ANAK Sokong Undi Tidak Percaya - Mazlan Aliman

9:25 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA: ANAK SOKONG UNDI TIDAK PERCAYA

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) menyokong Usul undi tidak percaya terhadap Ahli Parlimen Pekan, yang juga Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak, yang dikemukakan Ketua Pembangkang, YB Dato' Sri Dr Wan Azizah, seperti mana Sidang Media pada 22 oktober lalu. Usul telah di serahkan ke pejabat Speaker Dewan Rakyat.

Adalah di fahamkan, terdapat 88 Ahli Parlimen Pembangkang dan memerlukan 112 Undi dari 222 kerusi Parlimen seluruh negara bagi mendapatkan sokongan majoriti.


ANAK menggesa Pakatan Harapan diketuai Dr Wan Azizah mengadakan rundingan dengan Tan Sri Muhyiddin Yasin(Pagoh), Tengku Razaleigh(Gua Musang), Dato' Sri Shafie Afdal(Semporna) dan tokoh tokoh negara yang berpengaruh seumpama Tun Dr Mahathir dan lain lain bagi mempastikan Usul berkenaan mendapat sokongan majoriti.

Adalah amat penting, di saat rakyat hilang kepercayaan terhadap Dato' Sri Najib yang dipalitkan dengan berbagai kepincangan seperti isu 1MDB, GST, FGV, kos sara hidup dan korupsi; Pakatan Pembangkang melalui Pakatan Harapan bekerjasama dengan pembangkang lain seperti PAS dan gabungan tokoh tokoh negara bagi mempastikan usul undi tidak percaya berjaya, sekaligus YAB DS Najib kehilangan mandat sebagai Perdana Menteri.

Proses berikutnya selepas itu, siapa Perdana Menteri dan bentuk Kerajaan adalah terpulang kepada kebijaksanaan semua pihak. ANAK yakin ianya berjalan dengan baik seperti mana amalan yang sama dibuat di negara lain.

Justeru, semua pihak mesti bersatu dan mengenepikan perbezaan pandangan dan sentimen peribadi demi menjayakan misi teramat penting iaitu usul undi tidak percaya terhadap DS Najib Tun Razak.

Situasi ketidakstabilan politik negara dan keadaan ekonomi yang semakin lesu yang memberikan kesan buruk kepada kehidupan rakyat mesti ada formula penyelesaian. Untuk menunggu PRU 14 yang mandatnya berakhir 2018 terlalu lama. DS Najib mesti ' diundurkan' segera dari jawatannya. Derita dan sengsara rakyat wajar ditangani dengan mandat baru melalui Kerajaan yang Adil dan Telus.

Moga moga usaha kita ini di berkati Allah.

MENERAJUI PERUBAHAN

Mazlan Aliman
Presiden ANAK
30 Okt 2015


Sila kongsi artikel ini...

Penafian Hak Ikat Jamin Untuk Aktivis Khalid Ismath - Suatu Pencabulan - Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin

3:56 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media Rasmi
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

PENAFIAN HAK IKAT JAMIN UNTUK AKTIVIS KHALID ISMATH - SUATU PENCABULAN


DPPM memandang serius penafian hak untuk dijamin sementara menunggu perbicaraan terhadap Aktivis Mahasiswa Khalid Mohd Ismath.

Khalid Mohd Ismath, merupakan seorang aktivis mahasiswa yang telah ditahan pada 7hb.Oktober, 2015 (Rabu) dibawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan seterusnya di tangkap semula selepas dibebaskan pada 9hb.Oktober dibawah Akta Hasutan, 1948.

Beliau telah direman selama 6 hari dan akhirnya dibawa ke Mahkamah untuk dituduh pada 13hb. Oktober, 2015. Beliau telah dihadapkan dengan 14 pertuduhan, 3 pertuduhan dibawah Akta Hasutan dan 11 lagi pertuduhan dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia, 1998.

5 kali penahanan dan bilangan pertuduhan yang sangat banyak yang dikenakan terhadap Aktivis Khalid Ismath, atas asas dakwaan yang hampir sama - hanya kerana melahirkan simpati terhadap Peguam Kamal Hisyam, membayangkan sesuatu yang tidak kena dengan sistem pentadbiran keadilan di negara ini.

