Selangor tanpa PAS? – Wan Ji Wan Hussin
Selangor tanpa PAS? – Wan Ji Wan Hussin
Amanah dan DAP bersama PKR kini membina Pakatan Harapan di Pulau Pinang. Di peringkat Parlimen, susunan kerusi kedudukan ahli Parlimen juga menampilkan Pakatan Harapan diterima secara rasmi.
Keadaan ini berbeza di Selangor. Menteri besar Selangor masih menganggap Pakatan Rakyat masih lagi kekal. Ekoran itu, PAS masih lagi dianggap sebahagian rakan DAP dan PKR di Selangor, walaupun di peringkat Malaysia, DAP dan PAS sudah “tertalak” walaupun gabungan sebelum ini tidak pernah diikat dengan sebarang amalan bai'ah.
Ramai percaya Selangor selepas PRU akan datang adalah negeri Pakatan Harapan, bukan negeri Pakatan Rakyat lagi. Justeru, selepas PRU ini, ramai percaya PAS bukan salah satu parti yang mentadbir Selangor.
Sebelum ini, menteri besar Selangor pernah mengajak PAS bersama-sama dengan Pakatan Harapan. Namun, ramai anggap ajakan itu “ajak-ajak ayam”. Ajak yang tidak punyai keikhlasan, kerana diletakkan syarat ketat. Ajakan yang tidak jauh beza dengan persetujuan Puteri Gunung Ledang menerima pinangan Sultan Mahmud Shah dengan syarat ketat seperti mana yang dihikayatkan dalam kitab Sulalatus Salitin; iaitu, Sultan Mahmud Shah diminta sediakan sebuah jambatan emas dari Gunung Ledang ke Melaka, jalan perak dari Melaka ke Gunung Ledang, 7 dulang hati hama, 7 dulang hati nyamuk, 7 tempayan air pinang muda, 7 tempayan air mata anak dara dan semangkuk darah anak Sultan Mahmud Shah yang masih kanak-kanak, iaitu Sultan Ahmad Shah.
Tidak “ponteng” mesyuarat, tidak “U-turn” setelah keputusan bersama dibuat, sebarang perbezaan sesama parti dalam Pakatan Harapan diselesaikan di meja rundingan merupakan syarat yang diletakkan kepada PAS.
Kelihatannya, syarat itu bukan sekadar PAS tidak mampu tunaikan, malah ia seperti menyindir peribadi presiden PAS yang ramai pengundi anggap sebagai punca kehancuran gabungan Pakatan Rakyat sebelum ini.
Ramai tidak memahami di sebalik strategi politik MB Selangor ini. Bagaimana pun, implikasi yang sering dibangkitkan oleh kalangan yang pro-MB ini adalah kebimbangan campur tangan pihak istana dan undi Melayu.
Yang lebih sering dibangkitkan adalah kebimbangan sejarah perlawanan 3 penjuru (PAS, PKR dan BN) dalam PRU melibatkan Kota Damansara berulang kembali.
Tidak dinafikan, pendirian MB Selangor itu melahirkan perasaan tidak puas hati Amanah dan DAP. Lebih-lebih lagi, kajian Ilham Centre menyatakan tindakan MB Selangor yang dilihat mewakili PKR, menjadikan sokongan pengundi Cina terhadap PKR menurun sebanyak 15%.
Lebih parah lagi, sudah ada “cakap-cakap tidak rasmi” Amanah dan DAP, mereka tidak mahu mengekalkan individu sama sebagai MB Selangor selepas PRU akan datang.
Mustahil perkara ini tidak dijangkakan PAS. Sebagai parti yang bergantung harap dengan individu MB Selangor untuk kekal dalam kerajaan, sudah pasti PAS sudah memikirkan cara memastikan masih kekal menjadi pemerintah.
Cara untuk memastikan itu, sama ada dengan memilih bergabung dengan Umno, walaupun ia kelihatan agak mustahil pada saat ini. Ataupun PAS akan bertindak luar jangka, iaitu tetap juga memastikan mereka akan menjadi parti yang majoriti dalam DUN.
Dengan itu, tidak ditolak kemungkinan, mereka akan bertanding di semua DUN di Selangor sebagai mencuba nasib.
Tindakan luar jangka ini tidak hairan boleh dilakukan PAS. Ini kerana, perkara ini pernah mereka lakukan terhadap PKR di beberapa DUN pada PRU yang lepas. Lebih-lebih lagi, kalangan pimpinan mereka ramai berstatuskan ulama, yang sudah pasti punyai hujah agama untuk bertindak sebegitu.
Jika ini senario politik Selangor, sudah pasti MB Selangor berada dalam bahaya untuk kekal sebagai MB selepas PRU akan datang.
Malahan, dengan sikap tidak puas hati disembunyikan Amanah dan DAP kini, ia juga merupakan petanda tidak baik untuk beliau dicalonkan Pakatan Harapan sebagai perdana menteri Malaysia suatu masa nanti.
Lebih-lebih lagi, ramai kalangan mereka menganggap MB Selangor itu tidak mengambil langkah membina keyakinan Amanah dan DAP, seterusnya terhadap penyokong Pakatan Harapan.
Juga, MB Selangor dianggap ramai sebagai tidak memberi keiltazaman yang tinggi dalam membuktikan Pakatan Harapan merupakan wadah yang berkemampuan untuk menggantikan BN, seperti masih membentuk kerajaan bersama PAS yang masih lagi tidak menyatakan persetujuan bersama Pakatan Harapan. Wallahu Alam. – 30 Oktober, 2015.
Sila kongsi artikel ini...