Najib tersilap langkah lagi -Tuan Ibrahim

7:23 PM 0 Comments A+ a-



Najib tersilap langkah lagi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini tersilap langkah lagi apabila beliau sendiri yang menerangkan skop siasatan Pasukan Petugas Khas yang sedang menyiasat dakwaan mengenai penyaluran dana kepada akaun-akaun bank yang didakwa dimiliki beliau.


“Siasatan sedang dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas untuk menentukan sama ada tuduhan yang dibuat oleh Wall Street Journal bahawa saya telah mengambil dana 1 MDB untuk kepentingan diri sendiri berasas atau tidak. Siasatan mesti mengambil kira kesahihan dokumen yang telah disiarkan bagi menyokong tindakan akhbar tersebut.” – Kenyataan PM, 8 Julai 2015

Kenyataan di atas mengundang persepsi bahawa Pasukan Petugas Khas tidak bebas, sedang menerima arahan, atau melaporkan penyiasatan kepada Najib, selaku orang yang sedang dituduh di dalam kes ini. Ini tidak betul dan tidak baik untuk usaha Najib membersihkan namanya.

Tindakan ini lebih buruk daripada hakikat bahawa empat individu yang mengetuai pasukan siasatan ini iaitu Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pengerusi SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, and Bank Negara governor Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekerja di bawah beliau.

Oleh itu, PAS sekali menegaskan Najib perlu bercuti segera agar siasatan dilihat bersih. Jika tidak, Najib akan kelihatan bermasalah meskipun pasukan siasatan mendapati dakwaan ke atas beliau tidak benar.

Najib berulang kali menegaskan beliau tidak mengambil dana 1MDB untuk kepentingan diri sendiri. Ada dua isu fokus yang masih belum dijawab dengan kenyataan di atas – apakah ada dana 1MDB yang disalurkan melalui akaun-akaun yang didakwa milik beliau? Jika ya, untuk kepentingan siapa, jika Najib bercakap benar bahawa ia bukan kepentingan diri sendiri?

Oleh itu, skop siasatan Pasukan Petugas Khas bukan sahaja perlu menentukan samada kebenaran dakwaan samada ada dana 1MDB yang dimasukkan ke akaun-akaun bank yang didakwa milik Najib – malah pasukan ini juga harus menentukan ke manakah dana itu disalurkan seterusnya daripada akaun-akaun bank tersebut.

Apakah ada cek-cek yang dikeluarkan daripada akaun-akaun tersebut, dan siapa penerimanya untuk kepentingan siapa? Diharap siasatan dapat diselesaikan secepat mungkin untuk mengelakkan negara dan rakyat terus berada dalam keadaan gawat dan kebimbangan. Atas ini, selain menyerbu pejabat 1MDB, PAS mencadangkan agar akaun 1MDB juga dapat dibekukan untuk membantu mempercepatkan siasatan.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
9 Julai 2015


Sila kongsi artikel ini...

PAS P.Pinang: "Lim Guan Eng Cermin Diri Dulu Sebelum Tuduh PAS Musuh Kerajaan Negeri Pulau Pinang"

6:20 PM 0 Comments A+ a-



BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI PULAU PINANG
22 Ramadhan 1436H | 9 Julai 2015M

"LIM GUAN ENG CERMIN DIRI DULU SEBELUM TUDUH PAS MUSUH KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG"

Lim Guan Eng dilihat sengaja menyerang PAS apabila menggelar PAS sebagai musuh, hanya semata-mata kerana PAS Pulau Pinang membawa kes pemecatan terhadap wakil PAS di dalam agensi kerajaan negeri untuk pengadilan di mahkamah.

Ianya tuduhan yang amat tidak matang, prejudis, lagi provokatif dan tidak profesional.

Apakah alasan wajar LGE untuk melabelkan PAS adalah musuh kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang?

Adakah kerana PAS tegas mengheret isu pemecatan yang dibuat oleh LGE ini ke kandang mahkamah, sudah layak untuk PAS dikategorikan sebagai musuh?

Amat malang sekali andai LGE memilih untuk bermusuhan, sedangkan umum mengetahui bahawa pemecatan yang dibuat itu adalah suatu perkara keterlaluan.

Bermakna, jika mengemukakan peradilan di mahkamah diertikan sebagai permusuhan, maka dengan sendirinya LGE telah menjustifikasikan tindakan pemecatannya itu sebagai satu kezaliman.

Walhal, pemecatan yang dibuat kepada mereka tidak lebih kerana kegopohan LGE dalam menafsirkan usul yang berlegar sewaktu Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke 61 baru-baru ini.