Keputusan Mahkamah Seksyen yang menafikan hak untuk dijamin, bagi dakwaan yang sepatutnya diberikan ikat jamin, adalah satu pencabulan hak perlembagaan yang sangat serius terhadap seorang anak muda yang cintakan keadilan, kebebasan dan ketelusan. Prinsip seseorang hendaklah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, jelas dikesampingkan dan seolah-olah tidak mempunyai makna lagi. Aktivis Khalid Ismath seolah-olah ditahan tanpa bicara, dihukum sebelum dibuktikan bersalah.

Pada hari semalam, tanggal 29 Oktober 2015, Mahkamah Tinggi telah menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan jaminan terhadap Khalid Ismath. Alhamdulillah keputusan memihak kepada Khalid Ismath dengan Mahkamah Tinggi membenarkan jaminan rm5,000 untuk setiap pertuduhan dengan jumlah rm70,000 bagi 14 pertuduhan.

Pihak DPPM melihat keputusan ini sebagai suatu perkembangan yang positif dalam sistem kehakiman negara yang masih mengangkat nilai-nilai kemanusian dan menghormati hak tahanan untuk diikat jamin sebelum dibuktikan bersalah. Tahniah kepada Khalid Ismath dan seiisi keluarga.

Pihak DPPM juga menyeru kepada Peguam Negara, Badan Kehakiman dan Polis Di Raja Malaysia untuk memberikan keadilan yang sewajarnya kepada Aktivis Khalid Ismath dalam proses perundangan yang seterusnya, bagi membolehkan beliau menyediakan pembelaan terbaik terhadap segala pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau.

Sekian.

"Mempersiap Generasi Kemenangan"

"Beristiqamah Hingga Kemenangan"

IR. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

Jumaat, 30 Oktober 2015 | 17 Muharram 1437H


Sila kongsi artikel ini...

Selangor tanpa PAS? – Wan Ji Wan Hussin

12:39 PM 0 Comments A+ a-



Selangor tanpa PAS? – Wan Ji Wan Hussin

Amanah dan DAP bersama PKR kini membina Pakatan Harapan di Pulau Pinang. Di peringkat Parlimen, susunan kerusi kedudukan ahli Parlimen juga menampilkan Pakatan Harapan diterima secara rasmi.

Keadaan ini berbeza di Selangor. Menteri besar Selangor masih menganggap Pakatan Rakyat masih lagi kekal. Ekoran itu, PAS masih lagi dianggap sebahagian rakan DAP dan PKR di Selangor, walaupun di peringkat Malaysia, DAP dan PAS sudah “tertalak” walaupun gabungan sebelum ini tidak pernah diikat dengan sebarang amalan bai'ah.

Ramai percaya Selangor selepas PRU akan datang adalah negeri Pakatan Harapan, bukan negeri Pakatan Rakyat lagi. Justeru, selepas PRU ini, ramai percaya PAS bukan salah satu parti yang mentadbir Selangor.

Sebelum ini, menteri besar Selangor pernah mengajak PAS bersama-sama dengan Pakatan Harapan. Namun, ramai anggap ajakan itu “ajak-ajak ayam”. Ajak yang tidak punyai keikhlasan, kerana diletakkan syarat ketat. Ajakan yang tidak jauh beza dengan persetujuan Puteri Gunung Ledang menerima pinangan Sultan Mahmud Shah dengan syarat ketat seperti mana yang dihikayatkan dalam kitab Sulalatus Salitin; iaitu, Sultan Mahmud Shah diminta sediakan sebuah jambatan emas dari Gunung Ledang ke Melaka, jalan perak dari Melaka ke Gunung Ledang, 7 dulang hati hama, 7 dulang hati nyamuk, 7 tempayan air pinang muda, 7 tempayan air mata anak dara dan semangkuk darah anak Sultan Mahmud Shah yang masih kanak-kanak, iaitu Sultan Ahmad Shah.

