Penafian Hak Ikat Jamin Untuk Aktivis Khalid Ismath - Suatu Pencabulan - Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin

3:56 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media Rasmi
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

PENAFIAN HAK IKAT JAMIN UNTUK AKTIVIS KHALID ISMATH - SUATU PENCABULAN


DPPM memandang serius penafian hak untuk dijamin sementara menunggu perbicaraan terhadap Aktivis Mahasiswa Khalid Mohd Ismath.

Khalid Mohd Ismath, merupakan seorang aktivis mahasiswa yang telah ditahan pada 7hb.Oktober, 2015 (Rabu) dibawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan seterusnya di tangkap semula selepas dibebaskan pada 9hb.Oktober dibawah Akta Hasutan, 1948.

Beliau telah direman selama 6 hari dan akhirnya dibawa ke Mahkamah untuk dituduh pada 13hb. Oktober, 2015. Beliau telah dihadapkan dengan 14 pertuduhan, 3 pertuduhan dibawah Akta Hasutan dan 11 lagi pertuduhan dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia, 1998.

5 kali penahanan dan bilangan pertuduhan yang sangat banyak yang dikenakan terhadap Aktivis Khalid Ismath, atas asas dakwaan yang hampir sama - hanya kerana melahirkan simpati terhadap Peguam Kamal Hisyam, membayangkan sesuatu yang tidak kena dengan sistem pentadbiran keadilan di negara ini.

Keputusan Mahkamah Seksyen yang menafikan hak untuk dijamin, bagi dakwaan yang sepatutnya diberikan ikat jamin, adalah satu pencabulan hak perlembagaan yang sangat serius terhadap seorang anak muda yang cintakan keadilan, kebebasan dan ketelusan. Prinsip seseorang hendaklah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, jelas dikesampingkan dan seolah-olah tidak mempunyai makna lagi. Aktivis Khalid Ismath seolah-olah ditahan tanpa bicara, dihukum sebelum dibuktikan bersalah.

Pada hari semalam, tanggal 29 Oktober 2015, Mahkamah Tinggi telah menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan jaminan terhadap Khalid Ismath. Alhamdulillah keputusan memihak kepada Khalid Ismath dengan Mahkamah Tinggi membenarkan jaminan rm5,000 untuk setiap pertuduhan dengan jumlah rm70,000 bagi 14 pertuduhan.

Pihak DPPM melihat keputusan ini sebagai suatu perkembangan yang positif dalam sistem kehakiman negara yang masih mengangkat nilai-nilai kemanusian dan menghormati hak tahanan untuk diikat jamin sebelum dibuktikan bersalah. Tahniah kepada Khalid Ismath dan seiisi keluarga.

Pihak DPPM juga menyeru kepada Peguam Negara, Badan Kehakiman dan Polis Di Raja Malaysia untuk memberikan keadilan yang sewajarnya kepada Aktivis Khalid Ismath dalam proses perundangan yang seterusnya, bagi membolehkan beliau menyediakan pembelaan terbaik terhadap segala pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau.

Sekian.

"Mempersiap Generasi Kemenangan"

"Beristiqamah Hingga Kemenangan"

IR. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

Jumaat, 30 Oktober 2015 | 17 Muharram 1437H


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.