Sekiranya diamati usul dibuat oleh Dewan Ulamak PAS Pusat itu, seharusnya LGE tidak perlu melatah dan tergopoh gapah mengambil tindakan terhadap mana-mana kakitangan PAS yang masih bekerja di dalam pentadbiran negeri.

Apatah lagi Majlis Syura Ulamak PAS sebagai eksekutif tertinggi parti tidak memuktamadkan sebarang pendirian berhubung usul yang dibentangkan itu.

Maka adalah tidak adil LGE bertindak terburu-buru memecat mereka yang terbabit dan menuduh PAS sebagai musuh hanya kerana PAS tampil ke mahkamah menuntut keadilan yang sewajarnya.

Sekiranya LGE betul dan benar dalam tindakan beliau, usah takut dan bimbang terhadap dakwaan yang dibuat.

Sila tampil dengan membawa bukti kukuh bagi menegakkan keadilan terhadap pemecatan tersebut.

Jangan biarkan persepsi bermain dibenak pemikiran rakyat Pulau Pinang bahawasanya LGE dibayangi ketakutan hinggakan sanggup menggelarkan PAS yang masih berada dalam Pakatan Rakyat sebagai musuh.

Perlu diingat Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak akan tertegak jika sekiranya DAP tidak membentuk kerjasama dengan PAS dan PKR.

Usah bongkak dan sombong dengan kemenangan dilakar, sedang kemenangan itu diraih hasil titik peluh para petugas khususnya ahli-ahli PAS yang bertungkus lumus bekerja menentang UMNO-BN.

MOHD YUSNI MAT PIAH
Ketua Penerangan
PAS Negeri Pulau Pinang


Sila kongsi artikel ini...

SAMM: Caretaker Government" Adalah Bukan Kerajaan Perpaduan

6:06 PM 0 Comments A+ a-



9 Julai 2015

"Caretaker Government" Adalah Bukan Kerajaan Perpaduan

1. Jika semua bersetuju WSJ betul dan benar maka kita juga mengakui BN telah menggunakan dana melampau yang mengatasi jumlah perbelanjaan yang dibenarkan dalam pilihanraya. Maka pilihanraya umum 13 (PRU-13) adalah tidak sah. Justeru kerajaan pemerintah yang ada hari ini adalah kerajaan haram.

2. Krisis hari ini bukan persoalan individu semata-mata tapi keabsahan sebuah kerajaan. Bukan saja Najib tetapi Muhyiddin, Zahid Hamidi, Shafie Apdal, Tengku Razaleigh dan semua pihak BN menang secara haram kerana guna dana awam dengan jumlah berlebihan dari yang dibenarkan. Kerana itulah, satu pilihanraya umum perlu dibuat segera bagi membolehkan mandat dipulangkan kepada rakyat untuk memilih tampuk pemerintahan negara.

3. Di atas sebab ini juga, SAMM semasa pertemuan NGO dah Ahli Parlimen di Parlimen tempoh hari mencadangkan satu "caretaker government" atau kerajaan peralihan yang merangkumi semua wakil daripada parti politik dibentuk untuk tujuan ini.

4. Kerajaan Peralihan (Caretaker Government) ini bukanlah seperti Kerajaan Perpaduan sebaliknya kerajaan untuk memastikan urusan pentadbiran negara terus berjalan sambil memastikan pilihanraya yang bersih dan adil dapat dilakukan dan memastikan tidak ada mana-mana pihak cuba menghapuskan bukti penyelewengan sekiranya berlakunya perubahan rejim pemerintah.

5. Caretaker Government (Kerajaan Peralihan) adalah bersifat sementara sehingga satu kerajaan baru dibentuk. Ini juga adalah bertujuan untuk mengeluarkan negara daripada krisis dan politik yang tenat sekarang ini. Manakala UG atau Kerajaan Perpaduang pula adalah gabungan politik yang melibatkan gabungan parti untuk terus memerintah (menjarah?) negara ini.

6. Justeru itu, SAMM merakamkan tahniah buat Naib Presiden PKR Nurul Izzah kerana telah menyambut baik cadangan SAMM dengan memfailkan saman sivil bagi membatalkan keputusan PRU-13.

Sekian Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM


Sila kongsi artikel ini...

Apa beza UG PKR, UG DAP dan UG PAS? - Aduka Taruna

12:33 PM 0 Comments A+ a-



Apa beza UG PKR, UG DAP dan UG PAS? Ini tulisan panjang. Ramai yang baca skip2, pastu komen. Biasalah.