Tidak “ponteng” mesyuarat, tidak “U-turn” setelah keputusan bersama dibuat, sebarang perbezaan sesama parti dalam Pakatan Harapan diselesaikan di meja rundingan merupakan syarat yang diletakkan kepada PAS.

Kelihatannya, syarat itu bukan sekadar PAS tidak mampu tunaikan, malah ia seperti menyindir peribadi presiden PAS yang ramai pengundi anggap sebagai punca kehancuran gabungan Pakatan Rakyat sebelum ini.

Ramai tidak memahami di sebalik strategi politik MB Selangor ini. Bagaimana pun, implikasi yang sering dibangkitkan oleh kalangan yang pro-MB ini adalah kebimbangan campur tangan pihak istana dan undi Melayu.

Yang lebih sering dibangkitkan adalah kebimbangan sejarah perlawanan 3 penjuru (PAS, PKR dan BN) dalam PRU melibatkan Kota Damansara berulang kembali.

Tidak dinafikan, pendirian MB Selangor itu melahirkan perasaan tidak puas hati Amanah dan DAP. Lebih-lebih lagi, kajian Ilham Centre menyatakan tindakan MB Selangor yang dilihat mewakili PKR, menjadikan sokongan pengundi Cina terhadap PKR menurun sebanyak 15%.

Lebih parah lagi, sudah ada “cakap-cakap tidak rasmi” Amanah dan DAP, mereka tidak mahu mengekalkan individu sama sebagai MB Selangor selepas PRU akan datang.

Mustahil perkara ini tidak dijangkakan PAS. Sebagai parti yang bergantung harap dengan individu MB Selangor untuk kekal dalam kerajaan, sudah pasti PAS sudah memikirkan cara memastikan masih kekal menjadi pemerintah.

Cara untuk memastikan itu, sama ada dengan memilih bergabung dengan Umno, walaupun ia kelihatan agak mustahil pada saat ini. Ataupun PAS akan bertindak luar jangka, iaitu tetap juga memastikan mereka akan menjadi parti yang majoriti dalam DUN.

Dengan itu, tidak ditolak kemungkinan, mereka akan bertanding di semua DUN di Selangor sebagai mencuba nasib.

Tindakan luar jangka ini tidak hairan boleh dilakukan PAS. Ini kerana, perkara ini pernah mereka lakukan terhadap PKR di beberapa DUN pada PRU yang lepas. Lebih-lebih lagi, kalangan pimpinan mereka ramai berstatuskan ulama, yang sudah pasti punyai hujah agama untuk bertindak sebegitu.

Jika ini senario politik Selangor, sudah pasti MB Selangor berada dalam bahaya untuk kekal sebagai MB selepas PRU akan datang.

Malahan, dengan sikap tidak puas hati disembunyikan Amanah dan DAP kini, ia juga merupakan petanda tidak baik untuk beliau dicalonkan Pakatan Harapan sebagai perdana menteri Malaysia suatu masa nanti.

Lebih-lebih lagi, ramai kalangan mereka menganggap MB Selangor itu tidak mengambil langkah membina keyakinan Amanah dan DAP, seterusnya terhadap penyokong Pakatan Harapan.

Juga, MB Selangor dianggap ramai sebagai tidak memberi keiltazaman yang tinggi dalam membuktikan Pakatan Harapan merupakan wadah yang berkemampuan untuk menggantikan BN, seperti masih membentuk kerajaan bersama PAS yang masih lagi tidak menyatakan persetujuan bersama Pakatan Harapan. Wallahu Alam. – 30 Oktober, 2015.


Sila kongsi artikel ini...

Vape: Pandai kementerian buat lawak – Nik Aziz Afiq Abdul

2:59 AM 0 Comments A+ a-


Vape: Pandai kementerian buat lawak – Nik Aziz Afiq Abdul




Semalam saya diuji dengan kehabisan minyak di lebuh raya. Stres sungguh lebih-lebih lagi atas desakan mengejar masa yang tidak pernah cukup.

Sementara menanti hero sejati (abah saya) datang membawa bantuan sempat saya yang penuh stres dan penat melayari portal berita.

