Bai'ah - Sumpah - Mengkianati Parti atau Mengkhianati Pengundi - ZulHazmi

6:08 PM 0 Comments A+ a-



BAI'AH - SUMPAH - MENGKHIANATI PARTI ATAU MENGKHIANATI PENGUNDI.

Heboh bercakap hal "bai'ah" atau "sumpah" wakil-wakil rakyat yang menang atas tiket parti dan kemudian memilih haluan sendiri membelakangkan parti. Ada yang berkata tindakan itu suatu pengkhianatan kepada parti sehingga ada mengatakan telah gelincir dari perjuangan.

Setiap calon yang bertanding di dalam pilihanraya mewakili parti itu (faham maksud parti itu merujuk kepada parti apa) diminta berbai'ah sebagai calon parti itu. Tidak semua calon yang berbai'ah tetapi majoritinya berbai'ah menyatakan taat setia kepada parti yang diwakili.


Bai'ah itu adalah antara mereka (calon) dengan parti.

Apabila calon-calon memenangi pilihanraya khususnya kerusi Parlimen, sebelum mereka layak digelar Ahli Parlimen (Ahli Dewan Rakyat), mereka juga berbai'ah kepada Parlimen, kepada Negara dan khususnya kepada pengundi serta masyarakat yang mereka wakili.

Perkara 59 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa setiap ahli sebelum mengambil kerusinya di Parlimen hendaklah mengangkat sumpah (bai'ah) seperti yang dinyatakan di Jadual Ke-6

Lafaz sumpahnya seperti berikut :-

"Saya,................................................, setelah dipilih (atau dilantik) sebagai seorang ahli Dewan Rakyat (atau Dewan Negara) dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian dengan segalaupaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya."

Sumpah ini adalah ikatan janji bahawa setiap orang yang melafazkannya hendaklah menunaikan tanggungjawab mereka setelah mereka dipilih oleh pengundi atau dilantik oleh institusi.

Sumpah sebagai Ahli Dewan adalah lebih besar berbanding sumpah ketaatan kepada parti kerana menjadi wakil rakyat melibatkan hak pengundi dan masyarakat. Gaji dan segala elaun diperolehi dari sumber yang datang dari rakyat dan negara. Sumpah kepada parti hanya melibatkan parti. Jika parti sudah jauh melencong dari tujuan asalnya maka mufaraqah dari bai'ah bukan suatu pengkhianatan.

Mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat tetapi tidak menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat di Dewan Rakyat untuk rakyat yang membayar gaji dan elaun adalah suatu pengkhianatan terbesar bagi wakil rakyat.

Untuk menjadi wakil rakyat tidak memerlukan parti tapi memerlukan rakyat. Amanah rakyat lebih besar daripada amanah parti.

ZULHAZMI SHARIFF
22072015


Sila kongsi artikel ini...

Kronologi Politik Semenanjung Tanah Melayu -mohd salleh mazukhi-

5:51 PM 0 Comments A+ a-



Kronologi Politik Semenanjung Tanah Melayu ....

Ada satu turning point yang penting dalam struktur politik di semenanjung Tanah Melayu ketika era pra merdeka iaitu gagasan Malayan Union yang dilaksanakan oleh British pada 1 April 1946. Tujuan gagasan ini adalah melucutkan kuasa raja raja Melayu (kecuali hal ehwal ugama Islam ) dan kuasa diserahkan kepada British. Selain dari itu British berhasrat memberi hak kerakyatan secara automatik kepada semua bukan Melayu di negeri negeri selat iaitu Pulau Pinang , Melaka dan Singapura. Umno yang telah mula dibentuk ketika itu pada 1 Mac 1946 dibawah pimpinan Dato Onn Jaafar telah bangkit menentang gagasan Malayan Union . Sementara itu kaum kaum lain langsung tidak berbuat apa apa untuk menentang gagasan Malayan Union dengan alasan "Itu masalah orang Melayu, bukan masalah mereka" malah mereka tetap menunjukkan kesetiaan kepada negara asal.

Petkan ucapan Allahyarham Tunku Abdul Rahman:
"Apabila kami (orang orang Melayu) menentang Malayan Union(yang menjejaskan hak hak orang Melayu) kaum kaum lain tidak mengambil bahagian kerana mereka mengatakan ia hanya merupakan masalah Melayu dan bukan masalah mereka. Mereka juga menunjukkan kesetiaan mereka adalah kepada negara asal".

Akhirnya oleh kerana penentangan hebat oleh orang Melayu , British membatalkan gagasan Malayan Union pada 1948 dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948.