1. Gua sebenarnya tidak berapa nak ulas perkara strategi. Strategi ni dinamik. Bukan dasar. Gua suka ulas konsep pemikiran dan konsep dasar. Bagaimana pun, oleh kerana gua terlibat kes UG di Rusila dulu, maka berpusu2 tag, tanya kot FB dan wasap. Gua jawab di sini sebab terbuka dan sekali jawab sahaja.

2. Gua pun bukannya suka dengan PKR sangat. Cuma ada ramai kawan2 yang bagus dalamnya. Terbaru Wan Ji masuk. Di sini sahaja kita boleh lihat PAS Baru lembab serupa dengan PAS Lama. PKR memang laju mengesan persaingan ini. Masa ceramah Badar Qubro di Batu Pahat, seorang brader wakili seni menyatakan, Pak Samad mahu masuk PAS Baru. Tapi dia orang tua. Segan jika tidak dipelawa. DAP pelawa dulu dengan sediakan ruang perjuangan. PAS Baru pula duk pusing2 program yang bukan roadshow dan tidak guna satu # slogan yang konsisten. Program moreh Mat Sabu lah. Program tazkirah Mujahidlah. Teknik politik orang tua. Nampak sangat sebelum ini, mereka menumpang kepakaran PKR / SAMM / budak2 Bangsar / Anarki bab teknik propaganda baru. Mereka hanya letak gambar di poster dan hadir ceramah sahaja dalam setiap gerakan massa.


3. Berbalik kepada UG, apa2 idea strategi untuk rakyat adalah bagus. Ianya dinamik. Tapi perlu lalui kritikan dan bahasan awam. Masalahnya PAS bermula dengan penipu. Kemudian penakut. Akhirnya penipu. UG PAS bermula perjumpaan gelap sorok2 di Selangor. Cuba lontarkan idea itu secara terbuka. Dan hadapi kritikan dan bahasan untuk solid. Tapi sebab PAS parti guna agama, dia main buat sahaja kerana semua dalil mampu dimanipulasi selepas itu. Nak debat penakut. Parlimen ponteng.

Bila kantoi jumpa gelap, Hadi menipu nafi. Paklah kontoikan ianya berlaku. Hadi tarik balik. UG ditutup. Bila Nash menang muktamar, Hadi buka semula UG. TGNA bantah. 20 MP PAS sign sokong TGNA bantah Hadi. Hadi diburu media. Lari ke luar negara. Jawab di sana UG hanya di zaman Paklah. Pulak.

Gua ke Rusila. Pergi tanya Hadi. Kalau UG hanya di zaman Paklah, kenapa kenyataan media terbaru, dan 10 MP PAS sign bantah tu di zaman Najib? Kenapa menipu? Hadi berubah muka nak mahu jawab. Dia 'lari' (berjalan laju) sambil kata di sibuk. Sibuk apa hanya untuk jawab kenapa sahaja. Nampak sangat penipu tak boleh jawab. Last2, gua kena pukul depan Hadi, kamera, memori card semua dirampas, then kena kurung tingkat 1 Masjid Rusila. Video yang ada sekarang semuanya pihak Rusila yang bagi ke email gua, setahun selepas, dengan potongan.

4. Apa beza UG PKR, UG DAP dan UG PAS? Bezanya ialah berani bentang kepada rakyat dan sedia dikritik. Ini adalah idea dalam strategi. Ianya dinamik.

Apa beza UG PKR, UG DAP dan UG PAS? Bezanya ialah PAS bermula dengan penipuan, kluk klek penakut hadapi kritikan idea UGnya dan berakhir dengan penipuan. Yerla... ulama menipu kan sunat. Dapat pahala.


Sila kongsi artikel ini...

PKR: AKTIVIS MUDA DAN PROFESSIONAL DIBERI TUGASAN KHUSUS DALAM KEADILAN

10:45 AM 0 Comments A+ a-



8 JULAI 2015

AKTIVIS MUDA DAN PROFESSIONAL DIBERI TUGASAN KHUSUS DALAM KEADILAN

Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) akan menyaksikan undi orang muda di bawah 30 tahun menjadi undi paling penting memandangkan kumpulan ini adalah kumpulan pengundi terbesar. Pelbagai kontroversi dan skandal yang membabitkan pentadbiran Umno/Barisan Nasional kebelakangan ini membuatkan pengundi muda mencari alternative dan lebih cenderong kepada perubahan.