Siapa sangka laporan berita mampu buat saya ketawa dan tersenyum riang. Seakan tiada masalah. Ibarat baru lepas menonton rancangan lawak pentas di kaca televisyen.

Geli hati sungguh baca kenyataan bahawa kementerian kesihatan berusaha untuk menyekat atau mengharamkan vape @ rokok eletronik.

Alasannya juga kelakar. Iaitu kerana vape membahayakan kesihatan maka ia perlu disekat. Untuk menambah rencah dikatakan pelajar sekolah juga mula terjebak dan ini membimbangkan.

Saya bukan penghisap vape. Malah tidak teringin pun nak hisap. Tapi saya tidak terlalu bodoh dalam menghidu hipokrit kenyataan sebegini.

Jika vape membahayakan kesihatan sehingga perlu disekat, maka adakah rokok itu elok bagi kesihatan?

Jika vape menular di kalangan pelajar sekolah bukankah rokok juga sudah lama lagi merebak di kalangan pelajar sekolah?

Maka kenapa vape diharamkan tetapi pada rokok kementerian berubah menjadi pengecut dan sekadar meletakkan sebuah nota amaran kecil "merokok membahayakan kesihatan" di sisi kotak rokok?

Jawapannya tidak terlalu susah. Menteri dan ahli politik adalah mereka yang menjadi kuda pada pemodal kapitalis. Adalah silap besar jika kita menyangka pemerintah negara ini di kalangan ahli politik. Tidak. Pemerintah sebenar adalah pemodal kapitalis yang melalui mereka juga menteri dan ahli politik menduduki jawatan itu.

Kewujudan vape benar-benar menggugat industri rokok. Para pemilik syarikat rokok hari makin hari semakin resah mengenangkan kadar jualan mereka merudum. Alternatif adalah sesuatu perkara yang paling dibenci kaum kapitalis. Alternatif menyebabkan mereka tidak boleh monopoli dan terpaksa bersaing. Bagi mereka kekayaan hanyalah milik mereka, tidak boleh ada "pendatang baharu" yang bakal menjejaskan kekayaan mereka.

Kebimbangan mereka inilah yang menyebabkan kerajaan boneka juga bimbang. Bimbang kerana syarikat gergasi ini merupakan lubuk emas buat perbendaharaan negara dan kocek peribadi. Jangan lupa syarikat rokok juga penyumbang pada duti eksais negara. Kerugian mereka bermakna kerugian juga buat negara yang tak pernah berhenti memboros ini.

Semenjak industri vape berkembang, makin ramai usahawan online muncul dan mengubah kehidupan ke arah lebih baik apabila perniagaan ini diusahakan bersungguh-sungguh.

Namun kerajaan boneka tidak ambil peduli. Usahawan kecil seperti ini tidak membantu memenuhkan RM kantung negara dan kocek peribadi mereka. Maka apalah sangat kesannya jika golongan penghisap vape ini ditindas yang penting big boss (pemodal kapitalis) kembali mengukir senyum dan reda dengan kerajaan boneka. Diciptalah alasan kelakar seperti vape membahayakan kesihatan dan lain-lain.

Sekiranya kementerian serius dalam mengekang produk membahayakan kesihatan maka sila haramkan juga rokok di negara ini. Halau kilang rokok itu keluar. Bukankah rokok lebih lama diketahui membahayakan kesihatan? Malah difatwa dengan haram oleh majlis muzakarah fatwa kebangsaan? Lihatlah fatwa juga diperlekeh kerajaan boneka demi reda kapitalis perosak.

Solusinya bagi saya ada dua, pertama haramkan rokok juga, kedua, tampal nota di tepi alat vape itu "vape membahayakan kesihatan" seperti yang dilakukan pada kotak rokok.

Benarlah, jika ingin jadi menteri pastikan anda mahir berlawak bodoh!


Sila kongsi artikel ini...