Ketika tuntutan kemerdekaan pula satu persepakatan persefahaman telah dimetrai antara pemimpin pemimpin semua kaum (Cina dan India) iaitu Kontrak sosial dalam bentuk beri memberi atau " Quid Pro Quo di mana diberikan keizinan kewarganegaraan kepada bukan Melayu dengan timbal balas diwujudkan Hak istimewa orang Melayu di bawah artikel 153 yang menggariskan beberapa perkara:
1.Tanah rezaf Melayu
2.Kuota jawatan dalam perkhidmatan awam
3.Biasiswa
4.Pendidikan awam
5 Kuota lesen perniagaan
6. Kebenaran monopoli industri tertentu

Sementara itu kaum Cina dan India pula diberikan hak untuk menubuhkan sekolah Vernakular pengantar bahasa masing masing .
Jadi itu menunjukkan betapa bertolak ansurnya Melayu terhadap kaum lain.

Kronologi Politik.
Berikut disenaraikan rentetan kronologi beberapa parti politik utama di Semenanjung Tanah Melayu.
UMNO-ditubuhkan secara rasmi pada 11 Mei 1946
MCA-ditubuhkan pada 27 Februari 1949
MIC-Ditubuhkan pada Ogos 1946
PAS- Ditubuhkan pada 24 November 1951
DAP-Ditubuhkan pada 11 Oktober 1965 (serpihan asal dari PAP)
Parti Gerakan -ditubuhkan pada 24 Mac 1968
PKR-Ditubuhkan pada 4 April 1999

Parti Perikatan dibentuk pada 1952 atas kesepakatan 3 parti iaitu UMNO, MCA dan MIC dan didaftar secara rasmi pada 30 Oktover 1957

Parti Barisan Nasional- ditubuhkan pada 1 Jun 1974

Pilihan Raya Umum Pertama dijalankan pada 27 Julai 1955 di mana Parti Perikatan menang 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.

Aspirasi dan missi perjuangan .
UMNO - memperjuangkan hak hak bangsa Melayu , ugama islam dan instituisi Raja raja.
PAS- Memperjuangkan gagasan negara Islam Secara total.
MCA dan MIC (dalam parti perikatan ) -memperjuangkan hak dan kepentingan kaum masing masing tapi meniktiraf hak istimewa Melayu ,

DAP- Perjuangan yang sama seperti PAP iaitu penguasaan politik kepada kaum Cina, ingin menghapuskan sistem raja-raja dan menuju ke arah pembentukan republik, dan ingin menghapuskan hak istimewa bumiputra seperti yang telah termaktub dalam artikel 153 .

Di Singapura ia telah pun dilaksanakan sepenuhnya dan seterusnya gagasan itu ingin diperluaskan ke Malaysia.

Walau bagaimanapun kebelakangan ini sudah terlihat kaum Cina dari MCA dan Gerakan juga sudah mula didoktrinkan melalui gagasan DAP . Ini terbukti dengan jelas dengan kemenangan DAP di hampir semua bandar besar yang populasinya adalah majoriti kaum Cina.DAP juga sering menggambarkan seolah olah bangsa Melayu menindas kaum Cina dan bersikap tidak adil sedangkan pegangan kek ekonomi Malaysia lebih 70 % dipegang oleh kaum Cina.

Kesimpulannya , jika perpaduan kaum ingin dicapai maka semua kaum di Malaysia harus kembali kepada semangat Parti Perikatan yang merupakan timbal balas antara kaum yang lebih realistik dan adil bagi semua pihak.

Sehingga hari ini hanya Tun Sambanthan yang pernah menyuarakan rasa terima kasih kaum India atas ihsan orang Melayu memberikan taraf kewarganegaraan kepada kaum India di Malaysia. Belum terdengar uapan terima kasih oleh mana mana tokoh politik Cina di atas kompromi orang Melayu memberikan taraf kewarganegaraan kepada kaum Cina ketika era awal kemerdekaan.

Kepada generasi muda semua kaum, hayatilah rentetan sejarah dan perakuilah hak hak yang telah dipersepakatkan bersama demi membina negara Malaysia yang aman dan sejahtera di masa akan datang.

-mohd salleh mazukhi-

s


Sila kongsi artikel ini...

BERSIH 2.0 kekal non-partisan, sedia bekerjasama dengan semua

4:55 PM 0 Comments A+ a-



BERSIH 2.0 kekal non-partisan, sedia bekerjasama dengan semua

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengambil maklum kenyataan media yang dikeluarkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim melalui peguam-peguamnya, mengumumkan lahirnya sebuah muafakat politik baru.