KEADILAN adalah sebuah parti yang mempunyai rekod terbaik memberi ruang dan amanah kepimpinan kepada pemimpin muda. Dua dari 4 Naib Presiden yang dipilih berumur di bawah 40 tahun. KEADILAN terus mendapat penyertaan pimpinan muda dari golongan mahasiswa, aktivis dan professional yang diberikan amanah kepimpinan dan tugasan khusus.

Bagi pihak KEADILAN, saya berbesar hati mengumumkan penyertaan atau tugasan khusus kepada pimpinan dan aktivis muda seperti berikut:

YB Senator Saudari Siti Aishah Sheikh Ismail
YB Saudari Siti Aishah adalah ahli Dewan Negara termuda yang pernah dilantik di dalam sejarah Malaysia. Beliau adalah seorang aktivis dan penceramah yang ternama sebelum ini. Beliau akan bertanggungjawab khusus untuk membawa isu wanita muda dan menambahkan penyertaan wanita muda di dalam kepimpinan KEADILAN.

Dr Fahmi Ngah
Dr Fahmi Ngah adalah pemegang ijazah kelas pertama dari University of London dalam bidang kejuruteraan. Beliau juga mendapat PhD dari universiti yang sama dan penerima anugerah-anugerah berikut:

1994: Cookson Prize for Best First Year Graduate from Cookson PLC

1995: Smith and Nephew Prize for Best Second Year Graduate from Smith and Nephew PLC

1996: Tun Ismail Ali Award for Best UK graduate from the British/Malaysian Society

1997: Draper Prize for Best MSc Dissertation from Queen Mary College

1997: Anugerah Belia Negara (Kategori Graduan Terbaik Luar Negara) from Kementerian Belia dan Sukan Malaysia

1998: CEO Excellence Award for Intelligent Production Solutions from BP Malaysia

1999: Perdana Scholarship Award from Tun Dr Mahathir Mohamad

2005: Best Young Scientist Award from UK Defense Research Agency

Beliau pernah bertugas di UK Defense Research Agency (Agensi Penyelidikan Pertahanan UK) sebagai saintis kanan sebelum menyertai sektor korporat di UK di beberapa syarikat seperti British Energy dan EDF Energy. Jawatan terakhir beliau di dalam sektor korporat adalah Head of Commodity Trading di CIMB. Beliau kini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.

Beliau adalah Pengarah Strategi bagi KEADILAN Wilayah Persekutuan dan bertanggungjawab khusus bagi program “Professional in Politics” (PIP) yang akan dilancarkan KEADILAN dengan sasaran mendapatkan penyertaan lebih ramai pimpinan dari kalangan professional.




Saudara Wan Ji Wan Wan Hussin
Beliau adalah seorang pendakwah bebas yang berasal dari Kelantan. Mendapat pendidikan Islam awal dari Karachi, Pakistan dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dalam bidang Islam di Universiti Al-Azhar dengan pengkhususan di dalam maqassid syariah.

Saudara Wan Ji Wan Hussin kini telah dilantik sebagai EXCO Angkatan Muda KEADILAN dengan tanggungjawab khusus menarik lebih ramai golongan berpendidikan Islam ke dalam KEADILAN.

AHMAD SYUKRI RAZAB
Saudara Syukri Razab adalah pimpinan mahasiswa yang tidak asing lagi dan merupakan generasi pertama pimpinan mahasiswa selepas gelombang 2008 yang paling lantang memperjuangkan kebebasan akademik. Berumur 30 tahun dan berasal dari Sabah, Saudara Syukri adalah mantan Pengerusi Majlis Politik Nasional, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), mantan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan pengasas kumpulan anak muda LENSA. Beliau juga adalah aktivis hak asasi manusia yang berkhidmat dengan Suaram.

Saudara Syukri Razab kini dilantik sebagai Setiausaha Pengelola Angkatan Muda KEADILAN yang bertanggungjawab menambah keahlian AMK dan memperkuatkan organisasinya.

MOHAMMAD ZAKI ABDUL SHUKOR
Saudara Zaki Abdul Shukor adalah mahasiswa jurusan undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan merupakan Speaker Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Persatuan Mahasiswa UKM bagi sessi 2014 – 2015. Beliau merupakan calon Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) yang pertama yang memenangi kerusi pilihanraya kampus.

