhraya bertol yang dicadangkan bakal memberi manfaat kepada rakyat, tidak membebankan rakyat atau memberi kesan negatif ke atas alam sekitar. Sebagaimana yang berlaku kepada projek Lebuhraya KIDEX, pentadbiran sekarang mempunyai kuasa untuk tidak mengeluarkan perintah pembangunan bagi SUKE, DASH dan EKVE.

Walaupun isu pembangunan sebegini sangat sensitif kerana ianya melibatkan impak ke atas masyarakat setempat, kerajaan negeri perlu membuat keputusan yang rasional setelah mengambil kira hak dan kepentingan semua pihak. Sememangnya amat mudah untuk menuding jari kepada orang lain untuk mengelakkan kritikan dan tentangan namun ianya juga tidak matang mahupun bertanggungjawab.

TAN SRI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
ADUN PELABUHAN KLANG
6 NOVEMBER 2015


Sila kongsi artikel ini...

PAS tetap lawan UMNO - Tuan Ibrahim Tuan Man

1:00 AM 0 Comments A+ a-



PAS tetap lawan Umno

Matlamat perjuangan PAS ialah memperjuangkan sebuah negara yang terlaksana di dalamnya nilai hidup Islam. Inilah matlamat sebagaimana yang dinyatakan dalam perlembagaan PAS. Maka apa jua gerakerja PAS ialah bagi mencapai hasrat tersebut.

Di atas asas inilah, PAS menyertai pilihannya kerana dengan kekuasaan akan memudahkan pelaksanaan segala sistem dan dasar yang menepati matlamat tersebut.

Di atas dasar itulah juga, PAS menubuhkan PASTI, kerja Amal dan pelbagai program parti. Semuanya usaha dan jihad bagi menegakkan agama Allah di atas muka bumi. Di atas inilah PAS berusaha membuang Umno daripada tampuk pemerintahan kerana kerosakan yang dibawanya dan juga budaya rasuah yang sudah berakar tunjang di setiap pelusuk pentadbiran negara.

Di samping menyertai pilihan raya, PAS juga membantah melalui demonstrasi, menyerahkan memorandum, mengadakan dialog dan berhujah samada di dalam dan luar parlimen dan dewan undangan negeri. Maka inilah kaedah berpolitik dalam Islam. Ketika perang, kita berperang dengan beradab - tempat ibadah, wanita dan kanak-kanak tetap dijaga. Pada waktu kita tidak berperang, kita menggunakan kaedah lain termasuklah mendesak, menasihat, berdemonstrasi dan juga berhujah. Ini kerana Islam di bina di atas asas nasihat sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah:

Ø£ُبَÙ„ِّغُÙƒُÙ…ْ رِسَالَاتِ رَبِّÙŠ ÙˆَØ£َÙ†َا Ù„َÙƒُÙ…ْ Ù†َاصِØ­ٌ Ø£َÙ…ِينٌ

"(Tugasku) menyampaikan kepada kamu akan perintah-perintah (yang diutuskan oleh) Tuhanku, dan aku adalah pemberi nasihat yang amanah, bagi kamu." (QS al-A’raf: 68).

عن تميم بن أوس رضي الله عنه ، أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : ( الدين النصيحة ، قلنا : لمن يا رسول الله ؟ قال : لله ، ولكتابه ، ولرسوله ، ولأئمة المسلمين وعامتهم ) رواه البخاري ومسلم

Dari Tamim bin Aus radialLah anhu: Sesungguhnya Rasulullah shallallahu`alaihi wa sallam bersabda: Agama adalah nasihat, kami berkata: Kepada siapa? Beliau bersabda: Kepada Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya dan kepada pemimpan kaum muslimin dan rakyatnya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menasihat boleh dalam bentuk menegur tindakan kerajaan yang bertentangan dengan syarak atau mengemukakan cadangan penyelesaian dari kaca mata Islam. Ini adalah sebahagian dari tanggungjawab yang telah dijalankan oleh hampir semua parti politik.

Nasihat dan teguran yang berpandukan al-Quran Hadis dan pandangan para ulamak adalah sebahagian dari tanggungjawab syarak yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW. Maka bilamana Presiden menjelaskan PAS akan terus menasihati kerajaan ia bukanlah sesuatu yang asing dalam sistem politik Islam. Perkataan nasihat sebenarnya satu adab rendah diri keperibadian Presiden sebagai salah seorang ulama terkemuka di dunia. Beliau tidak meletak darjat dirinya lebih tinggi daripada orang lain.