Internet Di Perak Bukan Kehendak Tapi Keperluan - Akmal Kamarudin

12:12 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN DEWAN PEMUDA PAS PERAK
[Internet Di Perak Bukan Kehendak Tapi Keperluan]

1. Penggunaan internet kini amat penting bagi rakyat terutamanya golongan muda bagi medan sosial, medium ilmu pengetahuan serta akses maklumat secara cepat dan tepat. Seperti yang dinyatakan dalam Dewan Rakyat oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, bilangan pengguna internet yang aktif di Negara kini melebihi 20.1 juta.


2. Namun begitu, Perak diantara negeri yang besar di Malaysia masih lagi berhadapan masalah capaian internet terutamanya di kawasan-kawasan kampung. Bagi kawasan Bandar di Perak yang mana rata-rata pengguna tegar internet juga berhadapan masalah kelajuan internet yang kurang memuaskan hati.

3. Internet kini bukan lagi satu kehendak tetapi sudah menjadi satu keperluan dalam kehidupan seharian. Selain dari pejabat-pejabat memerlukan capaian internet yang laju, penuntut universiti dan guru di sekolah amat memerlukan capaian internet laju bagi menyelesaikan tugasan serta mencari maklumat tambahan selain dari silibus pengajaran yang sedia ada.

4. Selain itu, anak muda yang rata-rata gen Y kini lebih gemar menggunakan aplikasi di telefon pintar dengan melayari media alternatif untuk berita pantas dan maklumat berbanding melihat di televisyen dan membaca di akhbar cetak. Perkembangan teknologi ini seharusnya seiring dengan capaian kelajuan internet baik di Bandar mahupun di kampung.

5. Sehubungan dengan itu, Dewan Pemuda PAS Perak mendesak kerajaan terutama Menteri Komunikasi dan Multimedia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) untuk mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan capaian internet laju di kawasan Perak.

6. Dewan Pemuda PAS Perak beranggapan dengan usaha ini dapat meningkatkan lagi golongan celik IT dikalangan masyarakat kampung dalam masa yang sama masyarakat Bandar terus dapat melaksanakan tugas dengan lebih efektif dan efisyen.

‪#‎IstiqamahHinggaKemenangan‬

Akmal Hj Kamarudin
Ketua Dewan Pemuda PAS Perak

16 Muharram 1437H / 29 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Jawapan bertulis mengenai soalan Hanipa Maidin kepada PM tentang isu wang RM 2.6 billion ke dalam akaun peribadi PM

12:10 AM 0 Comments A+ a-



Saya baru sahaja menerima jawapan bertulis mengenai soalan saya kepada Perdana Menteri tentang isu wang RM 2.6 billion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Soalan saya adalah seperti berikut :-

54. PR-1333-L70469 Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin [ Sepang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan :-


(a) adakah pihak polis atau SPRM telah memanggil Perdana Menteri untuk disoal siasat di bawah seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah berhubung pendepositan RM2.6 bilion (USD700 juta) ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri di CIMB bank; dan

(b) jika Perdana Menteri sudah dipanggil soal siasat, bilakah beliau dipanggil dan apakah status penyiasatan tersebut dan jika belum dipanggil, mengapakah Perdana Menteri tidak dipanggil untuk disoal siasat.

Jawapan yang diberikan oleh Senator Paul Low Seng Kuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah seperti berikut

Tan Sri Yang Di Pertua

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM ) masih menjalankan siasatan terhadap isu yang dibangkitkan. SPRM juga ingin memaklumkan bahawa setiap saksi atau individu yang berkaitan dengan kes ini akan dipanggil bagi tujuan siasatan. Setakat ini YAB Perdana Menteri belum lagi diambil dan ianya akan dilakukan apabila tiba masanya nanti.

Sekian, terima kasih."

Komen saya berhubung jawapan di atas

1. Apabila dinyatakan bahawa " bahawa setiapa saksi atau individu yang berkaitan dengan kes in AKAN dipanggil bagi tujuan siasatan" bermakna sehingga kini SPRM masih belum memanggil
mana mana saksi bagi kes ini. Kalau tiada saksi yang dipanggil maka macam mana siasatan nak dilakukan ? Adakah benar wujudnya siasatan terhadap kes ini ?

