Kenaikan Kadar Tol Oleh Sprint Sdn Bhd - Sivarasa Rasiah

2:38 PM 0 Comments A+ a-



PERNYATAAN AKHBAR bertarikh 14hb Oktober 2015
KENAIKAN KADAR TOL oleh SPRINT SDN BHD.

Saya telah menerima banyak soalan di dalam media sosial samada saya adalah ahli lembaga SPRINT Sdn Bhd ( nama penuh adalah Sistem Penyuraian Trafik KL Barat ) dan samada saya telah menyokong kenaikan tol sebagai seorang ahli lembaga pengarah.


Berikut adalah kenyataan. Saya memang adalah seorang anggota lembaga pengarah SPRINT sebagai wakil Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) yang merupakan pemilik dua-puluh peratus saham SPRINT. Kumpulan Gamuda memiliki baki lapan-puluh peratus saham.

Persoalan sokongan saya sebagai ahli lembaga pengarah untuk kenaikan tol tidak timbul langsung. Isu kenaikan tol tidak pernah dirujuk kepada lembaga pengarah untuk dibincang. Pengurusan SPRINT telah melaksanakan kenaikan tol menurut satu surat dariapda Lemabaga Lebuhraya Malaysia ( LLM) yang diterima seminggu lalu yang telah maklumkan, antaranya, saperti berikut - bahawa kerajaan Persekutuan tidak akan bayar lebih pampasan kepada syarikat, bahawa SPRINT boleh naik kadar tol selaras dengan kadar yang tertera dalam surat tersebut, dan syarikat bertanggung jawab untuk mengumumkan kadar kenaikan tol. Ekoran surat itu, kenaikan tol diumumkan oleh syarikat. Perkara itu tidak dirujuk sebelum itu kepada lembaga pengarah melalui pekeliling atau mesyuarat.

Saya tidak setuju dengan kenaikan tol yang telah diumumkan. Memandangkan keadaan ekonomi sekarang, ini bukan masa yang sesuai untuk menambahkan beban atas rakyat Selangor dan Malaysia dengan kenaikan kadar tol bertambah kenaikan harga barang yang berterusan dan juga GST. Pendirian saya, saya anggap, adalah selaras dengan pendirian Kerajaan Selangor Pakatan yang dipimpin oleh YAB Menteri Besar Azmin Ali.

Justeru, saya akan menulis kepada Pengerusi syarikat SPRINT, Ir Hj.Yusuff bin Daud untuk memanggil satu mesyuarat khas lembaga pengarah untuk membincang dan kajisemula perkara ini. Saya telah juga melapurkan perkara ini kepada YAB Menteri Besar Azmin Ali dan akan melaksanakan apa-apa arahan lanjut daripada beliau.

Sivarasa Rasiah
Ahli Parlimen Subang


Sila kongsi artikel ini...

Muhyiddin Yasin: Yang saya tidak bersetuju ialah penyalahgunaan SOSMA yang bercanggah dengan tujuan asal akta ini digubal sepertimana yang berlaku dalam kes penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang

2:22 PM 0 Comments A+ a-



Saya telah membaca beberapa kenyataan yang dibuat oleh segelintir pihak yang mendakwa bahawa saya telah membantah SOSMA dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 12 Oktober 2015 dan ini kononnya adalah bercanggah dengan pendirian saya menyokong SOSMA semasa di dalam kabinet dan ketika Rang Undang-Undang SOSMA dibentangkan di Parlimen. Pendirian saya tidak pernah berubah.

Saya menyokong SOSMA untuk menangani kesalahan-kesalahan keselamatan yang menggugat keamanan dan ketenteraman awam. Yang saya tidak bersetuju ialah penyalahgunaan SOSMA yang bercanggah dengan tujuan asal akta ini digubal sepertimana yang berlaku dalam kes penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang.

Tindakan mereka membuat laporan mengenai dakwaan salah laku 1MDB kepada pihak-pihak berkuasa di dalam dan luar negara tidaklah boleh dikatakan sebagai satu tindakan sabotaj di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan, iaitu satu kesalahan keselamatan yang membolehkan penggunaan SOSMA. Bukankah mereka sekadar melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara yang prihatin?

