Perkauman boleh bawa keganasan – Faiz Fadzil

8:05 PM 0 Comments A+ a-



Perkauman boleh bawa keganasan – Faiz Fadzil

Dunia dikejutkan dengan siri pengeboman di beberapa negara termasuk Perancis, Turki dan terkini Indonesia.

Pemuda Amanah mengecam tindakan sebegini yang tidak Islamik dan tidak bertamadun.

Islam agama yang membawa rahmat bukan sahaja kepada manusia, malah seluruh alam. Islam menganjurkan keamanan negara, kemakmuran hidup rakyat dan keharmonian antara kaum.

Amat malang jika pengeboman sebegini dilakukan oleh militan orang Islam seperti kumpulan Isis yang sememangnya bercanggah dengan ajaran Islam.

Kejadian sebegini akan meningkatkan lagi sentimen Islamophobia. Keganasan dan ekstrimisme bukan metod dakwah Islam.

Pendekatan Islam adalah wasatiah dan sederhana.

Allah memerintahkan hambaNya berdakwah dengan bijak dan nasihat yang baik (an-Nahl, ayat 125).

Justeru, Pemuda Amanah percaya keganasan sebegini disumbangkan oleh salah faham tentang ajaran Islam yang sebenar dan sikap taksub atau fanatik terhadap agama dan bangsa.

Pemuda Amanah tegas menolak ajaran dan fahaman sebegini.

Masyarakat negara ini cukup bimbang sekiranya agenda ekstrimisme sebegini menyerap masuk ke negara ini. Usaha semua pihak terutama pihak kerajaan bagi membendung ekstrimisme perlu diberikan perhatian serius.

Mendidik rakyat terutama di sekolah dan pusat pengajian tinggi dan kempen anti-ekstrimisme adalah usaha efisyen bagi membendung ancaman ini.

Tindakan undang-undang jika diambil hendaklah berpaksikan kepada keadilan undang-undang dan keluhuran perlembagaan. Keselamatan negara hendaklah diimbangi dengan kebebasan dan hak yang dijamin perlembagaan dan nilai sejagat.

Namun, usah pula kerajaan menggunakan alasan menyekat keganasan untuk justifikasikan undang-undang drakonian seperti Pota, Sosma dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Sesungguhnya kezaliman tidak menyelesaikan kesulitan ini.

Jangan kerana mahu mempertahankan kuasa, Umno terus meniupkan sentimen perkauman kononnya Melayu akan hilang kuasa kepada Cina jika Umno hilang kuasanya.

Sesungguhnya, khurafat dan hegemoni ini yang boleh menimbulkan ketakutan di kalangan masyarakat Melayu, yang boleh menyemarakkan semangat ekstrimisme yang akhirnya merugikan negara dan rakyat jika ia berakhir dengan tindakan-tindakan keganasan.

Amat menghairankan bila kerajaan gagal mengambil tindakan terhadap golongan yang bermain api perkauman termasuk kumpulan baju merah. Sikap pilih bulu kerajaan tidak menguntungkan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Pemuda Amanah menyeru agar sentimen perkauman dan fahaman ekstrimisme dihindari bermula hari ini demi kejayaan negara jutaan hari yang mendatang. – 17 Januari, 2016.


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.