Saudara Zaki adalah seorang pendebat yang telah memenangi pertandingan debat undang-undang (moot competition) di peringkat antarabangsa seperti berikut:

Juara Dunia, IASLA Space Law Moot Court Competition, International Finals,
Paris, France, 2014.
Juara Asia Pasifik, IASLA Space Law Moot Court Competition, Asia Pacific Regional
Level, Sydney, Australia, 2014.
Peringkat Akhir, Malaysia Public Policy Competition, 2012.
Saudara Zaki telah dipilih oleh perwakilan Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) sebagai presiden MKM bagi penggal 2015 – 2016 dalam mesyuarat agung MKM yang lalu. Beliau dan EXCOnya bertanggungjawab menggandakan keahlian MKM di kampus-kampus universiti seluruh Malaysia dan menambah bilangan kerusi dalam Pilihanraya Kampus yang akan diadakan.

MUHAMMAD AFFENDY HASNI
Saudara Affendy adalah mahasiswa jurusan undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia dan merupakan mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Undang-undang UKM. Beliau merupakan pendebat yang pernah memenangi pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti berikut:

Pemenang Pertandingan Debat Integriti peringkat kebangsaan
Naib Johan Kebangsaan, Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri di antara universiti-universiti seluruh Malaysia
Pemenang Best Memorial Award, Phillip C. Jessup International Law Moot Court Competition peringkat kebangsaan
Pemenang dan pembahas terbaik Pertandingan Debat Antara Sekolah-sekolah Malaysia anjuran UIA

Beliau pernah mengambil gap year untuk berkhidmat dengan firma guaman di Brisbane, Australia selama hampir setahun.

Saudara Affendy adalah Timbalan Presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) yang bertanggungjawab menambah keanggotaan KEADILAN dari kalangan mahasiswa.


KEADILAN akan terus memberi ruang kepada golongan muda dari kalangan mahasiswa, aktivis dan professional supaya roh parti ini yang digerakkan oleh golongan muda akan terus dikekalkan, selaras dengan amanat Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa perubahan hanya boleh berlaku dengan penyertaan orang muda.

Saya menjemput lebih ramai pimpinan muda dan aktivis untuk menyertai KEADILAN dengan berhubung secara terus dengan saya atau Saudara Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN.


Sila kongsi artikel ini...

JINGGA 13 DESAK POLIS SIASAT PENDEDAHAN WSJ BUKAN AMBIL TINDAKAN TERHADAP PEMBERI MAKLUMAT

10:41 AM 0 Comments A+ a-



Jingga13 Malaysia

8 Julai 2015


JINGGA 13 DESAK POLIS SIASAT PENDEDAHAN WSJ BUKAN AMBIL TINDAKAN TERHADAP PEMBERI MAKLUMAT

Jingga 13 mempersoal kenyataan Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini bahawa polis akan menyiasat WSJ di bawah Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 kerana mendedahkan maklumat adalah satu tindakan double standard yang bertujuan mengenakan tindakan terhadap pemberi maklumat tetapi tidak serius dalam menyiasat dan mengambil tindakan terhadap skandal yang didedahkan oleh WSJ yang melibatkan 1MDB dan DS Najib Razak.

Pendedahan yang dibuat oleh WSJ adalah sangat serius dan perlu kepada satu tindakan secara telus dan profesional oleh pihak polis bukannya mengambil tindakan terhadap WSJ atau pemberi maklumat .

Jingga13 percaya adakah tindakan tersebut adalah satu usaha bertujuan 'menyelamatkan' DS Najib Razak dengan skandal rm2.67 Billion yang telah dipindahkan ke akaun peribadi beliau? Tindakan mengalihkan perhatian rakyat dengan meletakkan kesalahan pada WSJ kerana mendedahkan skandal 1MDB dan DS Najib Razak adalah meletakkan betapa rendah integriti dan kredebiliti Ketua Polis Negara dan Polis Di Raja Malaysia sedangkan sehingga kini tidak ada satu tindakan yang serius diambil.

Jingga13 mendesak agar tindakan menyiasat WSJ di bawah Akta Jenayah Komputer 1997 dihentikan dengan segera dan sekali lagi meminta agar satu Suruhanjaya DiRaja dibentuk secara telus dan profesional dengan segera bagi tujuan menyiasat secara terperinci kes tersebut.

Jingga13 merasa 'sangsi' terhadap tindakan atau siasatan yang dilakukan oleh Peguam Negara, Bank Negara , SPRM dan PDRM dalam skandal 1MDB dan DS Najib Razak.

Muafakat*Prihatin*Berani

FARIZ MUSA
Ketua Koordinator
Jingga13 Malaysia


Sila kongsi artikel ini...