Apa yang lebih penting ialah matlamat perjuangan bagi menegakkan sebuah masyarakat yang terlaksana nilai-nilai Islam dapat dicapai melalui apa jua kaedah yang tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Inilah yang ditegaskan berulang-ulang kali oleh Al Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa kalau Umno mengubah dasar perjuangan dari kebangsaan kepada Islam, maka kita akan sanggup bubar PAS. Ini bermakna dalam perjuangan PAS, soal mendapatkan kekuasaan tidak menjadi matlamat, ia hanya alat bagi mencapai matlamat bagi pembentukan negara Islam.

Maka, PAS akan terus istiqamah di atas prinsip menyertai pilihanraya bagi menjadikan kekuasaan sebagai wasilah bagi menegakkan syariat islam, dan di waktu yang sama PAS akan terus menegur, menasihati dan mempelbagaikan wadah bagi menyelamatkan negara dan ummah dari kemurkaan Allah dan kebobrokan sistem urus tadbir negara.

PAS bertembung dengan Umno hampir 70 kerusi. Hanya 20 kerusi yang berjaya dimiliki PAS dan 6 daripada itu kini beralih ke Amanah. Jika benar Umno dan PAS berniat mengadakan kerjasama politik, berapa kerusi daripada 50 kerusi Umno yang menang itu akan dibahagikan kepada PAS? PAS sudah tentu tidak akan melepaskan mana-mana kerusi yang pernah dimenanginya.

Oleh itu cukup-cukuplah dengan fitnah PAS mahu bersama Umno.

Dalam pada itu, sebagaimana yang pernah saya tegaskan, PAS tetap percaya Bajet 2016 adalah pembuka laluan kepada kadar GST yang lebih tinggi pada bajet-bajet akan datang. Tapi, PAS juga menerima hakikat PRU14 masih jauh. PAS mengambil sikap berkecuali dalam mengundi tidak percaya pada Bajet 2016 kerana ada elemen di dalam bajet itu yang diperlukan oleh rakyat marhaen yang kian susah kehidupan mereka. Mereka tidak perlu menjadi mangsa politik dalam keadaan ekonomi tidak menentu, kredibiliti negara terus dipersoal kerana skandal kewangan 1MDB dan juga Perdana Menteri dan juga pembangkang yang masih jauh dari mencapai kata sepakat.

PAS tidak mahu menghantar mesej bahawa kami membantah gaji kakitangan dan pencen pegawai kerajaan dinaikkan dan begitu juga bonus yang diharapkan mereka untuk mengurangkan beban masa ini yang terdapat di dalam Bajet 2016. Begitu juga hasrat golongan berpendapatan rendah yang kini boleh menikmati gaji minima dan manfaat yang bakal diperoleh warga penoreh getah dan Felda melalui Bajet 2016. PAS tidak bersetuju dengan BR1M, tapi pada masa yang sama, PAS dan pembangkang lain tiada kuasa untuk menghalang kenaikan tol dan sebagainya meskipun ia di negeri yang ditadbir pembangkang dan rakyat yang kesempitan memerlukan bantuan ini sehinggalah ada alternatif yang lain di PRU14 nanti.

Dan sekiranya pembangkang mendapat cukup sokongan untuk menang usul tidak percaya pada Bajet 2016, apakah yang akan berlaku selepas itu? Pengalaman Amerika Syarikat bilamana berlaku "goverment shutdown" , selepas bajet Obama ditolak sehingga menyusahkan rakyat serta kakitangan kerajaannya - namun Obama terus berkuasa.

"Government shutdown" menyebabkan 800 ribu kakitangan kerajaan persekutuan di Amerika Syarikat terpaksa mengambil cuti sementara manakala 1.3 juta lagi terpaksa lapor diri ke tempat kerja tanpa diberitahu bila gaji mereka akan dibayar. Akhirnya, rakyat Amerika menyalahkan pembangkang.

Oleh itu, sekiranya bajet berjaya ditolak, ia hanya memeritkan urusan harian rakyat tergantung termasuk gaji kakitangannya yang tidak boleh dibayar akibat tindakan itu, akan tetapi langsung tidak mengancam kedudukan Perdana Menteri mahupun BN yang menjadi fokus untuk ditumbangkan kerana tidak amanah. Percayalah Najib tetap tidak akan meletakkan jawatan walaupun bajetnya ditolak.

