Pantang Melayu diaibkan: Bangsa bermaruah tidak rela dihina – Siddiq Fadzil
Sejak awal, golongan yang paling cepat menerima Islam adalah kaum dhu’afa, (rakyat kecil), golongan tertindas yang selalu dihina, diperlekeh dan dinafikan hak-hak kemanusiaannya.
Bagi mereka, Islam adalah agama yang menjanjikan perubahan nasib dan pengangkatan martabat. Dengan Islam mereka menjadi manusia mulia, mendapat martabat, maruah dan harga diri.
Justeru, Islam datang membawa al-takrim al-Ilahiy (martabat kemuliaan daripada Tuhan) untuk seluruh anak Adam. Jika Tuhan sendiri mendeklarasikan, “Dan sesungguhnya Kami telah muliakan anak-anak Adam….” (al-Isra’: 70).
Lalu apa hak manusia menghina manusia lain? Sejarah pengislaman rakyat massa Melayu sebenarnya tidak terlepas daripada faktor daya tarik Islam sebagai agama pembawa harapan pembelaan nasib orang kecil, pengangkatan martabat keinsanan, pengurniaan maruah dan ‘izzah (kemuliaan) kepada semua dan siapa sahaja yang mahu beriman.
Memang, Islam begitu bererti bagi rakyat massa Melayu yang selama ini tertindas dalam sistem feudal sebelum kedatangan Islam.
Maruah dalam kontrak sosial Melayu
Islam menjadikan kita bangsa yang memiliki kesedaran yang cukup tinggi tentang maruah dan kehormatan diri.
Justeru, maruah adalah salah satu nilai teras (core value) budaya kita. Nilai teras inilah yang memberikan motivasi dan daya dorong untuk berjuang menjadi bangsa yang bermaruah dan terhormat. Bukan watak bangsa kita rela menerima kehinaan.
Kesedaran tentang nilai dan erti maruah, ketidakrelaan diaib dan dimalukan sudah berabad-abad terpahat dalam Piagam Palembang, kontrak sosial Melayu yang mengabadikan sumpah Melayu tidak akan menghina, memalukan dan mengaibkan anak bangsa.
Sumpah setia antara Seri Teri Buana (raja) dengan Demang Lebar Daun (rakyat) dinukilkan kata demi kata dalam karya agung Melayu Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),
Maka sembah Demang Lebar Daun….Seperkara lagi, perjanjian patik mohonkan anugerah ke bawah duli Yang Maha Mulia, segala hamba Melayu jikalau ada dosanya ke bawah duli, patik pohonkan jangan ia difadihatkan, dinista yang keji-keji, jikalau patut pada hukum syarak bunuh, tuanku; jangan duli tuanku aibi. (A. Samad Ahmad, 1984:1985).
Demikianlah suara rakyat Melayu menuntut komitmen penguasa agar menghormati maruah dan kehormatan diri setiap warga umat sebagai manusia mulia.
Seri Teri Buana yang menyetujui tuntutan tersebut dengan memberikan komitmen tegas, “kabullah hamba….” Kemudiannya diberi amaran bernada sumpahan, “Jikalau raja Melayu itu mengubahkan perjanjian dengan hamba Melayu, dibinasakan Allah negerinya dan takhta kerajaannya”.
Keprihatinan Melayu terhadap maruah ternyata cukup tinggi, dan sumpahannya juga bukan kepalang, “alamat negerinya akan binasa” . Menjatuhkan maruah, mengaibkan dan memalukan bagi bangsa Melayu adalah dosa besar yang tidak berampun. Memang anak Melayu pantang diaibkan.
Demikianlah lahirnya sebuah dokumen budaya yang disebut oleh pujangga besar Tun Seri Lanang sebagai wa’ad, sumpah setia yang harus dikeramatkan oleh seluruh generasi anak bangsa.
Sebagai bangsa beradab yang setia pada norma “hidup dikandung adat” (adat dengan pengertian undang-undang, aturan, hukum-hakam agama dan nilai-nilai budaya), orang Melayu dituntut untuk mendaulatkan wa’ad yang berintikan karamah insaniah itu.
Sejak zaman seawal kerajaan Melaka, umat Melayu mampu menangkap Maqasid Al-Shari’ah (objektif syari’at) yang meliputi pemeliharaan al-ird iaitu maruah, kehormatan diri atau dignity.
Sumpah setia (wa’ad) tersebut adalah juga jelmaan penghargaan dan penghayatan Melayu terhadap pesan-pesan pidato Arafah yang diucapkan oleh Junjungan SAW ketika menunaikan haji terakhirnya.
Pidato Nabawi yang bersejarah itu mengangkat al-a’rad (maruah dan kehormatan diri) sebagai suatu yang suci dan wajib dihormati selamanya.
– 24 Ogos, 2015.-
Sila kongsi artikel ini...