BERSIH 2.0 juga mengambil maklum klarifikasi yang diberikan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Sdr Fahmi Fadzil berkenaan penjelasan tentang hubungan NGO termasuk BERSIH 2.0 dalam muafakat tersebut.

Klarifkasi tersebut menjelaskan bahawa BERSIH 2.0 akan menjadi rakan kerjasama, dan tidak terlibat secara langsung secara partisan dalam muafakat baru itu.

BERSIH 2.0 menyambut baik sikap inklusif muafakat baru tersebut, namun menegaskan bahawa BERSIH 2.0 berpendirian tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

BERSIH 2.0 bersedia bekerjasama dengan semua pihak yang menyokong agenda perubahan ke arah sebuah negara dengan tatakelola yang bersih dan adil.

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, yang terdiri daripada –

Pengerusi: Maria Chin Abdullah; Timbalan Pengerusi: Sarajun Hoda Abdul Hassan; Bendahari: Masjaliza Hamzah; wakil kebangsaan: Prof Madya Dr Abdul Halim bin Yusof, Farhana binti Abdul Halim, Fadiah Nadwa Fikri dan New Sin Yew; naib pengerusi: Jannie Lasimbang (Sabah), Ahmad b. Awang Ali (Sarawak), Abd Halim b. Wan Ismail (Semenanjung Timur), Thomas Fann (Semenanjung Selatan), Simon Lee Ying Wai (Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Semenanjung Utara).


Sila kongsi artikel ini...

Untukmu Sarawak, Berikan Hak Negeri Yang Sewajarnya - Nik Abduh

4:34 PM 0 Comments A+ a-



UNTUKMU SARAWAK, BERIKAN HAK NEGERI YANG SEWAJARNYA

Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Negeri Sarawak.

Negeri Sarawak adalah kebanggaan Malaysia dan lambang keharmonian dan kemakmuran dalam kemajmukan kehidupan rakyat Malaysia. Bahkan Malaysia dikenali dunia melalui keunikan dan keindahan negeri ini dalam pelbagai sektor. Sudah pasti kami rakyat Malaysia turut berbangga dan berkongsi rasa bahagia pada hari rakyat Sarawak menyambut ulang tahun kemerdekaannya.


Sarawak merupakan sebuah negeri dalam Malaysia yang dikurniakan kekayaan hasil mahsul yang cukup banyak oleh Allah SWT. Sewajarnyalah rakyatnya turut merasai kekayaan negeri tersebut. Namun hakikatnya, hari ini Sarawak dan rakyatnya masih jauh terkebelakang dari yang sepatutnya.

Sebagai contoh, indeks pembangunan jalan raya Sarawak adalah pada kadar 6.7, antara yang terendah di Malaysia. Rakyat Sarawak masih lagi tersenarai antara tiga negeri termiskin di Malaysia.

Oleh yang demikian, kami Pemuda PAS Malaysia mencadangkan agar hasil kekayaan petroleum negeri diserahkan kepada Sarawak pada kadar yang mencukupi untuk pembangunan dan kemakmuran negeri Sarawak. Ia adalah adil sebagaimana saranan Tuan Guru Presiden PAS dalam ucapan beliau di Himpunan Hijau ke Putrajaya pada tahun 2012 di Miri. Beliau menyatakan, mengikut hukum Islam hasil mahsul sesebuah wilayah itu haruslah dikekalkan di wilayah tersebut dan sehingga selesai setiap keperluan wilayah tersebut, barulah boleh dibawa ke wilayah lain.

Pengagihan keuntungan hasil petroleum oleh Putrajaya hari ini kepada negeri-negeri yang memiliki sumber asli berharga tersebut adalah cukup tidak adil. Ini mengakibatkan berlaku jurang kekayaan yang besar antara negeri-negeri di Malaysia. Negeri Sarawak adalah antara mangsa yang paling ketara dilihat.

Kami yakin Sarawak akan bertambah makmur dan pembangunan ekonomi negeri akan pesat membangun. Ini akan membolehkan banyak peluang perkerjaan terbuka untuk anak Sarawak. Ia turut memberi peluang dan ruang kepada anak Sarawak yang berhijrah keluar untuk kembali dan membangunkan negeri tumpah darah mereka.

Dewan Pemuda PAS Malaysia menyokong perjuangan rakyat Sarawak untuk menuntut hak negeri Sarawak yang perlu dilunaskan oleh Putrajaya. Ia selari dengan perjuangan parti PAS dan rakyat Malaysia yang menuntut perubahan politik negara ke arah lebih adil dan demokratik.

Nyadi sekali agik aku ngari ke Dewan Pemuda PAS Malaysia deka meri Selamat Ngintu Kemerdekaan Sarawak. Ngarap ke Allah seruran merekat serta merik pengelantang agai menoa kitai Sarawak.