Nurul Izzah: PARTI KEADILAN RAKYAT (KEADILAN) AKAN MEMBAWA SAMAN SIVIL UNTUK MEMBATALKAN KEPUTUSAN PILIHANRAYA KE 13

10:40 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA NURUL IZZAH ANWAR, AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI, NAIB PRESIDEN/ PENGARAH JPRP KEADILAN PADA 080715
PARTI KEADILAN RAKYAT (KEADILAN) AKAN MEMBAWA SAMAN SIVIL UNTUK MEMBATALKAN KEPUTUSAN PILIHANRAYA KE 13, KHUSUSNYA KERUSI-KERUSI UMNO-BN PASCA PENDEDAHAN DAKWAAN MEDIA WALL STREET JOURNAL (WSJ) DAN SARAWAK REPORT (SR) BERKAIT PENYALAHGUNAAN DANA PILIHANRAYA MELIBATKAN PERDANA MENTERI MALAYSIA DAN JUGA PRESIDEN PARTI UMNO

Pendedahan skandal oleh WSJ dan SR yang berterusan telah memberi kesan negatif kepada Malaysia dengan pertuduhan penyaluran wang haram, penyelewengan dan semua yang berkait dengan jenayah kolar putih - yang berkait terus dengan Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO sendiri.
Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia seperti kes-kes sebelum ini tidak boleh diharapkan untuk mengambil tindakan susulan, seiringan dengan tanggungjawab moralnya. Sedari awal, pelbagai kes sivil seperti kontroversi kes dakwat kekal; dakwaan politik wang beserta rasuah pilihanraya yang melibatkan menteri kanan kerajaan; dan juga permohonan KEADILAN SARAWAK yang berjaya dalam isu persempadanan semula negeri Sarawak, tetapi malangnya dirayu oleh SPR - telah menghakis kredibiliti Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia ke tahap yang parah.

Sehubungan itu, Bersih 2.0, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) dan Transparency International telah mengemukakan 4 aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkisar elemen rasuah dalam penyaluran dana yang berkemungkinan berlaku dalam kempen pilihan raya umum ke 13.

Antara lain, aduan-aduan tersebut berkait pembelian stesen janakuasa yang sebelum ini dimiliki oleh Genting pada harga tinggi dan tidak munasabah; kemudian tentang bagaimana wang tersebut disalurkan kepada Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M). Dana di dalam YR1M kemudiannya digunapakai oleh Perdana Menteri dalam pengumuman derma RM2 juta kepada dua buah sekolah; walau pemberian tersebut tidak termasuk di dalam skop bantuan YR1M. Ternyata, pengumuman dana sebesar RM2 juta menjelang pilihanraya penting dalam memastikan kemenangan BN di kawasan tersebut.
Lanjutan daripada aduan yang dikemukakan, wajib diingat bahawa jumlah maksimum yang boleh dibelanjakan untuk kempen pilihan raya bagi setiap calon ialah RM200,000 (Parlimen) dan RM100,000 (Dewan Undangan Negeri) sepertimana yang diperincikan di bawah Seksyen 19, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Oleh yang demikian, sepatutnya jumlah maksima yang dibelanjakan untuk kesemua calon UMNO/BN bagi 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN berjumlah RM44.4 juta dan RM50.5 juta masing-masing. Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM94.9 juta, jauh lebih rendah daripada jumlah yang didakwa digunakan oleh BN iaitu RM2.6 billion.

Jumlah wang RM2.6 bilion yang diumumkan asalnya sebanyak USD700 juta dan didakwa berada dalam akaun peribadi Perdana Menteri adalah 26 kali lebih daripada had perbelanjaan yang dibenarkan. Tambahan pula, siapa yang boleh memastikan bahawa ini merupakan sumber tunggal kewangan untuk perbelanjaan pilihanraya UMNO dan Barisan Nasional pada pilihanraya umum yang lepas?
Sehubungan dengan itu, saya telah mengarahkan supaya laporan-laporan SPRM dibuat oleh kesemua wakil Jawatankuasa Pilihanraya Negeri KEADILAN pada hujung minggu ini.
Berikutan dakwaan ini, KEADILAN juga akan memfailkan sebuah saman sivil terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mencabar kesahihan keputusan Pilihan Raya di kerusi-kerusi yang dimenangi oleh UMNO/BN; lanjutan daripada dakwaan amalan korup dan penggunaan kewangan yang melampau yang didedahkan setakat ini.

Tindakan mahkamah ini akan menjadi pemangkin ke arah pembatalan kerusi-kerusi yang dimenangi oleh UMNO dan Barisan Nasional di pilihanraya yang lepas. Pun begitu, KEADILAN juga bersedia mempertahan kerusi-kerusi yang dimenangi, sekiranya keseluruhan pilihan raya umum ke 13 dianggap tidak sah dan terbatal.

