ANAK Sokong Undi Tidak Percaya - Mazlan Aliman
KENYATAAN MEDIA: ANAK SOKONG UNDI TIDAK PERCAYA
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) menyokong Usul undi tidak percaya terhadap Ahli Parlimen Pekan, yang juga Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak, yang dikemukakan Ketua Pembangkang, YB Dato' Sri Dr Wan Azizah, seperti mana Sidang Media pada 22 oktober lalu. Usul telah di serahkan ke pejabat Speaker Dewan Rakyat.
Adalah di fahamkan, terdapat 88 Ahli Parlimen Pembangkang dan memerlukan 112 Undi dari 222 kerusi Parlimen seluruh negara bagi mendapatkan sokongan majoriti.
ANAK menggesa Pakatan Harapan diketuai Dr Wan Azizah mengadakan rundingan dengan Tan Sri Muhyiddin Yasin(Pagoh), Tengku Razaleigh(Gua Musang), Dato' Sri Shafie Afdal(Semporna) dan tokoh tokoh negara yang berpengaruh seumpama Tun Dr Mahathir dan lain lain bagi mempastikan Usul berkenaan mendapat sokongan majoriti.
Adalah amat penting, di saat rakyat hilang kepercayaan terhadap Dato' Sri Najib yang dipalitkan dengan berbagai kepincangan seperti isu 1MDB, GST, FGV, kos sara hidup dan korupsi; Pakatan Pembangkang melalui Pakatan Harapan bekerjasama dengan pembangkang lain seperti PAS dan gabungan tokoh tokoh negara bagi mempastikan usul undi tidak percaya berjaya, sekaligus YAB DS Najib kehilangan mandat sebagai Perdana Menteri.
Proses berikutnya selepas itu, siapa Perdana Menteri dan bentuk Kerajaan adalah terpulang kepada kebijaksanaan semua pihak. ANAK yakin ianya berjalan dengan baik seperti mana amalan yang sama dibuat di negara lain.
Justeru, semua pihak mesti bersatu dan mengenepikan perbezaan pandangan dan sentimen peribadi demi menjayakan misi teramat penting iaitu usul undi tidak percaya terhadap DS Najib Tun Razak.
Situasi ketidakstabilan politik negara dan keadaan ekonomi yang semakin lesu yang memberikan kesan buruk kepada kehidupan rakyat mesti ada formula penyelesaian. Untuk menunggu PRU 14 yang mandatnya berakhir 2018 terlalu lama. DS Najib mesti ' diundurkan' segera dari jawatannya. Derita dan sengsara rakyat wajar ditangani dengan mandat baru melalui Kerajaan yang Adil dan Telus.
Moga moga usaha kita ini di berkati Allah.
MENERAJUI PERUBAHAN
Mazlan Aliman
Presiden ANAK
30 Okt 2015
Sila kongsi artikel ini...