Pakatan Harapan Mahu Bawa Malaysia Ke Arah Politik Kuno? - Alang Ibn Shukrimun
PAKATAN HARAPAN MAHU BAWA MALAYSIA KE ARAH POLITIK KUNO?
Hairan sekali apabila Khalid Samad daripada Pan membidas kenyataan TGHH yang menyatakan PAS sedia beri kerjasama kepada mana-mana pihak kerajaan dalam apa jua agenda baik demi kepentingan negara. Khalid Samad mendakwa kata-kata TGHH ibarat mahu bergabung dengan Umno.
Sangat dangkal rupanya pemikiran pendokong Pakatan Harapan (PH). Nampaknya mereka masih dalam kepompong pemikiran politik retro. Hanya kerana enggan bersama PH, terus dituduh bersama Umno. Sistem dwi parti yang begitu lama diamalkan Malaysia menyebabkan otak mereka membeku dan tidak mampu memahami sistem multi parti sebagaimana banyak diamalkana di negara-negara maju dan membangun lain.
PAS cuba membawa rakyat bergerak setapak lagi ke arah kematangan politik. PAS yang terlibat sebelum merdeka lagi telah lama mendidik rakyat untuk berani berpolitik dan hak untuk tidak bersetuju dengan pemerintah. Waktu itu parti lain belum bernyawa lagi. Sepanjang perjalanan itu juga banyak sudah parti-parti yang tersungkur dan lenyap dari massa. Namun PAS tetap istiqamah dan semakin berkembang saban hari.
Hari ini setelah majoriti rakyat faham hak mereka, PAS cuba melangkah setapak lagi, dengan memahamkan pula bahawa rakyat mampu selamatkan negara bukan setakat dalam pilihanraya 5 tahun sekali sahaja. Ini dengan cara mencadangkan terus penyelesaian kepada pemerintah melalui pintu perbincangan dan rundingan atas isu-isu tertentu.
Kedudukan parti pemerintah yang tidak sekuat dulu memungkinkan kita memperbaiki beberapa kepincangan dalam amalan pemerintah selama ini. Kerajaan hari ini tidak lagi berani menolak mentah-mentah pelawaan parti lain untuk membetulkan negara. Jika tidak, kebangkitan baru mungkin akan berlaku di kalangan penjawat awam sendiri.
Ditambah dengan kebanyakan kakitangan kerajaan kini bersikap terbuka dan tidak lagi memilih parti, PAS yakin kalangan kakitangan kerajaan sendiri sudah tidak menaruh harapan kepada BN, tetapi mereka masih mencari-cari kaedah terbaik untuk merawat negara.
Kita boleh lihat beberapa badan beriktiraf hari ini sudah berani mendedahkan kepincangan kerajaan secara terbuka; suatu suasana yang tidak belaku dahulu. SPRM, Bank Negara, Jabatan Audit, tentera, dan sebagainya. Malah tokoh dalam BN juga telah berani bersuara. Kakitangan kerajaan sebaik sahaja bersara pula terus memilih untuk membongkar apa yang mereka lalui selama ini. Itu belum dikira mereka yang masih dalam kerajaan yang menyalurkan maklumat secara rahsia.
Semua ini perlu diuruskan. Mereka adalah kumpulan profesional yang banyak tidak terlibat dalam parti politik. Kita tidak boleh mewajibkan semua rakyat ikut kaedah parti politik sahaja. Perlu ada pendekatan tanpa mileage politik - pada zahirnya - demi untuk menangani masalah kepincangan negara.
Tapi perkara ini gagal difahami PH. Bagi mereka, kalau kritik kerajaan bermakna musuh kerajaan. Kalau bantu kerajaan bermakna sokong kerajaan. Untuk berfikir lebih jauh daripada itu, mereka tidak mampu kerana terlalu kompleks.
'Jangan langsung bantu kerajaan. Nanti kalau kita beri idea mereka akan gunakan dan dakwa itu idea mereka. Dengan idea itu, rakyat akan tengok BN hebat dan ini akan mendatangkan sokongan buat mereka. Payahlah kita nak rampas Putrajaya.'
Hanya kerana mahukan kuasa, segala tindakan yang boleh beri kepentingan buat rakyat tidak dipedulikan. Biar rakyat hidup merana dulu janji lepas ini PH dapat kuasa, daripada bantu rakyat tetapi akhirnya PH terlepas peluang berkuasa.
Lihatlah negara-negara maju di luar sana. Kepelbagaian parti tidak memustahilkan mereka untuk berbincang secara elok di dalam parlimen dan persidangan lain dalam isu-isu tertentu. Tiba pilihanraya mereka tetap seteru dan masing-masing berebut sokongan dari rakyat.
Inilah corak demokrasi matang yang kita cita-citakan. Tanpa sentimen parti, tanpa permusuhan ketat, penuh profesional dan sangat efektif!
(Alang Ibn Shukrimun)
Sila kongsi artikel ini...