Keadaan ini berbeza dengan usul undi tidak percaya kepada perdana menteri. Kerana PAS telah mengambil pendirian menyokongnya sekiranya ia dibawa untuk dibahas di Parlimen.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
5 November 2015


Sila kongsi artikel ini...

PAS Pahang Menolak Kerjasama Atau Gabungan Politik Dengan UMNO.

12:59 AM 0 Comments A+ a-



PAS PAHANG MENOLAK KERJASAMA ATAU GABUNGAN POLITIK DENGAN UMNO.

1. PAS Pahang menegaskan tiada kerjasama politik antara PAS dan UMNO seperti sebahagian daripada tuduhan liar yang menuduh PAS dan UMNO akan bergabung didalam PRU 14 yang akan datang. Semua tuduhan itu adalah bersifat fitnah politik yang cuba untuk memburukkan PAS dikalangan pengundi Melayu dikalamana rakyat telah semakin hilang keyakinan kepada UMNO.


2. PAS tidak pernah melupakan segala bentuk tindakan yang pernah dilakukan oleh UMNO terhadap PAS demi kepentingan politik mereka seperti peristiwa memali, operasi lalang dan berbagai bentuk serangan fitnah terhadap PAS samaada melalui media ataupun secara lansung, PAS tidak pernah melupakan walau sedetik pun segala bentuk angkara UMNO terhadap PAS.

3. PAS Pahang sangat bersetuju dengan kenyataan Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bahawa PAS bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa pun jua termasuk UMNO asalkan ia adalah kerjasama khusus seperti memerangi gejala sosial atau sebagainya untuk kebaikan rakyat, tetapi bukan didalam bentuk gabungan parti politik, ia adalah selari dengan kehendak Islam supaya bantu membantu didalam perkara kebaikan.

4. PAS Pahang terus menerus komitmen untuk menumbangkan UMNO didalam pilihanraya yang akan datang, meskipun jika DAP atau PAN turut sama bertanding di kerusi yang PAS tandingi, PAS kini cuma bergabung dengan PKR didalam PR dan tiada gabungan didalam PH, maka segala bentuk halangan politik untuk PAS dalam merealisasikan dasarnya samaada dari UMNO, DAP, PAN atau apa jua parti politik lain akan dirempuh.

5. PAS Pahang akan tetap menghormati hasrat ahli, penyokong dan rakyat khususnya yang beragama Islam agar terus menerus memperjuangkan dasarnya iaitu Al Qur'an, Hadis, Ijma dan Qias meskipun terpaksa berhadapan dengan jutaan halangan samaada dari UMNO atau sesiapa juga, kerana PAS yakin bahawa dasar perjuangan PAS adalah sentiasa relevan sepanjang masa dan bersifat adil kepada semua tanpa mengira kaum, bangsa atau agama.

6. PAS akan meneruskan agenda perjuangannya bersama rakan dari DHPP yang akan turut membantu untuk menjelaskan dasar perjuangan PAS kepada masyarakat bukan Islam, sekaligus memperkukuhkan lagi persepsi rakyat Malaysia bahawa PAS adalah untuk semua dan sama-sama memperindahkan lagi imej PAS sebagai sebuah parti terbaik untuk rakyat Malaysia.

7. PAS yakin mampu untuk menggantikan UMNO bagi memerintah dan mentadbir negeri Pahang. Dengan pertolongan Allah swt serta dengan kekuatan dan komitmen ahli PAS yang tidak berbelah bagi, PAS Pahang akan terus mengorak langkah demi langkah untuk sedikit demi sedikit menggapai kemenangan dan menumbangkan UMNO pada PRU yang akan datang.

8. PAS Pahang dengan penuh keyakinan bahawa perjuangan yang diiringi dengan keredhaan Allah swt pasti akan memberikan kemenangan yang dipenuhi dengan rahmat dan keampunanNya, ianya akan merealisasikan aspirasi PAS untuk memerintah Pahang melalui sistem pemerintahan yang telah digaris pandukan oleh Islam yang bersifat adil kerana Islam itu adalah agama yang diturunkan oleh Allah swt, Rabb Yang Maha Adil.

ROSLI BIN ABDUL JABAR
PESURUHJAYA PAS PAHANG


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.