2. Isu RM 2.6 billion menjadi isu nasional dan international dan PM adalah individu paling penting untuk diambil keterangan..mengapakah sehingga kini beliau masih belum dipanggil ? Berdasarkan seksyen 23 ( 1 ) Akta SPRM adalah jelas beliau termasuk dalam "pegawai badan awam" maka ada asas yang kuat untuk beliau disiasat dan diambil keterangan , maka apabila beliau masih belum dipanggil ia memberi satu persepsi yang amat negatif kepada PM dan sistem keadilan dalam negara ini.

3. Kenapakah bila melibatkan PM nampaknya agak perlahan untuk diambil kenyataan PM sedangkan bila melibatkan rakyat biasa atau ahli ahli politik pembangkang agak cepat diambil tindakan


Sila kongsi artikel ini...

Pakatan Harapan Mahu Bawa Malaysia Ke Arah Politik Kuno? - Alang Ibn Shukrimun

12:08 AM 0 Comments A+ a-



PAKATAN HARAPAN MAHU BAWA MALAYSIA KE ARAH POLITIK KUNO?

Hairan sekali apabila Khalid Samad daripada Pan membidas kenyataan TGHH yang menyatakan PAS sedia beri kerjasama kepada mana-mana pihak kerajaan dalam apa jua agenda baik demi kepentingan negara. Khalid Samad mendakwa kata-kata TGHH ibarat mahu bergabung dengan Umno.

Sangat dangkal rupanya pemikiran pendokong Pakatan Harapan (PH). Nampaknya mereka masih dalam kepompong pemikiran politik retro. Hanya kerana enggan bersama PH, terus dituduh bersama Umno. Sistem dwi parti yang begitu lama diamalkan Malaysia menyebabkan otak mereka membeku dan tidak mampu memahami sistem multi parti sebagaimana banyak diamalkana di negara-negara maju dan membangun lain.

PAS cuba membawa rakyat bergerak setapak lagi ke arah kematangan politik. PAS yang terlibat sebelum merdeka lagi telah lama mendidik rakyat untuk berani berpolitik dan hak untuk tidak bersetuju dengan pemerintah. Waktu itu parti lain belum bernyawa lagi. Sepanjang perjalanan itu juga banyak sudah parti-parti yang tersungkur dan lenyap dari massa. Namun PAS tetap istiqamah dan semakin berkembang saban hari.

Hari ini setelah majoriti rakyat faham hak mereka, PAS cuba melangkah setapak lagi, dengan memahamkan pula bahawa rakyat mampu selamatkan negara bukan setakat dalam pilihanraya 5 tahun sekali sahaja. Ini dengan cara mencadangkan terus penyelesaian kepada pemerintah melalui pintu perbincangan dan rundingan atas isu-isu tertentu.

Kedudukan parti pemerintah yang tidak sekuat dulu memungkinkan kita memperbaiki beberapa kepincangan dalam amalan pemerintah selama ini. Kerajaan hari ini tidak lagi berani menolak mentah-mentah pelawaan parti lain untuk membetulkan negara. Jika tidak, kebangkitan baru mungkin akan berlaku di kalangan penjawat awam sendiri.

Ditambah dengan kebanyakan kakitangan kerajaan kini bersikap terbuka dan tidak lagi memilih parti, PAS yakin kalangan kakitangan kerajaan sendiri sudah tidak menaruh harapan kepada BN, tetapi mereka masih mencari-cari kaedah terbaik untuk merawat negara.

Kita boleh lihat beberapa badan beriktiraf hari ini sudah berani mendedahkan kepincangan kerajaan secara terbuka; suatu suasana yang tidak belaku dahulu. SPRM, Bank Negara, Jabatan Audit, tentera, dan sebagainya. Malah tokoh dalam BN juga telah berani bersuara. Kakitangan kerajaan sebaik sahaja bersara pula terus memilih untuk membongkar apa yang mereka lalui selama ini. Itu belum dikira mereka yang masih dalam kerajaan yang menyalurkan maklumat secara rahsia.

