Bai'ah - Sumpah - Mengkianati Parti atau Mengkhianati Pengundi - ZulHazmi

6:08 PM 0 Comments A+ a-



BAI'AH - SUMPAH - MENGKHIANATI PARTI ATAU MENGKHIANATI PENGUNDI.

Heboh bercakap hal "bai'ah" atau "sumpah" wakil-wakil rakyat yang menang atas tiket parti dan kemudian memilih haluan sendiri membelakangkan parti. Ada yang berkata tindakan itu suatu pengkhianatan kepada parti sehingga ada mengatakan telah gelincir dari perjuangan.

Setiap calon yang bertanding di dalam pilihanraya mewakili parti itu (faham maksud parti itu merujuk kepada parti apa) diminta berbai'ah sebagai calon parti itu. Tidak semua calon yang berbai'ah tetapi majoritinya berbai'ah menyatakan taat setia kepada parti yang diwakili.


Bai'ah itu adalah antara mereka (calon) dengan parti.

Apabila calon-calon memenangi pilihanraya khususnya kerusi Parlimen, sebelum mereka layak digelar Ahli Parlimen (Ahli Dewan Rakyat), mereka juga berbai'ah kepada Parlimen, kepada Negara dan khususnya kepada pengundi serta masyarakat yang mereka wakili.

Perkara 59 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa setiap ahli sebelum mengambil kerusinya di Parlimen hendaklah mengangkat sumpah (bai'ah) seperti yang dinyatakan di Jadual Ke-6

Lafaz sumpahnya seperti berikut :-

"Saya,................................................, setelah dipilih (atau dilantik) sebagai seorang ahli Dewan Rakyat (atau Dewan Negara) dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian dengan segalaupaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya."

Sumpah ini adalah ikatan janji bahawa setiap orang yang melafazkannya hendaklah menunaikan tanggungjawab mereka setelah mereka dipilih oleh pengundi atau dilantik oleh institusi.

Sumpah sebagai Ahli Dewan adalah lebih besar berbanding sumpah ketaatan kepada parti kerana menjadi wakil rakyat melibatkan hak pengundi dan masyarakat. Gaji dan segala elaun diperolehi dari sumber yang datang dari rakyat dan negara. Sumpah kepada parti hanya melibatkan parti. Jika parti sudah jauh melencong dari tujuan asalnya maka mufaraqah dari bai'ah bukan suatu pengkhianatan.

Mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat tetapi tidak menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat di Dewan Rakyat untuk rakyat yang membayar gaji dan elaun adalah suatu pengkhianatan terbesar bagi wakil rakyat.

Untuk menjadi wakil rakyat tidak memerlukan parti tapi memerlukan rakyat. Amanah rakyat lebih besar daripada amanah parti.

ZULHAZMI SHARIFF
22072015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.