Mansang Ngelaban!

Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

6 Syawal 1436H / 22 Julai 2015


Sila kongsi artikel ini...

Wajarkah Baiah Talak Tiga PAS? - Mohammad Agus Yusoff'

3:08 PM 0 Comments A+ a-



WAJARKAH BAIAH TALAK TIGA PAS?

Bagi pendokong PAS, mereka kata wajar atas hujah berikut:

i. supaya pemimpin yang dipilih atas tiket parti PAS tidak mengkhianati perjuangan, apatah lagi perjuangan Islam PAS.
ii. sebelum baiah ini dibuat, pemimpin ini tidak bantah pun baiah tersebut.


Mufti Kelantan telahpun menyatakan baiah ini sah. Bermakna apabila pemimpin PAS tersebut keluar dari PAS, maka jatuhlah talak tiga ke atas isterinya. Jika ada pertikaian, rujuklah ke Mahkamah Syariah untuk keputusan autoritatifnya.

Bagi bukan pendokong PAS, mereka menyatakan tidak wajar atas hujah berikut:

i. Cerai perlu dibuat secara sukarela, bukan paksa.
ii. Cerai adalah perbuatan yang paling Allah tegah dan tidak boleh dibuat main-main.
iii. Baiah setia itu hanya pada Allah, bukan pada parti dan pemimpin.

Meneliti kedua-dua hujah, saya tidak berupaya untuk mengulas sah atau tidak sahnya baiah ini.

Tetapi sebagai pelajar politik, komen saya sederhana sahaja: saya terkejut isteri pun boleh dicagar sebagai syarat untuk setia pada parti bagi menjadi calon dalam pilihan raya. Bertanya saya dalam hati, apakah Islam membenarkan perbuatan sebegini?

Merenung seterusnya, jika betullah ada baiah cerai talak tiga jika keluar dari parti PAS, ini adalah sekarut-karut tindakan!

Mohammad Agus Yusoff's post.


Sila kongsi artikel ini...

Penghapusan Tol Lebuhraya. - ZulHazmi

2:21 PM 0 Comments A+ a-



PENGHAPUSAN TOL LEBUHRAYA.

Antara janji dalam Manifesto Pakatan Rakyat untuk PRU13 yang lepas ialah menghapuskan tol lebuhraya.

Ramai menyambut baik janji tersebut tetapi ramai juga yang teragak-agak.


Bolehkah tol dihapuskan.?
Kalau tol dihapuskan, bagaimana hendak menguruskan lebuhraya?
Apa akan berlaku kepada pekerja-pekerja di pondok-pondok tol?
Apa nasib pekerja-pekerja syarikat konsesi pengendali tol?

Soalan-soalan di atas banyak kedengaran tetapi tidak dijelaskan dengan baik oleh calon-calon dan penceramah-penceramah Pakatan Rakyat. Malah di suatu majlis taklimat sebuah parti komponen Pakatan Rakyat, ada hadirin bertanya Presiden parti, jika tol dihapuskan, kami pekerja pondok tol nak kerja di mana? Presiden tu jawab "ulat dalam batu pun boleh hidup......." Itu antara punca pengundi teragak-agak dan tidak yakin kemampuan melaksanakan manifesto yang akhirnya pengundi mengundi "syaitan yang dikenali"

Sekarang, tahun ini, kita dengar jauh-jauh dan semakin dekat serta jelas bahawa kadar tol akan dinaikkan dan "terpaksa" dinaikkan. Sebelum PRU13 dulu pun sebenarnya hendak dinaikkan tetapi ditangguhkan kerena hendak menghadapi PRU. Dalam keadaan kenaikan ditangguhkan pun, rakyat terpaksa membayar kerana kerajaan membayar gantirugi kepada syarikat konsesi.

Dalam keadaan sekarang di mana kadar tol hendak dinaikkan, syarikat konsesi tol mula memperkenalkan pembayaran tol secara automatik secara berperingkat. Contohnya Tol Batu Tiga Shah Alam sudah menggunakan pembayaran automatik sepenuhnya. Selain perlu membayar tol, pengguna terpaksa membeli kad pra bayar untuk membayar tol. Syarikat konsesi dan syarikat berkaitan dengan mereka mengaut keuntungan berterusan.