Kami berharap akan memfailkan saman sivil ini secepat yang mungkin. KEADILAN juga terus komited terhadap agenda reformasi pilihan raya; lebih-lebih lagi memandangkan bahawa kesemua ahli parlimen telah mengundi dan meluluskan kesemua 22 rekomendasi sebagaimana yang diperincikan oleh Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkenaan Reformasi Pilihanraya pada tahun 2012. Malangnya, reformasi pilihanraya tidak akan terlaksana tanpa iltizam politik dan tindakan tegas undang-undang.

*NURUL IZZAH ANWAR
Naib Presiden KEADILAN
Ahli Parlimen Lembah Pantai
8 Julai 2015


Sila kongsi artikel ini...

NAJIB HADAPI KRISIS KEPERCAYAAN, PEMUDA PAS SIAP SEDIA

10:34 AM 0 Comments A+ a-



NAJIB HADAPI KRISIS KEPERCAYAAN, PEMUDA PAS SIAP SEDIA!

Oleh : Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abdul Aziz
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas.


Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak kini jelas berada di ambang krisis kepercayaan paling besar bukan hanya di sisi rakyat bahkan di kalangan ahli dan pimpinan UMNO sendiri. Realiti ini mengundang telahan daripada pelbagai pihak bahawa masanya semakin hampir untuk sebuah kerajaan baru yang mendapat mandat lebih teguh daripada rakyat dibentuk.

Kontroversi terbaru yang didedahkan oleh The Wall Street Journal adalah satu dakwaan yang berat dan begitu menghakis kredibiliti orang nombor satu dalam kerajaan.

Jika benar, ia adalah satu kerosakan dan keaiban terhadap rakyat dan negara yang tidak boleh dimaafkan. Sebaliknya jika ia adalah tuduhan yang palsu, maka negara akan terperangkap dalam suatu konspirasi politik yang melibatkan pemain luar yang pastinya mempunyai agenda dan kepentingan politik dan ekonomi. Ini bakal mengundang kerosakan yang lebih besar kepada negara.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru kepada penyiasatan yang telus dan menyeluruh oleh badan berwajib bagi menjawab segala persoalan yang menghantui rakyat hari ini mengenai skandal politik dan ekonomi yang semakin membarah ini.

Dewan Pemuda PAS Malaysia juga menyeru kepada penubuhan suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja yang lebih berwibawa dan bebas bagi menyiasat dan membongkar dakwaan yang begitu berat ini. Perlu diingatkan bahawa PAS kekal menjunjung prinsip kebenaran dan amanah serta menolak fitnah dan provokasi melampau yang mungkin berlaku.

Mengambil kira beberapa cabaran yang berlaku dalam beberapa parti politik hari ini termasuk PAS, maka jentera pemuda dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan gelombang baru politik yang bakal wujud tidak lama lagi. Seluruh kepimpinan pemuda PAS di setiap peringkat wajar bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan yang tidak mustahil akan berlaku.

Semua pemuda harus terus beristiqamah dan mengambil kesempatan di sepuluh malam terakhir Ramadhan untuk terus bermunajat serta memohon nusrah daripada Allah SWT.


Sila kongsi artikel ini...

Agihan Zakat oleh Exco Perumahan dan Lawatan baikpulih PPT Kota Damansara

3:58 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA PEJABAT EXCO PERUMAHAN, PENGURUSAN BANGUNAN DAN KEHIDUPAN BANDAR

AGIHAN ZAKAT OLEH EXCO PERUMAHAN DAN LAWATAN BAIKPULIH PPR KOTA DAMANSARA

Hari ini Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar telah sudi menyampaikan bantuan zakat kepada asnaf yang layak di PPR Kampung Baru Hicom dan PPR Kota Damansara.


Bantuan zakat tersebut adalah berupa keperluan harian yang telah disumbangkan oleh Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB), sebuah anak syarikat Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Tahun ini, PHSSB turut menyumbang lebih 200 kotak keperluan harian kepada asnaf terpilih di PPR Kg Baru Hicom, PPR Kota Damansara, PPR Serendah dan Council Homes Bandar Baru Bangi.

Sumbangan zakat ini diharapkan dapat meringankan sedikit beban mereka yang akibat kos sara hidup yang meningkat akibat GST, kenaikan harga minyak dan kejatuhan nilai ringgit.