Semua ini perlu diuruskan. Mereka adalah kumpulan profesional yang banyak tidak terlibat dalam parti politik. Kita tidak boleh mewajibkan semua rakyat ikut kaedah parti politik sahaja. Perlu ada pendekatan tanpa mileage politik - pada zahirnya - demi untuk menangani masalah kepincangan negara.

Tapi perkara ini gagal difahami PH. Bagi mereka, kalau kritik kerajaan bermakna musuh kerajaan. Kalau bantu kerajaan bermakna sokong kerajaan. Untuk berfikir lebih jauh daripada itu, mereka tidak mampu kerana terlalu kompleks.

'Jangan langsung bantu kerajaan. Nanti kalau kita beri idea mereka akan gunakan dan dakwa itu idea mereka. Dengan idea itu, rakyat akan tengok BN hebat dan ini akan mendatangkan sokongan buat mereka. Payahlah kita nak rampas Putrajaya.'

Hanya kerana mahukan kuasa, segala tindakan yang boleh beri kepentingan buat rakyat tidak dipedulikan. Biar rakyat hidup merana dulu janji lepas ini PH dapat kuasa, daripada bantu rakyat tetapi akhirnya PH terlepas peluang berkuasa.

Lihatlah negara-negara maju di luar sana. Kepelbagaian parti tidak memustahilkan mereka untuk berbincang secara elok di dalam parlimen dan persidangan lain dalam isu-isu tertentu. Tiba pilihanraya mereka tetap seteru dan masing-masing berebut sokongan dari rakyat.

Inilah corak demokrasi matang yang kita cita-citakan. Tanpa sentimen parti, tanpa permusuhan ketat, penuh profesional dan sangat efektif!

(Alang Ibn Shukrimun)


Sila kongsi artikel ini...

Apakah Putrajaya membiayai Brandworth Corp? - Tuan Ibrahim Tuan Man

12:01 AM 0 Comments A+ a-



Apakah Putrajaya membiayai Brandworth Corp?

Menurut kertas Suruhanjaya Syarikat Malaysia, fungsi syarikat Brandworth Corp adalah untuk merangka, membina, melaksana, membangun dan mengkordinasikan pelan strategik, model dan penyelesaian bagi membolehkan pemasaran, branding dan perletakan efektif kedudukan Malaysia di peringkat domestik, serantau dan antarabangsa.

Syarikat ini ditubuhkan pada 23 Februari 2012. Para pengarah Brandworth Corp bukan calang-calang orangnya – antara mereka terdiri daripada bekas bos Media Prima Dato Sri Ahmad Farid Ridzuan dan Tan Sri Abdul Aziz bin Kassim.


Menurut laporan SSM, asset semasa yang dimiliki syarikat ini bernilai lebih RM19 juta dengan liabiliti sebanyak RM638 ribu dan aset tetap RM551 ribu.

Dato Sri Ahmad Farid juga merupa Pengerusi MyCreative Ventures Sdn Bhd, yang diperbadankan Kementerian Kewangan pada April 2012.

Di Bajet 2012, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menubuhkan satu dana sebanyak RM200 juta yang disalur melalui MyCreative Ventures Sdn Bhd bagi menggalakkan perkembangan industri kreatif negara. Ketika itu, Dato Sri Ahmad Farid dipercayai juga bertugas sebagai Penasihat Komunikasi Perdana Menteri.

Persoalannya, apakah benar Putrajaya ada menyalurkan dana kepada Brandworth Corp? Jika ya, berapa dana yang disalurkan setakat ini? Apakah tugas sebenar Brandworth Corp untuk Putrajaya? Apakah kempen ‘I love PM’ adalah hasil kerja syarikat ini?

Apakah betul dakwaan Raja Petra Kamaruddin bahawa syarikat ini dipertanggungjawab untuk menjalankan kempen bagi pihak BN? Apakah juga dakwaan Raja Petra Kamaruddin adalah benar bahawa SPRM telah menyerbu syarikat ini? Jika ya, mengapa?

Menanti jawapan daripada pihak SPRM dan juga Perdana Menteri. Sekiranya semua ini fitnah, elok penafian dibuat segera.