Pendirian saya ini adalah selari dengan jaminan kerajaan ketika Akta ini digubal bahawa ianya tidak akan disalah gunakan untuk tujan-tujuan lain, terutamanya yang bermotifkan politik termasuk mendiamkan pengkritik dan menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara dan memberikan pandangan. Jaminan ini adalah selaras dengan langkah transformasi politik yang diambil oleh kerajaan. Adakah 1MDB terlalu kebal sehinggakan pihak yang mengkritik dan membuat laporan terhadapnya didakwa di mahkamah? Seorang yang berfikiran waras pastinya akan bertanya siapakah yang sebenarnya mensabotaj sistem perbankan dan perkhidmatan kewangan negara? Orang yang membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya menyiasat dakwaan salah laku 1MDB atau orang yang mengakibatkan berbillion ringgit wang rakyat dalam 1MDB lesap? Apakah pemimpin UMNO harus berdiam diri dalam hal ini dan bersekongkol dengan para petualang?Janganlah dibiarkan jiwa perjuangan yang mengalir dalam darah setiap pejuang UMNO dibeli dengan harga yang murah.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap pejuang UMNO untuk bangkit menentang penyelewengan dan perompakan harta negara oleh pihak-pihak tertentu. Barulah UMNO akan disegani dan dihormati oleh rakyat seluruhnya dan diberkati perjuangannya oleh Allah s.w.t.


YB Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin


Sila kongsi artikel ini...

Kenaikan tol : rakyat terus menjadI mangsa - Nik Abduh

1:53 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media Rasmi
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

KENAIKAN TOL : RAKYAT TERUS MENJADI MANGSA

1. Isu mengenai kenaikan harga tol kembali menjadi perhatian selepas pengumuman mengenai kenaikannya bermula Khamis ini. Walaupun pelbagai asas dan alasan dibangkitkan bagi menampakkan relevansi kenaikan tersebut, namun hujungnya bebannya tetap terpikul di bahu rakyat biasa.

2. Kontroversi mengenai pengurusan tol di Malaysia sudah bermula sejak pembinaan lebuhraya utara selatan pada pertengahan 1980an lagi, apabila kerajaan menyerahkan tendernya kepada syarikat United Engineers Malaysia (UEM), sebuah syarikat yang hampir lumpuh (insolvent company). UEM tiada pengalaman dalam pembinaan jalanraya dan terpaksa memanggil syarikat luar bagi mengelola pembinaan lebuhraya utara selatan ketika itu.

3. Dasar Penswastaan yang diperkenalkan kerajaan ketika itu jelas mengetepikan kepentingan awam apatah lagi kemudahan jalanraya adalah milik kepentingan awam yang seharusnya dijaga oleh kerajaan. Pengurusan pembinaan lebuh raya yang pertama di Malaysia iaitu lebuhraya utara selatan diasaskan kepada perkongsian awam-swasta dan ia berkembang sehinggalah lahirnya kira-kira 30 lebuhraya di Malaysia.

4. Kesan daripada polisi dan perjanjian yang meminggirkan kepentingan rakyat tersebut terus dirasai sehingga ke hari ini dan saban tahun isu kenaikan tol merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan daripada perjanjian konsesi tol kerajaan dengan syarikat-syarikat konsesi.

5. Pada 2014, PLUS membekukan kenaikan tol di samping mengetepikan bayaran ganti rugi sebanyak RM2.6 bilion yang sepatutnya dituntut daripada kerajaan. Dalam masa yang sama, syarikat MTD Prime juga pernah menghapuskan kutipan tol di Lebuhraya Metramac 7 tahun dari tarikh konsesinya yang berakhir pada 2018. Namun, tindakan dua syarikat tersebut tidak disambut oleh baki 28 syarikat konsesi tol yang lain.

6. Pada Jun 2014, Kementerian Kerja Raya bersama-sama Kementerian Kewangan, Unit Perkongsian Awam-Swasta telah mengadakan penelitian terhadap permasalahan konsesi tol. Namun, ia dilihat tidak menampakkan hasil yang setimpal. Kini, rakyat terutamanya di Lembah Klang terpaksa membayar kos kenaikan harga tol yang baru diumumkan.

7. DPPM melihat tindakan kerajaan meluluskan kenaikan tersebut jelas tidak bertepatan dengan keadaan semasa ekonomi Malaysia yang terus terumbang-ambing. Kesusahan rakyat seolah-olah dipinggirkan oleh kerajaan ketika kenaikan tol ini diluluskan.

8. DPPM tetap bersama dengan tuntutan rakyat mendesak kerajaan supaya meneliti semula perjanjian konsesi (Consession Agreement) dengan pihak swasta dan mestilah menemui noktah penyelesaian yang membebaskan rakyat daripada terjerut dengan perjanjian berat sebelah yang terpaksa ditanggung. Ini apatah lagi dalam keadaan peningkatan kos sara hidup yang begitu dirasai ketika ini.