MENINJAU BAIKPULIH PPR KOTA DAMANSARA

Selain menyampaikan sumbangan zakat kepada sebahagian asnaf, YB Dato' Iskandar Abdul Samad turut meninjau perkembangan baikpulih di PPR Kota Damansara.

Antara yang sedang rancak dibaikpulih ialah jeriji 'railing' bagi meningkatkan tahap keselamatan penduduk yang bernilai RM800 ribu yang dijangka siap September tahun ini.

Walaupun pada asalnya kerja baik pulih dijanjikan oleh pihak Kerajaan Persekutuan, namun ia gagal dilaksanakan. Pihak Kerajaan Negeri tidak sekali akan berkompromi dengan isu keselamatan yang boleh menggadaikan nyawa penduduk PPR Kota Damansara.

Antara projek lain adalah pembaikpulihan 12 unit lif dengan kos RM1.4 juta yang sedang berjalan dan kerja mengecat dengan kos RM1.5 juta yang akan dimulakan pada tahun ini juga.

Menurut YB Dato' Iskandar, beliau berhasrat melihat PPR Kota Damansara menjadi contoh PPR terbaik seluruh negara dan penduduk boleh menikmati kehidupan yang lebih sejahtera.

Turut hadir ialah Pengurus Besar PHSSB, En Sr Nazmi Osman dan Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam, Puan Siti Rohaya binti Ahad.

Terima kasih.

Disediakan oleh :
Sekretariat Media dan Akhbar
Pejabat Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar.
7 Julai 2015


Sila kongsi artikel ini...

1MDB berikan kerjasama penuh kepada Pasukan Khas

1:35 AM 0 Comments A+ a-


1MDB berikan kerjasama penuh kepada Pasukan Khas

Kami mengesahkan bahawa beberapa orang pegawai daripada Pasukan Khas yang sedang menjalankan siasatan terhadap 1MDB, telah hadir ke pejabat kami hari ini. Mereka dibekalkan dengan beberapa dokumen dan barangan untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.

1MDB memberikan sepenuh kerjasama kepada Pasukan Khas ini dan semua pihak berkuasa yang berkenaan. Kami menekankan kedudukan kami sebelum ini bahawa jika terdapat sebarang salah laku, tindakan harus diambil oleh pihak berkuasa yang berkenaan, mengikut proses yang wajar dan mengikut undang-undang negara.

 1MDB
8 julai 2015


Sila kongsi artikel ini...

SAMM: Jika Duit Zakat Diagih Ikut Saluran Parti Apa Beza Kita Dengan Umno?

1:26 AM 0 Comments A+ a-



8 Julai 2015

Jika Duit Zakat Diagih Ikut Saluran Parti Apa Beza Kita Dengan Umno?

Susulan pengumuman Saudara Azri Ketua Staf Sekreteriat Penyerahan Zakat Selangor bahawa Wang zakat tidak lagi disalurkan melalui Pemadam. Sebaliknya Sekretariat akan menyalurkan terus kepada Ketua-Ketua AMK Cabang Selangor. Ini bermakna
Wang Zakat Selangor disalurkan melalui organisasi Parti. Perkara ini adalah satu perkara salah guna kuasa.

Jika sebelum ini langkah ini yang telah lama dipraktikal oleh UMNO dan kita mempertikaikannya. Mengapa perkara sama turut dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor? Apa beza kita dengan UMNO?

Justeru itu, Ingin saya bertanya beberapa soalan kepada Kerajaan Negeri Selangor mengenai hal ini.

- Apakah fungsi Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang ditadbir Majlis Agama Islam Selangor?

- Apa keupayaan mereka yang dilantik untuk mengagihkan dana zakat?

-Adakah mereka mempunyai maklumat lengkap senarai asnaf? Tanpa ada pengalaman dan kemahiran, bolehkah mereka berlaku adil dalam pengagihan dana zakat?

Pengagihkan zakat kepada asnaf melalui jentera parti politik sudah tentu ia akan terdedah kepada kepentingan politik dan kearah mendapatkan sokongan politik.

Disini bukan saya ingin membangkitkan soal hukum dalam pemberian zakat. Cuma saya mempertikaikan apabila jentera Parti digunakan dalam pemberian zakat. Saya khuatir ia akan berlaku perkara tidak adil kepada penerima zakat. Saya khuatir akhirnya berlaku soal pilih kisah di antara si pengutip senarai asnaf dengan penerima asnaf.

Sekiranya perkara ini berlaku. Ternyatalah tiada beza kita dengan UMNO.

Sekian, Faisal Zainal
Komrad
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.