Pautan untuk rujukan:

http://www.astroawani.com/…/bajet-2015-rm100-juta-untuk-maj…

http://www.themalaysianinsider.com/…/farid-media-prima-ke-j…

http://www.malaysia-today.net/macc-delivers-a-sucker-punch/

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
30 Oktober 2015




Sila kongsi artikel ini...

Memorandum : Bantahan Kenaikan Tol Secara Mendadak

12:00 AM 0 Comments A+ a-



Memorandum : Bantahan Kenaikan Tol Secara Mendadak

MEMORANDUM 1.0

KEPADA : MENTERI KERJARAYA

DARIPADA : DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

BANTAHAN KENAIKAN KADAR TOL SECARA MENDADAK

1.0 Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) melahirkan rasa kekesalan di atas pengumuman kenaikan kadar tol bagi beberapa lebuhraya utama yang berkuatkuasa pada 15 Oktober 2015 yang lepas.

Kenaikan kadar tol ini merupakan satu malapetaka dahsyat kepada pengguna lebuhraya tatkala negara dirundung dengan krisis kejatuhan mata wang.

Setelah dihimpit dengan bebanan kenaikan harga barang, harga minyak yang tidak menentu turun naik dan ditambah dengan cukai GST, rakyat sekali lagi telah dizalimi dengan kenaikan kadar tol yang tidak munasabah.

Janji pengurangan kadar tol secara berperingkat oleh kerajaan BN dalam manifestonya pada PRU-13 yang lepas rupanya hanya satu sandiwara poltik meraih undi.

2.0 Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor melihat keadaan ini sebagai satu musibah besar yang melanda rakyat Malaysia. Pengurus dan pemilik konsesi tol perlu merasai dan menjiwai hidup sebagai rakyat biasa dan bukannya memikirkan keuntungan poket sendiri.

Perlu memahami bahawa bukan semua pengguna lebuhraya sama taraf hidup mereka, bukan sekadar tol yang mereka perlu bayar untuk menggerakkan sebuah pacuan, bahkan minyak, cukai jalan, lesen dan pelbagai lagi pengeluaran duit perlu dilaburkan untuk sebuah kenderaan layak digunakan di Malaysia ini.

Kebimbangan yang kami khuatiri adalah kemarahan rakyat Malaysia yang tidak terkawal akibat tekanan dan bebanan kewangan yang mereka terpaksa tanggung akibat kenaikan mendadak dan akan mengakibatkan ketidakstabilan kehidupan rakyat Malaysia dan paling menakutkan sekiranya ada yang merusuh tanpa hala kepada individu yang tidak bersalah.

3.0 Marilah sama-sama kita menginsafi bahawa disamping kenaikan kadar tol yangterkini, rakyat Malaysia silih berganti terbeban dengan kenaikan cukai-cukai yang melampau seakan Malaysia tiada sumber pendapatan melainkan cukai.

Sedangkan Negara kita memiliki hasil bumi yang banyak sepatutnya menjadi pendapatan yang mampu menampung segala kos tersebut. Amaran Allah di dalam Al-Quran sepatutnya menjadi kegerunan pada pihak kerajaan.

Ketetapan yang demikian supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya di kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksanya bagi orang yang melanggari perintahnya".

4.0 Oleh itu, kami Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mendesak pihak Kerajaan Persekutuan agar:

i. menyemak semula terma perjanjian di antara syarikat konsesi tol dan pihak kerajaan dengan mengambil kira aspek tempoh perjanjian dan penstrukturan semula konsesi tol berdasarkan pulangan kos dan keuntungan;

ii. mengamalkan dasar berbelanja secara berhemah supaya mempunyai lebihan (surplus) bagi menampung kos pampasan kepada syarikat konsesi tol di atas penangguhan kenaikan kadar tol yang dianggarkan pada kadar purata inflasi 3%-5% setahun; dan

iii. menubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat, menekuni dan meneliti setiap perjanjian konsesi tol yang berat sebelah dan membebankan rakyat.

Sekian, terima kasih.

Yang Benar,

Syarhan Humaizi Abdul Halim
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

Tarikh : 28 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.