Jika tidak, janji kerajaan akan kekal dilihat janji manis dan kosong daripada sebuah kerajaan yang berhak ditolak oleh rakyat.

Sekian, terima kasih.

“Mempersiap Generasi Kemenangan"

"Beristiqamah Hingga Kemenangan”

NIK MOHAMAD ABDUH BIN NIK ABDUL AZIZ
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
Ahli Parlimen Pasir Mas.

Rabu, 14 Oktober 2015 | 1 Muharram 1437H


Sila kongsi artikel ini...

AMK Mengecam Penggunaan Akta Hasutan Dan Sosma Terbaru

12:48 PM 0 Comments A+ a-



AMK MENGECAM PENGGUNAAN AKTA HASUTAN DAN SOSMA TERBARU

Angkatan Muda KEADILAN mengecam sekeras-kerasnya tindakan melampau pihak berkuasa ke atas pihak pembangkang dan pengkritik kerajaan beberapa minggu ini.

Laporan terkini adalah berkenaan perilaku pihak polis terhadap Khalid Ismath, yang dikatakan telah dipaksa mengaku bersalah berkenaan kesemua dakwaan yang dibuat ke atasnya.


Menurut laporan media, keluarga beliau sendiri mengatakan bahawa Khalid telah dipaksa mengaku bersalah untuk membolehkan beliau berjumpa dengan ahli keluarga.

Ugutan oleh pihak polis itu melanggar hak pihak yang tertuduh, kerana beliau sepatutnya tidak boleh dipaksa menjawab sebarang soalan dengan paksaan.

Penggunaan Akta Hasutan yang semakin menjadi-jadi untuk menyekat suara
pembangkang juga harus dipersoal, kerana kegunaannya hanyalah berteraskan politik. Kami tetap dengan pendirian bahawa undang-undang kolot itu, yang mana Perdana Menteri Najib Razak sendiri telah berjanji untuk memansuhkan tetapi tidak menepatinya apabila mendapati kedudukan beliau sudah tidak selamat, adalah bertentangan dengan hak asasi rakyat yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kejadian ini menyusuli penangkapan Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA, dan dakwaan tidak masuk akal ke atas mereka kerana melaporkan salahlaku pihak 1MDB.

Jelas terdapat corak penyalahgunaan undang-undang apabila integriti pihak berkuasa dipersoal, dan ini boleh dibuktikan dengan penggunaan SOSMA ke atas individu padahal niat pembentukan undang-undang tersebut adalah untuk menyekat aktiviti keganasan.

Kerajaan BN haruslah berhenti mengugut rakyat dan menjawab segala persoalan yang disuarakan. AMK juga menggesa pihak kerajaan untuk berhenti berselindung di sebalik undang-undang yang telah disalah
tafsir dengan sengaja semata-mata untuk mengelak daripada diambil tindakan kehakiman.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN


Sila kongsi artikel ini...

Husam Musa: Selamatkan Kelantan: Hentikan Pemberian Hutan Simpan Kekal Untuk Ladang Hutan

12:47 PM 0 Comments A+ a-



SELAMATKAN KELANTAN: HENTIKAN PEMBERIAN HUTAN SIMPAN KEKAL UNTUK LADANG HUTAN

Tahun lepas, bah mega melanda Kelantan dengan dahsyatnya.

Sedikit sebanyak, ia berkaitan dengan penebangan hutan yang luas serta konsep tebang habis yang diamalkan oleh Kerajaan Kelantan.

Kelantan menjadi antara negeri terbesar meluluskan kawasan hutan tebang habis di Semenanjung Malaysia, seperti saya jangka juga dalam makluman YB.

Di bawah konsep ladang hutan, semua hutan sedia ada terlebih dahulu ditebang habis menjadi gondol sepenuhnya. Orang yang berkenaan mendapat untung besar dengan menjual semua balak kecil dan besar.

Itu pun tujuan utama kebanyakan mereka.

Saya telah menegur Kerajaan Negeri Kelantan mengenai isu ini beberapa kali. Baik secara dalaman mahu pun terbuka.

Saya merujuk khusus kepada tindakan terkini kerajaan negeri. Saya difahamkan seluas 4,500 hektar lagi diluluskan kpd sebuah syarikat - D_R K_LSt_r Plantation.

Syarikat ini dimilik oleh individu yang selalu mendapat kelulusan seperti ini sudah berkali-kali.

Kelulusan seluas 4,500 ha ini menambahkan lagi jumlah keluasan hutan simpan kekal yang akan dibersihkan buat selama-lamanya bersama semua flora dan faunanya.