Apabila pembayaran tol dilaksanakan secara automatik, ini bermakna juru tol di dalam pondok-pondok tol dikurangkan. Ke mana mereka? Masih bekerja atau diberhentikan? Ada yang diserapkan ke bahagian lain atau di lebuhraya-lebuhraya lain. Lebih kurang sama jika tol dihapuskan. Juru-juru tol akan dikurangkan dan akan diserapkan ke jawatan lain. tetapi jika tol dihapuskan, manfaatnya lebih banyak daripada tol diteruskan.

Konsesi Lebuhraya Persekutuan yang sepatutnya tamat akhir tahun 2015 ini dilanjutkan lagi sehingga tahun 2035 manakala konsesi Lebuhraya Utara Selatan akan tamat pada tahun 2018 dilanjutkan ke tahun 2038.

Konsesi kutipan tol dilanjutkan dan peningkatan kadar tol akan terus berlaku. Siapa yang untung?

Tak mahu BERUBAH lagi? Jom BERUBAH kepada yang lebih baik.

ZULHAZMI SHARIFF
22072015


Sila kongsi artikel ini...

DS Anwar: “Rakyat Malaysia Perlu Bersatu dan Bertekad Untuk Selamatkan Negara Kita”

1:32 PM 0 Comments A+ a-



DS Anwar: “Rakyat Malaysia Perlu Bersatu dan Bertekad Untuk Selamatkan Negara Kita”

Berikut adalah perutusan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakyat Malaysia yang disampaikan melalui peguam beliau pada 21 Julai 2015:

“Negara kita terus berada di dalam krisis yang semakin teruk, manakala kerajaan BN terus menafikan keadaan ini. Nilai mata wang ringgit merudum, tatkala rasuah dan skandal kewangan mencapai tahap yang belum pernah disaksikan sejak Merdeka lagi.

Di saat genting ini, rakyat Malaysia perlu bersatu dan bertekad untuk menyelamatkan negara kita.

Kita sedang berusaha mewujudkan muafakat politik yang lebih utuh, dan akan bekerjasama dengan semua gerakan progresif termasuk NGO seperti BERSIH, ABIM, IKRAM dan Gerakan Harapan Baru yang baru sahaja diwujudkan.

Permuafakatan ini merupakan kesepakatan kumpulan-kumpulan yang komited kepada reformasi dan perubahan, yang akan memberikan pilihan yang benar-benar demokratik dan adil kepada Rakyat.

Marilah kita ketepikan segala pertimbangan dan perbezaan yang lain dan berikan fokus kepada perjuangan untuk menyelamatkan Malaysia.”

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN


Sila kongsi artikel ini...

PAS Mengucapkan Selamat Menyambut Hari Ulangtahun Kemerdekaan Sarawak

1:09 PM 0 Comments A+ a-



PAS MENGUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT HARI ULANGTAHUN KEMERDEKAAN SARAWAK

Negeri Sarawak telah melalui pelbagai era pentadbiran dari Kesultanan Brunei (termasuk Sultan Tengah) sehinggalah kepada tiga kuasa penjajah Keluarga Brooke (1841-1941), Jepun (1941-1945) dan British (1941-1963). Detik penentangan ini bermula sejak British mengkhianati Piagam Atlantik (1941) kerana banyak hak-hak serta hasil Sarawak tidak dipulangkan selain perluasan wilayah tanpa persetujuan serta penyalahgunaan kuasa perairan. Detik kebangkitan rakyat paling dirasai sejak peristiwa Duncan Steward, Gabenor British di Sarawak dibunuh oleh wira Sarawak Rosli Dhobi.


Saya mewakili seluruh kepimpinan dan ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Sarawak daripada penaklukan penjajah. Tarikh 22 Julai 1963 merupakan suatu tarikh penting bagi negeri Sarawak dan rakyat Sarawak sendiri.

Sejarah lampau ini patut menjadi pengajaran kepada Kerajaan Pusat BN agar tidak meminggirkan rakyat Sarawak dalam arus pembangunan dan sewajarnya Kerajaan Pusat menaikkan royalti petroleum kepada 20 % yang patut diperolehi oleh negeri-negeri pengeluar bahan penting ini, termasuklah Sarawak.

PAS sangat menghormati sikap toleransi antara kaum dan agama di Sarawak, di mana toleransi seperti ini perlu diteruskan dan dicontohi oleh seluruh rakyat Malaysia. PAS juga ingin mencadangkan agar Kerajaan Negeri atau Persekutuan wajar mengadakan suatu sambutan khusus bagi memperingati tarikh tersebut agar generasi akan datang tidak mudah melupai sejarah penting ini serta mempertimbangkannya sebagai Cuti Umum untuk Negeri Sarawak.

"Untukmu Sarawak, Beristiqamah Hingga Kemenangan."

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

6 Syawal 1436/ 22 Julai 2015


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.