Saya menyeru Kerajaan Negeri Kelantan dengan setulus hati saya untuk segera menghentikan kelulusan seperti ini.

Fikirkan tugas dan amanah di bahu anda sebagai Khalifah di bumi yang wajib menjaga semua makhluk termasuk haiwan di hutan, kelangsungan khazanah bumi untuk generasi akan datang, keadilan dalam pengagihan kekayaan serta kesan-kesan berikut dengan saksama:

A. Kesan kepada alam sekitar seperti bah besar dan pemanasan global.

Bayangkan kepanasan yang berlaku akibat penebangan hutan yang amat luas. Kekeringan sumber air di musim kemarau dan mala petaka alam yang lain.

Satu kajian kesan ekologinya saya agak belum pernah dilakukan.

B. Ancaman perubahan cuaca, penghapusan sumber dan punca hasil kepada anak cucu dan generasi akan datang.

Bahkan keindahan negeri juga akan terhapus buat selama-lamanya dan hidupan liar menjadi pupus.

C. Kaedah pemberian langsung tanpa tender yang merugikan hasil negeri, menguntungkan segelintir kroni dan memungkinkan amalan rasuah berlaku dalam pelbagai cara.

D. Tanah yang sama patut diagihkan untuk dimiliki oleh lebih ramai rakyat Kelantan dengan pelbagai skim komersial dan bukan komersial secara terhad dan seimbang sekiranya perlu.

Ini lebih utama.

Pada masa yang sama ia boleh menjanakan hasil yang lebih besar kepada kerajaan serta menjadi.katalis menyusun semula sosio ekonomi negeri ini.

E. Saya sekali lagi menyeru Kerajaan Kelantan segera menghentikan amalan ini.

Kelulusan terkini kepada syarikat berkenaan dengan keluasan 4,500 ha dan 9,000 ekar untuk penanaman sawit, juga dalam HSK masing masing ditarik balik.

Saya sangat berharap Kerajaan Negeri dapat menimbangkan rayuan ini.

YB Husam Musa
ADUN SALOR
19 Zulhijjah 1436H/ 3 Oktober 2015

Nota:

1. Surat ini telah dihantar kepada kerajaan negeri Kelantan pada 3 Oktober 2015.
Memandangkan tiada sebarang respon dari kerajaan negeri, saya kongsikan dengan seluruh rakyat Kelantan.

15 Oktober 2015/2 Muharam 1437


Sila kongsi artikel ini...

Tolak Kerjasama Perkasa,Tindakan Tepat Dan Bijaksana Pas Selangor - Mahfuz Omar

11:26 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media.

TOLAK KERJASAMA PERKASA,TINDAKAN TEPAT DAN BIJAKSANA PAS SELANGOR.

1. Pertama saya ucapkan tahniah atas pendirian yang diambil oleh PAS Selangor melalui kenyataan YB Dato' Iskandar Samad Pesuruhjaya PAS Selangor yang menolak sebarang kerjasama dengan kumpulan Perkasa yang membawa sentimen perkauman.


2. Saya percaya penolakan kerjasama dengan Perkasa oleh PAS Selangor setelah mengambil kira sentimen penolakan rakyat Selangor daripada pelbagai kaum terhadap Perkasa yang dilihat terlalu membawa sentimen politik perkauman sempit yang boleh menimbulkan ketidakharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama yang ada dinegeri Selangor.

3. Saya percaya PAS Selongor melihat sebarang bentuk kerjasama mahu pun apa apa ketetapan atas apa jua isu bersama Perkasa tidak ubah seperti pepatah Melayu yang menyatakan "Untung secupak rugi Segantang".

4. Kepada semua pihak khususnya parti-parti politik berhati hati dengan agenda politik sempit yang cuba dibawa oleh pihak tertentu untuk mengujudkan pemikiran kononnya kerajaan pemerentahan Melayu dan Pembangkang Cina di Malaysia. Pemikiran ini sangat merbahaya kepada masyarakat Majmuk di Malaysia. Pemikiran ini hanya sekadar untuk menyambung hayat politik Umno yang berada dalam keadaan Nazak. Kepada umat Islam marilah kita pamirkan Islam Rahmat untuk semua.

5. Saya menyeru pada semua parti-parti politik khususnya parti pembangkang untuk bersatu dalam satu pasukan untuk melakar landskap politik baru Malaysia tanpa politik perkauman sempit demi masa depan anak cucu dan Malaysia tercinta.

SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA.
SALAM HIJRAH 1437

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
14 Okt 2015/1Muharram 1437H


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.